Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Kotak segi tiga
ANGGOTA Kotak datang lagi untuk kali ketiga ke Kuala Lumpur. Namun kali ini kelihatan janggal. Kotak yang sepatutnya bersegi empat itu kini bertiga. Tampak goyah awalnya namun bukan satu sebab untuk Kotak berdiri tegap tanpa sang penggebuk dram, Posan yang meninggalkan Kotak untuk meneruskan pencariannya. "Susah awalnya untuk beradaptasi kerana tinggal bertiga. Agak sepi tapi hidup ini perlu diteruskan. Jadi untuk menggantikan Posan, kami mengambil empat orang pemain dram tambahan yang berganti-ganti. Mereka ialah Sinyo, Ikmal Tobing, Sueri Heyho dan Bounty Ramdhan," luah pemain bass, Swasti Sabdastantri yang mesra disapa Chua "Sukar mencari pengganti Posan kerana kami mahukan pemain dram yang mempunyai sikap yang baik. Kalau pemain dram yang mainannya bagus memang ramai di Indonesia tetapi sikap mereka kurang profesional, itu sukar," akui Tantri tanpa selindung akan sebab kekosongan posisi belakang Kotak. Album Gembira dapat kembali ke Malaysia untuk tujuan promosi album dan persembahan yang dibawakan oleh pihak Suria Records, kata-kata yang keluar daripada mulut tiga sahabat ini ialah menu makanan yang mereka inginkan. "Teh tarik sini sangat sedap, kalau di Indonesia terlalu manis. Juga rindukan roti canai dan nasi lemak," jerit Tantri yang membuahkan kelaparan sewaktu temu ramah yang diadakan di Hotel Royale Bintang, Kuala Lumpur. Kembali ke kotak asal tujuan ke sini, mereka memulakan bicara. Langkah Chua, Tantri dan Cella ke Kuala Lumpur kali ini adalah untuk mempromosikan album keempat mereka yang diberi judul Energi: Tendangan Dari Langit The Movie. Sebuah album repackage dan juga runut bunyi untuk filem dengan tajuk yang sama arahan Hanung Bramantyo. Sebelum ini mereka sudah hadir dengan album berjudul Kotak (2005), Kotak Kedua (2008) dan Energi (2010). "Kami bekerjasama dengan produksi filem Tendangan Dari Langit The Movie lakonan Irfan Bachdim dan Kim Kurniawan. Single perdana album ini adalah di runut pertama iaitu Tendangan Dari Langit. Runut pertama hingga keempat ialah lagu-lagu terbaharu yang dihimpun semula dengan sembilan lagu daripada album terdahulu," ujar Tantri tentang album yang dilancarkan pada November lalu di Indonesia. Album ini juga turut memuatkan lagu Terbang, Pelan Pelan Saja, Selalu Cinta dan Cinta Jangan Pergi. "Awalnya kami memang sedang mempersiapkan lagu-lagu baharu Kotak. Namun, kemudian kami didatangi tawaran daripada pihak SinemArt untuk membuat lagu runut bunyi filem tersebut dan akhirnya lirik diubah untuk bersesuaian dengan filem tersebut," ungkap gitaris bernama Mario Marsella yang akrab dipanggil Cella. Walaupun sudah menghasilkan tiga buah album yang meriah pujian serta kepercayaan khalayak, namun menghasilkan album runut bunyi berhadapan cabaran tersendiri. "Ada rasa tanggungjawab besar untuk mengangkat bola sepak tanah air," ucap Tantri atau nama sebenar Tantri Syalindri Ichlasari yang mengaku vokalnya dahulu tidak setebal dan seberat sekarang. Jadual nan padat dengan tujuan promosi album dan persembahan hingga Julai kelak, Kotak juga dalam rangka mempromosikan single kedua mereka yang berjudul Apa Bisa. Tidak jauh dengan perkataan repackage, rancangan seterusnya untuk Kotak oleh syarikat rakaman mereka iaitu Warner Music Indonesia ialah mengeluarkan sebuah lagi album repackage berserta tiga buah lagu baharu yang masih belum ditentukan konsepnya. Impak Formasi grup yang tinggal bertiga ini sering meninggalkan impak setiap kali mereka melakukan persembahan. Tenaga seiring gelora seni berkobar-kobar di atas pentas membuatkan Kotak dilihat sebagai sebuah grup pelapis yang mempunyai identiti tersendiri. Chua sering tampil seksi sebagai pemain bass, Tantri dengan kotak vokal yang cukup bertenaga dan rock manakala Cella sering melakukan gimik seperti memakai topeng dan mematahkan gitar di atas pentas. Ini antara yang dibawakan Kotak dan ia melekat dalam minda peminat terutamanya Kerabat Kotak yang dilihat semakin setia dengan mereka. Demi sebuah cabaran dan percubaan baharu, mereka menerobos pentas Festival Java Jazz yang rata-ratanya dihadiri penyanyi dan pemuzik jazz antarabangsa di Jakarta, Indonesia pada 4 Mac lalu. "Festival Java Jazz merupakan salah sebuah festival terbesar di Indonesia. Kami menyanyikan 10 buah lagu termasuk Someone Like You nyanyian Adele. Awalnya kami fikir tiada yang akan menonton persembahan Kotak tapi rupanya ada. Malah, sewaktu turun dari pentas, kami didatangi oleh para peminat Malaysia dan kami sangat terharu," ujar Tantri mewakili Kotak yang juga akan terlibat dengan acara Jakarta Blues pada bulan Oktober mendatang. Impian Bukan setakat di pentas asing itu mereka menjual bakat dan kudrat, Kotak juga diberi penghargaan bernyanyi di konsert Simple Plan Get Your Heart On! Tour 2012 yang diadakan di Jakarta pada 17 Januari lalu. Malah, Tantri diberi penghormatan menyanyi bersama Simple Plan untuk lagu berjudul Jet Lag. "Teruja sangat dan sebuah cabaran terbaru kerana diberi peluang berduet dengan Simple Plan," ujar Tantri yang mendapat pujian ahli anggota Simple Plan kerana vokal dan energinya. Grup dari Jakarta itu sudah mempamerkan kesungguhan mereka bergelar anak seni. Sepanjang tahun 2009 mereka berjaya membawa pulang Piala Anugerah AMi untuk dua kategori rock iaitu Grup Rock Terbaik dan Album Rock Terbaik. Menyusul selepas itu, mereka mendapat penghargaan pada Anugerah Planet Muzik 2009 dengan menjadi Grup Pendatang Baru Terbaik. Portfolio mereka dibawa cantik dalam sejarah dan perjalanan ke hadapan Kotak. "Perancangan untuk tahun ini, kami mahu menunaikan umrah bersama-sama. Ini dilakukan sesudah nazar. Sasaran kami lagi adalah untuk mengadakan sebuah showcase di Malaysia dengan penonton yang ramai sambil berkolaborasi dengan para pemuzik di sini," ujar Tantri yang akan muncul bersama Kotak dan bergandingan dengan Bunkface dalam showcase Kotak di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada pukul 4 petang hari ini. | ||||
Neelofa jenamakan produk kecantikan Posted: Neelofa jenamakan produk kecantikanMENCURI perhatian dengan cerita sensasi, keseksian serta taruhan wajah manis, wanita berusia 23 tahun itu mudah memikat mata yang memandang. Pesonanya sudah dilihat menerusi drama, program televisyen dan filem sulungnya, Azura 2011. Berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang, dia tidak menyekat kariernya dengan dunia glamor sahaja. Disifatkan bijak membina jenama, Neelofa yang masih bersisa dua semester sebelum menamatkan pengajian dalam bidang pemasaran dan perdagangan antarabangsa di sebuah kolej swasta itu memiliki inspirasi untuk bergelar usahawan. Dalam masa terdekat, pengacara Nona yang sedang mempopularkan jenama kasut sendiri itu bakal muncul dengan satu produk baharu. Percutian ke Paris, Perancis baru-baru ini buka sahaja masa untuk melepaskan penat bekerja malah dia menggunakan peluang itu untuk melihat sendiri syarikat yang akan membekalkan produk kesihatan yang akan dilancarkannya tidak lama lagi. CUTI DI PARIS Saya ke sana bersama kakak, ibu saudara dan dua orang rakan. Sudah lama saya merancang hendak bercuti sebab asyik sibuk dengan kerja. Ini kunjungan kali kedua, kali pertama ke Paris semasa penggambaran filem Azura tahun lalu. Selama tujuh hari di sana, saya pergi melawat semula lokasi yang saya rindu nak pergi sekali lagi, macam Menara Eiffel dan beberapa restoran. Jalan-jalan dan membeli-belah itu wajib. PRODUK KECANTIKAN BELLAVITA Kebetulan produk itu diformulakan dari Perancis, kilangnya tidak jauh dari Paris. Jadi, sempatlah saya meninjau ke sana. Idea untuk keluarkan produk kesihatan sudah setahun dirancang. Ibu serta kakak saya, Nabila yang banyak memberi sokongan. Lagipun mereka ada pengalaman. Buat permulaan, Bellavita khusus untuk wanita tapi kami ada perancangan untuk keluarkan produk lelaki serta penjagaan kecantikan dan kesihatan untuk wanita selepas bersalin. Kalau tiada aral, ia akan dilancarkan selewat-lewatnya Mei nanti. Produk sudah ada, cuma kami masih dalam proses terakhir untuk dapatkan lebih banyak stokis. EKSKLUSIF JUMPA NUR AMALINA CHE BAKRI Rasanya, Nona menjadi rancangan pertama dan saya juga jadi wartawan pertama yang dapat mewawancara pelajar pintar, Amalina yang kini sedang belajar di Scotland. Rakaman temu bual khas serta mendekati kehidupan pelajar Malaysia yang pernah heboh dengan kontroversi buka tudung itu dipaparkan dalam Nona edisi 8 April secara eksklusif (hari ini). Amalina pikul tanggungjawab yang besar tapi dalam masa yang sama, kehidupannya sangat seimbang. Dia gadis pandai yang sangat relaks. AGENDA BARU Ramai orang ingat saya jadi duta Habib Jewels pula, sebenarnya tidak. Saya hanya buat kemunculan istimewa sempena pembukaan cawangan baharu Habib baru-baru ini. Saya cuma Duta Avon dan terbaru, saya dalam perancangan untuk mengemudikan sebuah rancangan hiburan di sebuah stesen swasta tak lama lagi. Mei nanti, saya akan mulakan penggambaran untuk slot Akasia yang akan ditayangkan sempena Ramadan arahan Erma Fatima. | ||||
Posted: Transformasi Upin & Upin
ANIMASI Upin & Ipin bermula sebagai siri televisyen berdurasi selama empat minit setiap siaran. Ia diperkenalkan menerusi TV9 pada 13 September 2007 dengan tema Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bertujuan untuk mendidik kanak-kanak menunaikan ibadat puasa dan menyambut hari raya. Siri yang sebenarnya projek sampingan kepada filem animasi Geng... Pengembaraan Bermula itu kemudian melangkah jauh. Musim pertama Upin & Ipin dipilih sebagai pemenang anugerah Animasi Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2007. Selepas dua musim bertemakan Ramadan dan keislaman, penerbitan Upin & Ipin beralih kepada penceritaan yang bersifat sejagat. Evolusi pertama itu menumbuhkan sayap baharu membawa Upin & Ipin menjelajah ke dunia penyiaran lebih global dan sehingga hari ini ia telah memasuki musim kelima. Musim keenam dan ketujuh akan ditayangkan pertengahan tahun ini. Selain di Indonesia dan Singapura, hingga ke hari ini, animasi itu masih ditayangkan di 17 negara Asia menerusi saluran Disney Channel Asia. Fenomena Upin & Ipin yang boleh difahami kanak-kanak seawal usia dua tahun itu bakal mencetuskan satu lagi tanda aras menerusi pementasan Upin & Ipin The Musical di Istana Budaya mulai Sabtu depan. Realiti Ia juga bakal melakar sejarah baharu dengan 30 persembahan tanpa henti dalam tempoh 22 hari dan disifatkan sebagai pementasan paling lama di Istana Budaya setakat ini. Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md. Razi dan pengarah naskhah Upin & Ipin, Zaifri Hussin menjadi dua jentera penting muzikal tersebut. Merekalah pelaksana serta pengawal kualiti untuk Upin dan Ipin menjadi kanak-kanak sebenar di pentas teater. Bukan setakat memacak maskot di atas pentas, dunia animasi Upin & Ipin yang sebelum ini bergerak dari layar kaca itu harus melalui transformasi menjadi sebuah lakon fizikal dan muzikal hebat oleh karakter sebenar. "Itulah cabaran besar kepada muzikal berkenaan. "Selain skrip, kostum, dialog serta prop, bagi saya pelakonlah yang akan memberi nyawa kepada pementasan berkenaan. Dalam soal itu, kami cuba melakukan apa yang terbaik. "Memandangkan tempoh pementasan yang panjang, pelakon untuk watak Upin dan Ipin sendiri dipecahkan kepada dua grup iaitu grup A dan grup B," jelas Zaifri.
Tambahnya, draf pertama skrip pernah ditolak oleh Burhanuddin selaku penerbit yang merasakan kerja tangannya tidak keluar daripada kotak Upin & Ipin yang sedia ada. "Sekali tengok sahaja, Burhanuddin bersama isterinya sudah dapat mengagak keseluruhan skrip berkenaan. Saya diminta untuk hanya memasukkan elemen yang ada dalam keseluruhan cerita Upin & Ipin. "Elemen yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang dapat menghubungkan minda penonton cilik yang menyaksikan muzikal itu nanti terhadap kisah-kisah yang pernah mereka saksikan dalam versi filem dan siri Upin & Ipin di televisyen. "Les' Copaque sangat menitikberatkan soal dialog serta moral dalam muzikal berkenaan. Saya pula mengusulkan pencarian kegembiraan yang hilang sebagai isu utama," cerita Zaifri yang memunculkan watak rama-rama dan puteri dari angkasa, Puteri Cinonit sebagai dua watak penting versi muzikalnya. Kualiti Bersetuju dengan plot penceritaan yang mengisahkan kedatangan seorang puteri dari angkasa lepas yang turun ke bumi mencari kegembiraan itu, Burhanuddin bagaimanapun terpaksa sekali lagi memutuskan pelakon watak heroin yang melakonkan watak puteri itu ditukar dengan pelakon lain, 12 hari sebelum pementasan dimulakan. "Kami terpaksa buat keputusan drastik sebab pelakon mainkan peranan penting dalam sesebuah pementasan. "Pelakon yang baru dipilih itu beri lebih keyakinan terhadap aspek penghayatan kepada watak heroin muzikal itu. Kita beri sedikit arahan tapi dia sudah menunjukkan tahap yang melegakan kami semua," kata Burhanuddin yang melabur kira-kira RM3 juta untuk Upin & Ipin The Musical yang turut mendapat kerjasama KPJ Healthcare Bhd. sebagai penaja utama. Burhanuddin dan isterinya yang menulis skrip asal Upin & Ipin sebelum ini telah beberapa kali menolak cadangan skrip Zaifri. Tidak hanya skrip, aspek lain seperti kostum, koreografi serta lagu-lagu baharu ciptaan Pak Ngah juga ditapis dan harus menepati standard yang dimahukannya. "Nak buat muzikal bukan kerja main-main sebab saya merancang untuk beri tanda aras baharu kepada Upin & Ipin sendiri. Bagusnya, sebab saya bekerja dengan sebuah produksi yang berpengalaman, mereka boleh beri apa yang saya minta. "Setakat ini, pihak Espalande dari Singapura sangat berminat untuk membawa muzikal ini ke sana. Untuk pementasan berbahasa Inggeris pada 29 April nanti, ada wakil penganjur dari Filipina yang akan datang melihat muzikal berkenaan. Saya juga ada berbincang dengan wakil penganjur dari Indonesia," katanya yang turut bercadang membawa muzikal itu ke Brunei. Seronok Bertemu satu daripada dua team pelakon yang menjayakan watak Upin dan Ipin, Faris Azim Abd. Karim yang memegang watak Upin dan Amir Johar Nadim (Ipin), kedua-duanya sungguh berbakat biarpun baru kali pertama membawa peranan dalam sebuah pementasan besar. Amir Johan, 11, menganggap lakonan bukan sesuatu yang mengejutkannya memandangkan sebelum ini dia pernah terlibat dalam iklan komersial, pementasan LAT Kampung Boy The Musical, drama bersiri Geng Bas Sekolah serta beberapa buah telemovie. "Saya memang peminat kartun Upin & Ipin, semua kanak-kanak sukakan watak Upin dan Ipin termasuk adik saya, jadi bila diberi watak Ipin, itu memang sangat menyeronokkan. Bagi saya, cabaran paling besar ialah menghafal dialog dalam bahasa Inggeris," ujar pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 itu. Berbeza pula dengan Faris Azim, 14, pelajar tingkatan dua itu baru kali pertama kenal apa itu teater menerusi Upin & Ipin The Musical. Dia menyertai sesi uji bakat bukan mengharapkan diterima sebagai pelakon sebaliknya mahu menonjolkan bakat tarian B-boys yang sebati dengan dirinya. "Tapi bila terpilih sebagai pelakon utama, sudah tentu gembira cuma cepat belajar cara penghayatan karakter. Setakat ini semua okey sebab cikgu yang mengajar lakonan dan tarian semuanya garang," ujar Faris sambil tertawa. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |