Kosmo Online - Hiburan |
- Karyawan muzik terapi jiwa
- Ally cuti raya untuk isteri
- Setiap kali hari raya, Pak Ajis terkenang Jalan Ampas
Posted: Karyawan muzik terapi jiwaGANDINGAN tiga nama lama dan baharu mungkin sudah klise, tapi kali ini kompas seni dilencongkan sedikit menyentuh muzik ketuhanan dan nasyid yang semakin dipandang sepi. Tampil bersama naskhah terapi jiwa berlandaskan muzik yang disusun sempurna, Mawi, Hafiz Hamidun dan Najdi kini mempunyai buah tangan baharu untuk dikongsikan bersama mengambil keberkatan bulan mulia, Ramadan. Berbicara tentang kerjaya, kontroversi, kejutan arus perubahan dan secubit persiapan menjelang lebaran yang bakal menjelma kurang daripada seminggu lagi, ketiga-tiga Mawi, Hafiz dan Najdi kini nyata boleh dikatakan bernaung di bawah satu label - karyawan muzik terapi jiwa. Hafiz bawa semula Sami Yusuf Antara ketiga-tiga Mawi, Hafiz dan Nadji, istilah kontroversi ketika ini nampaknya lebih mendekati Hafiz. Kontroversi yang melanda penyanyi nasyid merangkap pengarah urusan syarikat pengedaran album Salaam penyanyi antarabangsa, Sami Yusuf iaitu Arteffects Sdn. Bhd., Hafiz Hamidun, tidak mematahkan semangatnya untuk membawa kembali Sami ke Malaysia pada bulan September. "Saya akan membawa Sami Yusuf ke Malaysia untuk melancarkan albumnya Salaam selepas sambutan Aidilfitri. Kali ini kami akan mengadakan showcase sempena pelancaran itu," tegasnya. Sebelum ini, industri seni dihangatkan dengan kontroversi pembatalan pada saat-saat akhir Konsert Salaam Sami Yusuf di Kuala Lumpur yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 14 Julai tahun ini. Ketika itu, banyak pihak menuding jari menyalahkan pengurusan syarikat milik Hafiz selain dikatakan cuba mensabotaj konsert tersebut. "Itu semua fitnah! Situasi yang berlaku akibat salah faham antara pihak saya, penganjur dan pengurusan Sami Yusuf. Mana mungkin saya selaku syarikat pengedar album penyanyi itu cuba mensabotaj artis sendiri. "Saya sedih dan terkilan dengan kata-kata yang dihamburkan daripada sesetengah pihak terhadap saya susulan kejadian itu. Selama ini saya berdiam diri kerana enggan memperbesar-besarkan isu tapi keadaan sudah dijernihkan. "Insya-Allah, sebuah sidang akhbar khas berkenaan konflik dan kontroversi yang berlaku sebelum ini akan diadakan ketika majlis pelancaran album Sami Yusuf tidak lama lagi," jelasnya bersungguh-sungguh.
Dalam perkembangan lain Hafiz turut terlibat menjadi pengarah muzik untuk beberapa buah filem termasuk Juvana The Movie dan Azazil yang kini ditukar judulnya kepada Sembunyi.. Sementara itu, dia juga memberitahu albumnya yang berjudul Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun, yang sudah berada lapan bulan di pasaran kini sudah terjual mencecah 50,000 unit. Mawi masih relevan Sekitar tahun 2005, Mawi memiliki pesona dan aura kuat yang meyakinkan peminatnya dia bersifat penghibur universal. Namun, kian meniti hari kelibatnya semakin luntur. Melihat fenomena itu, kata Mawi dia masih relevan sehingga hari ini cuma fokusnya dilebihkan untuk bidang belakang tabir dan produksi. "Saya baru habis penyuntingan telefilem Siapa Dapat Lisa yang bakal ditayangkan pada hari raya kedua nanti. Itu telefilem kedua arahan saya selepas Pak Nil Ibu Kirim Salam yang sedikit berat naskhahnya walaupun bersifat komedi. "Saya masih mendapat undangan menjayakan acara nyanyian termasuk bulan Ramadan. Masih ada permintaan dan bukan menghilang begitu saja," tegasnya yang ditemui pada majlis berbuka puasa Arteffects Sdn. Bhd. dan pelancaran album Mawi, Najdi dan Fitri Haris di Hotel Royale Bintang The Curve, Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini. Siapa Dapat Lisa kata Mawi menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Yasmin Hani, Abon dan kumpulan Sepahtu dan bakal ditayangkan pada hari raya kedua pukul 12 tengah hari di saluran Astro Prima. Telefilem itu juga diambil daripada judul single album Sepahtu yang melodinya dicipta Datuk M. Nasir manakala lirik lagu serta skrip telefilem itu ditulis oleh Budi Hikayat. Menurut Mawi ketika ditemui, album terbaharunya yang berjudul Mawi, Asmaulhusna, sudah empat hari berada di pasaran dan jualan pada hari pertama saja difahamkan mencecah 5,000 unit. SUASANA pada pelancaran album Mawi, Najdi dan Fitri Haris di Hotel Royale Bintang The Curve, Damansara baru-baru ini. "Idea untuk merakamkan album itu datang empat tahun lalu dan proses rakaman bermula sekitar dua bulan lalu. Syukur Alhamdulillah album itu mendapat sambutan hangat," getusnya lega. Album yang diterbitkan dengan kerjasama Arteffects Sdn. Bhd. dan MW Entertainment Sdn. Bhd. itu mengandungi 10 buah lagu dengan setiap lagu mengandungi 11 nama Allah. Sepanjang Ramadan, anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor itu sentiasa tidak menang tangan memenuhi undangan nyanyian dekat atau jauh. "Lagu yang saya nyanyikan berdasarkan permintaan penganjur. Baik pop, nasyid mahupun lagu terapi ketuhanan saya tiada masalah untuk menyanyikannya," katanya. Malah, hampir sebulan berpuasa bersama cahaya mata sulung Mawi akui Mawi, dia tidak cukup tidur. "Tidur sekarang sedar tak sedar sejak ada anak (Cahaya Malaika), kena ikut jadual tidur dia tapi seronok sebenarnya," ungkapnya. Mawi akan pulang berhari raya di Johor dua hari sebelum 1 Syawal dan segala persiapan hari raya diserahkan sepenuhnya kepada isterinya, Ekin. Najdi mahu bernasyid Mendegar dan menghayati alunan suara bekas peserta Imam Muda musim kedua, Wan Najdi Wan Mohd. Noh, 21, dalam album pertamanya Zikir Terapi Selawat, hakikatnya ia benar-benar menusuk kalbu. Berbaloi sebenarnya untuk memiliki album yang diedarkan oleh Warner Music sejak Jun lalu itu. Bagi Najdi perubahan iklim hidupnya sangat mengejutkan tapi pada masa sama tetap mengujakan. "Sudah lebih dua bulan di pasaran dan sambutan yang saya terima cukup baik. Kadangkala saya sendiri terkejut apabila disapa orang ramai ketika berada di luar. "Hal ini membuktikan saya kini perlu lebih menjaga tatasusila dan percakapan memandangkan skop kehidupan saya sudah berubah," ceritanya yang sudah bersedia dilanda populariti. Penuntut bidang Sarjana Muda Al-Quran & Sunah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu sebenarnya amat meminati bidang nyanyian terutama lagu-lagu nasyid. Tidak hairanlah bakat yang tertumpah itu sedikit sebanyak diwarisi abangnya yang merupakan anggota kumpulan nasyid Saujana, Wan Najran Wan Mohd. Noh. "Menjadi seorang penghibur dan pendakwah perlu istiqamah dan berterusan. Saya masih pelajar dan saya ada komitmen terhadap pelajaran, keluarga dan kini karier saya," tegasnya berhubung prinsip. | |
Posted: Ally cuti raya untuk isteriOleh NOOR ASHREEN ISMAIL
SEBAGAI seorang pengacara dan penerbit, Ally Iskandar merupakan seorang lelaki yang sangat komited terhadap kariernya. Namun, tahun ini merupakan tahun istimewa buat lelaki yang berusia 36 tahun ini. Ini kerana setelah mendirikan rumah tangga bersama pelajar kejuruteraan mekanikal di sebuah universiti di Korea Selatan, Nurfarahin Romli, 22, atau lebih dikenali sebagai Farah Lee, Ally mengakui keutamaannya kini lebih kepada isteri, terutama dari segi menghabiskan masa berkualiti bersama-sama. Tanggal 20 Januari tahun ini, Ally dan Farah telah mendirikan rumah tangga dan ini bermakna Ramadan serta Aidilfitri tahun ini merupakan yang pertama buat pasangan yang sudah bergelar suami isteri selama lapan bulan ini. Ally yang ditemui pada acara rakaman program Mentor 6 Raya, di Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini memberitahu, pada tahun ini dia akan mengambil cuti panjang selama seminggu setelah 10 tahun tidak berpeluang cuti raya. Kali ini, kata Ally, dia berhasrat ingin meluangkan masa serta menyambut Aidilfitri bersama isteri tercinta. Kosmo!: Difahamkan, ini merupakan cuti raya yang pertama setelah 10 tahun tidak cuti raya. Memang sengaja tidak mahu minta cuti atau Ally sengaja ingin bekerja? ALLY: Insya-Allah, kalau ikut jadual yang telah disusun, hari raya ini, saya tidak akan bekerja. Ya, memang benar ini merupakan cuti pertama setelah 10 tahun. Bukan tidak mahu tetapi mungkin kerana kepentingan bersiaran di hari cuti raya itu sendiri. Mahu atau tidak, seseorang perlu bekerja. Jadi, saya tidak kisah tentang perkara itu. Bersiaran dalam program Malaysia Hari Ini juga seperti beraya, namun secara alam maya. Bezanya cuma, saya tidak dapat beraya bersama keluarga. Saya sebenarnya telah beritahu sebelum kahwin lagi, jika saya telah berkahwin kelak, saya pasti akan ambil cuti pada raya pertama. Jadi, cuti raya saya telah diluluskan selama seminggu. Alhamdulillah. Beraya di mana tahun ini dan boleh ceritakan sedikit tentang perancangan anda? Kami bakal beraya di Terengganu. Isteri saya cuti bermula akhir Jun hingga awal September ini. Jadi, kami dapat berpuasa dan beraya bersama. Perancangan beraya pula, pada hari raya pertama di rumah keluarga saya dan hari kedua pula di rumah Farah. Ini kerana rumah keluarga kami (di Kampung Atas Tol, Terengganu) terletak tidak jauh antara satu sama lain, jarak kalau dalam tempoh ambil masa 20 minit sahaja, jadi ia tidak menjadi masalah. Kami akan bercuti selama seminggu kerana kakak Farah juga bakal melangsungkan perkahwinan pada hari raya keempat. Jadi kami panjangkan tempoh beraya di kampung. Boleh cerita mengenai pengalaman berpuasa sebagai suami isteri? Sangat seronok. Biasanya sebelum ini, hidup bujang, lokasi tempat berbuka kita tidak kisah sangat, apa yang ada, kita makan. Tapi setelah berkahwin, setiap hari saya akan menunggu masa untuk pulang berbuka di rumah. Dapat berbuka bersama tidak kiralah di luar atau di rumah. Juga kami dapat pergi sembahyang tarawih bersama-sama. Mungkin anda boleh berkongsi tentang menu kegemaran yang dimasak oleh Farah? Saya sebenarnya akan makan apa yang dimasak Farah sendiri. Saya tidak kisah kerana seronok makan masakan yang dimasak isteri dan mood itu berlainan. Farah suka bereksperimentasi. Dia akan buka internet dan belajar memasak. Selain dari keutamaan untuk diri sendiri telah berubah, bagaimana Farah mengubah anda sepanjang tempoh bergelar suami? Bila ada isteri, tanggungjawab itu memang kita akan nampak jelas. Ketika bujang, kita boleh ikut mood sendiri. Bila malas, kita boleh malas dan begitu juga sebaliknya. Tapi kali ini, celik mata sahaja, kita perlu rajinkan diri kerana kita harus tahu yang kita punya tanggungjawab sebagai seorang suami untuk dilakukan. Jika ada ruang masa, antara waktu kerja, saya akan pulang ke rumah kerana Farah juga kini sedang bercuti. Lepas ini dia akan pulang ke Korea semula, jadi saya akan berusaha untuk menghabiskan masa bersamanya. Jika dahulu saya gemar berada di pejabat, namun kini, saya akan bawa balik kerja ke rumah. | |
Setiap kali hari raya, Pak Ajis terkenang Jalan Ampas Posted: Setiap kali hari raya, Pak Ajis terkenang Jalan AmpasOleh SITI KAMILAH MUSTAPHA PENGHORMATAN. Pak Ajis menerima cenderahati daripada pemilik Saloma Bistro, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir. SETIAP kali membuat persiapan Aidilfitri, pelakon dan pelawak veteran, Datuk Abdul Azez Aziz Satta atau dikenali sebagai Aziz Satar pastinya terkenangkan kisah 35 tahun dahulu ketika dia tinggal di Jalan Ampas, Singapura. Mana tidaknya pada 15 September 1967, ketika semua bintang-bintang terkenal filem Melayu termasuk dirinya sendiri yang bernaung di bawah studio perfileman yang dikenali sebagai Studio Malay Filem Production (MFP) di Jalan Ampas, Singapura atau nama pendeknya, Studio Jalan Ampas terpaksa berdepan kenyataan bahawa studio tersebut terpaksa dirobohkan. Mereka yang digelar bintang Hollywood Filem Melayu itu sebenarnya juga menetap di Studio Jalan Ampas tersebut. Menurut rekod, Studio Jalan Ampas milik Shaw Brothers telah beroperasi selama 19 tahun sebelum ditutup pada 1967. Mengikut sejarah, ia dibangunkan dua beradik, Runme dan Run Run Shaw di kawasan seluas 40,000 meter persegi. Studio itulah yang melahirkan bintang ternama seperti seniman agung, Tan Sri P. Ramlee dan rakan seangkatannya termasuk Aziz Satar sendiri, S. Shamsuddin, AR. Tompel, Datuk Sarimah, Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Ahmad Mahmud, Datuk Jamil Sulong serta ramai lagi. Ketika era itu, Jalan Ampas turut digelarkan sebagai 'Hollywood Filem Melayu' ketika zaman kegemilangan filem Melayu pada era 1950-an dan awal 1960-an. Difahamkan alasan studio itu ditutup kerana tidak ada lagi sambutan terhadap filem Melayu di Singapura, selain kekurangan bakat baharu. Apa yang membuatkan figura yang lebih mesra dipanggil Pak Ajis ini menanggung emosi kesedihan yang amat sangat adalah kerana penutupan Studio Jalan Ampas bermula sehari sebelum sambutan Aidilfitri pada tahun tersebut. "Pada tarikh itu, yang mana esoknya semua umat Islam akan menyambut hari raya tetapi saya dan rakan-rakan pelakon Studio Jalan Ampas terpaksa berdepan dengan kenyataan bahawa tempat tinggal kami itu terpaksa dirobohkan," ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini. Menurut Pak Ajis, suasana ketika itu terlalu sepi dan sedih apabila tempat tinggal semua pelakon di situ sudah tiada dan tiada tempat untuk mereka menyambut hari raya. "Semua biskut raya dan baju raya bertaburan. Semua orang menangis walaupun esok hari raya. Justeru, setiap kali menyambut hari raya walaupun kejadian itu sudah berlalu 35 tahun, ia tetap dalam ingatan saya," luahnya berbaur kesedihan yang mendalam. Pak Ajis yang kini terpaksa berehat daripada berlakon selama dua bulan atas nasihat doktor selepas sebelum ini dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor selama 12 hari berharap akan kembali memeriahkan arena seni selepas tempoh berehatnya itu berakhir. Tambahnya, kenangan di Studio Jalan Ampas tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila termasuk kejadian studio itu ditutup buat selama-lamanya. "Bayangkan ketika itu suasana seolah-olah satu kampung dilanda banjir, habis jadi gelandangan, sedih betul kalau saya ingat balik," ujarnya. Dalam pada itu, menyentuh mengenai persiapan hari raya pada tahun ini pula, ungkap Pak Ajis, ia akan disambut secara sederhana sahaja dan makanan wajib yang mesti ada di pagi raya adalah lontong. "Saya suka lontong sebab dalam satu hidangan itu sudah ada macam-macam lauk termasuk rendang, itu adalah makanan wajib saya sekeluarga," ujarnya yang akan menyambut hari raya di rumahnya di Ampang, Selangor. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |