Adsense

Selasa, 28 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tidak lokek kongsi rezeki

Posted: 27 Aug 2012 07:59 AM PDT

PENING dan garu kepala saja reaksi yang diberi tatkala persoalan mengenai sambutan Aidilfitri pertama bagi tiga anak muda ini.

Bagi semua finalis program Mentor musim keenam yang baru pertama kali meraikannya dengan status selebriti, persediaan mereka juga lebih berganda berbanding tahun sebelumnya.

Masing-masing tidak henti berkongsi barang apa yang dibeli, cenderahati yang sesuai diberikan kepada keluarga dan tetamu, tarikh mengadakan rumah terbuka dan bermacam-macam lagi.

Kata juaranya juga protege kepada ratu rock negara, Ella, Puteri Caroline Mohd Kamel dan dipersetujui dua lagi temannya, protege kepada Fauziah Ahmad Daud iaitu Noor Nazatul Farahin (Zatul) dan lelaki tunggal di bawah naungan Faizal Tahir, Anas Ridzuan, dia memang sudah memasang niat untuk membelikan ibu bapa dan adik-beradik yang lain sepasang baju raya.


"Alhamdulillah, tahun ini saya sudah mempunyai wang sendiri dan bertanggungjawab membantu keluarga dalam menyediakan juadah dan kuih-muih pada hari raya. Itu sudah pasti menjadi tugas saya tahun ini dan saya sendiri tidak sabar untuk melakukannya.


"Mujur saya ada Kak Ella, Kak Jojie dan pembantu untuk menemani saya membeli-belah. Maklumlah, pertama kali menyambutnya sebagai penyanyi, saya memang kekok dan janggal. Namun, seronoknya saya melalui pengalaman sepanjang berpuasa bersama mentor sendiri. Kami bangun sahur bersama, berbuka puasa dan pergi ke bazar bersama-sama.

"Setiap tahun, itu adalah rutin kami sekeluarga menyambut Syawal. Walaupun tidak mewah, kami amalkan cara bersederhana namun penuh kemeriahan dan kali ini, saya menghargai keluarga dengan membantu selagi yang mampu," katanya yang kini tinggal bersama Ella di kediaman penyanyi terkenal itu.

Tambah Caroline yang kini berusia 20 tahun ini lagi, jika diberi kelapangan dan rezeki, keluarganya akan mengadakan rumah terbuka khas untuk peminat pada hari raya nanti cuma belum tetap tarikhnya saja.

"Saya diangkat menjadi juara untuk sebuah program realiti. Pastinya kemenangan itu adalah sokongan peminat dan mereka yang mengundi. Untuk saya bertemu setiap seorang mereka dan mengucapkan terima kasih pasti sukar, jadi saya hanya ingin mendekati mereka dengan menjemput semuanya datang ke rumah pada hari raya ini.

"Sambutan Aidilfitri keluarga saya sebenarnya sangat meriah apabila kami berkumpul di rumah nenek untuk masak bersama. Saudara dan sepupu saya semuanya ada untuk menyambut raya bersama. Memang meriah dan seronok setiap kali datangnya raya. Makanan wajib saya pada hari raya sudah tentu rendang daging dan ketupat.

"Tahun ini saya beraya di kampung halaman di Tanah Merah, Kelantan dua hari sebelum raya dan berada di sana selama seminggu memandangkan banyak lagi kerja harus dilakukan. Selepas raya, saya sibuk dengan promosi lagu baru, Melawan Arus Cintamu dan kemudian kembali ke studio untuk merakamkan lagu bersama Kak Ella.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kerjaya nyanyian semakin baik dan banyak undangan persembahan yang diterima. Saya sungguh bertuah kerana Kak Ella sentiasa ada untuk membantu dan mengajar saya," kata anak kelima daripada tujuh beradik ini lagi.

Mendengar kisah Caroline yang bersemangat bercerita mengenai sambutan Aidilfitri di kampungnya yang meriah, Anas yang juga graduan jurusan Filem, Teater dan Animasi dari Universiti Teknologi Mara yang kini berusia 23 tahun lekas menyampuk mengenai kesedihannya.

Katanya yang turut terbabit dalam program raya, Sampaikan Salam di TV3 pada malam raya lalu, dia juga pulang lewat ke Ipoh sebaik habis program secara langsung berkenaan.

"Itulah pengorbanan saya yang pertama sebaik keluar daripada Mentor. Komitmen dan tanggungjawab sebagai seorang artis, saya terpaksa pulang lewat untuk bersama keluarga kerana terbabit dalam Sampaikan Salam. Namun itu bukanlah masalah kepada saya kerana sudah biasa berjauhan daripada keluarga dan seronok dapat merasai pengalaman pulang ke kampung pada pagi raya.

"Kebetulan saya anak sulung daripada empat beradik, jadi sudah tentu tahun ini saya perlu menyediakan kelengkapan raya untuk adik seperti pakaian dan kelengkapan lain. Saya juga sudah berniat membelikan mak dan ayah sepersalinan baju raya. Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu membazir dan membeli apa yang perlu saja.

"Duit raya pula sudah pasti saya sediakan. Maklumlah kali pertama menjadi penyanyi, memang ramai anak saudara, sepupu dan tetamu yang datang. Memang setiap tahun, ramai kanak-kanak yang datang beraya di rumah dan saya pula memang tugasnya melayan mereka. Jadi kali ini, saya memang berniat menyediakan mereka duit raya hasil titik peluh sendiri.

"Pada raya ketiga, saya mengadakan rumah terbuka untuk sanak saudara, teman-teman dan peminat di Ipoh," katanya yang menggemari biskut nestum conflakes buatan ibunya.

Bakal muncul dengan lagu Hanya Dirimu ciptaan Audi Mok dan liriknya tulisan mentornya sendiri, Faizal Tahir, anak muda ini kembali daripada bercuti raya selama seminggu untuk memberi tumpuan kepada kerjanya.

"Saya muncul dalam drama raya berjudul 2 Dalam 1 bersama Anzalna dan Akim Aidilfitri ini dan insya-Allah selepas itu, saya sibuk dengan membintangi pementasan teater kecil berjudul Kawan-Kawan Yang Kita Suka di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka. Itu sudah minat sejak dulu lagi, namun keutamaan memang pada nyanyian.

"Peminat yang tidak sabar mendengar lagu baru daripada saya, jangan lupa untuk mendengar Hanya Dirimu," katanya lagi.

Bersandar pada raut manis dengan persalinan kebaya moden petang itu, Zatul yang ditemani ibunya berkongsi kisah lebih menarik. Meskipun masih muda, rupa-rupanya anak kedua daripada tiga beradik ini seorang yang pandai memasak. Lantas bercerita soal persiapan dan juadah pada pagi raya, itu sudah menjadi rutinnya setiap tahun.

"Saya memang minat masak dan alhamdulillah keluarga memang suka dengan masakan saya. Ibu yang banyak mengajar dan kebetulan saya memang minat masak. Hari raya juga sudah menjadi tugas saya untuk menyediakan juadah dan masakan untuk tetamu terutamanya makanan kegemaran saya iaitu soto, lontong dan rendang daging.

"Saya juga mengadakan rumah terbuka selepas selesai berpuasa enam nanti. Jemputlah kepada semua peminat dan mereka yang pernah menyokong saya ketika di Mentor untuk turut sama beraya bersama saya dan keluarga," katanya.

Zatul yang tampil hebat pada malam akhir Mentor lalu menerusi lagu Tinggalkan Yang Lalu akan kembali sibuk merencana untuk lagu keduanya.

"Alhamdulillah Kak Ogy banyak membantu dan membimbing. Saya akan kembali ke studio untuk lagu kedua nanti dan ketika ini, saya dan Kak Ogy masih tercari-cari material terbaik yang sesuai untuk saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012


Cinta pertama Afdlin

Posted: 27 Aug 2012 07:47 AM PDT

UNTUK Tiga Hari adalah filem genre cinta pertama diarahkan Afdlin Shauki. Dikenali menerusi hasil karya berunsurkan komedi, nyata tanggungjawab menghasilkan filem itu memberi cabaran sangat besar buat pengarah, pelakon dan produser berkenaan.

"Filem ini adalah sebuah karya adaptasi novel, justeru saya perlu memanfaatkan durasi hampir 120 minit untuk memberi gambaran yang jelas mengenai perjalanan cerita seperti terdapat dalam novel.

"Memang mustahil untuk merakamkan semua saat berharga, jadi saya bekerja sangat dekat dengan penulis novel merangkap penulis skrip iaitu Ahadiat Akashah untuk memastikan setiap babak yang mengisi filem itu adalah yang terbaik kerana dia lebih tahu apakah momen penting patut diketengahkan.

"Sebagai pengarah, saya amat teliti dalam pemilihan pelakon kerana mereka haruslah memenuhi kriteria untuk menerajui watak yang terdapat dalam novel berkenaan.


"Rashidi Ishak, Vanidah Imran, Ayu Raudhah, Zizan Nin, Dira Abu Zahar, Zizan Raja Lawak dan Fauziah Ahmad Daud adalah pelakon yang paling sesuai untuk menerajui karakter novel ini.


"Keindahan novel ini turut merangsang saya untuk melakonkan salah satu watak iaitu Armi menerusi filem bertemakan cinta kompleks dan jodoh daripada Tuhan ini," katanya.

Filem yang bakal menjengah pawagam pada 20 September ini disuntik dengan kekuatan emosi dan memperlihatkan sekali lagi bagaimana Afdlin masih menitikberatkan unsur tradisi Melayu melalui adegan perkahwinan dan adat resam dalam Untuk Tiga Hari.

Ini secara tidak langsung mampu memperkembangkan budaya dan adat resam orang Melayu kepada penonton bukan berbangsa Melayu.

Untuk Tiga Hari adalah lanjutan daripada kejayaan filem Lagenda Budak Setan dan Ombak Rindu yang merangsang Tarantella Pictures (M) Sdn Bhd untuk menerbitkan lebih banyak filem adaptasi novel popular.

Untuk Tiga Hari, karya nukilan novelis terkenal, Ahadiat Akashah memaparkan kisah cinta dan perkahwinan diatur keluarga serta kesengsaraan dalam percintaan apabila darjat dan kedudukan lebih diutamakan.

Bertitik tolak daripada novel ini, pihak penerbit bertemu muka dengan Ahadiat untuk berbincang akan kemungkinan memindahkan naskhah novel ini ke medium filem.

Apabila persetujuan ini dicapai, pihak Tarantella juga menawarkan Ahadiat untuk menjadi penulis skrip filem ini di samping Armantono, pembikin filem terkenal Indonesia.

Bukan mudah untuk menghasilkan filem berdasarkan novel, apatah lagi ia biasa dibaca dan diminati ramai pembaca novel tegar. Namun begitu, harus difahamkan bahawa beberapa pengubahsuaian perlu dilakukan bagi menjayakan proses adaptasi ke filem ini.

Selain jalan cerita dan pendekatan emosi di sebalik humor yang dipertontonkan, kekuatan sinematografi oleh Helmi Yusof harus dipuji.

Beliau yang pernah bekerja dengan Afdlin Shauki sebagai pengarah fotografi menerusi filem Papadom dan juga Sumo-lah ternyata mampu memberikan hasil yang terbaik menerusi filem ini. Dia juga pernah memenangi Anugerah Sinematografi Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22.

Proses praproduksi berjalan dan lokasi yang sesuai mula dicari Ketua Produksi, Ahmad Zaidi. Filem ini banyak membabitkan lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Filem ini menampilkan era moden, namun masih mengekalkan tradisi dan nilai kemelayuan. Walaupun ada adegan perkahwinan di hotel, namun pakaian masih mengekalkan konsep Melayu tradisional.

Hazama dan Fina AF9 dipilih untuk menyanyikan lagu tema Untuk Tiga Hari yang bertajuk 'Dilema Hati'. Hasil paduan dua suara hebat ini berjaya menghasilkan runut bunyi hasil ciptaan Azman Abu Hassan yang baik dan sedap didengar.

Terdapat juga lagu hasil nyanyian Joe Flizzow, DJ Fuzz dan Aizat yang rancak untuk menghasilkan mood ketika adegan di kelab yang sering dikunjungi Armi ketika muda.

Ternyata filem garapan Afdlin ini walaupun yang pertama, namun dijangka mampu mencengkam jiwa penonton mengenai kisah cinta dan jodoh dua pasangan di dalam filem Untuk Tiga Hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012