Adsense

Rabu, 22 Ogos 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kabut jiwa Eton

Posted: 21 Aug 2012 04:18 PM PDT

ANDAI setiap cerita dikongsi boleh dicoret di sini, tentu peminat akan tahu betapa perit dan getirnya hidup seorang insan bernama Zaiton Sameon.

Berkali-kali dia memohon agar kisah sedihnya tidak didedahkan kepada umum, dia bercerita sekadar untuk berkongsi dengan penulis sambil meminta agar ceritanya itu disimpan kemas dalam ingatan penulis.

Lantaran tekanan hidup yang dilalui selepas tragedi hitam 22 tahun, ramai menyangka penyanyi sensasi era 1980-an ini gila.
Saya tidak tahu kenapa orang kata saya gila, kata Zaiton kepada penulis ketika sesi fotografi diadakan di kediaman anak angkatnya, Che Sikah, 32, di Bukit Indah, Ampang.

Biarpun dalam keadaan yang tidak berapa kuat, penyanyi berusia 56 tahun itu cukup teruja menjayakan sesi fotografi ini. Sepuluh minit sebelum temu janji, dia menghubungi penulis, barangkali mahu mengingatkan mengenai sesi fotografi ini.

Setiba di rumah anak angkatnya itu, Zaiton sudah pun siap. Malah wajahnya dioles sempurna jurumekap yang dipanggil khas penyanyi itu. Profesionalisme penyanyi kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu cukup mengagumkan penulis. Biarpun dalam keadaan dirinya yang ditohmah gila, sikap penyanyi profesional masih menebal dalam dirinya.

Hidup saya kini semakin bahagia. Kehadiran keluarga angkat mengubah hidup saya. Selepas kemalangan memang saya mempunyai masalah ingatan. Doktor beritahu jika mahu ingatan pulih sepenuhnya, saya perlu gembira.
Jika hidup dalam tekanan, peluang untuk kembali pulih tipis. Alhamdulillah, saya sudah menemui kebahagiaan dengan kehidupan bersama anak angkat. Saya amat menyayangi mereka dan kalau boleh biarlah saya bersama mereka sehingga ke akhir hayat, katanya.

Tak merempat lagi

Diusung ke sana-sini, ibarat orang merempat cukup memenatkan buat penyanyi ini. Dia sendiri tidak menafikan, hidupnya selepas kemalangan yang meragut nyawa anak tunggalnya Azirwan Abu Bakar, 13, pada 21 Februari 1990 menjadi titik perubahan besar kepada hidupnya.

Memang saya sendiri menyedari perubahan hidup. Daripada seorang penyanyi terkenal, kerjaya saya musnah selepas kemalangan ngeri yang menyebabkan saya koma hampir tiga bulan.

Selepas kematian kedua-dua orang tua, hidup saya bertambah teruk. Orang terjumpa saya berkeliaran di Johor meminta duit, dengan keadaan diri saya yang tidak terurus pada ketika itu, ramai menyangka saya gila. Waktu itu saya berada dalam tekanan, jadi saya tidak sedar apa yang saya lakukan.

Tapi kini saya sudah gembira, anda tidak akan dapat lihat lagi Zaiton Sameon merempat seperti dulu. Ingatan saya pun alhamdulillah sudah hampir pulih sepenuhnya, katanya yang mengikut anak angkatnya pulang beraya di Pasir Mas, Kelantan.

Walaupun bakal beraya bersama keluarga angkat, namun ingatan kepada anak tunggal tidak pernah dilupa. Sering dia meminta Ika menghantarnya pulang ke Rembau, Negeri Sembilan menziarahi pusara anak serta kedua-dua orang tuanya.

Dalam rancak bercerita mengenai kebahagiaannya, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Menaruh Harapan, Kabut Serangkai Mawar, Berendam Air Mata dan banyak lagi itu kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menabur pasir ke dalam periuk nasinya dengan mendakwa dia tidak mampu lagi menyanyi.

Saya masih boleh menyanyi, malah setiap lirik lagu masih mampu saya hafal. Gara-gara tuduhan itu, tawaran menyanyi berkurangan, tapi alhamdulillah sejak akhir-akhir ini penganjur mula mempercayai kemampuan saya, katanya yang bakal tampil dengan album terbaru berjudul Terimalah Aku yang memuatkan sembilan buah lagu diterbitkan oleh Shah Wahid.

Anggap Kak Eton ibu sendiri

KETULUSAN hati Che Sikah atau Ika membela Zaiton Sameon yang langsung tidak mempunyai pertalian darah dengannya memang cukup dikagumi. Dua tahun menjaga Zaiton, seluruh ahli keluarga Ika turut menganggap penyanyi itu seperti sebahagian daripada keluarga mereka.

Malah anak saudara Ika, Alif Irfan, 6, juga semakin manja dengan Zaiton. Sesekali sewaktu sesi fotografi itu, dia memeluk erat penyanyi itu yang dipanggil nenek.

Saya bertemu dengannya ketika sedang makan dua tahun lalu di Johor. Waktu itu, ibu bersendirian, baru pulang dari menyanyi di pusat karaoke. Beberapa kali bertemu dan makan bersama, ibu menyatakan hasrat untuk tinggal bersama saya.

Saya tiada masalah untuk memenuhi permintaan itu kerana simpati melihat keadaannya ketika itu tidak terurus. Tapi dalam hati saya bimbang juga, adakah keluarganya mengizinkan saya mengambilnya. Bagaimanapun, apabila saya pergi bertemu keluarganya, mereka tidak kisah.

Waktu mula-mula berjumpa dengan ibu dulu, ingatannya tidak berapa bagus. Mungkin ketika itu ibu tertekan, tetapi sekarang ingatannya semakin baik. Apa tindakan dia buat yang kita rasakan tidak betul, kami akan tegur. Lama-kelamaan dia semakin normal.

Dari simpati, lama-kelamaan bertukar pula menjadi sayang. Lagi pun, saya sudah tiada ibu dan bapa, jadi saya sudah menganggap dia seperti ibu sendiri, katanya.