Adsense

Sabtu, 18 Ogos 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Beraya di Jakarta

Posted: 17 Aug 2012 02:37 AM PDT

Inul, suami tak pulang ke kampung di Pasuruan sambut 1 Syawal

Tawaran lumayan sepanjang musim Aidilfitri tidak membuat penyanyi dangdut sensasi, Inul Daratista pantas terpukau, sebaliknya anak kelahiran Pasuruan, Jawa Timur ini lebih menghargai momen bersama keluarganya.

Seperti tahun terdahulu, penyanyi yang sinonim dengan goyang gerudi ini memilih untuk tidak menerima sebarang tawaran pada minggu pertama lebaran.
Inul, 33, hanya menerima tawaran selepas seminggu 1 Syawal diraikan dan destinasi persembahan pertamanya adalah di Taiwan.

"Saya tidak ambil tawaran, kecuali selepas seminggu lebaran di Taiwan. Suasana 1 Syawal saya sudah berbeza, apatah lagi selepas mempunyai anak membuatkan saya sentiasa rindu untuk bersama mereka.

"Andai dulu, saya bingung menanti tawaran mahu ke mana pada musim lebaran tetapi sejak memiliki keluarga, semuanya berbeza.

"Hari ini ada kerja yang ditunggu, malah ada juga dirindui," kata ibu kepada Yusuf Ivander Damares, 3, kelahiran yang menjadi penyeri hidup Inul dan suami, Adam Suseno selepas 13 tahun mendirikan rumah tangga.
Sering setiap kali lebaran, kampung halamannya di Pasuruan menjadi destinasi utama tetapi Aidilfitri kali ini, Inul dan suami sepakat meraikan hari kemenangan umat Islam selepas berpuasa di Jakarta dan hanya akan pulang ke Pasuruan, beberapa hari selepas lebaran.

"Saya ingin merasai pengalaman menyambut Syawal di Jakarta, cuma selepas itu akan pulang ke kampung. Rasanya tiada yang janggal kerana sebelum ini pun saya kerap pulang ke kampung.

"Kebetulan kedua-dua orang tua juga ada di Jakarta, bersama adik-adik jadi hasrat untuk balik kampung itu bisa ditunda," katanya yang tidak menafikan, tradisi balik kampung yang saban tahun dilakukan adalah perkara yang sering dinantikan setiap kali ketibaan Syawal.

Kegemaran Inul setiap kali perjalanan adalah membawa bekalan mencukupi, terutama buah-buahan. Dia bagaimanapun, lebih senang menggunakan pengangkutan udara berbanding darat.

Inul berkata, lebaran ini dia merancang membawa ahli keluarganya untuk bercuti di sekitar Jakarta. Tiada destinasi khusus, sebaliknya dia mahu memanfaatkan kesempatan itu untuk mengakrabkan lagi pertalian darah antara mereka.

Mengimbas aktiviti seninya sepanjang Ramadan lalu, Inul berkata, dia tidak terlalu mengejar tawaran yang datang kerana ingin memberikan fokus kepada ibadat puasa.

Menyimpan keinginan untuk merasai suasana Ramadan di Makkah, hasrat itu bagaimanapun terpaksa dipendam Inul memikirkan anak tunggalnya itu masih lagi kecil. Pernah menjejakkan kaki di Tanah Suci setahun lalu untuk mengerjakan ibadat haji, Inul berkata, kerinduan itu terpaksa dibendung meskipun hatinya meronta-ronta kembali menikmati kedamaian di Tanah Suci.

Malah bisnes yang dijalankannya iaitu Karaoke Inul, juga ditutup sementara bagi menghormati kedatangan Ramadan lantas memberinya kesempatan untuk bersantai bersama keluarga.

Tidak mahu bercerai

Adat berumahtangga, Inul dan suaminya juga tidak terlepas daripada cubaan yang menggugat keharmonian perkahwinan yang sudah lebih sedekad dijalaninya bersama Adam. Tidak menafikan pernah bertengkar tetapi Inul tidak membiarkan perkara itu berlarutan, malah paling dibimbangi jika perpisahan terjadi hanya disebabkan perkara remeh.

"Seorang daripada kami pasti akan mengalah setiap kali berselisih faham. Biasanya suami akan mengalah, tapi biasalah perempuan pasti akan jual mahal.
Saya selalunya memujuk suami dengan membelikannya makanan. Setiap apa juga masalah yang datang, seseorang harus mengalah kerana perkahwinan itu sendiri adalah proses penyatuan yang berbeza.

"Menerusinya, kita belajar menerima kekurangan masing-masing. Saya tidak mahu bercerai, malah tidak pernah melihat perceraian itu sebagai sesuatu yang jelek. Saya cuma ambil hikmah setiap apa yang berlaku supaya tidak menjadi seperti itu," katanya.

Aksi Renner hebat

Posted: 17 Aug 2012 02:30 AM PDT

Tentu ramai beranggapan, tanpa kehadiran pelakon Matt Damon, filem The Bourne Legacy berdepan risiko gagal menarik perhatian penonton. Sedia maklum, tiga filem Bourne sebelum ini - The Bourne Identity, The Bourne Supremacy dan The Bourne Ultimatum - semuanya menampilkan bintang berusia 41 tahun dari Massachusetts itu sebagai teraju.

Bagaimanapun, selepas menonton filem arahan Tony Gilroy itu, tanggapan berkenaan nyata meleset apabila pelakon yang diketengahkan kali ini, Jeremy Renner, tidak kurang hebat dengan aksi berani dan ketangkasannya, malah mampu memberikan lakonan cukup meyakinkan. Renner yang memegang watak Aaron Cross bijak bermain dengan emosi, walaupun filem ini pada dasarnya berpaksikan aksi.

Ketangkasannya juga harus dipuji, seumpama ketika menjayakan babak lasak menunggang motosikal, serta adegan dia diserang ejen upahan di Filipina. Bintang The Hurt Locker ini mampu muncul bintang aksi hebat Hollywood, jika peluang sebegini terus diterimanya nanti. Pujian juga harus diberikan kepada Gilroy yang bijak memilih hero baru menggantikan Damon. Watak Cross atau Kenneth Gidson di tangan Renner sukar untuk dicari cacat-celanya.
Garapan Gilroy juga agak sarat dengan elemen kasih sayang, kemanusiaan dan percintaan, selain ketabahan, yang membuatkan babak demi babak ditayangkan tidak membosankan. Walaupun akhiran cerita agak mengecewakan kerana tiada kata penamat yang jelas buat penonton, namun pembikinnya pasti mempunyai perancangan untuk menyambung kisah ejen yang tersepit dengan pelbagai cabaran ini pada kemudian hari.

Watak Dr Marta Shearing lakonan Rachel Weisz juga antara watak menarik untuk diperkatakan kerana ia dilihat sebagai antara karakter penuh dengan warna. Dia wanita yang ketara emosinya seperti marah, geram, sedih dan penuh kecekalan. Watak ini mungkin tidak lekang dengan air mata, tetapi kekuatan perwatakannya membantu filem ini lebih hidup lagi.

Filem ini juga menarik apabila memilih lokasi seperti Manila serta kawasan pergunungan salji yang bergema dengan bunyi tembakan senjata api, letupan pesawat dan jet pejuang yang menggetarkan dada. Namun, The Bourne Legacy mungkin bukan hiburan tepat buat mereka yang kurang sukakan kisah berat. Ia filem yang menggunakan dialog bahasa sains, harus diikuti teliti, supaya kita tidak tersasar memahami ceritanya.

Hasil kreativiti pengarah yang mengangkat sains sebagai subjek penceritaan bagaimanapun memberikan kelainan pada jalan cerita. Ia memaparkan kisah bagaimana otak dan tingkah laku manusia dikawal beberapa jenis ubat, yang mendorong manusia patuh kepada arahan.
Begitupun, mesej kemanusiaan sejagat disampaikan sebaik mungkin apabila pengarah dilihat membawa penonton kepada hukum kehidupan, di mana manusia bukan alat atau robot yang boleh dikawal kerana mereka memiliki emosi. Filem ini mengisahkan pasukan perisik Amerika yang memutuskan untuk menutup rangkaian operasi Outcome atas beberapa alasan dan mula menggantikannya dengan Operasi Treadstone.

Walaupun mengetahui keputusan itu bakal mengorbankan enam ejen perisik yang terbabit dalam beberapa siri risikan yang direncanakan sebelum ini, ia diteruskan juga pihak atasan. Perisik bernombor enam bernama Cross, yang menjadi mangsa manipulasi kumpulan perisik atasan mula diburu untuk dihapuskan bagi memberi laluan kepada program baru mereka. Ketika melarikan diri, lelaki itu dibantu doktor wanita, Dr Shearing, yang sebelum ini mencipta ubat untuk membentuk tingkah laku di bawah kawalan.

Info

Filem: The Bourne Legacy
Genre: Aksi, Drama, Pengembaraan
Tarikh Tayangan: Mulai 10 Ogos 2012
Pengarah: Tony Gilroy
Produser: Frank Marshall, Pat Crowley, Jeffrey Weiner, Ben Smith
Penulis: Tony Gilroy, Joshua Zetumer, George Nolfi
Pelakon: Jeremy Renner, Rachel Weisz, Edward Norton, Oscar Isaac, Joan Allen, Albert Finney, Stacy Keach, Scott Glenn, David Strathairn, Donna Murphy