Adsense

Sabtu, 16 Jun 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Ramona rela ketinggalan

Posted: 15 Jun 2012 09:27 AM PDT

DEMI memenuhi harapan ibu bapanya yang mahu Ramona Zam Zam, 22, menjadi insan terpelajar, dia sanggup mengorbankan keinginannya sendiri. Dia banyak mendapat tawaran untuk melakonkan watak utama, tetapi dengan rela hati terpaksa menolaknya dan minta diberikan watak kecil saja kerana tidak mahu mengganggu jadual pengajiannya di Kolej Segi dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan pada peringkat diploma.

Menurut Ramona, dia tidak kesal jika perjalanannya dalam dunia lakonan agak perlahan jika dibandingkan dengan rakan seangkatannya seperti Anzalna, Neelofa ataupun Izara Aishah kerana dia ada tujuan lain dalam hidupnya selain berlakon.

Meskipun begitu, dia bersyukur kerana tawaran berlakon selalu ada dan peminat mula mengenalinya. Antara drama lakonannya, Nilapura, Begitukah Cinta, Nora Elena dan Kali Kedua.

Dramanya yang lain bakal disiarkan Tart Untuk Kakak, Tanah Kubur, Cikgu Kemisah Kirby, Chef Cinta dan Jangan Tak Pulang (drama raya). Filem sulung lakonannya pula Sepah The Movie.


"Saya rela ketinggalan daripada mereka kerana saya tak mahu pelajaran saya terjejas. Saya meminati dunia seni sejak kecil, tetapi saya juga perlu menghormati dan memenuhi harapan emak serta ayah. Ketika masih bersekolah, mereka tahu saya meminati bidang seni dan tidak pernah menghalang asalkan saya tidak mengabaikan pelajaran.


"Ketika belajar dalam tingkatan dua, saya berlakon dalam filem Castello terbitan Suhan Movies memegang watak bernama Juliet, tetapi selepas itu saya berhenti kerana emak dan ayah mahu saya memberi tumpuan kepada pelajaran terlebih dulu. Selepas habis peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), barulah saya kembali ke pentas lakonan.

"Bagaimanapun, selepas diterima masuk ke kolej, saya terpaksa memperlahankan rentak kerana tak mahu kesibukan berlakon mengganggu pengajian. Hanya ada satu semester saja lagi dan insya-Allah pengajian akan tamat pada September ini. Saya bercadang untuk menyambung pengajian pada peringkat seterusnya dan ada juga terfikir untuk menimba pengalaman belajar di luar negara.

"Apa yang saya lakukan ini adalah demi masa depan saya kerana sedalam mana pun rasa cinta saya terhadap dunia seni, pasti suatu hari nanti akan bernoktah jua. Dengan adanya pendidikan saya tidak perlu bimbang lagi kerana saya boleh menggunakan ilmu yang ada pada bila-bila masa saya," katanya.

Tambah Ramona, watak wanita baik sentiasa melekat dengan dirinya seperti wanita dianiaya dan ditipu suami.

"Ada yang kata, wajah saya ini nampak baik dan watak itu sesuai dengan saya. Sebenarnya saya lebih suka membawakan watak jahat kerana banyak aksi yang boleh saya pamerkan kerana kalau pegang watak baik, ia macam itu sajalah.

"Pun begitu saya pernah juga diberikan watak pelajar kolej, jadi ibu dan anak yang nakal. Kebanyakan watak sudah dicuba tetapi watak idaman saya ialah pembunuh psiko. Saya suka menonton filem seram dan drama penyiasatan Inggeris dan daripada situlah saya idaman watak sebagai sebegitu.

"Saya dapat rasakan mesti menarik kalau pelakon wanita yang membawakan watak itu. Kepada pengarah di luar sana, saya sedia mencuba apa saja watak," katanya.

Walaupun Ramona atau pemilik nama sebenar Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, dibenarkan orang tuanya menjadi anak seni tetapi mereka tidak melepaskannya begitu saja, bebas melakukan apa sapa sesuka hatinya.

"Saya sangat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh emak dan ayah. Walaupun ayah seorang yang tegas tetapi pada masa sama dia juga 'sporting' dan tidak pernah menghalang minat saya malah sentiasa memberikan sokongan.

"Sebelum saya bergelar artis, emak yang berkhidmat sebagai guru di Ipoh, Perak. Selepas saya berlakon, ayah minta emak bertukar mengajar di Kuala Lumpur (KL) kerana ayah tidak mahu saya tinggal seorang diri di KL, bimbang orang akan mudah menabur fitnah terhadap saya dan dia juga mahu keselamatan saya terjamin.

"Sampai ke tahap itu emak dan ayah sanggup berkorban kerana saya. Jadi sebagai balasan saya kena menjaga diri dan nama baik mereka. Itu jugalah yang diminta
oleh ayah agar tidak menconteng arang ke muka orang tua. Apabila tinggal dengan emak saya pun rasa selamat.

"Ayah yang sekarang bertugas sebagai Pengurus Kem PLKN Sentosa, Tapah, Perak terpaksalah berjauhan dengan emak seketika. Ayah akan balik ke KL dalam dua tiga hari sekali, " kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Sempena sambutan Hari Bapa esok, Ramona bercadang untuk membawa keluarganya keluar makan malam. Dia juga mendoakan agar bapanya sentiasa sihat walafiat, dipanjangkan usia, dilapangkan rezeki, diberi kebahagiaan dunia dan akhirat serta diberkati Allah selalu.

"Tiada orang lain sebaik dan semulia hati ayah. Dia sanggup berkorban untuk melihat anaknya bahagia," katanya.

Seperkara lagi yang menarik mengenai pelakon jelita ini, selain bahasa Inggeris dia juga fasih berbahasa Mandarin dan Hokkien kerana belajar di sekolah Cina sejak tadika lagi.

"Saya juga boleh menulis dalam bahasa Cina dan ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik, Manjong, Perak saya menduduki peperiksaan SPM untuk kertas bahasa Cina," katanya yang melaram dengan baju dari butik O'oi Couture.

Harapan bapa

SEJAK kecil lagi bapa Ramona, Mohd Zam Zam Mohd Ashraf, 64, menyedari minat anaknya dalam bidang seni dan dia tidak sampai hati untuk menghalangnya. Namun sebagai bapa, dia selalu mengingatkan anak kesayangannya itu supaya berhati-hati.

"Saya tidak menghalangnya berlakon tetapi jangan lupakan pelajaran kerana itu aset penting dalam hidup kita. Saya mahu dia jadi insan terpelajar. Dalam bidang seni pula saya harap dia dapat mengikut jejak langkah Datuk Siti Nurhaliza yang bijak menjaga imej dan penampilan. Seorang lagi artis yang menjadi kebanggaan saya ialah Rosyam Nor. Mereka adalah dua anak seni yang berjaya dalam kerjaya dan juga kehidupan," katanya.

Menurut Zam Zam, sejak kecil Ramona juga suka membaca terutama novel Inggeris dan mengikut minat ibunya (Rusmawati Mohd Yusof, 52) suka melukis.

"Kalau kita bawa dia ke pusat beli belah, senang kerana kalau dia terjumpa kedai buku, dia akan ambil buku dan duduk di satu sudut membacanya sehingga habis. Apabila saya dan ibunya selesai membeli barang, kami akan mencarinya di situ. Oleh kerana dia terlalu suka membaca, setiap hari diminta belikan buku.

"Sampai sekarang dia tidak boleh tinggalkan hobinya membaca. Sebagai bapa, saya selalu mendoakan kesejahteraan, kejayaan dan kebahagiaannya serta dikurniakan jodoh yang baik," katanya yang pandai bermain silap mata.




Kepincangan serius

Posted: 15 Jun 2012 08:35 AM PDT

KEMELUT dan pergolakan dalam Persatuan Seniman Malaysia nampaknya semakin tegang apabila Persatuan Kebajikan Artis Veteran (PKAV) akhirnya sebulat suara membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang petang kelmarin kerana mendakwa Mesyuarat Agung ke-14 (AGM14), Persatuan Seniman yang berlangsung 26 Mei lalu sebagai tidak sah dan AJK dilantik juga digantung sehingga saluran undang-undang memutuskannya.

Keadaan menjadi semakin panas apabila Presiden Seniman (yang dilantik pada AGM14), Zed Zaidi didakwa mengeluarkan kenyataan di laman sosial facebook dan blog, kelmarin dengan menganggap tindakan kumpulan artis veteran yang mendakwa AGM14 sebagai tidak sah sebagai 'firaun kecil.'

Wakil PKAV yang juga bekas Bendahari Seniman dan artis veteran Abu Bakar Omar, 63, berkata, pihaknya membuat laporan polis itu selepas berbincang dan sebulat suara dengan lebih 30 artis veteran demi menegakkan keadilan. Antara artis veteran yang hadir ialah Seniwati Mariani, Kuswadinata, Zulkifli Zain, Datuk Aziz Satar, Kismah Johar, Sharifah Aminah, Sabree Fadzil dan ramai lagi.

"Memang saya tiada latar belakang undang-undang tapi keputusan yang kami buat ini adalah hasil perbincangan dengan artis veteran dan mendapat nasihat daripada pihak peguam yang dilantik.


"Saya ingin tegaskan sekali lagi, kami bukannya mempertikaikan pelantikan Zed sebagai Presiden Seniman sebaliknya kami ingin membanteras penyelewengan dan kepincangan serius yang berlaku dalam persatuan yang belum selesai sampai hari ini.


"Sama ada AGM14 itu sah atau tidak, kami serahkan kepada, pihak polis, pendaftar pertubuhan dan peguam untuk menjalankan siasatan selanjutnya. Apapun yang berlaku nanti biarlah pihak mahkamah dan undang-undang yang menentukannya," katanya.

Mesyuarat tergempar artis veteran yang turut disertai wakil peguam yang dilantik berkumpul di gerai berhampiran sebelum berarak ke Balai Polis Taman Melawati untuk membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya. Kandungan laporan pihak polis yang dibuat kumpulan artis veteran itu ialah transaksi jual beli hartanah yang meragukan (pembelian bangunan di Setapak dengan kos RM330,000), penipuan pendapatan program Bazar Ramadan Seniman, pemalsuan minit mesyuarat Persatuan Seniman ke-13, pemalsuan pindaan perlembagaan persatuan dan perjalanan AGM14 yang tidak sah.

Ditanya sama ada pihaknya bimbang dengan tindakan susulan Zed selepas laporan polis berkenaan, Abu Bakar berkata, pihaknya percaya mereka berada di pihak yang benar.

"Jika dia hendak mengambil tindakan ke atas kami, terpulanglah. Kami buat perkara yang kami fikir betul. Sebenarnya, saya memang tidak suka berada di depan tapi selepas mendapat restu daripada isteri dan anak-anak, saya tampil ke depan untuk membetulkan kepincangan yang berlaku dalam Persatuan Seniman," katanya.

Mengenai pelbagai kenyataan yang dikeluarkan Zed yang menganggap artis veteran sebagai parasit dan 'firaun kecil', Abu Bakar menegaskan ia adalah perbuatan yang melampau batas dan menghina golongan artis veteran di negara ini.

"Sepatutnya dia fikir dulu sebelum keluarkan kenyataan yang mengguris hati artis veteran seperti kami. Dia tak fikir ke dia sudah samakan kami artis veteran dengan firaun yang juga raja paling zalim di dunia?

"Justeru, saya berasa sedih dan sangat simpati padanya. Dia harus ingat, artis muda sepertinya perlu menghormati artis veteran dan belajar ilmu dengan orang lama yang lebih dulu makan garam seperti kami.

"Apapun, saya berharap, isu ini segera selesai dan keadaan kembali pulih semula dalam Persatuan Seniman yang memperjuangkan nasib artis tempatan," katanya.

Sementara itu, hasil tinjauan Rap, rata-rata artis veteran sepakat bahawa pucuk pimpinan Persatuan Seniman perlu diterajui artis veteran yang cukup berpengalaman luas dan ada karisma untuk memperjuangkan golongan artis.

"Contohnya, seperti mantan presiden terdahulu, Datuk Mustapha Maarof yang cukup berkarisma dan dikenali ramai semua golongan masyarakat termasuk golongan menteri.

"Jangan anggap memegang jawatan sebagai Presiden untuk mencari nama dan publisiti kerana tanggungjawab dan amanah sebagai presiden Persatuan Seniman cukup besar kerana ia mewakili golongan artis lama dan baru serta bidang seni keseluruhannya.

"Saya tidak nafikan Persatuan Seniman juga memerlukan pembabitan artis baru sebagai pelapis untuk sama-sama berganding bahu dengan orang lama dan membantu meneruskan perjuangan artis veteran yang kini meniti usia emas mereka sekali gus sama-sama memartabatkan bidang seni tempatan," katanya.

Pada masa sama, Zulkifli meminta supaya keahlian dan syarat-syarat untuk menjadi ahli Persatuan Seniman perlu dirombak semula selaras dengan kredibiliti misi persatuan yang sudah ditubuhkan sejak 34 tahun lalu itu.

"Mungkin ada yang terlepas pandang, golongan Seniman itu luas skopnya dan bukan sekadar penyanyi dan pelakon semata-mata. Saya tidak faham kenapa orang yang 'pegang tombak' atau 'pak pacak' dalam drama diiktiraf sebagai seniman?

"Saya sendiri berasa malu untuk menganggap diri sebagai seniman walaupun sudah diiktiraf sumbangan saya dalam bidang seni pada Anugerah Hari Seniman sebelum ini," katanya.

Manakala, Kismah pula menganggap Zed lebih sesuai untuk memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden kerana masih banyak ilmu kepimpinan yang perlu dipelajarinya sebelum memegang jawatan Presiden.

"Saya juga berasa sedih dan kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkannya ketika ini kerana ia tidak menghormati artis veteran seperti kami. Dia harus ingat jika dia membelakangkan kami, bila dia tua satu hari nanti dia akan menerima nasib yang sama. Ingatlah dia juga akan tua dan menjadi artis veteran satu hari nanti.

"Memang dia ada pendidikan akademik dalam jurusan undang-undang tapi ia belum cukup pengalaman untuk memimpin persatuan.

"Banyak ilmu yang perlu dipelajarinya daripada orang lama seperti kami terutama dengan mantan presiden terdahulu," katanya.