Adsense

Selasa, 31 Julai 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Haizi Rani Tak Serik Mahu Jadi Penyanyi

Posted: 30 Jul 2012 08:30 PM PDT

Haizi mengakui merindui bidang nyanyian. Foto FAIHAN GHANI.
PETALING JAYA: Bekas peserta program Sinaran Pasport Kegemilangan yang popular suatu ketika dahulu iaitu Haizi Rani menganggap masih belum terlambat untuk memulakan kembali karier nyanyiannya selepas hampir sepuluh tahun tidak tampil dengan album baru.
Haizi, 33, berkata, dia tidak peduli jika ada pihak yang sudah tidak mengenalinya kerana berpegang kepada keyakinan dan rezeki yang telah ditetapkan.
"Saya tidak mahu menjadikan faktor masih dikenali atau tidak sebagai halangan untuk diri saya melakukan sesuatu yang saya cintai.
"Malah saya yakin dengan kehadiran single atau album baru itu nanti akan dapat diterima peminat.
"Paling penting adalah usaha kita sebagai manusia dalam mengejar sesuatu impian," ujarnya ketika ditemui.
Tambah Haizi, sepanjang tidak merakamkan album atau membuat persembahan pentas dia sentiasa memasang hasrat untuk kembali ke persada muzik tempatan dan berharap hasrat itu akan tercapai.
"Kali terakhir saya muncul dengan album baru adalah pada tahun 2004 yang berjudul 'Terus Melangkah' dan selepas itu saya terus senyap. Bagaimanapun itu bukan bermakna saya sudah berputus asa dengan impian dan cita-cita saya," jelasnya.
Dalam pada itu, Haizi memberitahu sedang mengintai beberapa orang komposer terkenal tanah air untuk bekerjasama dengannya dan berhasrat untuk mendapatkan khidmat Edry Abdul Halim dan Adi daripada kumpulan Sixth Sense.
Haizi bagaimanapun berkata, ia masih lagi di peringkat awal dan tidak mahu terlalu terburu-buru tampil dengan karya baru selain memastikan perancangan dibuat berjalan dengan baik.
"Setakat ini ia masih pada peringkat perbincangan lagi dan saya tidak mahu terburu-buru kerana ingin melakukan sesuatu yang betul," katanya.
Sementara itu, Haizi yang juga bekas penyampai berita TV3 menjelaskan kehilangannya selama beberapa tahun sebelum ini bukan kerana kecewa atau kecil hati dengan industri sebaliknya ingin memberikan tumpuan kepada keluarga.
Haizi menjelaskan sepanjang tempoh tersebut dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga selain memberi fokus kepada perniagaan kedai dobi yang diusahakannya.
Dalam perkembangan lain, Haizi yang baru muncul sebagai pengacara program terbaru berjudul Resipi Sunnah memberitahu teruja dapat kembali ke dunia pengacaraan dan sedang dalam perancangan untuk mengacarakan sebuah program travelog.
Resipi Sunnah disiarkan pada setiap Jumaat pada pukul 6.30 petang di TV9.

- ---

Sofia Jane Punca Sheila Rusly Kembali Berlakon

Posted: 30 Jul 2012 08:29 PM PDT

Sheila Rusly
PETALING JAYA: Pelakon dan penerbit drama Sheila Rusly berkata keputusan untuk kembali berlakon selepas hampir setahun berehat semata-mata kerana projek istimewanya bersama rakan aktres Datin Sofia Jane.
Sheila, 41, berkata, dia terpanggil untuk berlakon semula dalam telefilem berjudul Jane Jamilah itu demi memenuhi keinginan Sofia yang bersetuju untuk membintangi karya genre komedi buat julung kalinya.
"Saya bersetuju untuk berlakon semula kerana rakan lama, Sofia Jane yang buat pertama kalinya bersetuju membintangi telefilem komedi berjudul Jane Jamilah.
"Telefilem ini adalah projek istimewa kami untuk tayangan selepas Hari Raya nanti dan kini berada dalam proses suntingan," katanya ketika dihubungi.
Ditanya mengenai tindakannya berehat daripada lakonan sebelum ini, Sheila berkata, dia selesa memberikan tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir syarikat produksinya dan suami Azman Yahya (Jinggo) iaitu JS Pictures.
Sofia Jane
"Kalau diikutkan sudah hampir setahun saya tidak berlakon langsung kerana sibuk membantu Jinggo dalam kerja-kerja belakang tabir drama-drama terbitan syarikat kami.
"Sebenarnya, saya kasihan pada suami yang sering tidak cukup tangan dengan pelbagai komitmen. Kebetulan pula, saya juga mempunyai ilmu dan kemahiran dalam bidang itu, apa salahnya saya bantu apa yang patut," katanya.
Mengenai sambutan Ramadan pada kali ini, Sheila berkata, syarikat produksinya tidak melakukan sebarang penggambaran sepanjang bulan puasa dan lebih menumpukan pada proses pra-produksi drama bersirinya akan datang.
"Macam biasa, syarikat produksi saya akan berhenti berehat daripada penggambaran sepanjang bulan Ramadan.
"Selain untuk fokus pada ibadah, saya sibuk dengan kerja-kerja pra-produksi drama bersiriCinta Adam & Hawa yang akan memulakan penggambaran selepas Hari Raya," katanya.

- ---

Buat Pelaburan Di Internet, Adi Putra Ditipu RM19,000

Posted: 30 Jul 2012 08:28 PM PDT

Adi Putra
KUALA LUMPUR: Pelakon Adi Putra, 31, kerugian sebanyak RM19,000 kerana ditipu selepas melabur dalam satu pelaburan di Internet.
Pelakon yang berasal dari Singapura itu berkata, dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Sentul, di sini dan enggan mengulas lanjut atas nasihat polis.
"Saya serahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat. Kejadian ini bersifat peribadi dan dia dinasihatkan polis supaya tidak menceritakan kejadian itu secara terbuka kepada pihak media mahupun peminat
"Saya harap pihak luar dapat hormati pendirian saya. Jika ia bukan kes polis, mungkin saya akan membuat sidang akhbar bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku," katanya, yang dipetik daripada akhbar Harian Metro.
Ady yang turut membintangi filem pecah panggung, KL Gangster kini sedang menjalani penggambaran filem Balistik terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd di sekitar ibu kota, mengatakan kejadian itu boleh memberikan kesan pada dirinya secara peribadi termasuk karier seni.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurut Izany, pelakon terbabit menyertai satu pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan menerusi Internet.
"Dia memasukkan RM19,000 ke akaun milik suspek tetapi komisen yang dijanjikan belum diterima sehingga kini," katanya.

- ---