Adsense

Jumaat, 17 Ogos 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Fasha dan Rizal beraya di luar negara

Posted: 16 Aug 2012 08:14 AM PDT

MENEROPONG jauh ke dalam matanya, jelas terpancar sebuah kebahagiaan yang dikecapinya. Meskipun tidak pernah diucap dengan kata-kata, namun meneliti pada gerak tubuh dan gurau senda pasangan sama cantik sama padan ini, tiada apa yang mampu memisahkan mereka lagi.

Bagi pelakon terkenal, Nur Fasha Sandha Hassan yang kini hamil dua bulan lebih selepas diakad nikah bersama suami tercinta, Rizal Ashram pada 27 April lalu, setiap saat yang berlalu dalam perkahwinan yang dibina adalah kenangan manis antara mereka berdua.

Mengenalinya lama dulu dan tidak sekali ketinggalan mengikuti kisah cinta yang ada pada dua insan rendah diri ini yang mula menyemai rasa sayang sejak tujuh tahun lalu, tiada apa yang mustahil untuk menyatukan mereka.

Lantas, ikatan yang ada ketika ini, suami isteri dengan episod manis apabila disahkan bakal menjadi ibu dan ayah, Fasha bersama suaminya juga ahli perniagaan berjaya berusia 36 tahun ini sepakat ingin menikmati kesemua detik bersama agar rasa cinta yang ada kekal hingga ke akhir hayat.


"Saya bahagia dan sentiasa bersyukur dengan apa yang sudah diberikan kepada saya ketika ini. Perkahwinan yang menjadi impian sekian lama, seorang isteri yang memahami dan tidak henti menyokong serta perjalanan kerjaya yang kian cemerlang dan sempurna," celah Rizal membuka bicara.


Menyatukan suami isteri ini untuk satu sesi fotografi bukanlah kerja mudah kerana masing-masing terikat dengan jadual kerja yang padat. Si isteri yang masih sibuk menjiwai skrip drama siri Runtun Qalbu di lokasi setiap hari dan suaminya pula penuh dengan komitmen perniagaan dan latihan untuk persiapan mewakili Malaysia dalam pasukan Lamborghini Kuala Lumpur JH Italia bagi kejohanan The Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia.

Usik Fasha, pelakon popular berusia 28 tahun kelahiran Johor Bahru ini, ini adalah pertama kali jadual kerja dan tanggungjawabnya begitu padat hingga tidak mampu memenuhi undangan sesi fotografi media dan temubual televisyen.

"Status isteri itu sudah saya rasai. Bayangkan, sepanjang Ramadan saya begitu sibuk kerana terikat dengan jadual penggambaran setiap hari dan terpaksa membahagikan masa untuk bersama suami. Alhamdulillah setiap hari saya berpeluang untuk berbuka puasa bersama Rizal walaupun ada kalanya kami terpaksa terkejar-kejar untuk pulang ke rumah atau bertemu di mana-mana.

"Mujur suami memahami dan kami saling menerima antara satu sama lain. Jika ada kelapangan, saya pasti akan masak untuknya namun sekiranya kesuntukan masa, kami hanya akan berbuka di luar saja. Namun sahur adalah kewajipan kami berdua setiap pagi. Syukur suami seorang yang ringkas dan tidak cerewet.

"Dalam pada sibuk, kami berdua masih berpeluang untuk berbuka puasa bersama keluarga kedua-dua belah pihak. Itu lebih manis dan memberikan saya pengalaman baru. Kali ini, saya sudah tidak boleh meletak sepenuh fokus pada keluarga sendiri saja seperti sebelumnya, sebaliknya kali ini saya sudah mempunyai suami dan keluarga mentua pula.

"Inilah yang dikatakan tanggungjawab dan saya begitu seronok melaluinya," katanya memandang manis sambil membetulkan butang baju suami di sisi.

Lebih menariknya yang menjadi topik utama pertemuan kami petang itu adalah sambutan Aidilfitri pertama mereka sebagai suami isteri.

Bagai bisik orang-orang lama, cinta itu perlukan pengorbanan dan jika benar seseorang itu sayangkan kamu, dia akan buat apa saja walau terpaksa berenang di lautan api sekalipun.

Jelas ungkapan itu melekat pada pelakon yang juga pemegang enam kali anugerah Pelakon TV dan Filem Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang mana pertama kali dalam hidupnya, Aidilfitri bukan lagi untuk bergaya sakan dengan persalinan baru dan bertemu sanak saudara, sebaliknya ia akan hanya disambut berdua di trek lumba.

"Saya akan menemani Rizal dalam perlumbaan The Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia pada raya pertama ini di Ordos, China kerana dia mewakili negara dalam kejohanan itu. Inilah pertama kali saya beraya di luar negara dan jauh dari keluarga namun sisi lainnya, saya akan bersama suami tersayang di sana.

"Rizal akan berlumba pada Sabtu (esok) dan Ahad nanti. Jadi kiranya, raya pertama saya adalah di trek lumba bersamanya. Rasanya ini akan menjadi satu pengalaman manis buat kami berdua kerana pertama kali menyambut Syawal sebagai suami isteri di luar negara. Namun raya kami di sana bukanlah langsung tidak dirasa kerana kami masih dibekalkan dengan pelbagai juadah raya oleh keluarga.

"Mama membekalkan rendang dan lauk-pauk untuk kami di sana dan mummy (ibu Rizal) pula akan membawakan kami juadah lain pula. Sekurang-kurangnya kami masih lagi menyambut raya berdua walaupun tidak meriah seperti di sini. Namun saya tidak merungut kerana apa yang penting dan menjadi keutamaan adalah suami.
Saya akan sokong dan setia menemaninya.

"Memang sedih jika difikirkan kerana terpaksa berjauhan dari keluarga lebih-lebih lagi saya tidak pernah berenggang dengan mereka ketika raya, namun dilihat dari perspektif lain, inilah erti sebuah perkahwinan. Saya menyokong suami dan sudah tentu kedudukan saya adalah setia di sisinya," katanya.

Usik Rizal yang memahami perasaan si isteri sekelumit timbul rasa sedih meninggalkan keluarga, apa yang penting mereka berdua sentiasa bersama. Walau tiada keluarga dan jauh dari kemeriahan Syawal di tempat sendiri, kelibat isteri di sisi menemaninya penting bagi memberikan semangat.

"Soal berjauhan dengan keluarga dan menyambut raya di luar negara bukanlah asing bagi saya. Tiga tahun ketika belajar di Amerika Syarikat dan kemudiannya empat tahun lagi ketika di England, saya memang tidak menyambutnya. Hanya berpeluang bersembahyang di pagi raya di Malaysian Hall dan kemudiannya menjalankan rutin harian seperti biasa.

"Namun saya faham akan situasi Fasha. Pasti dia rasa kekok kerana pertama kali namun saya bersyukur kerana dia sendiri yang ingin menemani saya selama seminggu di sana. Saya percaya, raya kami akan tetap meriah kerana apa yang penting, kami masih bersama berdua dan menyambutnya secara sederhana.

"Lagipun keluarga Fasha dan ibu saya sendiri banyak mengirimkan kami juadah istimewa raya buat kami berdua. Sekurang-kurangnya ada juga rasa raya di sana nanti," katanya berseloroh dan meletak sepenuh tumpuan kepada kejohanan itu.

Rizal yang sebelum ini berjaya mencatatkan kedudukan cemerlang di tempat kedua dalam perlumbaan di Fuji, Jepun akan meneruskan lagi kejohanan itu ke Zhuhai, China pada awal September depan sebelum ke Pan Bay, Taiwan pada Oktober dan pusingan terakhirnya di Shanghai pada 10 dan 11 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : 17/08/2012


Telefilem ganti filem?

Posted: 16 Aug 2012 08:01 AM PDT

STATUS penggambaran filem Vanila Coklat yang sepatutnya berlangsung Mei lalu, sehingga kini masih belum diputuskan tarikhnya. Apakah ia akan direalisasi mahupun berkubur begitu saja, jawapan terhadap persoalan itu hanya mampu dijawab pihak produksi Asia Media Content (AMC) selaku penerbit drama popular berkenaan.

Mungkinkah juga pembikinan telefilem Vanila Coklat Raya yang tiada dalam perancangan asal AMC, dihasilkan sebagai menggantikan perancangan tergendala itu?

Apa yang pasti, filem mahupun telefilem naskhah Vanila Coklat itu sememangnya dinanti-nantikan penggemarnya tambahan pula, karya berkenaan antara drama bersiri paling popular di TV3 dengan catatan rating 4.5 juta penonton pada siaran terakhirnya Mac lalu.

Pada 27 Julai yang lalu, RAP berkesempatan meninjau pembikinan Vanila Coklat Raya yang diadakan di Templer Park Resort, Rawang.


Masih mengekalkan barisan pelakon asal iaitu Izara Aishah dan Aiman Hakim Ridza sebagai teraju utama, ia turut bintangi Liza Abdullah, Zuhairi, Arash Mohd. dan Emma Akma.


Berlaku sedikit perubahan pada senarai barisan produksi di mana Vanila Coklat Raya kali ini dipimpin oleh pengarah Jamal Khan serta pertukaran krew.
Sebagaimana diketahui umum, menerusi siri ia diarahkan oleh Emi Suffian Sabhe.

Tiada kontroversi di sebalik penggantian tangan itu sebaliknya inilah kelainan yang cuba ditampilkan menerusi Vanila Coklat Raya yang bakal bersiaran jam 9 malam pada lebaran pertama.

Jamal Khan, 37, berkata, tiada perubahan besar dilakukan malah, memberi kebebasan sepenuhnya kepada pelakon untuk membawa watak mereka sebagaimana yang diterima penonton menerusi drama bersiri Vanila Coklat sebelum ini.

"Saya sedar bahawa drama bersiri Vanila Coklat sebelum ini yang ditangani Emi Suffian sangat berjaya. Memang satu cabaran besar untuk memastikan telefilem ini diterima ramai sebagaimana sirinya.

"Sebagai pengarah walaupun saya punya cara tersendiri, namun, saya tidak mengekang artis-artis untuk menggayakan watak mereka seperti mana sebelumnya.
Itu yang penonton justeru kita kekalkan.

"Jika hendak dikatakan cara pengarahan saya berbeza dengan Emi, sebenarnya saya secara peribadi merasakan tidak jauh berbeza kerana saya sendiri adalah anak murid Emi.

"Saya banyak belajar daripadanya selok-belok dunia pengarahan, cuma kalau adapun cabaran saya adalah untuk mengekalkan sentuhan Emi yang disukai ramai, memanfaatkan durasi 90 minit dengan menyampaikan wadah yang menghiburkan.

"Mungkin kalau adapun perbezaan dari segi permainan 'lakon layar'. Saya seorang yang gemar memberi fokus kepada 'syot' yang menggambarkan ekspresi dan emosi dengan jelas kerana saya percaya penonton sukakan sesuatu mesej disampaikan secara telus kerana mereka menonton untuk berhibur bukan untuk berfikir,"
katanya. Berkisar perkahwinan muda, Vanila Coklat Raya mengisahkan Zara dan Aamir bergaduh lagi selepas pulang dari bulan madu mereka yang ketiga kerana persoalan yang ditimbulkan Aamir kepada Zara mengenai keengganan Zara untuk mengandung.

Zara belum bersedia dan merajuk kerana dia merasakan Aamir tidak faham akan keadaannya. Perubahan sikap Aamir menimbulkan kesangsian rakan-rakan Zara bahawa Aamir ada teman wanita lain.

Mereka mencadangkan Zara untuk mengubah penampilan diri daripada seorang yang kasar kepada lemah lembut. Kesibukan Aamir yang sedang menjalankan latihan praktikal di sebuah majalah sebagai jurufoto tanpa disedari mengabaikan Zara dan memberi peluang kepada Kamal untuk menambat semula hati Zara.

Pada masa yang sama, Liya muncul secara tiba-tiba dan secara kebetulan dia menjadi model sambilan untuk majalah yang Aamir berkerja.

"Dalam konflik serta pertengkaran yang berlaku antara Zara dan Aamir, saya perlu membawa penonton melihat keindahan hidup berumah tangga. Ini kerana, tidak semua perkahwinan muda gagal sebaliknya ada yang berjaya.

"Bagaimana kita ingin memaparkan keindahannya, ia terletak di tangan pengarah di mana tidak seharusnya permasalahan dialami pasangan muda ditonjolkan tanpa membawa penonton melihat sisi keindahannya.

"Jika tidak, orang akan takut untuk berkahwin muda sedangkan perkahwinan itu sangat dimuliakan dalam agama. Di sini, saya mengangkat watak kedua ibu bapa pasangan muda itu yang memainkan peranan mereka dalam menyelamatkan hubungan anak-anak.

"Pendek kata, dalam menyalurkan komedi hubungan kekeluargaan sangat dititikberatkan dalam Vanila Coklat Raya ini. Mudahan ia menjadi hiburan yang baik buat penonton di Aidilfitri yang bakal menjelang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 17/08/2012