Adsense

Rabu, 22 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tak sabar sambut ‘orang baru’

Posted: 21 Aug 2012 07:25 AM PDT

TIADA apa lebih bermakna bagi seorang manusia melainkan ketenangan jiwa. Malah, menerusi rasa tenang yang ikhlas lahir dari hati dan minda itu, secara tidak langsung menzahirkan keceriaan wajah yang tampak muda dan kacak.

Itulah yang dilihat pada wajah Norman Hakim, tatkala pertemuan dengannya ketika sesi fotografi khas sempena Aidilfitri ini di samping isteri tersayang, Memey Suhaiza, 24. Apakah ia rasa ceria lelaki yang akan bergelar bapa?

Biarpun sebelum ini, Norman sudah memiliki tiga cahaya mata - Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 3, hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri, Abby Abadi, dia bakal menimang cahaya mata lagi.

Kini, Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi sah hamil tiga bulan. Malah, ketika ini nampaknya pelakon utama drama Pasrah terbitan Skop Production Sdn Bhd itu mengalami alahan teruk.


Menjawab 'rahsia' wajahnya yang kian berseri-seri, Norman, 36, berkata selain teruja akan bergelar bapa lagi, dia juga berasa amat tenang kerana segala kekusutan yang berlaku antaranya dengan bekas isteri akhirnya menemui jalan penyelesaian.


"Barangkali, seri di muka ini muncul kerana jiwa dan minda saya sekarang makin tenang. Selain itu, saya juga sentiasa menjaga hati dan berusaha memastikan ia (hati) bersih daripada perasaan hasad dengki. Itulah yang saya doakan setiap hari.

"Pun begitu, Aidilfitri ini nyata cukup bermakna buat saya dan Memey kerana semua kemelut lalu sudah selesai. Malah, kini kami berdua sudah menjalin hubungan baik dengan Abby dan ia nampaknya amat menggembirakan anak-anak.

"Selepas beberapa tahun, tanggal 1 Ogos lalu melakar sejarah tersendiri dalam kehidupan kami bertiga. Selain membincangkan soal giliran anak-anak beraya, kami juga dapat berbuka puasa serta menunaikan solat bersama-sama.

"Lebih menyenangkan hati saya apabila Abby dan Memey juga sudah boleh berpelukan dan berbual mesra sesama sendiri. Bagi saya, ia adalah hikmah Ramadan tahun ini untuk kami bertiga apabila masing-masing terbuka hati bermaaf-maafan," katanya.

Ujar Norman, Aidilfitri kali ini juga adalah giliran dia bersama anak-anak meraikannya di Kuantan, Pahang, lebih dulu. Malah, pada petang raya pertama kami sekeluarga pulang ke Kuala Lumpur untuk beraya bersama Abby pula.

"Selepas itu, baru saya dan Memey akan pulang ke Johor. Tak dinafikan, ini Aidilfitri yang amat bermakna bagi kami bertiga kerana semuanya sudah selesai. Kami sudah berbaik dan semuanya dilakukan demi kegembiraan anak-anak.

"Tak dinafikan, anak-anak adalah 'orang tengah' yang bertanggungjawab membuatkan kami dapat berbaik semula. Sebagai bapa dan ibu, sudah pasti kami mahu memberikan yang terbaik serta kebahagiaan kepada anak-anak yang kian membesar.

"Apapun, saya nyata tidak sangka Abby juga bersikap terbuka menerima kami. Malah, kalau sebelum ini dia (Abby) tidak bertegur dengan Memey, sekarang nampaknya sudah selesai. Seronok saya melihat mereka sudah boleh berbual bersama dan mengukir senyum," katanya.

Malah, Norman juga berkata dia merancang untuk pergi bercuti seisi keluarga yang turut disertai Abby. Ujarnya, selepas ini mungkin banyak aktiviti bersama akan dilakukannya, Memey, Abby dan anak-anak berikutan tiada lagi masalah lalu yang menghantui.

Sibuk menjayakan penggambaran drama KL Drift The Series terbitan Skop dan Cinta Yang Satu (Suhan Movies), Norman akui dia selesa menjadi pelakon drama dan telefilem. Katanya dia tidak pernah pun berasa terkilan tidak membintangi filem.

Memey masak nasi ambeng untuk mentua

KEBAHAGIAAN dirasai seorang wanita yang bergelar isteri pastinya meraih peluang meraikan Aidilfitri di sisi insan tercinta. Itulah perasaan dirasakan Memey yang teruja menyambut lebaran sebagai isteri. Katanya, apatah lagi ini adalah yang pertama kali.

Malah, dia juga akan memenuhi permintaan ibu mentuanya yang meminta dia memasak nasi ambeng. Kata Memey, dia tidak keberatan untuk menyediakan hidangan tradisi masyarakat Johor itu kerana sudah biasa membantu ibunya di dapur ketika anak dara dulu.

"Apapun sebelum ini, saya tidaklah begitu teruja sangat beraya kerana meraikannya seorang diri. Namun, sekarang semuanya sudah berubah dan kini saya mempunyai tanggungjawab menguruskan suami dan keluarga.

"Malah, saya akui sangat gembira untuk menyediakan pelbagai makanan istimewa Johor untuk dinikmati suami dan mentua. Apatah lagi, abang pun tahu minat saya yang suka memasak. Malah, saya pun memang memasak untuk dia setiap hari," katanya.

Berehat seketika daripada lakonan kerana alahan mengandung, Memey juga mengakui Aidilfitri kali ini sangat menggembirakan buat dirinya dan suami. Sama seperti Norman, katanya sudah tiada lagi kekusutan harus difikirkan kerana semuanya sudah selesai.

Ujarnya, dia memang tak sangka akan berbaik dengan Abby selepas empat tahun mengharungi segala kemelut yang melanda mereka. Jadi, apabila semuanya sudah selesai ia adalah perkara yang sangat disyukuri ke hadrat Ilahi.

Berbicara mengenai kandungannya, Memey berkata pada awal perkahwinan, memang dia ada merancang untuk tidak mendapatkan cahaya mata terlalu awal. Kononnya mahu puas hidup berdua dulu. Namun, dua tiga bulan selepas bergelar isteri, tiba-tiba saja keinginan memiliki anak timbul.

"Apatah lagi, saya seorang yang sukakan kanak-kanak. Jadi, secara tidak langsung saya juga sudah bersedia untuk bergelar ibu pada usia muda. Lagipun, tak seronok rasanya kalau rumah tangga yang dibina tiada kehadiran cahaya mata.

"Oleh itu, saya sangat bersyukur selepas sembilan bulan kami berkahwin, akhirnya disahkan hamil. Saya sedar diri mengandung ketika sibuk dengan penggambaran drama. Malah, ketika itu pun sudah mula kena alahan," katanya.

Menurut Memey, demi kesihatannya dan bayi dikandung, dia mengambil keputusan berehat seketika sehingga melahirkan anak. Katanya, Norman juga mahu dia lebih banyak berehat di rumah kerana tidak mahu terjadi apa-apa sepanjang di lokasi penggambaran.

Artikel ini disiarkan pada : 22/08/2012


Hijjaz hargai peminat

Posted: 21 Aug 2012 07:17 AM PDT

KUMPULAN nasyid Hijjaz bukan asing lagi di kalangan peminat nasyid tanah air. Mereka sudah memperjuangkan irama nasyid kontemporari sejak kumpulan itu ditubuhkan pada 1 Ramadan 1417H bersamaan 10 Januari 1997.

Hijjaz yang menampilkan konsep 'hiburan mendidik jiwa' berjaya menghasilkan lagu yang bukan saja menarik bahkan terselit nasihat serta mengingatkan peminat terhadap Allah Yang Maha Esa. Antara lagu yang sentiasa mendapat permintaan dan melekat kemas di hati peminat mereka ialah Sumayyah. Sehingga ke hari ini lagu itu adalah lagu wajib setiap sekali mengadakan persembahan.

Terkini, Hijjaz bekerjasama dengan syarikat Amity Enterprise untuk mengadakan program berkonsepkan perkampungan Melayu bersama peminat yang akan diadakan pada 16 September ini di Taman Tema Lost World of Tambun, Ipoh, Perak.

Pada program itu, peminat akan 'berkampung' bersama Hijjaz yang kebanyakan aktiviti yang disediakan pasti menggamit kenangan kepada peminat terhadap kehidupan kampung yang kini semakin ditelan arus kemodenan.


Setiap peserta akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan yang akan diketuai oleh anggota Hijjaz. Mereka akan diberikan baju kemeja-T yang berbeza warna mengikut kumpulan masing-masing. Dalam acara yang sudah diatur, penganjur akan memperbanyakkan aktiviti sukan tradisional bagi merealisasikan tema yang dibawa.


Di samping bermain permainan kampung, peminat juga boleh beramah mesra dan mengenali anggota Hijjaz dengan lebih dekat. Mereka akan memainkan peranan sebagai ketua keluarga bagi memimpin ahli kumpulan masing-masing. Di sinilah ukhuwah akan terjalin di antara Hijjaz dan peminat.

Ketua Hijjaz, Isman Nadim Is berkata, mereka amat teruja untuk menjayakan program itu kerana sudah agak lama tidak dapat mengadakan program bersama peminat.

"Kalau boleh, kami ingin mengadakan acara seperti ini setiap tahun kerana kami percaya peminat pasti akan berpuas hati dengan acara yang disediakan, dengan program yang dianjurkan, peminat setia Hijjaz takkan rugi dan saya percaya mereka akan berpuas hati dengan acara yang telah diatur.

"Sebagai tanda kenangan, pada akhir program, kumpulan yang berjaya dalam pertandingan akan menerima hadiah yang disediakan penganjur. Kami juga akan memberikan persembahan eksklusif buat semua peserta yang mengikuti program ini," katanya.

Penganjur menaruh harapan tinggi agar program ini mampu memberikan satu kenangan tidak dapat dilupakan khususnya bagi mereka yang meminati Hijjaz sejak awal lagi. Tiket berharga RM270 seorang termasuk makan dan minum serta barangan cenderahati. Program akan bermula pada jam 8 pagi.

Untuk keterangan lanjut, sila layari berkampungbersamahijjaz.blogspot.com atau hubungi Amir di talian 017-5984127. Tarikh akhir penyertaan adalah pada 30 Ogos ini. Tempat adalah terhad.

Artikel ini disiarkan pada : 22/08/2012