Adsense

Jumaat, 28 September 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Hikmah sebalik hijab

Posted:

Hikmah sebalik hijab

SEBAIK sahaja kelibat penyanyi Shila Amzah muncul di balai ketibaan antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Rabu lalu, dia disambut dengan kerlipan sinaran kamera daripada para jurugambar yang sedia menantinya.

Suasana bertambah meriah dengan jeritan daripada peminatnya yang turut berkumpul di KLIA petang itu demi untuk mengucapkan tahniah atas kejayaannya di China pada 20 September lalu.

Bergelar juara pertandingan nyanyian yang julung-julung kali diadakan untuk mencari bintang Asia baharu iaitu Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China merupakan pencapaian terbesar oleh gadis berusia 22 tahun itu.

Kata Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah yang mula memakai hijab sejak 1 Ramadan lalu, kerja kerasnya selama ini berbaloi.

Keputusan nekadnya untuk memakai hijab mempunyai hikmah sebaliknya apabila dia dinobatkan sebagai juara pertandingan berprestij itu.

"Saya mula masuk pertandingan nyanyian sejak umur lapan tahun lagi. Sejak itu, saya tidak pernah berhenti bekerja keras untuk mengukir nama supaya dikenali sebagai penyanyi. Namun, sebesar mana pengorbanan dan usaha yang dibuat sebelum ini, hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja saya memakai hijab, keyakinan diri semakin bertambah dan pelbagai rezeki datang tanpa diduga. Sebelum ini sukar untuk membuat semua orang memberi fokus kepada saya seorang.

"Mungkin ini adalah nikmat serta hikmah yang diberi Allah di sebalik keputusan saya untuk berhijab. Saya bersyukur dengan rezeki yang diberi dan berjanji pada diri untuk melakukan sesuatu yang lebih baik," ujarnya sewaktu ditemui di KLIA.

Shila merupakan satu-satunya peserta yang memakai hijab dalam pertandingan itu. Akuinya, pada mulanya dia berasa sedikit bimbang dengan penerimaan masyarakat di sana tentang imejnya.

Layanan kelas pertama

Namun, sangkaannya meleset kerana dia lebih mudah dikenali berbanding peserta negara lain. Semuanya kerana hijabnya itu.

"Memakai hijab membataskan genre lagu yang boleh saya bawakan. Saya tidak boleh menari jika hendak dibandingkan dengan peserta negara lain. Saya juga mempunyai kebimbangan pada peringkat awal berhubung penerimaan masyarakat di sana dengan imej saya.

SHILA AMZAH bakal mengembangkan kariernya ke China.


"Bagaimanapun sangkaan saya meleset apabila mereka menerima imej berhijab dengan baik, malah memberi layanan kelas pertama terhadap saya. Tidak wujud langsung perasaan seperti disisihkan kerana saya rasa seperti berada di Malaysia.

"Disebabkan hijab saya yang berwarna-warni, ia memudahkan penonton mengenali saya dengan mudah. Selepas pertandingan, sewaktu bersiar-siar, orang di sana kenal dan tahu nama saya kerana di sana jarang untuk melihat wanita berhijab berwarna-warni seperti saya," tutur anak penyanyi ND Lala itu lagi.

Sambung Shila, ramai juga orang di sana mempersoalkan mengapa dia perlu memakai hijab sedangkan mereka telah menonton videonya tanpa hijab di laman perkongsian video YouTube sebelum itu.

"Selepas saya terangkan sebabnya dan kenapa perlu memakai hijab, mereka faham dan menerima kehadiran saya sama seperti peserta negara lain. Sebulan sebelum masuk bertanding, saya tanya kepada penasihat pertandingan, Ong Peng Chu, bolehkah saya masuk kerana saya telah bertukar imej.

"Jawapannya cukup mudah, katanya, juri serta penonton yang hadir hanya ingin dengar suara dan persembahan saya bukannya untuk melihat rambut saya.

"Selepas mendengar penjelasannya, saya berkeyakinan untuk bertanding tetapi tiada langsung perasaan yang saya akan menjadi juara," ucapnya yang ditemani ibu bapa dan Ong Peng Chu sepanjang pertandingan itu berlangsung.

Pengalaman manis

Bercakap mengenai pertandingan itu, Shila yang menewaskan 12 peserta di peringkat akhir selepas berjaya memukau sembilan orang juri daripada sembilan buah negara yang berbeza memberitahu, kemenangan tiada langsung dalam fikirannya.

Ini kerana pihak media di China menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada peserta negara berkenaan Chang Shilei yang mendapat tempat kedua.

"Memang tidak jangka langsung sebab bila semua orang kata Chang Shilei sangat bagus dan bakal menjadi juara, secara automatik saya tahu yang saya tidak akan menang.

"Setiap kali sebelum membuat persembahan, bapa saya akan pesan, jangan fikir untuk menang tetapi fikir seperti saya sedang lakukan persembahan untuk penonton.

"Jadi, saya tidak tertekan sangat. Mungkin itu faktor yang menyebabkan saya memang, sebab saya tiada tekanan. Selain itu pengalaman menyertai pelbagai pertandingan sebelum ini juga banyak membantu saya menguatkan mental," katanya yang melakukan persiapan selama sebulan.

Bercakap mengenai pemilihan lagu pula, Shila yang sudah lama menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang penyanyi antarabangsa memberitahu, setiap lagu merupakan pilihannya bersama bapanya dan Ong Peng Chu.

Menyanyikan lima buah lagu secara keseluruhannya iaitu Set Fire To The Rain (lagu dendangan asal Adele) dan Forever Love (Wang Lee Hom) untuk peringkat saringan pertama dan kedua.

PENGALAMAN memasuki pertandingan sejak berusia lapan tahun lagi memberi impak kuat terhadap kejayaan Shila untuk meraih juara Asian Wave 2012.


Sementara untuk peringkat akhir Shila memukau juri dengan menyanyikan tiga buah lagu iaitu Gemilang (Jaclyn Victor), Grenade (Bruno Mars) dan lagu popular penyanyi terkenal di China, Na Ying yang berjudul Zheng Fu.

"Asian Wave boleh dikatakan seperti Olimpik dunia muzik. Semua peserta yang bertanding bukannya penyanyi amatur sebaliknya sudah mempunyai kejayaan di negara masing-masing. Penting untuk peserta menyanyikan lagu yang terbaik pada setiap peringkat.

"Jika gagal memuaskan hati juri, anda akan terus disingkirkan. Saya pilih lagu yang saya sudah biasa dan suka tetapi lagu Zheng Fu merupakan lagu yang dicadangkan oleh Ong Peng Chu.

"Lagu itu merupakan lagu paling popular di sana, kalau saya tidak menyanyi dengan baik kesannya pasti buruk tetapi selepas latihan selama sebulan, saya berjaya menyebut setiap perkataan dengan tepat," luahnya yang belajar bahasa Mandarin sejak tadika sehingga usia lapan tahun.

Eric Moo

Impak kemenangannya sebagai juara, Shila ditawarkan kontrak dana pembangunan kerjaya di China oleh Shanghai Media Group (SMG) sebuah syarikat media terbesar di China sebanyak RM5 juta yang akan dikongsikan bersama pemenang tempat kedua Chang Shilei (China) dan ketiga, Huo Jun (China).

Selepas kontrak itu ditandatangani, Shila akan melebarkan sayapnya ke China kerana antara perancangan yang telah dirancang pihak SMG seperti penerbitan album, konsert jelajah dan sesi promosi ke seluruh China.

"Tawaran yang diterima daripada pelbagai pihak di sana memang banyak tetapi saya harus memilih dengan bijak.

"Selepas saya tandatangani kontrak, saya akan terbang ke China untuk majlis tandatangan kontrak dan pada 17 November depan saya diundang sebagai penyanyi jemputan untuk konsert jelajah penyanyi Eric Moo di Beijing. Eric Moo merupakan penyanyi kelahiran Malaysia tetapi terkenal di China," tutur Shila.

Namun ujar Shila: "Nampaknya saya akan semakin sibuk dan banyak menghabiskan masa di China selepas ini. Namun, Malaysia tetap di hati saya kerana untuk pasaran China, mereka hanya akan menerbitkan album dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris sahaja.

"Album bahasa Melayu, sudah tentu saya akan rakamkan di Malaysia tidak mungkin saya akan tinggalkan Malaysia. Saya pasti akan berulang-alik.

Tinggalkan Sharnaaz

Kejayaan Shila itu telah menutup mulut segelintir pihak yang meragui dengan bakatnya sebelum ini. Ungkap Shila: "Memang sebelum ini ada pihak yang pandang sebelah mata dengan bakat saya tetapi bapa saya pesan supaya jangan membalas dengan lisan sebaliknya saya harus balas dengan kejayaan.

"Saya pegang kata-kata bapa saya dan bekerja keras, Alhamdulillah, jika tidak kerana pengalaman perit pada masa lalu, saya tidak akan menjadi kuat serta berdiri seperti hari ini," tuturnya.

Disoal bagaimana pula dengan cinta hatinya, pelakon Sharnaaz Ahmad yang akan ditinggalkan di Malaysia sementara dirinya akan terbang ke China.

Tersenyum dan terdiam sebentar, kata Shila: "Saya dan Sharnaaz baik-baik sahaja, malah ketika pertandingan berlangsung, saya selalu menghubunginya ketika di belakang pentas. Dia seorang yang sangat menyokong kerjaya saya, begitu juga dengan keluarganya.

"Sokongan keluarga dan Sharnaaz yang membuatkan saya terharu dan cukup tenang. Saya tahu, Sharnaaz antara orang paling gembira dengan kejayaan saya.

"Walaupun selepas ini kami akan sibuk dengan kerjaya masing-masing, saya harap semua orang dapat doakan yang terbaik buat kami."

Kyle masih bersama The Click Five

Posted:

Kyle masih bersama The Click Five

SERINGKALI membuat persembahan tanpa empat anggota kumpulan The Click Five, ada yang beranggapan Kyle Patrick selaku vokalis band Amerika Syarikat itu telah memilih haluan solo.

Malah, ketika diundang mengadakan persembahan pembukaan sempena siri jelajah kumpulan Britain, The Wanted sekitar negara Asia baru-baru ini, Kyle turut tampil solo.

Menafikan perpecahan The Click Five, Kyle atau nama sebenarnya Kyle Patrick Dickherber, 26, dia menegaskan masih bersama kumpulan itu. Cuma pada waktu itu, dia diundang untuk membuat persembahan secara bersendirian.

"Agak kekok apabila mengadakan persembahan seorang diri, apabila berada di atas pentas dan memandang kiri kanan tanpa rakan yang saya kenali. Sudah tentu rasa gugup dan gemuruh itu bertambah kencang.

"Saya masih bersama The Click Five, mana mungkin kami berpecah kerana turun naik kumpulan kami dalam industri hiburan dilalui bersama sejak awal lagi," katanya yang ditemui ketika sesi ramah mesra bersama media tempatan di Sunway Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Berkongsi cerita di sebalik single Go For Gold, kata Kyle judul lagu tersebut berubah beberapa kali sebelum diputuskan untuk menggunakan judul terkini.

"Berdepan dengan pelbagai musibah sepanjang hidup sebelum menjadi penyanyi memberikan inspirasi untuk mencipta lagu ini. Mula-mula lagu ini berjudul Ready Set Go.

"Tapi oleh kerana rentaknya seakan-akan rancak dan memberikan semangat, saya menukar judul kepada Go For Gold sambil mengambil inspirasi daripada sukan Olimpik yang sedang berlangsung ketika itu," cerita Kyle yang merancang untuk mengeluarkan sebuah lagi album EP pertengahan tahun depan. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Tuah Rasyidah berlatih di telefon

Posted:

Tuah Rasyidah berlatih di telefon

Oleh NOOR ASHREEN ISMAI
Lashreen.ismail@kosmo.com.my

RASYIDAH melalui cabaran yang hebat sebelum berjaya mengalunkan lagu dendangan Julie Sudiro, Lambaian Kanda yang membantu dirinya muncul juara Bintang Klasik 2012.


WALAUPUN umur mereka masih muda, namun tidak boleh disangkal bakat nyanyian yang wujud dalam diri mereka. Kesemua 12 peserta yang bertanding di pentas akhir Bintang Klasik 2012 sememangnya hebat.

Ternyata umur bukan halangan untuk anak-anak muda ini menunjukkan bakat mereka menyampaikan lagu-lagu malar segar dengan baik. Beberapa hari lepas telah berlangsungnya acara final bagi program realiti nyanyian Bintang Klasik 2012 yang bertempat di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Setelah melalui beberapa peringkat, Rasyidah Abd. Rahim telah dinobatkan sebagai juara Bintang Klasik 2012 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000. Selain wang tunai, Rasyidah juga memenangi pakej pelancongan ke Pulau Langkawi, Kedah serta piala pusingan, sijil dan piala iringan.

"Saya tidak sangka akan menang kerana sejujurnya semua peserta terlalu hebat. Tidak pernah saya terfikir saya layak menjadi juara. Saya tidak kisah tempat ke berapa pun yang diperoleh kerana saya akan ambil ia sebagai pengalaman," tutur pelajar tahun ketiga ijazah sarjana muda Sains BioKesihatan dari Universiti Malaysia ini.

Walaupun belum bersedia untuk meneruskan karier sebagai seorang penyanyi, namun Rasyidah berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan persembahan yang membuatkan dirinya mendapat markah penuh dari juri awam.

Ditebak soalan mengenai persiapan dirinya, cerita Rasyidah lagi, setiap hari dia akan berlatih menerusi panggilan telefon bersama bapanya.

"Setiap hari saya akan berlatih bersama ayah yang berada di Kluang, Johor dan saya pula di Kuala Lumpur. Saya akan menelefon ayah dan berlatih selama 45 minit setiap hari.

RASYIDAH (tengah) diapit Irsa (kiri) dan Noor Atiqah pada final Bintang Klasik 2012.


"Dari situ, ayah akan memberi komen tentang apa yang perlu diperbaiki. Ini kerana ayah saya seorang pensyarah muzik di salah sebuah maktab perguruan di Johor," jelas anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Tambahnya, pertama kali menerima lagu yang dipopularkan Julie Sudiro yang berjudul Lambaian Kanda, dia seolah-olah seperti hilang semangat kerana memang lagu ini tidak pernah didengari apatah lagi mengetahui lirik dan alunan muziknya.

"Saya cuba mencarinya di internet, dan di medium lain namun tidak ditemui. Setelah puas berusaha untuk mencari, akhirnya saya terpaksa dapatkan cakera padat (CD) lagu dari pihak RTM sendiri.

"Sejujurnya, ini merupakan lagu yang paling mencabar sepanjang saya menyanyi sejak berumur lima tahun lagi. Namun, setelah selesai semuanya, saya sendiri tidak menyangka bahawa saya dapat menyampaikan lagu ini dengan elok," bicaranya.

Begitu juga perasaan naib johan Bintang Klasik 2012, Irsa Sahabuddin, 26, serta pemenang tempat ketiga, Noor Atiqah Ahmad, 21, yang tidak menyangka sama sekali mereka akan menang.

Sebagai pemenang tempat kedua, Irsa menerima wang tunai RM7,000, televisyen LCD 42 inci, sebuah piala iringan serta sijil.

Sementara pemenang tempat ketiga pula, membawa pulang wang tunai berupa RM5,000, sebuah iPad, piala iringan dan juga sijil.

Peserta yang tidak berjaya juga menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai berjumlah RM1,500 serta sijil dan piala iringan setiap seorang.