Adsense

Sabtu, 18 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Makna Aidilfitri buat 2 ibu sensasi

Posted: 17 Aug 2012 09:32 AM PDT

KISAH sensasi perkahwinan mereka akhirnya menyatukan dua jelitawan ini sebagai penghias muka depan sisipan Rentak Artis Popular (RAP) sempena Aidilfitri kali ini.

Rumah tangga bergoncang, begitulah cerita kedengaran dihadapi dua bintang yang sudah lama menggilap nama di persada seni dan kekal unggul sehingga ke hari ini.

Bezanya, Erra atau Fazira Wan Chek, 38, tidak pernah membuat sebarang pengakuan lantas membiarkan segala terawang-awang menjadi tanda persoalan sekalipun banyak sudah sumber memberitahu bahawa rumah tangganya dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin, 37, sedang bergolak.

Sementara Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 36, pula tidak mampu lagi membendung gelombang hebat yang melanda rumah tangganya bersama suami, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 25. Sudah masuk tujuh bulan kes mereka menjadi bahan prosiding mahkamah.


Pun begitu, apa terjadi, raya tetap raya kerana ia bertujuan meraikan kejayaan umat Islam melangsaikan tugas sebulan berpuasa.


Sempena lebaran yang mulia ini bukanlah pertemuan itu dibuat bagi mencari siapa salah atau siapa yang benar sebaliknya ingin membawa pembaca Harian Metro menyelami ketabahan mereka dalam menangani dugaan yang datang.

"Orang akan bercakap apa saja selagi mereka mahu. Sepanjang pembabitan Erra dalam bidang seni, apa yang Erra tak pernah kena? Gosip mengenai Erra ada yang benar dan ada yang tidak. Ada juga kisah yang sengaja diperbesarkan malah ada menjadi fitnah kepada Erra dan suami Erra. Erra memang sudah lali dengan semua situasi ini walaupun kadang-kadang terasa juga sedih, sentap dan geram.

"Namun Erra selalu fikirkan yang positif. Erra harus kuat demi orang-orang yang Erra sayang. Ikutkan hati memang boleh jadi tersungkur tapi Erra masih waras dan tidak mahu lekas melatah. Apa jadi, 'life must go on'!

"Macam situasi sekarang, selain anak, ibu dan nenek juga menjadi tanggung jawab Erra. Kebetulan sekarang ibu tak berapa sihat. Jadi Erra kena kuat , tiada pilihan," kata Miss Malaysia 1991/1992 ini yang menganggap ketabahan ibunya sebagai Tun Teja.

Sementara Rita pula akui saat pertama kali pergolakan rumah tangganya dengan bintang bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil tercetus sehingga memfailkan penceraian, dia dibelenggu rasa malu yang teramat sangat.

"Kes pertama dulu (Aidil memfailkan perceraian ketika mengandung anak kedua), Rita jadi malu berdepan dengan masyarakat. Apabila kes kedua ini berlaku lagi, Rita menjadi seorang perempuan yang lebih kuat. Entah dari mana datang kekuatan itu, mungkin didorong perasaan sayang untuk anak-anak.

"Rita tak mahu lagi cuba bersembunyi kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah. Jadi Rita berani keluar menjalani kehidupan seperti biasa serta tidak perlu lari daripada wartawan mahupun masyarakat. Ini masalah Rita dan Rita kena kuat.

"Rita sedia kembali aktif bekerja kerana ia juga periuk nasi Rita. Bagi Rita, apabila Yang Maha Esa menarik balik sesuatu daripada kita, mesti ada hikmah untuk Rita fikirkan dan menghadapinya," kata Rita.

Bimbang emosinya terganggu, perbualan petang itu terus beralih kepada destinasi lebaran bakal dikunjungi Rita bersama anak-anak tahun ini.

Memilih untuk bersama keluarga tercinta di Perlis, Rita memutuskan untuk berehat agak panjang bagi menenangkan fikiran. Ini kerana sejak penghujung tahun lalu hinggalah penghujung Ramadan, hari-harinya dipenuhi jadual penggambaran.

"Rita baru saja habis penggambaran filem Balistik dan sekarang dalam proses menyudahkan baki filem Pengapit pula yang berakhir pada 14 Ogos lalu. Raya ini Rita pulang awal sedikit ke Kangar, Perlis dengan anak-anak," katanya.

Bagi Rita apa yang lebih utama adalah persiapan raya untuk anak-anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Rafqa Arjuna, setahun dua bulan.

Rita tidak menyorok bahawa dia mungkin tidak akan beraya tanpa suami di sisi.

"Umum tahu kami sudah tidak lagi duduk sebumbung sejak lebih tujuh bulan lalu.
Adalah lebih baik buat masa ini kami mencari ruang untuk diri sendiri.

"Rita akan beraya di Perlis manakala suami pula bersama keluarganya di Negeri Sembilan. Rita tak mahu berfikir soal sedih kerana dua tahun lalu, Rita dan anak pernah juga beraya tanpa Aidil.

"Bagi Rita, Aidilfitri harus disambut dengan kesyukuran dan kegembiraan. Rita hanya mahu anak-anak rasa bahagia dan seronok beraya di kampung, Masalah peribadi antara Rita dan suami itu hal kami berdua dan tidak sampai tempias kepada anak-anak," katanya.

Seiring pendirian Rita, Erra akui sejak bergelar ibu, segala keutamaan kini adalah untuk permaisuri hatinya itu, Engku Aleesya Engku Emran, 3. Bagi Erra, kehendak dirinya bukan lagi keutamaan sebaliknya akan mendahulukan semua perkara untuk puteri comelnya itu.

"Memang seronok apabila sekarang Erra dah ada anak dan sekarang umur Aleesya masuk tiga tahun. Erra mahu dia dia lalui hari raya sebagaimana Erra lalui masa kecil-kecil dulu. Erra ingin dia merasai betapa seronoknya dia bermain bunga api dan beraya ke rumah sanak saudara," katanya.

Erra berkata, lebaran kali ini menyaksikan dia begitu sibuk kerana banyak terbabit dengan rakaman program raya.

Sepanjang Syawal ini pula wajah Erra akan menghiasi pelbagai program seperti Eh! Eh! Raya Erra Fazira, Mega Raya dan Raya Bersama Randy Pangalila (kesemuanya terbitan Astro) selain Raya Ziana, Amy & Erra untuk TV3.

"Selain program raya, dua telemovie Erra akan ke udara Syawal ini iaitu Pontianak Beraya di Kampung Batu 2 1/2 serta Hantu Susu.

"Kesibukan menjalani rakaman dan penggambaran menyebabkan tahun ini Erra tidak ada cukup waktu untuk membuat persiapan rapi. Baju anak pun Erra beli siap dari gedung beli-belah.

"Erra sebenarnya belum putuskan ke mana destinasi raya kali ini, bahkan hal ini belum sempat dibincangkan bersama suami Erra. Mungkin tahun ini di Kuala Lumpur saja dan kalau ada kelapangan pulang sekejap ke Rawang," kata Erra yang turut terbabit dengan sesi latihan teater Tun Siti Hasmah.

Artikel ini disiarkan pada : 18/08/2012


Gelagat anak kala ibu berdandan...

Posted: 17 Aug 2012 07:58 AM PDT

DARI bilik bertaraf suite, lokasi khas fotografi hari raya bersama Erra Fazira & Rita Rudaini akhirnya bertukar lokasi ke penthouse mewah yang terletak di tingkat paling atas, di Hotel Ritz Carlton, Bukit Bintang, Kuala lumpur.

Diuruskan oleh pengurus perhubungan awam hotel berkenaan, Oliver Ellerton, Penthouse empat tingkat itu lengkap dengan pelbagai kemudahan dan cukup bertepatan bagi kedua-dua pelakon sensasi itu berposing untuk tatapa pembaca Harian Metro.

Lokasi fotografi yang sedia indah pun tentu tidak akan cukup mencantikkan kedua-dua mereka tanpa ada kepakaran jurusolek serta tajaan busana yang memperlengkapkan lagi penggayaan masing-masing.

Justeru, sekalung terima kasih kami ucapkan buat Oliver, Rizman Ruzaini serta Hatta Dolmat yang sudi menaja pakaian Erra dan Rita pada hari itu.


Tidak dilupakan juga buat Deq Sha yang menyolek wajah Erra dan Tiar Zainal yang menambahkan lagi keanggunan Rita. Jelas sentuhan mereka memang emas.


Apa yang menarik, di kala si ibu sibuk didandan, anak-anak Erra dan Rita tidak buat perangai dan bagaikan sudah memahami tugas ibu mereka.

Mereka sangat comel, seakan bertutur bahasa sendiri selain mesra bergurau senda. Aleesya misalnya, memperlihatkan sifat bertanggungjawab seorang kakak apabila rajin menengokkan Arjuna yang baru pandai bertatih.

Dari semua yang terbabit, kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Artikel ini disiarkan pada : 18/08/2012