Adsense

Sabtu, 25 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Dugaan, kekuatan & lupakan yang lalu

Posted: 24 Aug 2012 07:30 AM PDT

SEBALIK lirikan matanya yang sesekali bagai menyembunyikan sesuatu, gadis jelita ini tidak henti memikirkan segala kerja dan komitmennya. Meskipun luarannya tampak penat dengan kelibatnya terkejar-kejar membelek skrip pengacara, menjawab telefon akan tarikh penggambarannya dan kini terpaksa memikirkan soal pelbagai produk yang mengangkatnya sebagai duta, Neelofa hanya mengukir senyum.

Celahnya tatkala sibuk menyarungkan busana indah rekaan Jovian Mandagie yang baru dibelinya petang sebelum sesi fotografi itu, letih itu adalah penyuntik semangat buatnya untuk terus bekerja selagi mampu kerana kian entah bila lagi peluang sebegitu diberikan lagi kepadanya.

Hakikatnya, gadis berkulit gebu putih berusia 23 tahun ini memang kuat bekerja.

"Alhamdulillah dan saya sangat bersyukur apabila ramai pihak meletak kepercayaan kepada kerja saya.


Itu satu penghargaan terutamanya buat pendatang baru seperti saya," katanya membuka bicara.


Fotografi petang itu dilakukan untuk mengintai persiapan Aidilfitri si cantik manis ini selain berkongsi perkembangan terbarunya.

Bukan mudah mengaturkan sesi fotografi bersama bekas juara pertandingan Dewi Remaja 2010 ini kerana jadual hariannya yang padat bagai tiada ruang berehat.

Kebetulan si empunya diri sudah terpacul di depan mata, persoalan mengenai segala kontroversinya, episod saman-menyaman dengan seorang lagi aktres tidak sekali dilepaskan.

"Tidak pernah saya menyesal, kecewa atau terkilan dengan apa yang sudah disuratkan kepada saya. Kes saman, dakwaan dan pelbagai fitnah serta maaf terbuka semua itu adalah pengalaman yang lebih mematangkan saya. Saya bersyukur diberikan semuanya di usia semuda ini kerana segala kesilapan dan rasa khilaf itu tidak akan diulangi lagi.

"Sebagaimana yang pernah saya katakan, semuanya sudah dianggap sejarah dan jujurnya saya sudah simpan episod itu dalam arkib hati dan enggan lagi dibuka. Biarlah ia menjadi satu kisah yang memberikan saya pengalaman. Saya tidak mahu ingat semula dan apa saja yang berlaku, adalah satu khilaf dan kesilapan.

"Saya fikirkan, Aidilfitri ini adalah masa paling sesuai untuk saya susunkan sepuluh jari memohon maaf kepada sesiapa saja yang pernah terasa atau bermasalah dengan saya secara langsung mahupun tidak kerana sebagai manusia, saya tidak terlepas dengan silap. Begitu juga dengan mereka atau mana-mana individu yang pernah menyakiti atau mengguris perasaan saya, sudah lama saya maafkan.

"Ikhlas apa yang saya inginkan adalah sebuah kehidupan yang lebih baik lagi selepas ini tanpa secalit rasa marah atau dengki. Apa yang berlaku saya lupakan dan selepas ini, saya inginkan nafas baru dengan semangat yang lebih dinamik," katanya yang juga anak kacukan Melayu, Pakistan dan Arab.

Menjawab persoalan bimbang akan persepsi orang sekeliling akan dirinya yang tidak henti dihimpit kontroversi dan kisah sensasi, kemas dan lancar sekali jawapan yang diberikan anak ketiga daripada sembilan beradik.

"Siapa saya untuk menutup mulut orang dari berkata. Lantas saya pegang frasa jika takut dilambung ombak usaha berumah di tepi pantai. Pandangan atau andaian sesiapa saja yang memerhati adalah satu elemen yang tiada kuasa untuk saya mengawalnya namun insya-Allah apa yang penting adalah kerja dan diri sendiri," katanya lagi.

Terlanjur bersembang mengenai kerjayanya, terlintas pula persoalan ramai pihak yang kononnya mengandaikan pelakon kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini bagai hilang fokus.

Belum lagi berjaya membuktikan kemampuannya dalam lapangan lakonan, pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor yang mesra disapa Lofa sudah sibuk menyambar tawaran mengacara program Nona selain menjadi pengendali banyak majlis korporat dan anugerah.

Itu belum lagi dengan rangkaian perniagaan milik keluarganya, Bella Vita
yang kini rancak mengatur pelan pemasarannya untuk menjelajah seluruh negara.

Terbaru, Lofa yang juga banyak terikat dengan produk selaku juru cakap termasuk Avon, King Koil, jenama jam U2 dan menjadi wajah rasmi siri jelajah Petronas ke pantai Timur, gadis yang peramah dan rendah diri ini menerima pula undangan pihak Tune Records milik Air Asia untuk menjadi penyanyi di bawah naungan mereka pula.

Persoalannya, ke mana fokus Lofa yang pernah membintangi drama Kasih Najihah, Tahajud Cinta, Kitab Cinta, Jiwa dan Lara dan kini popular menerusi drama rantaian Kau Yang Terindah?

"Tidak timbul soal fokus atau hilang hala tuju kerana cabang seni ini subjektif dan luas. Mengapa harus menyekat skala itu jika ada keyakinan dan kepercayaan. Jujurnya, prinsip diri saya mudah, perlu ada rasa yakin dalam diri dan insya-Allah apa saja yang dicuba akan berbekalkan kejayaan. Jujur dan senantiasa ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab dan itulah kuncinya.

"Impian dan cita-cita saya memang ingin menjadi seorang pengacara sejak dulu cuma tawaran berlakon datang dulu. Saya tidak sekali melihat peluang membintangi filem Azura yang memperkenalkan nama saya itu hanya sekadar percubaan sebaliknya ia lahir dari kesungguhan yang mana saya ingin mencabar kemampuan saya.

"Selain itu, peluang tampil di layar lebar itu juga adalah pintu kepada impian saya yang lain. Alhamdulillah doa saya terjawab dan kini rezeki untuk mengacarakan sesebuah program terlaksana. Namun selepas meletak komitmen di lokasi penggambaran, saya tidak mampu berbohong yang lakonan juga satu lapangan seni yang mampu saya lakukan.

"Kini ramai yang mempersoalkan keputusan saya menerima tawaran pihak Air Asia pula untuk menjadi penyanyi. Ia bukan eksperimen atau gambaran kononnya saya tiada fokus dalam kerja namun ini adalah kepercayaan yang diberikan. Kenapa saya sendiri tiada rasa percaya sedangkan orang lain pula ada keyakinan itu?

"Mungkin kerana peribadi saya yang gemar mengambil risiko dan orangnya jenis suka mencabar diri, ramai pula yang melihat dari perspektif lain sedangkan tiada siapa dapat membaca niat dan strategi saya.

"Biarkan saja dan lepaskan saya merencana semuanya dulu, usaha lekas menjatuh hukum," katanya yang turut membintangi beberapa filem termasuk Hantu Kapcai, Lemak Kampung Santan, SAM dan Taiko.

Lofa yang juga masih menuntut dalam jurusan Sarjana Muda Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran dari Universiti Kolej Sunway tidak ketinggalan bercerita mengenai sambutan Syawal keduanya sebagai selebriti.

Bakal pulang ke Kelantan bersama keluarga selama seminggu, pelakon yang bakal muncul dengan sebuah lagi filem bersama Fahrin Ahmad berjudul Pilot Kafe tidak sabar merasa juadah kegemarannya, nasi dagang masakan neneknya.

"Keluarga kami besar dan setiap tahun memang meriah sambutan Aidilfitri di Kelantan. Semua berkumpul dan mengambil peluang untuk bersembang sampai ada kalanya terlupa sudah jauh malam. Kami akan melawat semua rumah saudara dan beraya secara beramai-ramai. Itulah yang membuatkan saya lebih tidak sabar untuk pulang ke sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 25/08/2012


SOSEH SOSEH: Hubungan cinta sejenis

Posted: 24 Aug 2012 07:18 AM PDT

TERKEJUT SS apabila mendengar berita seorang pelakon lelaki yang dikatakan menjalin hubungan cinta dengan seorang jurusolek yang juga seorang lelaki. Jika dulu, kita semua pernah digemparkan dengan masalah rumah tangganya yang dikatakan bergoyang akibat kehadiran orang ketiga.

Namun kontroversi itu terus lenyap selepas pelakon itu berdamai dengan isterinya dan menutup terus spekulasi yang menyebabkan rumah tangganya hampir musnah.

Berita yang SS terima dia kini dikatakan mengubah arah cintanya kepada kaum sejenis melalui sumber yang boleh dipercayai dan agak rapat juga dengan pasangan pelakon lelaki itu.

Tidak salah SS, pelakon ini sudah punya dua anak dan tawaran berlakon untuknya juga suam-suam kuku. Nasihat SS berfikirlah sebelum menjalinkan perhubungan terkutuk itu, kasihan pada isteri dan anak-anak yang sedang membesar.


Tidak SS nafikan antara punca pelakon itu bersikap sedemikian berikutan keadaan keluarganya yang juga kucar kacir dan campur tangan ibunya yang suka menjadi batu api di antara pelakon itu dengan si isteri.


Kata sumber itu lagi, mereka kelihatan semakin intim dan pelakon terbabit kerap tidur di rumah pasangan sejenisnya bagi mengelakkan hubungan terlarang itu diketahui isteri.

Difahamkan lagi pelakon itu sering beri alasan ada urusan kerja kerana itulah dia kerap tidur di rumah pasangannya itu.

SS: Giliran pelakon Izreen Azminda naik pelamin tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 25/08/2012