Adsense

Rabu, 6 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Waktu kejar kualiti

Posted:

Waktu kejar kualiti

Waktu kejar kualiti

SIFAT sopan dan lemah lembutnya masih menebal. Namun dalam banyak sifat yang ditonjolkan oleh pelakon Diana Danielle sebelum ini, hal yang paling mengesankan, dia kini tampak lebih matang dan tahu diri. Diana yang mesra disapa sebagai D, telah jauh menanggalkan 'pakaian' ala keanak-anakkan.

Dia tersenyum sewaktu ditegur tentang perubahan sifat itu sebelum menjawab: "Setiap orang mempunyai fasa kehidupan tersendiri dan saya telah melalui fasa tersebut sebelum ini.

"Saya akui, jika bercakap dari segi kematangan dalam bekerja, saya mula menjadi matang selepas terbabit dalam filem Magika. Selepas terlibat dengan filem tersebut, saya mahu keluar daripada zon selesa dengan memilih kerja yang lebih mencabar..

"Ia termasuk mengambil kira soal persekitaran dan pergaulan. Semua itu telah membuat saya menjadi matang," ujar D.

Tambah D, dia juga sudah tidak mengejar populariti. Atas alasan tersebut juga, dia tidak kisah jika media massa tidak memainkan cerita tentangnya. Ujarnya, selama beberapa tahun menjadi anak seni, dia juga belajar untuk tidak perlu menonjol diri tanpa sebab atau bercakap tentang perkara yang sama berulang-ulang hanya kerana takut dilupakan khalayak.

Katanya: "Saya sedar saya bukan makin muda. Jadi, saya kena kerja keras dan fokus terhadap apa yang saya lakukan. Sebab itu, saya ambil tawaran seperti berlakon dalam filem Anu Dalam Botol.

"Orang kata kenapa saya perlu terbabit dengan filem kontroversi, tapi saya anggap saya terbabit dalam filem tersebut bukan sebab komersial, tetapi kerana saya mahu mencuba satu karakter yang serius, yang boleh menjadikan saya pelakon lebih baik daripada sebelum ini."

Sebenarnya, gadis berusia 20 tahun itu telah mula terbabit dengan dunia seni seawal usia sembilan tahun sebelum benar-benar tersangkut sebagai pelakon pada usia 14 tahun.

Selama tiga tahun pertama menjadi pelakon, dia mengaku tidak memilih atau menolak watak yang datang. Semua diambil sebagai satu proses pembelajaran, malah akuinya, pada waktu itu juga, ia dianggap sebagai zon selesa.

Namun kini, setiap tawaran yang datang dinilai dengan baik. Dia memilih untuk menjadi selektif bagi meningkatkan kredibiliti selain memberi fokus terhadap filem berbanding drama.

Justeru, saat dia muncul dengan naskhah terkini, Jiwa Taiko yang bakal ditayangkan pada 14 Jun ini, D menampilkan sisi lain terhadap bakat lakonannya.

DIANA mempunyai jawapan tersendiri tentang spekulasi dirinya yang dikatakan sudah bertunang dengan aktor Farid Kamil.


Memegang watak Trisya, D banyak bermain dengan emosi sehingga lakonan intimnya dengan Remy Ishak sebagai Firman menjadi perbualan hangat selain harus arif tentang seni mempertahankan diri iaitu bersilat.

Mengulas tentang watak Trisya, D memberitahu: "Saya menjalani latihan seni mempertahankan diri selama sebulan, yang saya anggap tidak cukup bagi saya yang tidak mempunyai asas langsung. Tetapi, ia tetap satu pengalaman yang bagus buat saya.

"Tentang aksi lakonan dengan Remy, saya rasa jika orang yang memahami tentang teknik kamera, mereka akan tahu bahawa babak cium saya dengan Remy bukan dilakukan betul-betul. Ia hanya permainan kamera," ujar D yang mengaku lebih senang melakonkan watak romantik berbanding watak aksi.

Selain Jiwa Taiko, tahun ini, D turut menantikan beberapa buah filem untuk ditayangkan termasuklah Hantu Gangster. Untuk tahun hadapan pula, dua naskhah yang benar-benar menguji kredibilitinya, Hanyut dan Azazil bakal ditayangkan.

Ditanya bagaimana dia melihat dirinya dalam bidang seni, D memberitahu dia mempunyai impian yang besar untuk bermain dalam 'padang' lai dunia perfileman.

"Kalau boleh saya mahu terbabit dengan produksi filem luar, untuk filem indie juga tidak mengapa.

FIGURA jelita ini bakal memeriahkan Festival Filem Venice 2012 di Itali pada November ini.


"Saya bukan mahu menjadi bintang antarabangsa, tapi mahu mengutip pengalaman yang berbeza kerana saya mengaku, saya cepat bosan dan tidak suka melakukan hal yang sama. Jadi, saya harap saya dapat mencuba benda baharu sebelum orang melupakan saya sebab saya melakukan hal yang sama," ujarnya bersungguh-sungguh.

Menyanyi

Selesa dengan corak kerja yang tidak terlalu padat, kata D, sebab itu dia mahu melunaskan juga impiannya bergelar seorang penyanyi. Bagaimanapun, hal tersebut tidak akan direalisasi dengan segera kerana bimbang hasilnya mengecewakan.

Mengaku dia tidak arif tentang dunia muzik selain mampu menyanyi, D kini memburu barisan komposer yang mampu membimbingnya menjadi penyanyi yang baik selain menghasilkan lagu yang bermutu.

"Saya tak mahu buat lagu asal boleh sebab saya nak sangat jadi penyanyi. Saya boleh tangguhkan hasrat untuk jadi penyanyi sehingga saya dapat material yang berkualiti. Kini saya sedang bekerjasama dengan Anas untuk sebuah single," ujarnya.

Memilih jalur soul, jazz dan blues, kata D dia tidak takut tentang penerimaan yang diketahuinya tidak luas terhadap muzik sebegini. Dia mahu melakukan apa yang disukai dan tidak punya niat untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada.

"Cukup sekadar dapat mengisi kebosanan saya yang mungkin tidak bekerja untuk tiga atau empat bulan selepas selesai satu filem. Jika mendapat undangan menyanyi dalam apa-apa majlis pun sudah okey buat saya," katanya lagi.

Farid beri cincin untuk Diana

Posted:

Farid beri cincin untuk Diana

Farid beri cincin untuk Diana

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

KINI Farid semakin terbuka untuk menceritakan kisah percintaannya kepada umum.


KETIKA majlis prebiu filem Jiwa Taiko yang berlangsung baru-baru ini, mata para wartawan tertumpu pada jari pelakon Diana Danielle, 21, yang tersemat sebentuk cincin di jari manisnya.

Mengakui cincin tersebut adalah pemberian kekasih hati iaitu Farid Kamil, 31, pelakon berkenaan memberitahu ia merupakan hadiah sempena sambutan ulang tahun percintaan mereka yang ketiga.

Berkesempatan bertemu sendiri dengan Farid dalam sebuah majlis kelmarin, pengarah dan pelakon popular itu berkesempatan menceritakan detik-detik manis sewaktu memberikan hadiah tersebut kepada kekasihnya itu.

Kosmo!: Bila Farid menghadiahkan cincin tersebut kepada Diana?

FARID: Seingat saya pada 1 Januari lalu sewaktu kami makan malam berdua di sebuah restoran. Namun, terjadi beberapa perkara menarik sebelum Diana mendapatkan cincin itu daripada saya.

Pada masa itu saya sengaja membuatkan Diana berasa dalam keadaan tertekan dan marah. Misalnya, saya ambil dia di rumah lewat sejam sehingga dia marah kepada saya sehingga tiba di restoran tersebut.

Saya sengaja berbuat begitu kerana ingin memberikan kejutan buat dirinya. Sewaktu dia sedang marah-marah terus saya hulurkan sebentuk cincin kepadanya sehingga dia mengalirkan air mata kegembiraan.

Kenapa pilih cincin sebagai hadiah ulang tahun percintaan yang ketiga?

Sebenarnya saya pernah menghadiahkannya seekor kuda semasa ulang tahun kelahirannya pada tahun lalu. Saya ambil keputusan untuk menghadiahkannya sebentuk cincin kerana ini kali pertama saya memberikan hadiah kepadanya sempena ulang tahun percintaan kami.

FARID enggan bergandingan dengan Diana Danielle dalam filem sekiranya tawaran yang diterima sekadar mengeksploitasikan hubungan mereka untuk meraih keuntungan.


Jadi, saya tidak mahu peminat menyangka yang ia merupakan cincin merisik atau bertunang. Buat masa ini kami masih lagi bercinta seperti biasa dan belum merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

Sebelum ini Farid seakan-akan enggan mengulas mengenai hubungan cinta dengan Diana. Jadi, kenapa sekarang Farid lebih terbuka untuk bercerita?

Sepanjang tiga tahun bercinta saya lebih suka bercerita mengenai kerjaya berbanding kisah cinta. Namun, apabila ramai yang asyik bertanya tentang hubungan kami, maka saya rasa sudah tiba masanya untuk bercerita kepada pihak umum.

Baru-baru ini Farid turut hadir sewaktu majlis prebiu filem Jiwa Taiko. Adakah timbul perasaan cemburu sewaktu menyaksikan babak-babak romantik antara Diana dan Remy Ishak?

Apabila saya dapat tahu Jiwa Taiko khusus untuk tontonan 18 tahun ke atas, saya sudah dapat agak filem berkenaan memaparkan adegan yang saya anggap boleh menimbulkan kontroversi.

Bagaimanapun, melihatkan lakonan Diana dalam filem itu tidak timbul pula rasa cemburu kerana adegan yang membabitkan dirinya tidaklah keterlaluan. Malah, saya lebih tertarik dengan lakonan Bront Palarae dan Nadiya Nisa yang menampilkan lakonan yang sangat bagus.

Adakah Farid dan Diana pernah dapat tawaran berlakon bersama-sama dalam sebuah filem sepanjang menjalinkan hubungan cinta kalian?

Kami memang ada mendapat beberapa tawaran berlakon yang menggandingkan kami bersama-sama, tetapi kami mengambil keputusan untuk menolaknya. Saya melihat tawaran yang diterima itu lebih kepada mahu mengeksploitasikan hubungan kami untuk meraih keuntungan berbanding kekuatan jalan cerita.

Apakah projek terbaharu Farid sekarang?

Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Legenda Budak Setan 3 yang menggandingkan saya dengan Maya Karin. Pada pertengahan bulan ini saya akan terbabit pula dengan penggambaran filem aksi berjudul Dampak.

BIG Cinemas rai pemenang

Posted:

BIG Cinemas rai pemenang

BIG Cinemas rai pemenang

EMPAT pemenang bulanan peraduan anjuran syarikat rangkaian pawagam, BIG Cinemas Lotus Five Star Sdn. Bhd. (BIG Cinemas) yang dikenali sebagai Loyalty Program - Watch, Eat & Win telah diumumkan baru-baru ini.

Peraduan khusus untuk penggemar filem di pawagam yang bermula pada 1 Ogos hingga 31 Disember 2011 dan ditaja oleh Permanis Sandilands Sdn. Bhd. itu memerlukan pengunjung pawagam BIG Cinemas di seluruh negara membeli barangan di kaunter untuk mendapatkan resit dan borang peraduan yang perlu diisi dengan data peribadi sebelum memasukkannya ke dalam kotak peraduan yang telah disediakan khas.

Pengunjung dengan pembelian terbanyak pada sesuatu bulan berpeluang memenangi hadiah Ipad 2 masing-masing untuk tempoh dari Ogos hingga Disember 2011. Lebih hebat, keempat-empat pemenang berpeluang untuk memenangi hadiah utama yang merupakan tajaan percutian untuk dua orang ke salah satu lokasi tujuh keajaiban di dunia serta wang tunai sebanyak RM5,000. Menariknya, pemenang bertuah itu boleh memilih sendiri lokasi percutian impian.

Maisarah Abdul Halim terpilih sebagai pemenang bulan Ogos manakala Jiam Swee Swee pula merupakan pemenang bulan September. Pemenang untuk bulan Oktober pula ialah Lim Lay Hong dan akhirnya pemenang bertuah untuk dua bulan berturut-turut iaitu untuk bulan November dan Disember dimenangi Wan Zahifah Ishak.

Namun tuah berpihak kepada Wan Zahifah apabila dia akhirnya terpilih sebagai pemenang anugerah utama. Dia memilih Menara Eiffel di Paris, Perancis sebagai lokasi percutiannya.