Harian Metro: Rap |
Posted: 29 Jun 2012 06:32 AM PDT MUNGKIN kita sudah biasa melihat pengacara TV wanita yang popular diketengahkan dalam sesi fotografi bagi muka depan majalah dan akhbar namun peluang itu agak jarang diberikan kepada pengacara lelaki. Sebagai suatu kelainan, sisipan Rap dalam Harian Metro kali ini menggandingkan dua hos Nasil Lemak Kopi O (NLKO) yang semakin popular dan selalu menceriakan suasana pagi Jumaat hingga Ahad di kaca TV9. Mereka tidak lain daripada pengacara program bual bicara pagi popular, Luqman Hakim Abd Malik, 30, dan rakannya, Muhammad Azmir Selamat atau AG Hot FM, 32. Selain mereka berdua rancangan itu juga menonjolkan seorang lagi hos yang ramah, aktor kacak Fizo Omar yang muncul mengikut kelapangan waktunya untuk menyampaikan pelbagai informasi menarik kepada penonton setia rancangan itu. Terbit pula persoalan adakah pemilihan mereka sebagai hos itu lebih bersandarkan aura 'macho' memandangkan masing-masing berwajah kacak dan menarik.
"Tidak dinafikan 'macho' itu penting bagi seseorang pengacara lelaki namun lama kelamaan saya menyedari 'macho' saja tidak memadai kalau kita tidak pandai menguasai suasana dan mengulas isu yang sedang dibincangkan. Ia perlulah seiring dengan IQ supaya penonton lebih yakin dan bersemangat untuk menyaksikan pengacaraan kita setiap kali bersiaran," katanya. Bagi AG pula, 'macho' itu penting namun perlulah mengikut kesesuaian masa dan tajuk yang dibincangkan. Sebagai contoh, jika ketika itu semua orang sedang bergelak ketawa dengan sesuatu isu yang diketengahkan, tidak perlulah baginya untuk 'control macho' dan lebih baik bersikap santai saja. "Setiap lelaki ingin kelihatan 'macho' di depan semua orang apatah lagi kalau muncul di kaca TV tapi betul macam Luqman cakap, ia biarlah selari dengan keadaan jangan pula ketika orang sedang suka-suka kita pula menunjukkan muka 'control macho', ia pastinya membuatkan orang rasa menyampah!" katanya. Berkongsi pengalaman melayan kerenah peminat wanita, Luq mengakui pernah diganggu peminat misteri yang mengakui dia adalah kekasih Luq dan kerap menghantar mesej berbaur cinta di facebook (fb) peribadi miliknya dan NLKO. "Selama tiga hingga empat bulan pada awal mengacarakan NLKO saya kerap diganggu peminat misteri yang mengaku saya pernah menjadi kekasihnya, sedangkan saya tidak kenal siapa dia. Selepas diselidik dia adalah seorang mak nyah yang meminati saya malah isteri yang mengetahui kejadian ini hanya tertawa," katanya. Berbeza dengan AG, dia bersyukur selama menceburi bidang glamour ini tidak pernah sesekali diganggu peminat misteri atau gila. Malah peminat sentiasa menghormati dirinya sebagai seorang selebriti. "Alhamdulillah saya bersyukur, tidak pernah diganggu dengan perkara-perkara aneh dan peminat hanya meminati saya sebagai seorang penyampai radio dan pengacara TV. "Isteri saya juga memahami kerjaya saya sebagai seorang 'public figure' yang harus berdepan dengan ramai pihak. Dia adalah isteri dan peminat nombor satu saya yang sentiasa memberi teguran dan komen membina," katanya. Selain, menjadi pengacara, Luqman yang mesra dengan panggilan Luq, turut menggalas tanggungjawab sebagai penerbit NLKO. Dia ternyata seorang yang ramah dan lekas mesra dengan semua orang. Namun katanya kalau tidak bertugas di depan kamera, dia sebenarnya lebih suka berdiam dan tersenyum. "Cabaran yang diberikan kepada saya oleh TV9 adalah sangat hebat kerana ini adalah pengalaman pertama saya menggalas dua tanggungjawab besar iaitu menjadi penerbit NLKO dan pada masa sama perlu mengacarakan sendiri program berkenaan. "Banyak aspek harus saya teliti bagi mendapatkan isu semasa yang menarik di samping mencari keserasian bersama tenaga kerja lain di dalam dan luar studio. "Namun saya bersyukur, pengalaman bekerja bersama AG yang pernah mengacarakan program Malaysia Hari ini (MHI) banyak memberi idea kepada saya agar lebih pantas memancing dan mengulas isu-isu semasa melalui program ini. "AG seorang yang terbuka dan bersahaja mengendalikan program seperti mana juga tugasnya di Hot FM. Kami kena fokus dan peka sepanjang masa bagi menghidupkan program ini agar penonton tidak bosan dan menukar siaran lain," katanya. Bekas pelajar jurusan Ijazah Komunikasi & Pengajian Media (Pengiklanan) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini sudah hampir setahun menjadi penerbit dan pengacara program NLKO. Katanya, pengalaman menerbitkan program seperti itu cukup bermanfaat agar dapat digunakan satu hari nanti andai kata dia beralih angin. "Saya cukup gembira sepanjang bersama NLKO kerana kerjasama 'teamwork' yang diberikan oleh semua petugas banyak melancarkan tugas saya. "Pengalaman membaca berita di saluran ESPN dan Bernama dulu juga turut saya praktikkan sepanjang mengacarakan NLKO. Walaupun selalu muncul di kaca TV, kadangkala perasaan gementar masih dirasai apabila sedang ke udara," ujarnya. Terkenal dengan iklan Bank Rakyat dan ubat berhenti merokok, Niquotine, ayah kepada dua anak perempuan, Cahaya Raisya, 4, dan Dahlia Raisya, 1, ini berkata, dari sudut lakonan, jiwanya lebih sesuai menjadi pelakon iklan berbanding drama atau filem. Hakikat ini kerana, berlakon iklan tidak mengambil masa terlalu panjang dan hanya perlu dua atau tiga hari saja di lokasi penggambaran sedangkan berlakon drama memerlukannya lebih daripada seminggu atau lebih lama di set. Menurut jejaka yang berasal daripada Ampang, Kuala Lumpur ini sikapnya yang suka menepati masa membuatkan dia sering menolak tawaran berlakon kerana bimbang kelewatan mana-mana pihak ke set penggambaran boleh merosakkan 'mood' sesama pelakon. "Saya pernah cuba berlakon beberapa drama dan ia memenatkan. Selepas itu saya lebih banyak memberi fokus terhadap iklan komersial dan menyumbang suara (VO) untuk iklan televisyen dan radio. "Bukan tidak suka berlakon tapi sikap saya yang tidak tahan menunggu lama-lama. Kalau 'mood' saya terganggu nanti bimbang pula ia menimbulkan rasa kurang senang orang di sekeliling kita. Justeru saya lebih selesa bekerja di belakang tabir seperti menjadi penerbit atau mengacara saja," katanya. Berbeza pula dengan AG, dia akui dia lebih selesa memberi fokus terhadap kedua-dua pekerjaannya iaitu mengacara di TV dan radio. Menurutnya, hampir 12 tahun dia bertugas di konti dia sudah bersatu dengan dunia radio. Dia sangat menghargai kerjayanya yang gembira mendapat sokongan daripada ramai pihak terutamanya ahli keluarga. "Selepas habis belajar di Yayasan Pelajaran Johor, saya memulakan kerjaya sebagai penyampai radio di Best 104.1 di Johor dan kemudian menimba pengalaman selama enam bulan di Fly FM sebelum beralih kepada Hot FM," katanya. Bagi tugas pengacaraan pula, ayah tiga anak lelaki, Muhammad Aeril Aqmar, 7, Muhammad Arraz Ammar, 5, dan Muhammad Aqriz Anmar, 2, ini lebih selesa memberi fokus terhadap NLKO yang banyak memberi pengalaman kepadanya untuk menjadi seorang pengacara yang berilmu dan tidak syok sendiri. "Bekerja dengan Luq bukanlah masalah buat saya kerana dia seorang yang boleh menerima pandangan malah bersikap terbuka dalam apa juga keadaan. "Tidak dinafikan sebagai penerbit dia mahu belajar banyak perkara namun sikap Luq yang boleh menerima setiap pandangan orang lain memudahkan lagi kelancaran tugas kami di depan dan belakang kamera," katanya. Jejaka kelahiran Jawa yang dibesarkan di Johor Bahru ini turut berkongsi cerita yang dia pernah mendapat tawaran berlakon dan memegang watak utama namun cinta yang lebih terhadap penyampai radio dan pengacara tidak membuka hatinya kepada tawaran itu. "Bukan tidak mahu ikut jejak langkah kawan seangkatan saya seperti Fara Fauzana dan Faizal Ismail tapi biarlah saya fokus dengan dua tugas sekarang. "Kalau nak suruh berlakon pun biarlah sekadar watak kecil tapi kalau ditawarkan peranan besar itu memang menyeramkan saya," katanya sambil ketawa. |
Posted: 29 Jun 2012 06:12 AM PDT TIADA wanita ingin bergelar janda atau ibu tunggal, apatah lagi pada usia sudah mencecah 53 tahun serta bergelar nenek. Namun, itulah suratan takdir dan nasib yang harus diakui penerbit filem terkenal, Raja Azmi Raja Sulaiman apabila mahligai rumah tangga berusia 28 tahun akhirnya musnah akibat musibah. Bukan faktor kecurangan yang menjadi kemelut kepincangan hubungan Raja Azmi dan bekas suaminya, Mohamed Jalani Mohamad Sidek atau Jalani, 48. Namun, bebanan tekanan dan konflik berpanjangan melanda kebahagiaan rumah tangga mereka tatkala tohmahan dan fitnah berleluasa yang dilemparkan. Wanita mana yang mampu bersabar untuk terus menepis segala fitnah yang ditabur, lebih-lebih lagi apabila si suami dituduh sebagai lelaki dayus. Enggan lagi bertahan dan selepas memikirkan semasak-masaknya, pasangan yang memiliki tiga orang anak ini mencapai kata sepakat untuk meleraikan ikatan sah mereka. Justeru, pada Rabu lalu di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur, tepat jam 3.30 petang, berakhirlah ikatan perkahwinan antara Jalani dan Raja Azmi dengan talak satu di hadapan hakim syarie, Shaiful Azli Jamaludin. Pasangan yang hadir bersama itu turut ditemani anak kedua mereka, Puteri Suaida, 23, dan peguam, Roslizam Rahim.
"Kami akan tetap berhubungan baik demi anak-anak walaupun sudah tidak hidup bersama. Malah, semoga tiada lagi fitnah dan cerita kontroversi terjadi dalam hidup saya. Biarpun, kini memilih jalan hidup sendiri, namun saya akan tetap aktif berkarya dalam bidang seni hiburan tanah air," katanya tenang. Menyentuh soal dugaannya selepas bergelar janda, Raja Azmi berkata, dia akan berusaha menghadapinya dengan tabah. Pun begitu, ujarnya takkan pada usia sepertinya, dia akan melalui dugaan hebat. Pada pertemuan itu juga, Raja Azmi meluahkan rasa terkilannya terhadap laporan media yang mengaitkan dia pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010. Ujarnya, perkara itu juga adalah fitnah kerana dia tidak pernah ditangkap khalwat sepanjang hidupnya. "Ini juga satu fitnah kepada saya. Selama ini, saya sudah berhadapan dengan pelbagai tekanan berat akibat daripada konflik berpanjangan ini. Pelbagai fitnah dan tohmahan buruk sudah dilemparkan kepada saya. Justeru, biarpun perceraian ini adalah ketentuan takdir kami tetapi ia terjadi disebabkan bahana fitnah yang dibuat. "Saya sangat sedih dan kecewa. Tetapi, inilah jalan terbaik untuk rumah tangga kami dan saya menerimanya dengan reda. Pada saya, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi ini," katanya. Menurut penerbit filem Black Widow Wajah Ayu, Cinta 200 Ela dan... Dalam Botol ini, dia menerima perceraian itu dengan hati yang terbuka selepas berfikir dengan lama sejak Februari lalu. Katanya persetujuan perceraian itu dibuat atas kesepakatan bersamanya dan Jalani. Mengimbau kenangan lalu, Raja Azmi yang juga seorang bekas pramugari bernikah dengan Jalani (bekas jaguh beregu badminton negara) di Taiping, Perak, pada 23 Disember 1984. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga anak - Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18. Kini, mereka mempunyai seorang cucu, Mohd Akid Mohd Shadan, 1. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |