Adsense

Jumaat, 4 Mei 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Moga damailah di sana

Posted: 03 May 2012 03:56 PM PDT

Hip

SIAPA sangka hasrat mahu 'pergi jauh' yang disuarakan Bob Kuman atau nama sebenarnya, Husni Mohd Rawi, 40, secara gurauan, rupa-rupanya membawa maksud lebih mendalam iaitu hendak meninggalkan dunia ini buat selamalamanya.

Vokalis Search, Amy, yang juga antara rakan baik Bob, amat terkilan apabila permintaan untuk mendapatkan MP3 Search tidak dapat ditunaikan.

"Dia ada meminta MP3, tetapi sampai sekarang saya belum berpeluang memberikannya. Memang terkilan sangat. Kadang-kadang saya ada hubungi dia. Waktu sakit, dia boleh bergurau lagi. "Malah baru-baru ini dalam perbualan di telefon, dia meluahkan perasaan nak pergi jauh. Tak sangka, perkara yang saya sangka gurauan ialah petanda dia hendak meninggal dunia," katanya yang ditemui di rumah keluarga Allahyarham, semalam.

Pelawak, pelakon dan penyanyi itu meninggal dunia di rumahnya, di Seksyen 11, Kota Damansara, Petaling Jaya, jam 4.38 petang, semalam, berikutan komplikasi jantung, darah tinggi dan paru-paru berair.

Adik Allahyarham, Syahrin Madzmin, berkata Bob meninggal dalam tidur berikutan komplikasi penyakit yang dihadapi dan keadaan itu disedari isterinya yang cuba mengejutkannya.

Teman rapat Allahyarham, Mazlan Ahmad, berkata pemergian Bob memang amat mengejutkan.
"Saya terkejut mendengar berita Bob meninggal dunia sebab sebelum ini saya hanya mendengar khabar angin yang sengaja disebarkan pihak tertentu. Apabila ada yang mengesahkannya, saya sedih sangat sebab saya sudah lama kenal Bob.

"Dia memang kawan yang pandai ambil hati," katanya yang pernah sama-sama berlakon dengan Allahyarham dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak arahan Ahmad Idham.

Suasana pilu menyelubungi kediaman Allahyarham, malah emak, Khatijah Yasin, 69, dan isteri Allahyarham, Norma Othman, 29, enggan ditemubual. Turut tidak dapat menahan kesedihan ialah rakan artis yang paling akrab dengannya, Saiful Apek.

Antara yang menziarah ialah Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Harun Salim Bachik; Pemangku Timbalan Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, Datuk Hattan, Adlin Aman Ramlie, Enot, Aqasha, Azlee dan Wahid Senario.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Kota Damansara Seksyen 5, di sini untuk diuruskan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Sawah, Negeri Sembilan, selepas solat Isyak.

Difahamkan, jenazah dijangka dikebumikan selewat-lewatnya pagi ini di Tanah Perkuburan Kampung Sega Hulu Kuala Sawah, Negeri Sembilan di atas permintaan keluarga.

Terdahulu, Allahyarham terlantar di kediamannya berikutan masalah kesihatan dihadapi sejak beberapa tahun lalu hingga terpaksa menggunakan bantuan oksigen. Pada 21 April lalu, khabar angin bertebaran mengatakan dirinya meninggal dunia, namun dinafikan empunya diri.


Belasungkawa: Hasrat arah filem tak kesampaian

Posted: 03 May 2012 03:52 PM PDT

Hip

BANYAK perancangan diluah Bob Kuman tatkala kami bertemu di gerai Bawal Power yang dikongsi bersama tiga rakan di Kota Damansara, dua tahun lalu.

Rupa-rupanya itulah temu bual terakhir bersamanya apabila semalam, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, jam 4.38 petang.

Tiada lagi jenaka bersahaja, malah pasti insan yang paling merasai kehilangan anak seni serba boleh ialah keluarga selain teman rapat, terutama Saiful Apek. Suatu masa dulu, pernah keluar dari bibir Allahyarham, Apek ialah abangnya dunia akhirat, sekali gus membuktikan keakraban mereka. Mana tidaknya, pada saat Bob menderita sakit berikutan masalah obesiti serta penyakit sampingan lain, individu yang sentiasa tidak lekang memberi kata semangat dan menghulur bantuan secara senyap ialah Apek.

Bersama teman rapatnya itu, mereka bukan sekadar kerap bergandingan di layar perak, drama atau program TV, malah Allahyarham turut muncul dalam album Saiful berjudul Saiful Apek & Famili, yang digarap dalam genre pop rock pada pertengahan 2009.

Siapa mampu melupakan kelucuan mereka malah biar pernah mendapat kritikan hebat ketika tampil dalam sitkom Gitu Gitu Apek yang dikatakan kurang menyerlah berbanding kebiasaan, mereka tetap setia bersatu untuk produk seterusnya.

Kini tiada lagi Bob, namun baik Apek mahu pun mereka yang mengenalinya, Allahyarham akan sentiasa diingati sebagai insan bersemangat tinggi dan penyakit yang membelenggu diri tidak menghalang keinginannya untuk meneruskan cita-cita meluaskan empayar perniagaan serta mengarahkan filem sendiri.
Anak jati Negeri Sembilan itu menyimpan hasrat mengarahkan filem yang skripnya disiapkan dua tahun lalu, berjudul Sepi Seorang Raksasa, bersama genre komedi fiksyen seram. Sayangnya, impian Bob tidak kesampaian.

Semangat juang Allahyarham juga ditunjukkan menerusi kesungguhannya menyiapkan naskhah skrip aneka genre sejak beberapa tahun lalu dalam keadaan kesihatan tidak menentu.

Menyingkap kembali pembabitan di arena seni, dia bermula sebagai pelakon pembantu dalam filem Sama Tapi Tak Serupa pada 1995 dan kemudian bergabung dengan rakan sekampung, Khuzaimi Ismail atau Kumin, menggelarkan diri mereka sebagai KU2.

Siapa sangka, album sulung berjudul Motivasi yang diedarkan pada tahun sama meraih anugerah platinum berikutan jualan melebihi 25,000 unit hingga mendorong syarikat rakaman mereka mengeluarkan album seterusnya, Evolusi (1997), Album Baru Aku! (1999), The Best of KU2 (2001) dan beberapa album tribute.

Walau aktif di arena lakonan dengan satu persatu tawaran terutama bergandingan bersama Apek, Allahyarham yang ketika hayatnya pernah menyandang pelbagai jawatan termasuk pegawai promosi, tidak pernah melupakan bidang nyanyian.

Nama Bob di arena perfileman terus menyerlah dengan tawaran berterusan sama ada filem dan drama termasuk Kapoww!!, Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib, Orang Minyak, Jutawan Fakir, Raja Melewar, Gemerlapan, disusuli Jangan Pandang Belakang Congkak 1 & 2.

Terdahulu, pada 21 April, Bob yang turut menyertai program Maharaja Lawak Mega bersama rakannya, Sobri, menyuarakan kekesalan apabila ada pihak menyebarkan fitnah terhadap dirinya dengan mengatakan dia sudah meninggal dunia sehingga menyebabkannya tampil bagi mengelakkan kekeliruan.