Harian Metro: Rap |
Rozita, Anding pilihan peminat Posted: 06 Jul 2012 08:29 AM PDT PERTAMA kali dipertemukan untuk satu sesi fotografi, jelas mengundang rasa kekok buat bintang muda, Anding Indrawani Zaini yang tercari-cari posisi terbaik untuk berdiri di sisi aktres jelita, Rozita Che Wan. Meskipun pelakon yang lebih sinonim dengan panggilan Cik Ta ini tampak mencuba berkali-kali untuk memberikan kerjasama bagi menghasilkan posisi yang baik, namun sebanyak itu juga penyanyi dan pengacara kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kedua ini berasa janggal dan tidak henti mengukir senyuman malu. Jelasnya, inilah pertama kali dirinya digandingkan dengan Rozita. Tanpa mempedulikan mata sekeliling, Rozita yang kini berusia 41 tahun lekas memberikan amaran enggan lagi dikaitkan dengan isu 'anak ikan'.
Sengaja mengangkat sudut laporan berbeza, dengan menampilkan dua selebriti ini, ia jelas memberikan satu situasi yang menarik apabila kedua-duanya tidak henti-henti bercerita mengenai pesona seksi yang ada pada mereka. Anugerah Stail EH! membuka peluang kepada pembaca untuk memilih sendiri pemenang daripada pencalonan yang diberikan dalam majalah gaya hidup, fesyen dan hiburan itu. Lantas pembaca sepakat mengangkat Rozita adalah selebriti wanita paling seksi, sekali gus menewaskan calon lain termasuk Fasha Sandha, Fathia Latif, Neelofa dan Qalisya Ray. Jelasnya, itu adalah penghargaan daripada peminat kerana menilai dirinya masih seksi meskipun calon lain jauh lebih muda. "Ada kalanya saya sendiri ketawa apabila memikirkan pandangan dan persepsi peminat yang menganggap saya seksi sedangkan saya sendiri tidak tahu di mana seksinya saya. Betul kata orang, lain badan lain mata dan lain mata itu lain pula pandangannya. Mungkin mereka melihat saya seksi, namun ia belum lagi hanya bersandarkan soal pakaian dan gaya penampilan semata-mata. "Seksi itu subjektif dan mungkin kerana gaya saya bercakap atau ekspresi wajah ketika senyum boleh dijadikan elemen seksi buat seseorang wanita. Ada kalanya cara kita mendekati seseorang atau wangian yang kita gunakan boleh juga menarik perhatian orang untuk melabelkan ia sebagai seksi. Namun itulah pandangan dan persepsi individu. "Saya terima dan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan. Jika ada yang menyifatkan saya seksi, itu hak mereka dan saya hanya mengharapkan ia berlandaskan pujian positif dan bukan bermaksud lain. Sebagai seorang selebriti, saya hanya menilai dari perspektif positif yang seksi itu adalah bonus. "Bayangkan, ada juga orang yang masih mengatakan saya seksi walaupun ketika itu saya mengenakan baju kurung. Macam mana tu?" katanya ketawa. Apa pula kesannya menjadi seorang yang dipandang seksi kepada Rozita, lebih-lebih lagi dengan bersandar pada status ibu tunggal kepada dua putera, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra. "Entahlah, rasanya saya sudah kalis dengan semua kata-kata atau label yang diberikan kepada saya. Jika ingin berfikir sangat mengenai soal itu, memang tidak boleh buat apa-apa, sebaliknya hanya menambah tekanan saja. Tapi itulah permainan dan adat menjadi seorang selebriti dan saya pula seorang ibu tunggal yang lebih cenderung untuk disalah anggap. "Namun apa yang menjadi kebimbangan hanyalah anak-anak yang kian membesar. Saya tidak mahu semua ini memberikan impak dan kesan kepada mereka," katanya yang pernah dikaitkan dengan ramai VIP dan orang kenamaan sebelum ini. Lain pula bagi Anding yang jarang sekali wajahnya dilimpahi publisiti. Kehadirannya dalam bidang nyanyian agak sunyi. Pernah juga anak kelahiran Sarawak berusia 29 tahun ini mencuba seni lakon dan pengacaraan, namun nasibnya masih sama. Bagaimanapun, ketika malam penghargaan pembaca majalah popular itu, bintang kacak ini diangkat menjadi selebriti lelaki yang mempunyai tubuh tegap hingga mengetepikan calon lelaki lain seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Fahrin Ahmad dan Remy Ishak. Menurutnya yang menyifatkan pengiktirafan itu adalah bonus sebagai seorang lelaki, soal bertubuh tegap dan menjaga kesihatan diri adalah satu kemestian dan bukannya satu pilihan terutamanya buat lelaki masa kini. "Alhamdulillah nama saya disebut selepas lama juga menyepi. Siapa sangka, peminat dan pembaca majalah EH! melihat satu sisi lain pada diri saya iaitu bentuk tubuh saya yang sememangnya menjadi salah satu keutamaan buat saya. Memang saya begitu mementingkan kesihatan dan sentiasa ke gimnasium bagi memastikan susuk tubuh sentiasa terjaga. "Walaupun calon lain begitu popular dan jauh lebih dikenali, namun saya pula dipilih. Ini membuktikan peminat dan pembaca benar-benar nampak akan kelebihan yang ada pada saya ini," katanya. Tambah Anding yang baru saja selesai penggambaran program Klik-Klik tayangan RTM, setiap lelaki ada elemen metroseksual dalam diri mereka. "Hari ini lelaki menjaga tubuh dan mementingkan penampilan bukanlah perkara asing lagi, sebaliknya ia sudah menjadi satu budaya dan hobi. Bukan saja untuk memastikan tampak menarik, malah ia juga penting dari aspek kesihatan dan ketrampilan seseorang," katanya yang kini menjadi pelatih pusat gimnasium di Kuala Lumpur. Anugerah Stail EH! yang berlangsung dengan gilang-gemilang malam Rabu lalu turut menyaksikan persembahan hebat daripada bekas naib juara Malaysian Idol juga penyampai radio Era, Dina Nadzir menyanyikan lagu Set Fire To The Rain, Awi Rafael (Bila Aku Jatuh Cinta), Shila Amzah (Patah Seribu) dan Adira (Ombak Rindu). Anugerah yang diacarakan Ahmad Nabil Ahmad dan Karl Shafek itu ditaja produk kecantikan terkenal, SaSa. Keputusan rasmi Anugerah Stail EH! 2012 |
Posted: 06 Jul 2012 07:49 AM PDT SETIAP filem adiwira atau superhero akan pasti ada watak penjahat atau 'villain' masing-masing. Itu sudah menjadi trend atau tradisi sejak wujudnya filem seumpama itu di Hollywood. Perkara yang sama sudah tentu tidak terlepas daripada filem The Amazing Spider-Man arahan Mac Webb kini dibuka tayangannya kepada penonton di seluruh dunia termasuk Malaysia. Selain penonton mahu melihat bagaimanakah aura aktor kacak Andrew Garfield sebagai Peter Parker/ Spider-Man yang baru, peranan doktor atau saintis misteri bernama Dr Curt Connors lakonan aktor Rhys Ifans juga pasti mencuri tumpuan pada skrin 3D kali ini. Justeru, sewaktu penulis mewakili Harian Metro bersama sekumpulan wartawan antarabangsa lain bertemu Ifans, di Cancun, Mexico, pertengahan April lalu, pelbagai pengalaman menarik mahu dikongsi pelakon kelahiran Wales, England itu dengan peminat filem.
"Asalnya Dr Connors adalah seorang pakar genetik yang baik dan mahu menolong orang lain sepertinya terutama yang kudung tangan atau kaki. Namun, kerana terlalu ghairah dalam misinya, berlaku satu kesilapan besar dalam makmal terbabit. Kesannya, fizikal dan jiwa Dr Connors bertukar menjadi makhluk paling ganas berupa seekor cicak gergasi (The Lizard). "Situasi 'alter-ego' Dr Connors ini lebih kurang sama seperti yang dialami Dr Jekyll & Mr Hyde. Dia terjerat dengan kerakusan tindakannya sendiri kerana dalam kisah ini dia mahu memperbetulkan keadaan tubuhnya yang tidak sempurna atau cacat," jelas Ifans yang sememangnya mahu menyuntik elemen British dalam karekter saintis gila itu. Beliau juga berkata, tugas melakonkan peranan itu juga sangat rumit atau remeh kerana The Amazing Spider-Man banyak membabitkan penggunaan imej janaan komputer (CGI) selain dihasilkan dalam bentuk 3D. "Teknologi yang diguna pakai dalam filem ini sangat mengagumkan. Pakar CGI membuat banyak 'peta' dan lakaran pada wajah sebenar saya membabitkan ribuan titik-titik halus bagi merakamkan mimik rupa saya. Kemudian ia dipindahkan pula kepada wajah Lizard. Ada masanya pula, saya juga kena selarikan lakonan saya dengan seorang lelaki bertubuh besar untuk mendapatkan kesan visual yang realistik dari segi pergerakan," jelasnya lagi. Sekalipun melakonkan watak hitam, Ifans tidak menafikan dia sendiri meminati Spider-Man sejak kecil lagi. "Sewaktu saya masih kanak-kanak, saya memang peminat setia Spider-Man, malah selalu terbayang untuk memakai sut sepertinya. Apa yang saya suka mengenai Spider-Man adalah dia remaja biasa yang asyik kena buli di sekolah. Dia juga bukan anak jutawan macam Batman atau duduk di puncak bukit yang mewah. Dia hanya remaja yang biasa macam orang lain," ujar Ifans atau nama sebenarnya Rhys Owain Evans. Aktor yang juga seorang penyanyi ini menjelaskan, dia mendapat peluang berlakon dalam The Amazing Spider-Man selepas ditawarkan watak oleh pengarah dan produser filem itu sendiri. "Sebelum ini, saya pernah berlakon filem Anonymous juga terbitan Sony Pictures. Saya difahamkan, Marc Webb dan produser filem ini pernah menonton Anonymous dan filem lain lakonan saya. Kebetulan ketika itu saya berada di Los Angeles dan saya menerima panggilan untuk pergi ke uji bakat. Akhirnya saya berjaya," katanya sambil tersenyum. Kata Ifans lagi, dia sukakan filem ini kerana ia bukan sekadar karya fantasi mahupun aksi semata-mata, sebaliknya terselit elemen dramatik yang membingkai sebuah kisah mengenai pergolakan hidup manusia. The Amazing Spider-Man turut dibintangi pelakon handalan lain seperti Emma Stone, Martin Sheen dan Sally Field. Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/06 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |