Harian Metro: Rap |
Posted: 21 Sep 2012 07:29 AM PDT LASAK dan seksi. Itulah dua perkataan terbaik bagi menggambarkan aktres Michelle Rodriguez, 34, kalau kita melihat dia di layar perak. Bagaimanapun selepas penulis sendiri bertentang mata dengan dengan pelakon itu, dua lagi perkataan harus ditambah kepada dirinya iaitu... peramah dan imaginatif. Michelle ditemui Harian Metro dalam rangka promosi filem terbarunya, Resident Evil: Retribution di Cancun, Mexico, tidak lama dulu. Pertemuan eksklusif itu diaturkan Sony Pictures Releasing International yang membawa wakil media dari seluruh dunia bersantai di pantai peranginan itu yang terdampar di perairan Caribbean. Dalam pertemuan pada hari itu, Rodriguez, 34, hanya muncul dalam gaya ringkas dan ranggi. Pun begitu kejelitaannya masih terpancar memandangkan dia datang dari keturunan Latin yang selalunya dizahirkan dengan raut wajah eksotik.
Seterusnya, Rodriguez membintangi beberapa lagi filem besar seperti Resident Evil, S.W.A.T, Machete dan Battle: Los Angeles. Bagaimanapun salah satu lakonannya yang paling diingati jutaan peminat adalah dalam karya sains-fiksyen terhebat, Avatar arahan James Cameron. Selain itu, dia turut dikenali dengan wataknya sebagai Ana Lucia Cortez dalam siri TV, Lost. Kini, Rodriguez kembali ke layar perak sebagai Rain Ocampo dalam Resident Evil: Retribution arahan Paul W S Anderson yang turut dilakonkan Milla Jovovich. Ikuti wawancara sekumpulan wartawan antarabangsa termasuk Harian Metro bersama Rodriguez dalam sesi previu di Mexico. WARTAWAN: Kenapa anda dilihat lebih banyak berlakon filem komersial. Tidak inginkan sebarang perubahan? RODRIGUEZ: Saya memang teringin mencuba sesuatu yang berbeza dalam lakonan sebagai contoh, membintangi filem bercorak indie atau artistik, namun buat masa ini saya lebih suka filem yang bercorak komersial. Dengan erti kata lain, saya lebih suka kalau lakonan saya - walaupun hanya lima saat - diingati dan ditatap oleh jutaan penonton. Saya lebih puas kalau lakonan saya membuatkan kanak-kanak contohnya, menjadi lebih kuat (semangat) selepas menonton lakonan saya itu. Betul, saya selalu berlakon filem komersial, tapi pada masa yang sama, saya juga mengikuti perkembangan Academy Awards dan sukakan filem yang bertema berat. Malah, kadang-kadang saya tersentuh dan menangis apabila melihat sesetengah karya yang hebat. Namun, buat apa lakonan saya hanya ditatap lima orang saja kalau saya berlakon filem bercorak indie. W: Apa yang anda lihat pada perkembangan filem aksi zaman ini? R: Sekarang saya gembira kerana penulis skrip dan produser pada zaman sekarang memberi lebih ruang kepada pelakon wanita untuk menonjolkan diri sebagai wira dalam filem dan bersemangat kental. Mungkin dulu kita lihat zaman Arnold Schwarzenegger, Sylvester Stallone atau Vin Diesel menyelamatkan wanita, tapi sekarang watak hero untuk wanita semakin banyak. Ia perkembangan yang bagus. Saya tak suka jadi wanita lemah, hidup hanya bergelumang kasut tumit tinggi dan bermati-matian hanya kerana seorang lelaki. Tolonglah, saya bukan jenis itu... (terus ketawa) W: Anda rasa anda sudah sampai ke tahap boleh memilih watak? R: Kalau ikutkan, sudah lama saya melalui fasa itu. Saya rasa saya boleh memilih atau menolak watak yang ditawarkan kepada saya, namun apa pun, hati saya lebih cenderung kepada filem lasak, menonjolkan teknologi dan bersifat futuristik kerana saya kuat berkhayal. Rasa-rasanya tidak ada orang lain yang ada imaginasi seperti saya. Mungkin satu hari nanti saya boleh menulis karya yang berdasarkan imaginasi saya sendiri untuk dikongsi dengan penonton.
|
Posted: 21 Sep 2012 07:08 AM PDT HAMPIR tidak kenal pada wajah ini. Berbanding kemunculannya sedekad yang lalu, penampilan baru wanita ini jauh lebih mengancam! Masih belum dapat meneka siapakah gerangan wanita ini? Wajahnya pernah menghiasi klip video Zapin Usik Mengusik, dendangan bersama kumpulan Senario sekitar 1998 dulu. Sekian lama lama menyepi, Noor Haida Mohd Idris atau memilih Haida sebagai nama pentasnya kembali untuk menggegarkan persada seni suara selepas hampir lapan tahun mengasingkan diri dari dunia glamor demi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga. Bertekad untuk kembali aktif, apatah lagi dirinya kini bukan lagi di bawah tanggungan suami apabila secara sah berpisah pada April 2011, Haida perlu mencari rezeki demi masa depannya.
"Memilih untuk kembali aktif menyanyi, bukan didorong kehendak diri saja malah ramai teman-teman dan mereka yang menyokong kerjaya seni saya sejak dulu bertanya bilakah saya mahu merakamkan album semula. "Bukan syok sendiri, akan tetapi terfikir juga apa salahnya mencuba. Mana tahu, kemunculan kali ini lebih membawa sinar kerana dulu saya berkahwin muda dan tidak sempat untuk melihat kerjaya muzik berkembang," katanya. Haida menamatkan zaman bujang dengan bekas penerbit rancangan televisyen, Aminudin Yahya pada 2004 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Al Hafiz Aminuddin, yang kini berusia tujuh tahun. Tidak menafikan, ada yang cuba memperlekehkan usahanya bergiat aktif semula namun, Haida enggan melihat cemuhan itu sebagai pematah semangat. Merencanakan sebuah single baru, Lima Tahun Saja, lagu ciptaan Panji, komposer dari seberang itu, diharap dapat menjadi sandaran untuk kembali dikenali. Tambahan pula, bukan sedikit pelaburan dilakukan dan ia menelan kos RM20,000. "Saya sering mengikuti perkembangan Panji dan sudah lama memasang angan untuk bekerjasama dengannya. Saya sukakan karyanya yang mesra pendengar dan kebanyakan lagunya mendapat sambutan hangat. "Untuk mendapatkan khidmatnya, saya melalui jalan sukar pada awalnya namun mujurlah dengan bantuan seorang kawan akhirnya saya dapat berhubung dengan Panji. "Bermula awal tahun lalu kami banyak berbincang menerusi BBM. Saya juga ada menghantar rakaman suara dan kemudian barulah dia menghasilkan lagu bersesuaian dengan vokal saya. "Sesudah lagu disiapkan, saya diminta terbang ke Bandung untuk menjalani rakaman di sana. Sejumlah wang yang besar saya laburkan untuk satu single ini iaitu RM20,000, tetapi mendengarkan semula hasilnya saya berpuas hati," katanya menandatangani kontrak di bawah pengurusan Indigital Sdn Bhd selama tahun. Ditemui di majlis rumah terbuka Indigital Sdn Bhd dan Cube Film di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar, baru-baru ini, hati wanitanya turut diselami apabila dilaporkan gagal mendapatkan hak penjagaan anak sebaliknya hak itu diserahkan kepada bekas suami. Berasa sedih dengan ketetapan itu pada mulanya, namun dia akur kerana penting baginya mendahulukan perasaan anak berbanding dirinya sendiri. "Saya yang mengandungkannya sembilan bulan sepuluh hari dan saya yang melalui kesakitan melahirkannya, sudah tentulah saya berasa terkesan apabila terpaksa berjauhan dengan anak. "Tetapi perasaan saya tidak lagi penting, mengenangkan Hafiz rapat dengan ayahnya, saya berkorban. Lagipun, bekas suami tidak pernah menghalang saya bertemu Hafiz pada bila-bila yang saya suka. "Yang penting, adalah kebahagiaan Hafiz dan saya yakin dia dalam keadaan yang baik di bawah penjagaan ayahnya. Sekiranya dia bahagia, saya pun turut berasa bahagia. "Sebagai ibu saya tidak pernah lepas tangan dan memastikan segala keperluan Hafiz dilaksanakan dengan baik," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/21 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |