Adsense

Selasa, 5 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tawaran berlakon masih banyak

Posted:

Tawaran berlakon masih banyak

Tawaran berlakon masih banyak

DALAM sebuah majlis yang berlangsung pada pertengahan tahun lalu, Noorkhiriah Shapie dilihat tampil dengan gaya yang berbeza apabila memakai penutup kepala sehingga menimbulkan tanda tanya ramai pihak.

Ketika ditemu bual oleh para wartawan, pelakon yang popular menerusi filem Papadom itu memberitahu dia sebenarnya masih lagi belum bertudung, tetapi sedang berjinak-jinak mahu menutup aurat.

Bagaimanapun, ketika hadir semasa sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, pelakon kelahiran Raub, Pahang itu mengakui dia kini memang sudah nekad untuk memakai tudung sepenuhnya.

"Walaupun sudah mula berjinak-jinak untuk melakukan perubahan terhadap penampilan, saya hanya bertudung sesekali sahaja dan masih lagi menerima tawaran lakonan yang tidak memerlukan saya supaya tidak bertudung.

"Namun, kini saya sudah bertekad mahu bertudung sepenuhnya dan tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Tidak dinafikan memang ada pihak yang mula memandang sinis terhadap penampilan saya ini, tetapi inilah keputusan saya sekarang," ujar ibu kepada dua orang anak itu.

Bercerita tentang perubahan yang berlaku terhadapnya dirinya itu, Noorkhiriah memberitahu semuanya bermula ketika dia bercuti bersama keluarga di Singapura pada 11 November 2011 sempena menyambut ulang tahun perkahwinanannya yang kelima.

Ujarnya, mulai saat itu tiba-tiba terdetik di hatinya agar dia perlu melakukan perubahan terhadap penampilan diri. Tanpa berfikir panjang dia telah membuat keputusan untuk bertudung sepenuhnya.

"Selama ini saya telah memperoleh rezeki yang banyak serta dikurniakan seorang suami yang baik dan dua orang anak. Namun, saya masih lagi tidak mengikut suruhan-Nya terutama sekali bab menutup aurat.

NOORKHIRIAH dilihat semakin jelita sejak menutup aurat.


"Berbanding beberapa rakan artis yang berhijrah setelah mengalami perkara yang pelik sehingga membuatkan mereka berubah, perubahan yang berlaku terhadap diri saya pula adalah atas kesedaran sendiri dan berkat doa suami," jelasnya.

Mengenai karier sebagai seorang pelakon pula, Noorkhiriah menjelaskan bertudung langsung tidak pernah membataskan dirinya untuk terus bergiat aktif dalam bidang lakonan.

Ujarnya lagi, sehingga kini dia masih lagi banyak mendapat tawaran berlakon, namun dia seboleh-bolehnya cuba untuk elak daripada melakukan adegan-adegan yang bersentuhan dengan lelaki.

"Sudah tentu rezeki itu tertakluk kepada kuasa Allah dan saya sangat bersyukur kerana rezeki dalam bidang lakonan masih lagi ada. Namun, dengan imej sekarang ini saya perlu menjaga batas semasa penggambaran.

"Selalunya saya akan berbincang dengan pengarah terlebih dahulu, misalnya kalau ada adegan bersentuhan. Malah, saya berasa sangat lega apabila pengarah dapat memahami kehendak saya," jelasnya.

Masih terima

Tidak dinafikan Noorkhiriah merupakan antara pelakon wanita tempatan yang sangat versatil dan mampu membawakan apa sahaja watak yang diberikan terutamanya dikenali ramai menerusi watak komedi.

Sebagai bukti pelakon berkenaan pernah menggondol anugerah Pelakon Komedi Wanita Popular selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2008, 2009 dan 2010.

SEBAGAI seorang wanita yang menjaga auratnya, Noorkhiriah kini tidak mahu melakukan adegan yang memerlukan dia bersentuhan dengan lelaki.


Menurutnya, biarpun kini sudah bertudung sepenuhnya, dia tidak terlalu selektif terhadap sebarang tawaran lakonan yang diterima, termasuk berlakon dalam drama atau telefilem komedi.

"Sekalipun saya kini sudah bertudung, tidak bermakna saya perlu memilih tawaran tertentu kerana lakonan merupakan kerjaya saya. Tidak kisah apa sahaja genre sama ada serius atau komedi, saya akan tetap memberikan lakonan yang terbaik.

"Lagipun yang berubah cuma penampilan saya sahaja, tetapi kerjaya saya sebagai pelakon masih lagi seperti biasa. Asalkan ada persefahaman dan toleransi antara saya dan pengarah, saya tidak kisah membawakan apa sahaja watak," jelas isteri kepada Azfaidzul Antan itu.

Ujarnya, jika selama ini dia lebih kerap memegang watak protagonis dalam lakonannya, Noorkhiriah juga sebenarnya mempunyai keinginan untuk membawakan watak hitam atau jahat sebagai satu bentuk cabaran baharu dalam kerjayanya.

Sona tak sempat bercinta

Posted:

Sona tak sempat bercinta

Sona tak sempat bercinta

SONAKSHI SINHA


LANTARAN terlalu sibuk melompat dari satu lokasi ke lokasi lain, Sonakshi Sinha atau Sona yang baru menyambut ulang tahun ke-25 memberitahu dia tak punya waktu untuk bercinta.

"Saya terlalu sibuk dan memberi fokus terhadap karier sampai tak sempat nak bercinta," ujar Sona yang baru selesai menjalani penggambaran lima buah filem selain terbabit dengan penggambaran iklan komersial.

Ujarnya lagi, dia kadangkala tidak mempunyai masa untuk diri sendiri, terutamanya sejak lapan hingga 10 bulan kebelakangan ini lantaran terlalu sibuk bekerja.

Mujur baru-baru ini, dia sempat meraikan ulang tahun dirinya itu bersama keluarga.

"Saya memang akan meraikan ulang tahun saya bersama keluarga dan teman rapat pada setiap tahun. Ia hanya sesi makan malam yang ringkas," ujar aktres tersebut.

Dalam pada itu, Sona juga berharap kariernya akan terus berkembang pada masa akan datang.

Ujarnya: "Saya mahu berlakon dalam filem yang lebih baik, mendapat karakter yang lebih mencabar dan menjadi aktres yang serba boleh."

Sepanjang tahun ini, Sona bakal muncul menerusi empat buah filem dengan dua daripadanya menyaksikan gandingan dirinya bersama Akshay dan masing-masing sebuah filem bersama Ajay Devgan dan Salman Khan.

Kak Pah berehat lima bulan

Posted:

Kak Pah berehat lima bulan

Kak Pah berehat lima bulan

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

KAK PAH mengakui mengalami tekanan perasaan kerana perlu tinggal di hospital selama 15 hari sepanjang dirawat akibat jangkitan kuman pada paru-parunya.


DUA minggu lepas, industri muzik tempatan dikejutkan dengan berita biduanita negara, Datuk Sharifah Aini yang telah dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman di paru-paru.

Namun ketika itu, Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah, tidak memberi sebarang respons terhadap berita tersebut. Perkembangan kesihatan Kak Pah hanya diberitahu melalui laman sosial Facebook oleh rakan baiknya, Khalilah Datuk Mohd. Talha.

Namun, pada konsert separuh akhir Mentor musim keenam yang berlangsung baru-baru ini, Kosmo! berpeluang menemui Kak Pah untuk mendapatkan cerita penuh mengenai keadaan sebenar yang dilalui Kak Pah ketika ditahan di wad sebuah hospital tempoh hari.

Kosmo!: Apa yang terjadi pada Kak Pah sehingga dikejarkan ke hospital?

KAK PAH: Sebenarnya saya menghidap jangkitan kuman pada paru-paru. Penyakit tersebut sebenarnya boleh menyerang badan kita secara tiba-tiba dan saya tidak tahu saya telah dijangkiti penyakit tersebut.

Adakah mungkin kerana anda terlampau kuat bekerja?

Ya, saya memang kuat bekerja. Tiga tahun saya tidak berehat daripada melakukan kerja. Ini kerana sejak tiga tahun lepas, saya telah menganjurkan sebanyak tujuh buah konsert dan persembahan. Kini saya terlibat sepenuh masa dengan sebuah syarikat badan bukan kerajaan, Islamic Aid. Jadi saya banyak merantau ke sana dan ke sini untuk menghantar bantuan. Jadi saya rasa saya telah menyeksa diri saya kerana tidak berehat. Badan saya tidak boleh lagi menerima sebarang tekanan.

Bagaimana kondisi anda pada ketika itu? Apa kata doktor?

Saya tidak boleh bernafas. Semasa pergi melakukan gema pengimejan magnetic (MRI), mereka masukkan saya ke wad kecemasan. Paru-paru saya semua sudah berjangkit kuman dan saya dimasukkan ke Hospital Pakar Damansara.

Apabila perkara seperti ini berlaku, mungkin terdetik penyesalan kerana tidak menjaga kesihatan?

Saya terasa (kesal) juga kerana telah menyeksa badan saya. Memang saya terlalu letih.

Adakah Mentor 6 ini merupakan aktiviti terakhir sebelum anda berehat sepenuhnya?

Ya. Selesai Mentor, saya akan berehat selama lima bulan dan perlu penjagaan rapi. Sebenarnya sekarang pun saya sedang menerima rawatan dan setiap lima hari saya perlu ke hospital untuk membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap paru-paru saya.

Apa nasihat doktor kepada anda selepas perkara seperti ini berlaku?

Doktor menasihati saya untuk berehat. Saya berada di hospital selama 15 hari dan baru sahaja keluar tadi. (semasa Mentor 6 separuh akhir). Saya tidak pernah dapat rehat yang sebegitu. Dapat tidur, dapat berehat sepenuhnya.

Ada anda terfikir sesuatu yang tidak elok akan berlaku semasa tiba-tiba sakit tempoh hari?

Sejujurnya, bila saya terlalu sakit tempoh hari, rasa seperti mungkin sudah tiba masanya untuk saya pergi. Cuma saya minta pada Allah, agar Aliff dapat pulang untuk imamkan jenazah saya. Itu yang terlintas dalam fikiran saya. Saya reda kerana jika memang betul sudah sampai masanya saya untuk pergi. Namun, Alhamdulillah, saya masih diberikan umur yang panjang.

Mengapa ketika anda masuk hospital, tidak mahu kongsi dengan semua tentang keadaan anda?

Ketika saya berada di Unit Rawatan Rapi, saya tidak mahu orang membuat spekulasi. Apabila cerita ini keluar, mungkin semua akan panik dan itu menambahkan tekanan semua orang. Saya tidak mahu mereka di luar sana terlalu risau akan keadaan saya. Saya juga bukan muda lagi, saya telah pun berumur 58 tahun. Jadi apabila perkara seperti ini berlaku, ia boleh menimbulkan pelbagai reaksi.

Seperti minggu lepas, apa yang memberikan anda kekuatan untuk datang juga menjadi juri ke konsert Mentor 6. Walaupun ketika itu, kelihatan tangan anda masih mempunyai jarum yang dicucuk dari hospital?

Sebenarnya, saya sudah tertekan tinggal terlalu lama di hospital. Saya meminta kebenaran untuk hanya keluar selama lima jam. Saya rasa seronok juga kerana saya perlu meninggalkan wad untuk seketika.