Berita Harian: Hip |
Posted: 24 Aug 2012 03:31 PM PDT Artis sensasi itu mengelak apabila disoal mengenai pertunangan dengan Bubu Meskipun bukan menjadi kewajipan, namun seolah menjadi tradisi kepada umat Islam untuk mengenakan pakaian terbaik dan bersih menanti ketibaan 1 Syawal. Penyanyi sensasi kelahiran Sukabumi, Jawa Barat, Syahrini, 32, turut menyiapkan sepasang pakaian baru yang akan digayakan menjelang sambutan Aidilfitri ini.Memilih rekaan daripada fabrik renda, Syahrini berkata, lebaran ini akan diraikan bersama kedua orang tua dan keluarganya di Bogor. "Tidak lama di sana, cuma tiga hari. Kebetulan kedua ibu bapa saya paling tua di kalangan keluarga, jadi kediaman kami menjadi tumpuan dan tempat berkumpul sanak saudara. "Menjadi tradisi, saya juga menyediakan sedikit wang untuk diberikan kepada anak buah dan saudara kecil yang datang berkunjung. "Biasanya, kanak-kanak lebih gembira meraikan Aidilfitri jadi apa salahnya saya menceriakan mereka dengan berbahagi rezeki yang diberikan Allah," katanya ketika ditemui wartawan di Senayan City, Jakarta, baru-baru ini. Penyanyi yang popular dengan lagu Aku Tak Biasa ini bagaimanapun, membantah jika niatnya berkongsi kegembiraan disalahertikan sebagai menunjuk-nunjuk kepada masyarakat. Bagi Syahrini, apa yang dilakukannya itu sekadar meneruskan tradisi yang menjadi kebiasaan di kalangan keluarga tanpa menyimpan niat lain. "Bukan untuk riya', tetapi bukankah berkongsi rezeki itu sesuatu yang menyeronokkan terutama jika dilakukan sesama saudara. "1 Syawal di kediaman saya meriah kerana bukan hanya saudara, tetapi juga sahabat dan dan jiran turut berkumpul sama. "Hari raya pertama umpama rumah terbuka kerana saya dan keluarga mengalu-alukan setiap tetamu yang datang," kata penyanyi yang memiliki nama lengkap, Rini Fatimah Jaelani ini. Membawa gelaran penghibur, Syahrini akur dengan tuntutan supaya sentiasa berani menampilkan perubahan pada penampilan agar masyarakat tidak bosan. Andai tahun lalu dia memperkenalkan rekaan kaftan yang menjadi sebutan ramai, tahun ini dia memilih untuk menggayakan rekaan gaya Bombay dan abaya renda. Syahrini berkata, cetusan idea itu diperolehnya menerusi rujukan di internet namun membantah jika dikatakan cuba meniru daripada laman rekaan yang dilayarinya. "Bukan mengikut tetapi sekadar mengambil inspirasi. Setiap rekaan yang digayakan, saya tidak pernah terfikir untuk menjadikannya satu trend. "Tetapi jika ramai yang meminati dan mengikutinya, alhamdulillah. Seandainya saya yakin dan selesa menggayakannya, ia di mata saya adalah karya seni," katanya. Kunci mulut soal jodoh Meraikan ulang tahun ke-32 pada 1 Ogos lalu, Syahrini berkata, usia itu cukup mantap untuk dirinya melangkah ke alam perkahwinan. Bagaimanapun, dia belum merancang untuk mengakhiri zaman solonya apatah lagi dalam masa terdekat ini kerana adiknya baru saja mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, ketika ditanya media mengenai hubungannya dengan jejaka Malaysia yang dikenali sebagai Bubu, penyanyi ini selesa mengunci mulut. Riak wajah Syahrini seolah-olah memberitahu, soalan mengenai cinta mereka tidak perlu lagi ditanya sebaliknya dia lebih selesa, perbualan diarahkan kepada sambutan lebaran. Terdahulu, Syahrini juga mempamerkan reaksi yang sama ketika diminta kepastian apakah dia dan Bubu sudah bertunang. Ketika media mengajukan soalan benarkah dia sudah menjalin pertunangan jejaka itu, malah sempat bertiup cerita kononnya mereka pergi bercuti di Amerika Syarikat, Syahrini pantas mengelak. "Saya harus pergi dulu kerana ada sesi fotografi. Jadi maaf, tidak sempat untuk ditemubual," katanya. INFO: Cerita terbaru Syahrini:
|
Mesti Tonton: Budak berkuasa mistik Posted: 24 Aug 2012 03:19 PM PDT Paranorman papar sisi gelap kampung dihantui zombi Filem: Paranorman Genre: Animasi/Komedi/Thriller Pengarah: Sam Fell dan Chris Butler Pelakon (suara): Kodi Smit-McPhee, Casey Affleck, Tucker Albrizzi, Tempestt Bledsoe, Alex Borstein, Jodelle Ferland, Jeff Garlin, John Goodman, Bernard Hill, Anna Kendrick, Leslie Mann, Christopher Mintz-Plasse, Elaine Stritch.Tarikh Tayangan: Mulai 16 Ogos 2012 Siapa sangka kanak-kanak yang dianggap pelik pada awalnya, bertukar menjadi wira menyelamatkan kampung halaman daripada serangan zombi, hantu dan ahli sihir. Norman Babcock, budak lelaki berusia 11 tahun dari bandar Blithe Hollow mempunyai kuasa luar biasa. Dia boleh bercakap dengan makhluk yang sudah mati dan disebabkan keistimewaan itu, ramai yang menjauhkan diri daripadanya. Sering dibuli dan diperlekehkan rakan sekolah, Norman yang menggunakan suara Kodi Smit-McPhee ini hanya rapat dengan neneknya yang sudah meninggal. Norman menghabiskan banyak masa dengan menonton filem hantu dan mengkaji tradisi roh, membuatkan dia lebih tampak pelik. Dengan kelebihan yang ada, Norman diamanahkan bapa saudaranya untuk menghapuskan sumpahan yang sekian lama menghantui bandar berkenaan. Bersama kakaknya, Courtney dan beberapa rakan - Alvin, Neil dan Mitch, Norman yang pada mulanya dilihat sebagai penakut, kemudian tampil berani mengharung pelbagai dugaan demi menyelamatkan tempat tinggalnya. Paranorman mengambil lokasi Blithe Hollow, bandar kecil yang popular dengan aktiviti perlombongan sejak hampir 300 tahun lalu. Animasi yang dipersembahkan dalam bentuk tiga dimensi (3D) ini membawa penonton menyelami sisi gelap Blithe Hollow, yang sekian lama dihantui makhluk zombi, hantu dan ahli sihir. Dengan teknik 3D yang digunakan, paparan suasana bandar yang kelam dan diselubungi sihir itu tampak lebih realistik. Walaupun jalan ceritanya agak biasa, tetapi dengan teknik sinematografi yang digunakan, filem ini tetap seronok untuk ditonton. Tema semangat setia kawan yang diketengahkan pula sedikit sebanyak dapat dijadikan pedoman untuk kanak-kanak yang datang ke panggung. Diarahkan secara bersama oleh Sam Fell dan Chris Butler, Paranorman ialah animasi kedua dihasilkan produksi Focus Features dan Laika dalam versi 3D selepas animasi Caroline yang pernah disenaraikan pada Anugerah Academy dalam kategori Filem Animasi Terbaik, tahun ini. Malah, Butler juga pernah menghasilkan filem kartun seperti The Tale of Despereaux dan Flushed Away. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |