Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Neelofa letak sempadanSEBAGAIMANA cahaya bunga biru di sebalik maksud namanya, Neelofa kelihatan teguh atas jalan penyelesaian yang diputuskan awal minggu lalu. Dalam senyum berbalut ketenangan yang bersinar daripada anak matanya, dia melepaskan segala tatah-tatah yang menjadi resam rumah siap pahat berbunyi. Soal siapa menang tidak semestinya benar atau beralah bukan bererti kalah juga bukan ungkapan yang perlu dijadikan isu. Tidak langsung perlu dihiraukan atau menjadi lintasan yang berselirat di jiwa. "Saya anggap perkara yang sudah itu tetap sudah. Nama pun majlis yang kami adakan tempoh hari sebagai majlis permohonan maaf. Saya dengan rela hati telah memaafkan dia (Anzalna). "Apabila ia dinamakan permohonan maaf bersyarat maknanya syarat yang dituntut telah dipersetujui, tidak perlu syarat itu pula yang hendak diungkit. Sekarang, saya menyerahkan kepada umum untuk membuat penilaian," kata Neelofa terhadap usaha Persatuan Seniman yang menemukannya dengan pelakon Anzalna, Isnin lalu. Episod damai tanpa babak bersalaman atau bergambar semasa sidang media selepas sesi perbincangan tertutup kedua-dua artis itu juga galak diperkatakan. Itu seperkara lagi yang mahu Neelofa tegaskan. "Usahkan bab bergambar, kontroversi itu juga ada disalahertikan sebagai pakatan untuk meraih populariti. Saya fikir, orang tahu kami ini pelakon, jika kami bergambar bersama dan bersalaman pun orang akan anggap kami berlakon depan kamera. Jadi, sama ada bergambar dan bersalaman atau tidak, mulut orang tetap akan mengata bahawa itu semua lakonan. "Namun, saya akui, majlis permohonan maaf tempoh hari sedikit kelam-kabut. Ada baiknya juga tiada gambar kami bersalaman kerana dua minggu sebelum itu, kecoh dengan cerita saya dibidas, hantar notis dan masing-masing melantik peguam. Saya tak mahu dimalukan secara bertimpa-timpa," katanya mohon pengertian.
Jauh di lubuk hati Neelofa, benar dia memaafkan setiap butir tuduhan yang dilemparkan Anzalna terhadapnya seperti yang disiarkan akhbar 10 Jun lalu. Bagaimanapun, bohonglah jika semua yang berlaku tidak berbekas di hatinya. Sandiwara hebat "Saya hanya mahu membersihkan nama yang tercemar. Isu itu isu lama. Orang lihat itu isu kecil tapi bagi saya ia isu besar kerana bukan sahaja pelakon dan pengacara, sekarang saya juga jurucakap kepada beberapa produk. Akan datang, ada lagi kontrak bersama produk lain yang bakal menyusul. Saya dihubungi banyak pihak korporat bertanyakan kesahihan cerita. "Sebelum tampil dengan notis tuntutan untuk Anzalna dulu, saya dan peguam sudah terfikirkan soal jalan damai tanpa ke mahkamah. Sebab itulah saya tegaskan dulu, apa sahaja langkah seterusnya bergantung kepada respons dia," getusnya merasakan dia berhak atas apa yang dicapai hari ini. Melihat drama luar lokasi dua bintang baharu itu, sama ada Neelofa atau Anzalna, kedua-dua si cantik kelahiran program Dewi Remaja itu masih terlalu tipis portfolio seni mereka. Untuk Neelofa, setidak-tidaknya Nona menjadi sandaran yang kuat untuk dia berdiri sebagai pengacara selain filem Azura 2012 dan drama televisyen seperti Kitab Cinta dan Tahajud Cinta yang sekadar cukup makan. Sebagai isi menebalkan nama dalam lipatan perhatian peminat, masing-masing tidak kalah menjual sensasi. "Saya tak boleh hendak menafikan fakta tersebut, pelakon baharu macam saya ibaratnya baharu setahun jagung. Memang kami belum boleh dinilai berdasarkan kerja seni. "Naskhah besar juga belum ada sebab untuk berjaya dengan produk yang benar-benar dikagumi, ia tidak boleh dilakukan dalam jangka waktu yang singkat. "Saya masih dalam proses, tapi saya percaya kalau rajin dan bersungguh-sungguh dalam bidang ini, benda itu akan datang perlahan-lahan. Mula-mula hendak berada dalam industri, inilah cerita kami," kata bintang filem Lemak Kampung Santan dan Hantu Kapcai yang telah selesai penggambaran. Dilihat sebagai pemenang kepada episod kemuncak perbalahan yang menjadi muka depan akhbar tempatan, namun pemilik nama Nur Neelofa Mohd. Nor, 23, tetap mengambil iktibar atas titik hitam yang berlaku. "Sebagai selebriti, saya kena menjadi lebih bijak menempuh arus. Harus meletakkan sempadan, tidak boleh terlalu jujur hingga menjadi naif dan tidak juga terlalu mengelak sehingga dilihat sebagai seorang yang terlalu tertutup. Tunai umrah NEELOFA sedang berada di Tanah Suci Mekah bermula 5 hingga 16 Julai untuk penggambaran drama Kau Yang Terindah arahan Erma Fatima, pemergian ke sana juga akan digunakan sebaik mungkin untuk menunaikan ibadat umrah. "Apabila semuanya sudah selesai, saya lega kerana telah mengambil jalan penyelesaian tanpa perlu bersikap gelojoh. Kalaulah saya jenis melatah dan sibuk-sibuk memberi komen, rasanya perkara itu akan jadi lebih buruk," katanya yang sedikit terkejut apabila isu pergaduhan itu mendapat perhatian besar. Dari situ dia sedar, biarpun namanya belum bersinar seperti pelakon-pelakon besar negara, namun apa sahaja salah laku artis akan menjadi isu besar. "Bertelagah pun tentang isu lama, saya sedar artis bukan macam pemimpin negara yang harus dijadikan muka depan akhbar tapi itulah situasi sekarang, orang ambil berat setiap kes melibatkan artis. "Mula-mula saya memang rasa malu, tapi bila ia berpenghujung begitu, segalanya pulih," katanya yang bakal bergelar jurucakap jenama tilam terkenal, King Koil tidak lama lagi. Sedang berada di Mekah untuk penggambaran drama bersiri 26 episod bertajuk Kau Yang Terindah arahan Erma Fatima, keberkatan berada di Tanah Suci juga akan dimanfaatkan oleh Neelofa untuk sama-sama mengerjakan umrah. Ditemui sehari sebelum berangkat, katanya: "Sebenarnya saya agak gementar sampai tak tahu apa yang harus dibawa nasib baik ibu banyak tolong saya buat persediaan. Ini kali pertama saya akan ke sana, selain penggambaran kami juga akan mengerjakan umrah. Syukur sebab saya dibuka peluang untuk bertamu ke rumah Allah. Doa saya semoga akan beroleh kehidupan yang lebih baik selepas ini, ketenangan serta fasa baharu yang membahagiakan." | ||
Posted: Remy, Tiz sakit kepalaREMY anggap gosip pukul dan hempas telefon kekasihnya Tiz sebagai cabaran untuk menguatkan cinta dan karier mereka. PERCINTAAN Remy Ishak dan Tiz Zaqyah sudah lama berada di mata peminat, namun sudah beberapa kali hubungan pasangan pelakon itu didakwa retak menanti belah. Sejak mereka secara terbuka mengakui sedang menjalin cinta, semakin banyak khabar angin tentang konflik yang mereka alami. Selesai dengan sandiwara kurang diberi perhatian seperti mana yang diharapkan ketika di tahan di wad hospital gara-gara masalah kesihatan baru-baru ini, hubungan Remy dan Tiz kembali memanas. Sebuah akhbar mingguan bukan Kumpulan Utusan melaporkan bahawa hubungan mereka berdua seolah-olah di ambang kemusnahan. Sikap panas baran Remy sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap kekasih lamanya dahulu seperti kembali berulang apabila dia didakwa menampar muka Tiz. Tidak habis dengan dakwaan sebagai kaki pukul, pelakon filem Aku, Kau & Dia itu juga dikatakan pernah beberapa kali didakwa menghempas telefon bimbit milik kekasihnya. Sehari kemudian, Remy menafikan tuduhan berkenaan sebaik ditemui semasa tayangan eksklusif filem terbaharunya, 29 Februari, Isnin lalu. "Sebelum sempat baca gosip berkenaan, Tiz yang menghubungi saya bercerita tentang apa yang tertulis. Mulanya saya malas hendak melayan. Sudah letih dengan satu persatu dakwaan seolah-olah tidak senang dengan kebahagiaan dan situasi hubungan kami berdua," ujarnya yang dihubungi semula Sensasi Bintang, Jumaat lalu untuk penjelasan lanjut. Tanpa perlu menyembunyikan keadaan, ketika itu Remy mengakui dia sedang membawa Tiz keluar untuk membeli beberapa barangan. SENSASI BINTANG: Apa reaksi anda terhadap tuduhan panas baran, belasah dan hempas telefon Tiz ? REMY ISHAK: Kalau ikutkan hati saya, saya memang malas nak layan cerita mengarut. Saya sudah malas hendak melenting atau melatah. Lagipun sebelum ini, ramai yang nasihatkan saya supaya jangan buat serangan balas secara melulu. Secara peribadi, saya sudah boleh terima apa itu gosip, tapi bagaimana dengan keluarga, peminat dan pihak luar seperti pihak korporat yang ada kerjasama dengan saya. Bila saya fikir ia melibatkan maruah dan imej saya, rasanya perkara itu perlukan penjelasan dan saya harap penjelasan saya kepada wartawan hari ini akan membersihkan keadaan. Kalau sampai pukul dan hempas telefon, kenapa sampai hari ini kami masih boleh keluar bersama. Reaksi Tiz pula bagaimana? Dia mahu saya beri penjelasan dan agar spekulasi itu tidak terus diperkatakan. Dia tuan punya badan yang didakwa disakiti, saya nampak dia sedikit melenting dengan cerita yang dikeluarkan. Anda tak rasa mahu mencari siapa pembawa fitnah itu? Kalau dilayan sangat, benda-benda begitu boleh buat saya dan Tiz sakit kepala. Banyak lagi masalah hidup, jadual, promosi dan kerja lain yang perlu saya lakukan. Harap dengan penjelasan ini, peminat boleh terima dan faham situasi kami. Saya anggap itu semua cabaran untuk saya jadi lebih kuat. Dalam proses untuk fasa karier dan hidup yang seterusnya, memang tak semua orang suka dan gembira tengok pencapaian kita, mungkin ada yang suka tengok kami jatuh. Di sebalik cerita panas, sokongan peminat terhadap anda tidak membantu kejayaan jualan sesebuah filem seperti Jiwa Taiko dan Aku, Kau & Dia, mengapa ini terjadi? Perkara itu antara perkata yang jadi topik perbincangan kami dalam industri. Secara peribadi, saya tidak nampak aura seseorang pelakon itu satu-satunya tarikan peminat untuk tengok filem di pawagam, cerita filem itu sendiri harus kuat dan beri impak. Sekarang, susah untuk orang filem buat jangkaan filem bagaimana dan pelakon mana yang penonton mahu lihat di pawagam. Maknanya, sehebat mana seseorang pelakon, itu bukan jaminan peminat mahu lihat mereka di panggung? Saya setuju. Kadang-kadang ia seperti bermusim. Bagaimana pula dengan 29 Februari yang akan ditayangkan 30 Ogos depan, adakah anda yakin ia sebuah filem lakonan anda yang wajib ditonton? Dari segi karakter, cerita dan penceritaan, saya yakin 29 Februari menjanjikan kelainan. Watak Budi itu sendiri sangat unik. Ia satu watak yang tak mungkin saya peroleh lagi atau pernah saya lakonkan dalam mana-mana filem. Untuk penonton yang selalu mengharapkan sesuatu daripada sebuah filem Melayu, saya rasa 29 Februari harus ditonton. | ||
Posted: The Legendary Concert terbaikEMPAT legenda muzik Malaysia dari kiri Zainal Abidin, Sheila Majid dan Amy Search berjaya menghiburkan peminat dengan gaya mereka tersendiri. KONSERT membabitkan empat ikon muzik tempatan sangat berbeza. Persembahan Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid, Amy Search dan Jamal Abdillah dalam konsert The Legendary Concert memang layak menjadi penanda aras. Walaupun mereka berbeza ideologi muzik namun cara menyanyi dan asas peminat berjaya memberi impak buat mata dan hati yang menonton. Tidak keterlaluan jika dinamakan konsert legenda ini sebagai sebuah konsert dengan pasukan produksi yang kemas dan terbaik. Baik daripada sistem bunyi hinggalah ke penataan cahaya, ini merupakan dua sisi yang mendapat pujian kebanyakan daripada 10,000 penonton yang hadir. Memang ada yang hadir dengan jangkaan dan harapan menonton empat figura hebat negara berdendang dengan lagu-lagu popular mereka tetapi lebih puas dan klimaks lagi apabila barisan penyanyi ini diberikan sebuah produksi yang hebat. Penulis dan rakan-rakan wartawan duduk di tengah dan kemudian beredar ke tepi pentas dan hasil bunyi daripada pelbagai sudut masih memuaskan. Juga tembakan pencahayaan yang mengikut mood penyanyi memberikan sebuah visual yang kemas dan menghayun emosi.
Lagu-lagu nyanyian empat penyanyi ini adalah antara lagu yang sudah berada dalam jangkaan. Jamal dengan lagu Gadis Melayu, Seniman Menangis dan Azura disambut dengan Sheila dengan Sinaran, Antara Anyer dan Jakarta, Manusia dan Bunyi Gitar. Diikuti dengan Zainal Abidin membawakan lagu seperti Hijau, Orak Arik, Kau Di Hatiku dan mempromosikan lagu terbaharunya Alam dan Kamu yang kemudian disambut dengan Kongkang, kerja Gila, Saat Ku Idamkan, Gadisku dan Kepala Sotong oleh Amy. Lagu-lagu ini adalah bukti nostalgia dan momen buat penonton yang hadir. Lagu-lagu yang menghadirkan magis yang tersendiri dan membuatkan penonton berada dalam waktu dan situasi masing-masing mengikut zaman lagu tersebut berada. Sampai di bahagian ini, penulis berasa bangga menjadi salah seorang penonton di salah sebuah konsert yang mempamerkan produksi yang teratur dan memuaskan hati, mata dan telinga. Juga sebuah konsert yang berada di tahap yang tersendiri. Menyanyi bersama, bangun memberikan tepukan paling gemuruh tanda hormat menjadi tanda konsert ini berjaya. Kalau penonton beredar dengan sebuah kenangan yang terpahat dalam memori dalam minda mereka, apa lagi tenaga produksi dan empat legenda yang sebati dengan konsert ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |