Berita Harian: Hip |
Posted: 29 Sep 2012 04:29 PM PDT Keserasian antara mereka bakal teruji sekali lagi dalam filem Aku Terima Nikahnya yang mula menemui penonton di seluruh negara pada 11 Oktober ini. Selepas meninggalkan impak bergandingan sebagai pasangan cinta menerusi drama Tentang Dhia yang pernah menghiasi slot Akasia TV3 suatu ketika dulu, emosi Adi Putra, 31, dan Nora Danish, 30, bakal direntap sekali lagi pula di pawagam. Malah, dek gandingan dan kombinasi yang terserlah ini juga pernah mencetuskan polemik sebagai punca pergolakan rumah tangga Adi bersama isterinya, Aida Yusof, Mei lalu.Kedua-duanya dikatakan terjerat dengan cinta lokasi atau cinlok, namun ditepis kerana keserasian yang terjalin hanya berlandaskan paksi profesional di set penggambaran. Bersama B*POP, pasangan 'sama padan, sama cantik' ini memberikan mood istimewa dan intim ala pengantin baru dalam menepati tema emosi serta watak yang dipegang mereka sebagai Johan dan Arlisa dalam filem arahan Eyra Rahman menerusi produksi Metrowealth Pictures (MIG) milik David Teo ini. Menghitung hari Menghitung hari hingga tarikh tayangan filem berkenaan menjelma, keduaduanya tidak mampu menyembunyikan getaran adrenalin yang mula mengalir laju. Kedua-duanya berkongsi debaran sama serta terjemahan diri dalam dunia seni selepas sedekad memilih jalan sebagai anak seni. "Tetapi masih terlalu awal untuk membuat konklusi. Tapi itu juga tidak bererti kami cukup bagus. Mungkin di pandangan sesetengah pihak yang akan menonton filem ini nanti, kami masih belum cukup baik. Apa-apapun saya mengharapkan sokongan peminat filem tempatan untuk menontonnya dengan hati yang terbuka," katanya yang bersedia menerima kritikan terhadap prestasi di dalam filem ini. Cipta keserasian Menurut Adi, sebagai pelakon dia cuba yang terbaik dalam menzahirkan sesebuah watak yang diberikan termasuk mencipta keserasian dengan gandingan pelakon wanita yang ditugaskan. Mengenai gandingannya dengan Nora, Adi tidak menidakkan betapa kuat impak drama Tentang Dhia hingga membuka mata khalayak. "Rentetan keserasian dalam drama itu, ia memberi bonus untuk saya dan Nora memanjangkannya ke versi filem pula. Saya juga tidak takut digandingkan dengan pelakon jelita kerana ada yang melihat ia mudah sebagai ruang untuk berlakunya cinlok. Ironinya, saya tahu posisi saya sebagai hak kepada seorang isteri. "Tak dinafikan paras rupa itu antara satu bonus dalam penghasilan sesebuah karya. Tetapi pada akhirnya, peminat kini juga sudah mula bijak dalam menilai bakat daripada rupa semata-mata. Kualiti lakonan itu mengatasi segala-galanya. Saya percaya lakonan yang 'cantik' secara tak langsung mencantikkan diri pelakon itu," katanya yang sedang melunaskan baki penggambaran drama Cinta Qaseh untuk slot Lestary TV3 arahan Feroz Kadir. Bahagia dengan isteri Selepas pernah tercalar dengan gosip mengaitkan Nora sebagai punca yang hampir memusnahkan sisi peribadinya, Adi dan Nora tidak berdepan dengan situasi janggal saat bersua. Malah lebih penting, isteri Adi tidak pernah menyalahkan Nora sebagai punca kehambaran hubungan mereka ketika itu. "Jadi nama Nora bersih. Apa yang terjadi hanyalah asam garam dalam dunia hiburan. Saya hormati isteri yang bersikap neutral dalam hal ini. Kehidupan rumah tangga kami kini diteruskan seperti biasa. Kami bahagia dan tidak janggal langsung. Saya dan isteri juga mempraktikkan komunikasi dua hala," katanya sempat ke Maghribi pada 8 hingga 14 September lalu untuk menjalani penggambaran telefilem Jauh arahan Bade Azmi terbitan Global Station Sdn Bhd bersama Fouziah Gous dan Anzalna. Puji prestasi Nora Mengenai Nora, Adi melihat ibu tunggal anak satu itu cukup terbuka dan bersedia menerima pandangannya sebagai pelakon. Adi juga memuji prestasi Nora yang kian membanggakan selepas mencabar diri diberikan watak berat berbanding watak gadis manja dan komedi yang diterimanya sejak awal pembabitan seni. "Dia berjaya memecah stereotaip yang sering diterimanya menerusi watak lebih mencabar. Kami juga saling tegur menegur demi memberikan yang terbaik dalam lakonan. Dia juga selesa memanggil saya Abang Adi sebagai tanda hormat biarpun jarak usia kami hanya beza setahun. "Dari sudut pandangan mata lelaki, dia seorang pelakon comel dengan identiti tersendiri. Dia ada pakej sebagai bintang. Cuma ketinggian kami tidak setara. Jadi dia perlu memakai kasut tinggi untuk memastikan tahap ketinggian kami jadi setara. Nama pun manusia, kita tak pernah sempurna," kata yang merancang untuk membuka syarikat sendiri dengan nama Nur ADP pada 2013. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |