Kosmo Online - Hiburan |
- Melangkah laju di Indonesia
- Wanita India tak lawa berbikini - Deepika
- Usop Wilcha nafi tinggalkan Hot FM
Posted: Melangkah laju di IndonesiaPASTI ramai yang tidak terduga, jejaka berkulit cerah yang sering menghiasi klip video artis ternama Indonesia sebenarnya berasal dari Malaysia. Masih memegang status warganegara tempatan, anak kelahiran Gemas, Negeri Sembilan itu kini sudah tegar melebarkan sayapnya di negara jiran, Indonesia. "Ramai yang tidak perasan kehadiran saya dalam industri kerana saya bermula dari sana (Indonesia). Jika berjumpa dengan peminat dari Malaysia sekalipun mereka tetap tidak percaya saya anak Malaysia," getusnya ketika usai sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini. Bintang sinetron Cinta & Anugerah yang bergandingan dengan Ashraf Sinclair itu hakikatnya sudah lapan tahun belayar di arus perdana pasaran hiburan Indonesia. Mula mengorak langkah melalui iklan ubat gigi, Keith atau nama sebenarnya Foo Chuan Chin, 29, mula diintai produser di Indonesia dan katanya peluang yang datang harus diambil tanpa ragu. "Saya mula menjadi model iklan sejak usia 16 tahun dan apabila mula memasuki pasaran Indonesia dan bakat saya dikesan produser di sana saya rasa itu peluang terbaik! Ketika itu saya tak pasti nasib saya di Malaysia, yang penting selagi boleh belajar dan peluang pun sedia terbuka saya terima saja," katanya. Berkarya di Indonesia tidak bermakna dia melupakan asal-usulnya malah, dia berharap kemunculannya di layar kaca dan layar perak diterima penonton Malaysia. "Saya akui saya lebih dikenali di sana dan sehingga sekarang tiada pihak dari Malaysia menawarkan saya berlakon. Semahunya saya ingin kembali ke tanah air untuk menyumbang bakti di negara sendiri dan harapan itu saya simpan sejak dulu sampai sekarang. "Banyak pengalaman yang saya timba di Indonesia, dari segi disiplin dan teknik lakonan. Apa salahnya saya gabungkan ilmu yang diperoleh di sana untuk kebaikan industri di tempat sendiri," ujarnya yang sentiasa mengintai prospek karier di Malaysia. Tidur atas meja Bermula seorang diri di negara Garuda itu bukan mudah. Selain persaingan yang pesat bersama limpahan bakat di sana, Keith juga perlu membawa dirinya bersama rentak arus Indonesia.
"Berat juga ketika memulakan karier di sana, saya tinggal di sebuah rumah yang disediakan agensi bersama beberapa bakat baharu yang lain. "Kurang pendedahan, tiada pengalaman dan masalah kekangan kewangan tapi tiada pilihan memaksa saya berjuang untuk survival. "Dua tahun saya tidur bertilamkan sofa, kadangkala kalau lambat balik terpaksa jadikan meja makan sebagai katil sementara menanti siang," cerita anak bongsu daripada empat beradik itu. Pelakon dan model kacukan Cina-India itu secara literalnya fasih berbahasa Malaysia, begitu juga bahasa Indonesia yang menjadi perantara sepanjang berada di sana. Katanya, dia banyak bergaul dengan rakan-rakan Melayu ketika bersekolah di Negeri Sembilan sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagi Keith, setiap watak yang ditawarkan merupakan rezeki untuk dia terus mengukuhkan tapak dalam industri. "Tidak perlu cerewet jika ditawarkan apa jua karakter kerana itu rezeki, selagi ada tawaran saya akan ambil," tegasnya. Dalam perkembangan lain, Keith kini lebih memfokuskan bidang perfileman berbanding sinetron. Antara filem yang baru usai penggambarannya adalah Setan Tuli yang akan memasuki panggung seluruh Indonesia menjelang hujung bulan Jun. Selain itu dia bakal memulakan penggambaran filem seram berjudul Tatung di kawasan Singkawan, Kalimantan tidak lama lagi. Tyas Mirasih Jika ditanya adakah jejaka berwajah manis itu sudah dimiliki hatinya? Jawabnya ya! Keith kini sedang menyulam cinta bersama gadis pilihannya yang juga merupakan seorang pelakon iaitu Tyas Mirasih. Bintang berusia 25 tahun itu katanya berjaya menambat hati Keith dek disiplin dan ketegasannya dalam menetapkan hala tuju karier. "Dia seorang wanita yang kuat, tidak bergantung pada orang lain dan bertanggungjawab! Memandangkan kami berada dalam bidang yang sama, faktor itu yang mengukuhkan ikatan kami. "Kami bertemu empat tahun lalu ketika berlakon dalam sebuah sinetron dan telefilem, tapi mula serius setahun lalu," katanya yang banyak mendapat bimbingan daripada Tyas.
Ditanya mengenai perancangan masa depan bersama Tyas, ujar Keith perjalanan mereka masih jauh dan tidak terfikir untuk menamatkan zaman bujang masing-masing dalam masa terdekat. "Kami pun masing-masing sibuk merencanakan perjalanan seni dan untuk berbincang ke arah perkahwinan rasanya belum waktu yang sesuai. "Namun, sekiranya jodoh saya orang Indonesia saya akan terima. Cuma mungkin nanti akan berulang-alik dari Jakarta ke Malaysia setiap bulan," ujarnya berseloroh. Keith dan Tyas biasanya meluangkan masa bersama melakukan aktiviti lasak seperti backpacking, mendaki gunung dan berkhemah. Baru-baru ini ujar Keith mereka telah mengembara ke kawasan Flores di Pulau Komodo, Indonesia untuk melihat kehidupan masyarakat di sana. Sebelum mengenali Keith, Tyas pernah dikaitkan dengan beberapa lelaki lain antaranya vokalis band Clubeighties, Lembu, vokalis Bukan Bintang Biasa, Raffi Ahmad dan vokalis band The Changcuters, Mohammad Tria Ramadhani. | ||
Wanita India tak lawa berbikini - Deepika Posted: Wanita India tak lawa berbikini - DeepikaDEEPIKA PADUKONE terpaksa berdiet untuk kelihatan cantik apabila memakai bikini. AKTRES Deepika Padukone bakal muncul dengan filem terkini, berjudul Cocktail bersama Saif Ali Khan. Dalam filem tersebut, dia bakal memakai bikini. Namun, aktres tersebut berpendapat bahawa wanita India tak lawa memakai bikini. "Saya berharap agar apabila ia dipakai, (bikini), ia harus kelihatan semula jadi. Bagaimanapun, saya rasa, bentuk badan wanita India tidak lawa memakai bikini. Jadi, saya perlu bekerja keras untuk mendapatkan bentuk badan yang lawa agar mampu memakai bikini dengan baik," ujar aktres berusia 26 tahun itu. Bercakap mengenai rejim yang dilakukan untuk kelihatan cantik apabila memakai bikini dalam filem tersebut, Deepika memberitahu dia telah menukar corak pemakanannya. Ujarnya: "Saya jarang makan malam dan kalau saya makan, saya hanya memakan ikan kukus tanpa mengambil sebarang pencuci mulut." Bagaimanapun, kata Deepika, sebaik babak memakai bikini sudah selesai dijalankan, dia kembali kepada rejim pemakanan asal. "Sebelum memulakan penggambaran dengan babak bikini, saya cukup berdisplin dari segi pemakanan, sehingga sehari selesai babak tersebut, saya telah kembali makan dengan banyak dan mula makan malam," ujarnya yang tidak melepaskan peluang memakan coklat. | ||
Usop Wilcha nafi tinggalkan Hot FM Posted: Usop Wilcha nafi tinggalkan Hot FMOleh HARYATI KARIM
SEJAK kebelakangan ini, semakin kurang suara Syh8 atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri berkumandang di corong radio stesen radio popular Hot FM, sedangkan itulah rutin hariannya setiap pagi, berceloteh menghiburkan pendengar. Sangkaan awal mungkin kerana rombakan yang sedang dibuat oleh pihak stesen berkenaan. Bagaimanapun dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan radio yang kini menggunakan tagline Muzik Paling Hangat, nama Syh8 tercicir daripada senarai penyampai radio untuk siaran Hot FM AM Krew yang kini hanya tinggal bertiga, Faizal Ismail, Fara Fauzana dan AG. Mungkinkah Syh8 yang juga popular dengan nama Usop Wilcha disingkirkan daripada stesen radio tersebut, namun jika difikir dengan teliti kontrak Syh8 bersama Hot FM masih berbaki setahun sehingga Jun 2013. Tidak mahu mengeruhkan keadaan, Syh8, 47, yang mula popular sejak membintangi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah menafikan dia telah meninggalkan stesen radio berkenaan, tetapi menyerahkan nasibnya pada pihak pihak pengurusan radio Hot FM. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Syh8 baru-baru ini. Kosmo!: Mengapa nama Syh8 tercicir dalam senarai baharu penyampai radio Hot FM AM Krew yang dikeluarkan pihak pengurusan Hot FM? Adakah sudah meninggalkan Hot FM? SYH8: Saya masih bersama Hot FM, tidak tinggalkan Hot FM, baki kontrak ada masa setahun lagi. Tidak timbul sebarang isu antara saya dengan Hot FM. Jika begitu mengapa begitu lama anda tidak muncul di radio? Sekarang saya sedang cuti sebulan. Sebenarnya saya ambil cuti kerana sedang menunggu untuk masuk ke set penggambaran filem Usop Wilca & Werewolf dari Bangladesh dan kebetulan ibu saya meninggal dunia baru-baru ini, sebab itu sudah lama saya tidak muncul di radio. Adakah terdapat sebarang masalah antara anda dan Hot FM? Tiada sebarang masalah, jika ada masalah semuanya berpunca daripada jadual kerja saya yang terlalu padat. Walaupun saya bekerja sebagai penyampai radio pada waktu pagi, saya masih sibuk berlakon selepas itu. Adakah anda terbeban dengan kerja di radio sehingga terpaksa menolak banyak tawaran lakonan? Sejujurnya, saya telah menolak empat tawaran filem kerana terikat dengan kerja sebagai penyampai radio. Saya rasa tidak selesa kerana asyik ambil cuti untuk berlakon, tidak adil untuk Hot FM. Saya juga tidak selesa asyik menolak tawaran lakonan daripada kawan-kawan, nanti orang tidak mahu ambil saya berlakon lagi dan saya hilang kawan. Bukan terbeban tetapi saya mahu berlaku adil dalam kekangan masa yang singkat kepada semua pihak termasuk diri saya sendiri. Apakah jalan penyelesaiannya? Saya pernah berbincang perkara ini dengan pihak Hot FM, mereka memahaminya. Mungkin mereka akan menukar saya ke slot yang lain, kurangkan waktu kerja saya di konti atau lebih sibuk dibelakang tabir seperti program rakaman yang tidak mengganggu jadual penggambaran saya. Memang saya tidak tahu nasib saya lagi kerana masih bercuti sehingga hujung bulan ini, semuanya terpulang kepada pihak pengurusan Hot FM. Maknanya anda tidak mampu melakukan dua kerja serentak? Sebelum ini saya bekerja sebagai pengurus komunikasi korporat sebuah syarikat dan saya berhenti pada hujung tahun lepas kerana tidak cukup masa. Ketika mula-mula terima tawaran Hot FM, saya sangkakan mampu melakukan dua kerja serentak, bangun pagi, bekerja di radio dan sebelah petang saya berlakon. Mungkin disebabkan oleh faktor usia, habis sahaja kerja di radio saya penat dan hanya ingin tidur selepas itu. Banyak filem tertunda disebabkan saya, jadi saya kurangkan kerja di radio dan saya boleh berlakon. Menyesal menerima tawaran penyampai radio? Tidak, kerana dalam hidup ada dua perkara yang ingin saya cuba. Pertama menjadi penyampai radio dan kedua mempunyai program bual bicara saya sendiri. Mendapat tawaran daripada Hot FM merupakan perkara yang tidak dijangka dan saya bersyukur kerana menjadi keluarga sebuah radio popular tempatan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |