Adsense

Sabtu, 7 Julai 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kental jiwa Jawa

Posted: 06 Jul 2012 06:19 PM PDT

Anggun sentiasa melangkah sebagai wanita Timur

JATIDIRI wanita berdarah Jawa begitu pekat dalam diri penyanyi kelahiran Jakarta, Indonesia yang menebar bakatnya di Perancis. Sosok langsing dengan rambut lurus melepasi bahu, dilengkapi kulit sawo matang, Anggun Cipta Sasmi akur, tuntutan karier di Eropah mengubah citra dirinya daripada seorang wanita yang 'keras dan lasak' menjadi lebih feminin serta matang.
"Pernah sekali memotong pendek rambut pada 2001 tetapi selepas itu saya menyesal. Mungkin sudah terbiasa berambut panjang, bila dipotong pendek, jadi kekok. Wajah saya juga tidak sesuai berambut pendek, jadi beginilah saya," kata Anggun yang menembusi pasaran global selepas album antarabangsa perdananya, Snow On The Sahara dipasarkan di 33 negara termasuk Amerika Syarikat, Asia dan Eropah.

Tiada yang datang mudah dalam hidup. Akui Anggun, dia pernah tidur cuma tiga jam sehari tanpa ruang membelai dan memanjakan diri. Pada masa sama penyanyi yang dilahirkan pada 29 April 1974 itu dituntut menjaga stamina dan vokal supaya sentiasa muncul bertenaga di mata khalayak.

"Saya seorang yang bekerja keras dan jarang mempunyai waktu untuk beristirehat. Jika mempunyai waktu yang memungkinkan saya untuk melelapkan mata seketika pada waktu siang, saya akan ambil. Pablo Picasso pernah berkata, jangan memperkecilkan kuasa tidur seketika. Tidak perlu lama, cukup 15 minit yang nyenyak kerana ia akan memberi keselesaan kepada diri," katanya.

Malangnya semua itu ada kala hanya tersimpan dalam angan-angannya kerana jadual yang ketat menyebabkan dia tidak berkesempatan melakukan perkara itu. Disebabkan keletihan, setiap kali apabila mula berasa suaranya serak, isteri kepada penulis kelahiran Perancis, Cyril Montana ini pantas mencari jalan penyelesaian.
Teh dan madu adalah penawar terbaik untuk meredakan aset paling berharga bagi seorang penghibur itu ketika dirinya lelah.

"Ia bukan sesuatu yang bagus kerana saya sering kepenatan. Bayangkan sarapan saya cuma satu dua suap, selepas itu saya langsung bekerja. Syukur, saya dikurniakan bentuk tubuh langsing tetapi tidak mudah sebenarnya untuk menjaga badan. Sebelum punya anak, badan saya susah naik tetapi selepas melahirkan, berat saya meningkat mendadak hingga 27 kilogram.

"Saya menyusukan anak sehingga lapan bulan dan alhamdulillah, selepas itu berat saya perlahan-lahan menyusut. Dulu, pernah cuba pilates tetapi terpaksa dilupakan kerana saya tidak punya waktu," katanya.

Lapan tahun di bumi asing, identiti Jawa dalam dirinya masih kental. Setiap kali bangun tiur, Anggun sentiasa menyemat di mindanya untuk melangkah keluar sebagai wanita Timur. Akui Anggun, bahasa Indonesia masih sering dipraktikkan terutama ketika berkomunikasi dengan anak perempuannya, Kirana Cipta Montana Sasmi, 5 tahun.

"Hidup tidak punya manual tetap tetapi saya selalu ingat pesan nenek, orang Jawa kalau mahu ke tempat tidur harus melabuhkan dulu punggung kemudian kakinya. Itu lebih manis. Kalau mahu menunjukkan sesuatu, harus jangan menggunakan telunjuk tetapi ibu jari supaya lebih sopan. Setiap kali berbual, saya dan penata gaya, Denise akan bercakap menggunakan bahasa Indonesia.

"Setiap kali Denise datang ke rumah, Kirana pasti tahu kami berdua menggunakan bahasa Indonesia. Saya tidak pernah campur bahasa jika berbual dengan Kirana," katanya yang turut tidak melupakan nasi sebagai makanan ruji. Setiap hari pasti sesuap dua nasi akan diambilnya, malah di rumahnya di Perancis, periuk nasi elektrik tetap disimpan.

"Kirana juga menggemari nasi, jika tidak dia memilih pasta atau mengambil lauknya saja. Saya tidak pernah memaksa tetapi selalu memberinya pilihan. Kirana tahu tidak semua orang bertuah dan ada wang untuk makan mewah. Dia sudah belajar menghargai rezeki, malah tidak suka membuang makanan.

"Setiap kali punya waktu saya akan memasak. Bukan untuk seorang dua tetapi untuk jumlah besar seperti 12 orang. Saya akan masak opor ayam yang banyak. Setiap kali sebelum ke luar daerah, saya akan mula memasak untuk suami simpan di peti sejuk. Saya paling gemar jering masak berkuah dan memang handal menyediakannya. Tetapi jering tidak dijual di Perancis," katanya.

Menarik Anggun

* Menetapkan syarat tiada soalan peribadi diajukan untuk temubual terutama selepas melahirkan anak. Anggun enggan anaknya menjadi mangsa pendedahan keterlaluan media kerana baginya, artis juga mempunyai tanggungjawab dengan pengisian yang mahu dikongsi bersama media.

* Kurang senang dengan keterbukaan keterlaluan media di Indonesia terutama inforia kerana baginya, informasi yang mahu dikongsi harus punya batasan. Anggun cuma sedia berkongsi mengenai muzik, lagu dan perkara yang membantu pertumbuhan minda masyarakat.

* Sentiasa berbuat baik dengan semua orang dan mengelakkan diri daripada bersifat sombong. Menjunjung profesionalisme dan enggan masanya terbuang untuk hal yang tidak berfaedah.

* Menggemari sepatu jenama mewah, Louboutin kerana gemarkan rona merah. Bukan seorang yang mementingkan jenama mewah tetapi untuk beraksi di pentas, Anggun mengutamakan keselesaan dan sepatu jenama itu menerbitkan aura feminin dalam dirinya.

Dunia peribadi Giring

Posted: 06 Jul 2012 06:17 PM PDT

DI pentas seni atau depan khalayak, vokalis kumpulan Nidji ini meletakkan seluruh jiwa raganya demi karya dan peminat yang menyanjung bakat muzik mereka. Namun, di luar tuntutan kerja, Giring Ganesha yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-28 pada 14 Julai ini, juga seperti insan biasa bergelar suami dan bapa.

Pertemuan diaturkan stesen TV9 baru-baru ini dengan B*POP, tarikh sama berlangsungnya Gig Triple Play di KL Live, Kuala Lumpur dalam satu sesi jamuan tengah hari bersama peminat bertuah dan rakan media, gelagat Giring bersama isteri tercinta, Cynthia Riza , 24, bersama dua permata hatinya, Zidane dan Aisyah sentiasa diperhatikan. Tiada apa lagi yang lebih bermakna dalam hidupnya kini kerana selain meneruskan survival sedekad bersama Nidji dan terus dijulang kelompok peminat setia bergelar Nidjiholic, kehadiran tiga insan istimewa itu dalam hidup Giring sudah dianggap cukup dirahmati.
Terserlah naluri bapa yang cukup menebal pada Giring saat melayan kerenah Aisyah dan Zidane. Aisyah menjadi lambang cintanya kepada Cynthia selepas perkahwinan dibina mencecah dua tahun itu, manakala Zidane pula anak tiri Giring melalui perkahwinan terdahulu Cynthia.

Kedua-dua anak kesayangannya itu diumpamakan sebagai inspirasi yang terus menyuntik semangat, ilham dan modal buat Giring mengukir senyuman. Aisyah (setahun lebih) dan Zidane (tujuh tahun) dilayan sama rata. Keakraban Zidane dengan Giring membuktikan tiada istilah berat sebelah atau jurang di antara mereka.

"Tempoh dua tahun membina keluarga ini bukan mudah seperti disangka. Tapi saya percaya setiap tolak ansur, memahami dan komunikasi menjadi pengalaman berharga. Saya bersyukur dan bertuah dikurniakan isteri dan anak yang menjadi harta terindah.

"Setiap hari, saya jatuh cinta dengan dia (Cynthia). Melihat anak membesar di depan mata cukup membahagiakan. Melihat Zidane daripada tidak boleh berbahasa Inggeris hinggalah boleh juga cukup menyeronokkan. Saya dan isteri juga cuba membiasakan diri berkomunikasi dengannya di rumah kerana temannya di sekolah pun berbahasa Inggeris.
"Selain itu, Aisyah juga sebenarnya kuat cemburu juga apabila melihat Zidane berada dekat dengan saya. Berada berjauhan dengan keluarga juga pantas membikin saya rindu kepada mereka. Dulu zaman bujang, fikirkan nak buat wang saja tetapi sekarang keutamaan semestinya pada keluarga," kata Giring memuji Cynthia yang cukup sabar berdepan dengan kehidupan masyhurnya.

Seperti lelaki lain, Giring juga berkeinginan untuk menambah zuriat sekali gus membesarkan legasi keturunannya. Namun akui Giring, apa saja yang ingin dilakukan terutama selepas berkeluarga perlu ada perancangan, apatah lagi dalam hidup segala-galanya perlukan wang.

"Sekarang pun saya turut membuat tabungan untuk masa depan yang lebih cerah buat anak. Termasuklah dalam hal pendidikan. Bapa mana yang tidak mahu melihat anak mereka membesar dan berjaya menjadi berguna. Tetapi saya juga tidak menegah andai kata mereka memilih untuk menjadi anak seni seperti saya," katanya sambil memberitahu Aisyah juga gemar menyanyi.

Mengenai seni, selepas terbabit dengan Gig Triple Play bersama kumpulan Hujan dan Bunkface, jadual kedatangan Nidji ke Malaysia, baru-baru ini, turut diisi rakaman program raya bersama TV9, Laskar Pelangi yang turut menampilkan Aizat sebagai tetamu undangan.

"Kami juga akan terbabit dengan pembikinan album runut bunyi untuk filem 5 CM arahan Rizal Mantovani. 5 CM antara novel terlaris di Indonesia. Pada masa sama, kami dalam proses menyiapkan album Victory yang memuatkan lima lagu bahasa Inggeris dan lima lagu bahasa Melayu. Selepas beberapa kali datang ke Malaysia, kami bercita-cita mahu adakan konsert di Malaysia. Peluang berkongsi pentas dengan Hujan dan Bunkface di Gig Triple Play juga menjadi ruang kita terus bersatu dalam pelbagai genre muzik. Inisiatif TV9 wajar dipuji," kata Giring yang menghargai muzik teman seperjuangan di negara ini.

Sementara itu, Cynthia yang masih menuntut di Universiti Bina Nusantara dalam bidang pengurusan tidak melihat Giring sebagai rockstar kegilaan ramai. Sebaliknya, Giring yang dikenalinya hanya lelaki biasa yang cukup menyayangi keluarga.

"Saya bangga dengan kejayaannya bersama Nidji. Malah sebagai suami, dia cukup terbaik buat saya. Setiap hari dia sangat romantis dengan saya. Malah saya sentiasa memahami tuntutan kerjanya. Sejak bercinta lagi, saya membiasakan diri melihat kemasyhuran yang dikecapinya termasuk mempunyai peminat," kata Cynthia yang mengakui ada mengenali kelompok peminat Nidji dan suaminya.

Kata Cynthia, selain bercuti, mereka sekeluarga juga gemar menonton teater muzikal kanak-kanak dan bermain di taman permainan.

"Ke mana pergi pun, kami akan guna telefon dan gajet elektronik lain untuk berhubung. Saya percaya komunikasi itu menjadi nadi kepada kerukunan segala-galanya," kata si jelita yang merendah diri.

Info

* Selain Giring, Nidji dianggotai Rama (Muhammad Ramadista Akbar) dan Ariel (Andi Ariel Harsya) di posisi gitar, pemain dramnya, Adrie (Muhammad Adri Prakarsa), Andro atau nama sebenarnya, Muhammad Andro Regantoro (bass) dan si kurus tinggi lampai, Randy (Randy Danistha) juga pemain keyboard.

* Sudah menghasilkan Breakthru' (2007), Top Up (2008), Let's Play (2009) dan terbaru meraikan sedekad dalam industri, Nidji sedia melancarkan dua album terbarunya, Liberty juga album studio keempat Nidji yang dilancarkan pada November lalu dan album Victory bagi pasaran antarabangsa.

* Usia perkahwinan Giring dengan Cynthia sudah cecah dua tahun.

* Nidji pernah melalui kemelut 'Star Syndrome' apabila mereka lupa dunia realiti yang hidup berlandasan populariti yang datang bergolek. Natijahnya, Nidji hampir dibubarkan.

* Giring sebelum ini cukup dikenali dengan gaya rambut kerinting sebelum tampil berambut pendek. Lelaki stailo itu teringin meluruskan rambut kerana rambut asalnya memang kerinting sejak kecil.