Hip
ZIZAN akan kembali sibuk pertengahan Julai.
BARU saja keluar dari hospital kerana mengalami radang otot, artis pelbagai bakat ini kembali menjalankan tugas walaupun diarahkan doktor untuk berehat sebaik-baiknya selama dua bulan. Dalam tempoh itu dia diminta tidak melakukan kerja berat. Namun, atas rasa tanggungjawab, Pengacara TV Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, Zizan Razak, masih ke lokasi penggambaran menjayakan tugasnya sebagai pelakon.
Ditemui di lokasi penggambaran Tokan di Jonker Street, Melaka, baru-baru ini, Zizan yang menghidupkan watak Mat Lobe, masih kelihatan tidak bertenaga. Namun, demi kerjaya, digagahkan juga kerana dirinya, jadual penggambaran filem itu terganggu.
Zizan dilihat agak sensitif apabila perihal kesihatannya disentuh. Apabila ditanya, dia hanya menjawab dirinya sihat dan tidak mengalami apa-apa masalah. Siapa tahu apa yang terselindung di sebalik riak wajah pengacara yang semakin meningkat popular ini. Mana tidaknya, Zizan terlalu komited dengan aktiviti seninya sehingga tidak putus menerima tawaran kerja.
Zizan dimasukkan ke Hospital Pantai Medical Centre pada 29 April lalu kerana mengalami kekejangan di bahagian otot belakang badannya. Ketika itu Zizan baru memulakan perjalanan ke Ipoh, Perak, bagi menjayakan rancangan Melodi. Ditahan di wad selama beberapa hari, Zizan diberikan protein, vitamin, antibiotik serta diarahkan mengambil makanan tidak bergoreng. Sebelum itu, Zizan berada dalam keadaan kurang sihat, apabila dia sering batuk dan sengal-sengal badan.
Seperti kata pengurusnya, Marina Juki, yang turut hadir menemani, seboleh-bolehnya Zizan tidak mahu mengembar-gemburkan masalah kesihatannya kerana tidak mahu merisaukan banyak pihak. Dia juga berasa bersalah jika dirinya tidak untuk menunjukkan persembahan yang baik kerana sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kepada kerjayanya.
Zizan sudah beransur pulih, namun dia masih memerlukan rehat secukupnya. Justeru, selepas tamat penggambaran filem Tokan arahan Ghaz Abu Bakar, yang berbaki beberapa hari lagi, Zizan akan berehat selama dua bulan. Dia hanya akan kembali sibuk dengan penggambaran filem pada pertengahan Julai.
Dalam tempoh dua bulan itu, Zizan hanya akan menjayakan dan menghadirkan diri ke majlis tertentu.
"Seperti dikatakan doktor, jika Zizan memaksa diri untuk terus bekerja keras tanpa rehat secukupnya, dia boleh diserang demam panas, secara tidak langsung memberi kesan lebih teruk kepada dirinya.
"Oleh itu, buat sementara waktu Zizan tidak akan terbabit dengan mana-mana penggambaran filem atau telefilem, sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai hos Melodi, peserta Super Spontan, dan menghadiri beberapa majlis anjuran Mutiara Motors memandangkan Zizan ialah duta kepada M7 serta aktiviti yang diadakan Rempit United sebagai ahli. Kemungkinan Zizan akan pergi bercuti," ujarnya.
Zizan sendiri mengaku, dari hujung bulan ini hingga pertengahan Julai, dirinya akan terbabit dalam beberapa majlis penting saja.
"Bukannya saya berehat terus, tapi hanya buat seketika. Sekarang saya juga perlu memilih kerja dan hanya menerima yang penting saja. Saya suka bekerja dan perkara yang terjadi ini tidak boleh saya elak. Bukannya saya tidak memilih sebelum ini, tapi aktiviti yang saya lakukan ini sudah dijanji sejak tahun lalu. Bagaimanapun saya mesti buat kerana ia rezeki saya.
"Selain itu, saya juga akan fokus dengan aktiviti produksi saya sendiri, Zizan Co. Sebagai artis Astro, saya akan tampil dengan program saya sendiri, tapi ia masih dalam perbincangan. Saya akan tampil dengan persembahan TV dihasilkan produksi saya. Perancangan itu sudah ada, tapi penggambaran saja belum dilakukan," katanya yang akan muncul bersama filem Mael Lambong The Movie pada 21 Jun nanti.
Zizan dimasukkan ke Hospital Pantai Medical Centre pada 29 April lalu kerana mengalami kekejangan di bahagian otot belakang badannya. Ketika itu Zizan baru memulakan perjalanan ke Ipoh, Perak, bagi menjayakan rancangan Melodi. Ditahan di wad selama beberapa hari, Zizan diberikan protein, vitamin, antibiotik serta diarahkan mengambil makanan tidak bergoreng. Sebelum itu, Zizan berada dalam keadaan kurang sihat, apabila dia sering batuk dan sengal-sengal badan.
Sementara itu, berbicara mengenai kesanggupan dirinya menerima tawaran lakonan dalam filem Tokan terbitan Pensil Pictures, Zizan menyifatkan wataknya dalam filem itu berbeza. Menghidupkan watak Mat Lobe, Zizan menggemari watak yang dikatakan mencabar kredibilitinya sebagai pelakon, kerana ia memerlukan dia tampil serius dan berbeza.
"Sebenarnya saya takut juga dengan penerimaan orang ramai nanti mengenai pembaharuan yang saya bawa. Saya membawakan watak serius, sebagai seorang tokan dan bermain dengan komedi yang gelap, di mana saya tidak perlu berlawak untuk membuatkan orang tertawa," ujarnya yang teruja dapat berlakon bersama pelakon berbakat besar seperti Soffi Jikan, Pekin Ibrahim, Johan As'ari dan Liyana Jasmay.
Filem Tokan menyelami kisah pengedaran dadah yang semakin berleluasa kini, apabila kegiatan ini semakin menjerat ramai rakyat tempatan.