Adsense

Ahad, 29 Julai 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Ustaz ajak Diana Amir 'taaruf'

Posted: 29 Jul 2012 07:10 PM PDT

DIANA tidak menolak sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh dengan ustaz.


PELAKON Diana Amir atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim, 26, agak manis selepas berhijrah dengan memakai tudung sejak September tahun lepas.
Dia yang pernah berlakon filem seperti V3 Samseng Jalanan, Senario Opocot, Keramat dan321 Cinta sebelum bertudung, kini hanya akan berlakon filem atau drama yang sesuai dengan keadaan dirinya sahaja.
Diana yang bakal muncul dengan filem terbaharu terbitan Metrowealth Movies Production (Metrowealth) bersama pelakon Kamal Adli kini menolak tawaran berlakon di bulan Ramadan supaya lebih banyak masa untuk beribadat.
Ketika ditemui di majlis berbuka Metrowealth di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, gadis kelahiran Birmingham, England ini juga turut berkongsi kisah diajak berkenalan oleh beberapa ustaz ketika mengikuti program keadaan di bulan Ramadan ini.
Soalan: Boleh ceritakan apa aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan ini?
DIANA: Sepanjang bulan Ramadan ini saya tidak terlibat dengan sebarang penggambaran filem atau drama, saya banyak tumpukan untuk beribadat seperti pergi tarawih dan memenuhi undangan forum berbentuk keagamaan dengan berkongsi kisah penghijrahan saya dengan remaja.
Selepas bertudung, adakah Diana pernah dipikat oleh sesiapa?
Saya masih tiada teman lelaki dan tidak terfikir ke arah itu lagi sekarang tetapi ada juga beberapa ustaz yang mengajak saya 'taaruf' (berkenalan) selepas berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS). Apabila mereka buat demikian terus saya tidak balas SMS itu. Saya berkenalan dengan mereka ketika dalam program keagamaan.
Kenapa Diana menolak untuk 'taaruf' dengan mereka?
Saya masih tidak berani, misi saya sekarang untuk mendalami Islam. Ilmu saya masih tidak cukup dan tidak mahu campur aduk perkara lain dalam usaha saya kenal dengan agama sendiri.
Adakah Diana menolak jika bertemu jodoh dengan ustaz?
Saya tidak memilih. Saya akan terima sesiapa sahaja jodoh yang ditentukan Allah, kalau ustaz juga tidak mengapa asalkan ustaz yang baik dan boleh membimbing saya kelak.
Diana ada sasaran bila akan menamatkan zaman bujang?
Saya berdoa dipercepatkan jodoh mudah-mudahan tahun depan.
Tahun hadapan? Bukankah itu terlalu cepat untuk anda?
Saya mahu cepat-cepat dapat zuriat. Kalau dulu saya mahu kahwin sebab mahu mempunyai suami, tetapi sekarang saya begitu mengimpikan untuk mempunyai cahaya mata sendiri kerana saya terlalu sukakan kanak-kanak.
Kriteria suami pilihan Diana?
Sudah tentu yang beriman yang penting dia perlu bijak dalam membimbing saya dan keluarga.
Bagaimana kerjaya seni Diana, adakah masih menerima tawaran berlakon?
Saya kini banyak menerima tawaran berlakon drama dan telemovie, manakala untuk filem tawarannya agak terhad selepas saya bertudung tetapi saya reda.
Adakah Diana mengenakan syarat selepas menerima tawaran berkenaan?
Saya sebenarnya tidak kisah, asalkan kena dengan imej bertudung saya, jika tawaran itu yang mahu saya lakonkan watak bercinta juga tidak mengapa asalkan tiada adegan peluk dan bersentuhan dengan bukan muhrim.
Diana kena begitu supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat apabila berhijrah mesti ada perubahan.
Apakah filem terbaharu Diana akan datang?
September ini dilancarkan filem saya bersama Kamal Adli berjudul Salam Cinta terbitan Metrowealth.
- ---

Misha Kahwin Tahun Depan

Posted: 29 Jul 2012 06:45 PM PDT



SEPANJANG bergelar penyanyi dan pelakon ternyata Samiha @ Aisah Omar, 30, atau lebih sinonim dengan panggilan Misha Omar antara artis yang tidak dapat lari daripada berhadapan dengan beberapa kisah kontroversi.
Sewaktu pada awal kemunculannya dalam bidang seni suara dahulu, terdapat spekulasi yang mengatakan dia merupakan penyanyi yang sebenarnya sudah bergelar seorang janda.
Selain itu, artis kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga didakwa sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki bergelar jutawan dan dikatakan menjadi isteri ketiga.
Segala kontroversi yang pernah dikaitkan dengan pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu berakhir sebaik sahaja dia mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya iaitu Firos Ezzwan Rossly, 30, yang merupakan juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada 21 Februari lalu.
Berlangsung dalam satu majlis yang serba ringkas di rumah keluarganya yang terletak di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, Misha dan Firos telah sepakat untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.
Namun begitu, beberapa bulan selepas mengikat tali pertunangan Misha telah mengumumkan terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka lantaran kesibukan jadual masing-masing.
Ketika ditanya sama ada dia sudah menetapkan tarikh yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga, Misha yang ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikan Shiseido di Publika, Solaris Dutamas baru-baru ini menyatakan belum ada sebarang keputusan yang dibuat.
"Kalau diikutkan saya memang mahu berumah tangga secepat mungkin. Setelah berbincang dengan Firos, akhirnya kami telah sepakat untuk menangguhkan perkahwinan kami pada satu tarikh yang belum ditentukan lagi.
"Buat masa ini tunang saya agak sibuk menjalani kursus penerbangan selama enam bulan. Sebaik sahaja dia tamat menjalani kursus, barulah kami akan mencari tarikh yang sesuai, namun saya tetap berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan," jelasnya.
Menurut Misha, keputusan yang telah dibuat itu turut menimbulkan persoalan ramai pihak termasuk kedua-dua ahli keluarga. Selain itu, terdapat juga khabar angin yang mengatakan hubungan mereka sedang bermasalah.
Bagaimanapun, dia lantas menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan keputusan yang dibuat itu langsung tidak berkaitan dengan hubungan mereka, sebaliknya ia disebabkan jadual kerjaya masing-masing yang agak padat.
"Ketika ini Firos sedang sibuk menjalani kursus penerbangan mengendalikan pesawat Airbus 380 MAS, jadi dia memerlukan komitmen yang tinggi sekarang dan saya mahu dia memberi sepenuh tumpuan kepada kursusnya.
"Jadi, kalau ada yang mengatakan hubungan kami bermasalah sudah tentu ia tidak benar sama sekali. Segala kisah yang timbul itu saya abaikan dan sudah lali kerana sebelum ini pun sudah pernah timbul cerita kurang baik mengenai diri saya," ujarnya.
Berkenaan dengan majlis yang akan dilangsungkan pula, Misha menceritakan dia lebih gemar dengan majlis yang serba ringkas, namun bersedia mempertimbangkan sekiranya ada pihak yang sudi untuk memberi tajaan.
"Sehingga kini persiapan perkahwinan masih belum lagi dilakukan, malah tempahan dewan juga belum dibuat kerana masih tidak mendapat tarikh yang sesuai. Namun, saya akan tetap membuat persiapan sedikit demi sedikit supaya nanti tidak terlalu kelam-kabut sangat," jelasnya.
Album baharu
MISHA menafikan perkahwinannya dengan Firoz Ezzwan ditangguhkan kerana hubungan mereka bermasalah.


Biarpun ketika ini Misha dilihat lebih kerap tampil di kaca televisyen menerusi drama dan telefilem lakonannya, bidang nyanyian tetap diutamakan dan masih lagi banyak menerima tawaran membuat persembahan.
Jelas Misha, pada akhir tahun ini dia akan muncul dengan sebuah album baharu yang kini masih lagi dalam proses pembikinan setelah kali terakhir tampil dengan album berjudul Misha Omar pada tahun 2008.
"insya-Allah, kalau segalanya mengikut perancangan para peminat boleh mendapatkan album terbaharu saya pada tahun ini juga. Dalam album tersebut mengandungi tujuh buah lagu dan empat daripadanya sudah selesai dirakamkan.
"Sebenarnya saya bertuah kerana Datuk M. Nasir telah bertindak sebagai Penerbit Eksekutif dan berterima kasih kepada Sony Music Entertainment yang masih memberi kepercayaan kepada saya untuk menghasilkan album baharu," ujarnya.
Antara lagu-lagu yang sudah siap dirakam sepertiMaharani, Yang Indah, Kedatanganmu Tak Ku Sambut dan Angin Syurga yang ketika ini sudah disiarkan di stesen-stesen radio, manakala Datuk M. Nasir dan anaknya iaitu Ilham serta dua orang anggota kumpulan Spider, Tam dan Tony antara yang menyumbangkan lagu untuk albumnya itu.
"Memandangkan saya menghasilkan album terakhir kira-kira empat tahun lalu dan sering sibuk dengan kerjaya lakonan, jadi sudah tiba masanya untuk saya muncul dengan produk terbaharu sebagai hadiah istimewa buat peminat," jelasnya.
Tetap bekerja
Berbanding dengan kebanyakan artis lain yang akan berehat daripada sebarang aktiviti seni sepanjang bulan Ramadan, ternyata Misha tetap memberikan komitmen terhadap kerjayanya.
Ketika ini Misha sedang menjalani penggambaran telefilem berjudul Untung Atas Angin, sebuah program komedi yang akan disiarkan di saluran RTM pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Telefilem tersebut yang diarahkan oleh Malek Rahman turut membabitkan beberapa orang pelakon lain seperti Didie Alias, Enot, Roy Azman dan Erin Malek serta menjalani penggambaran selama enam hari.
"Beberapa hari selepas selesai menjalani penggambaran telefilem ini, saya akan terlibat pula dengan rakaman program raya Pesona Aidilfitri bersama Alyah dan Dayang Nurfaizah pada 30 Julai ini.
"Bagi saya segala tawaran yang diterima merupakan satu rezeki yang tidak harus ditolak, meskipun perlu bekerja pada bulan Ramadan. Lagipun bekerja pada hari biasa dan semasa berpuasa tidak banyak berbeza," jelasnya yang masih aktif dalam kerjaya seni semasa bulan Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya.
Mengenai persiapan menjelang sambutan Aidilfitri pula, Misha sekadar membuat persiapan yang sederhana dan lebih mengutamakan persiapan untuk anak angkatnya, Muhammad Adam Emir yang kini sudah berusia enam tahun.
- ---