Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Dua set Upin dan IpinDUA karakter animasi cilik yang merupakan adik-beradik kembar, Upin dan Ipin, bukan sahaja dikenali di seluruh Malaysia, malah di arena hiburan antarabangsa. Karakter untuk filem animasi dalam bentuk tiga dimensi (3D) pertama di Malaysia, Geng: Pengembaraan Bermula ini juga berjaya memenangi pelbagai anugerah dan baru-baru ini, ia dinobatkan sebagai Animasi Paling Berjaya dan tersenarai dalam Malaysia Book of Records 2011. Apa yang membanggakan, filem animasi pertamanya terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. ini telah berjaya mengumpul kutipan pecah panggung mencecah RM6.3 juta. Melihat kepada kejayaan filem dan siri animasi di TV itu, Les' Copaque dan CTRA Production menggembleng tenaga untuk menghasilkan sebuah lagi produk yang bakal memeriahkan lagi industri hiburan tanah air iaitu pementasan teater yang diberi judul Upin & Ipin The Musical. Jika menerusi TV atau layar perak, ia sekadar muncul dalam bentuk animasi, namun, kesemua karakter dalam siri dan filem animasi tersebut pada kali ini 'dihidupkan' untuk dipentaskan secara langsung di pentas teater pula. Setelah mengadakan uji bakat yang dihadiri oleh beratus-ratus orang, empat kanak-kanak telah dipilih untuk melakonkan watak Upin dan Ipin dalam teater muzikal ini. Empat orang? Sebenarnya karakter Upin dan Upin disediakan dalam dua set iaitu empat orang yang dipilih dan mereka telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Upin & Ipin A dan Upin & Ipin B. Kumpulan Upin & Ipin A masing-masing menampilkan Joshry Adamme Rizq Arish Khairul Fazril, 11 tahun dan Muhammad Faritz Danial Roshaimi, 13 tahun manakala Faris Azim Abd Karim, 14 tahun dan Amir Johar Nadim, 11 tahun masing-masing sebagai Upin & Ipin B. Dua set Upin & Ipin ini akan dibahagikan kepada bahagian pertama dan kedua teater ini kelak. Keempat-keempat kanak-kanak tersebut mempunyai cerita masing-masing dan pengalaman yang berbeza. Kosmo! sempat menemu ramah dan mengadakan sesi bergambar bersama mereka yang bertempat di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini. Adamme uji bakat dua kali Bagi Joshry Adamme Rizq Arish Khairul Fazril yang merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik ini, bidang lakonan bukan perkara baharu bagi dirinya. Ia disebabkan pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Kuala Lumpur ini pernah tampil dalam filem Krayon arahan Dean A. Burhanuddin pada tahun 2010. "Saya pernah terlibat dalam filem Krayon untuk watak Afiq. Selain itu, saya juga pernah hadiri uji bakat untuk drama Geng Bas Sekolah, namun gagal. "Saya juga ada terlibat dalam iklan komersial TV seperti Courts Mammoth, Astro B.yond, Giant, dan Astro Ceria. Ini kerana ibu saya memang sering bawa saya ke sesi uji bakat-uji bakat terbuka yang diadakan," tuturnya yang lebih mesra disapa sebagai Adamme. Cerita Adamme, semasa pertama kali ke sesi uji bakat Upin & Ipin The Musical, wujud perasaan malu dalam diri kerana baginya ketika itu dia belum bersedia sepenuhnya. "Ibu ada terbaca dalam surat khabar dan tiba-tiba, dia ajak saya ke Istana Budaya. Mula-mula saya rasa pelik, kenapa mak bawa saya ke sana. Sampai di sana, barulah saya sedar rupanya mak bawa saya ke uji bakat Upin & Ipin The Musical. "Saya hadir ke uji bakat sebanyak dua kali kerana pada uji bakat yang pertama saya seperti tidak bersedia. Saya risau tidak akan terpilih, namun pada uji bakat kali kedua, saya memang sudah betul-betul bersedia. Ibu pun berikan kata-kata semangat kepada saya," katanya yang meminati pelakon Aaron Aziz dan Lisa Surihani. Danial menggigil
"Saya pernah berlakon di sekolah, jadi saya tidak terlalu takut untuk berlakon di pentas Upin & Ipin The Musical. "Tapi mungkin kali ini dalam teater yang ditonton ramai orang, ahli keluarga dan saudara-mara mungkin saya akan menggigil," begitulah luahan Muhammad Faritz Danial Roshaimi, 13, yang memang meminati animasi Upin & Ipin. Disebabkan minatnya itu, pelajar St. John Institution ini memberanikan diri untuk menghadiri uji bakat yang dijalankan apabila terlihat iklan uji bakat tersebut dalam akhbar yang dibacanya. Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah besar dalam menghafal skrip, namun cabaran itu hadir semasa ingin mengingati langkah tarian terutama bagi lagu berjudul Rama-Rama dan Buku yang telah dicipta khas untuk teater ini. Selain itu, Danial juga ada membuat rujukan untuk menjayakan wataknya dalam teater ini sebagai Ipin iaitu dengan melihat dan mengkaji semula watak animasi tersebut. Ceritanya lagi, ibu dan bapa sentiasa menyokong apa yang diminatinya ini dan dia berjanji tidak akan pernah mengabaikan pelajaran. Azim miliki studio tarian Jika melihat kepada tubuh kecilnya, pasti ramai yang tidak menyangka Faris Azim Abd. Karim sebenarnya sudah berusia 14 tahun dan semasa temu ramah, dia juga kelihatan paling sopan dan tertib. Mempunyai minat terhadap tarian breakdance, Faris juga mempunyai sebuah kumpulan tarian b-boy yang dikenali sebagai Zeppo Youngsterz selain memiliki sebuah studio tarian sendiri di rumahnya. Apa yang menariknya tentang Faris, kesemua koreografi tarian yang direkanya adalah hasil pembelajarannya dalam laman sosial YouTube. "Saya menari breakdance sejak berumur umur 11 tahun. Sebenarnya, saya datang ke uji bakat Upin & Ipin The Musical kerana ingin tunjukkan bakat tarian b-boy saya, bukan untuk berlakon. "Tapi selepas itu, saya disuruh berlakon dan tidak sangka pula saya berjaya mendapat watak Upin. Saya pun tidak tahu apa itu teater sebelum ini, hanya ingin mencuba nasib," jelas Faris tersenyum sipu. Namun, Faris mengakui kelemahannya yang sukar untuk mengekspresikan mimik muka ketika lakonan untuk menunjukkan perasaan takut dan terkejut. Bagaimanapun, untuk menunjukkan kesungguhannya, Faris akan tekun berlatih selama dua atau tiga jam untuk menghafal skrip dan apa yang dimahukan pengarah. Amir malu dengan keluarga Sepanjang sesi temu ramah, Amir Johar Nadim paling petah berbicara. Ada sahaja yang ingin disoal dan dijawabnya. Bagi Amir yang berusia 11 tahun ini, berlakon di pentas teater yang ditonton oleh ramai orang tidak menjadi masalah buat dirinya. "Saya sudah biasa berlakon dan saya pernah pegang watak sebagai Hafiz dalam drama siri Geng Bas Sekolah semasa tahun dua dan tiga. Selepas itu, saya pernah juga tampil dalam sebuah telemovie, Tak Khatam Dah Khatan yang disiarkan di Astro Prima. "Saya tidak berapa risau untuk berlakon teater sebab saya pernah berlakon dalam teater Lat The Kampung Boy menjadi budak kampung," cerita anak keempat dari lima orang adik-beradik ini. Tambahnya, dia memang minat bidang lakonan. Ibu bapanya juga sentiasa menyokong kerjaya yang diminati pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur ini. "Saya memang minat berlakon. Ibu saya yang memberi galakan kepada saya untuk mencuba dalam bidang lakonan. "Saya tidak malu dengan orang ramai, tapi malu dengan keluarga saya sendiri, tambahan pula apabila saya terlihat mereka berada di hadapan kelak," akhirinya. | ||
Posted: Seniman usul tiga cadanganOleh KHAIRUL AMRI HASSAN dan FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA ZED ZAIDI menyerahkan memorandum tiga usul yang dicadangkan Seniman kepada Maglin Dennis (tengah) pada majlis perasmian Festival Barisan Nasional Youth Music 2011 di The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Ahad lalu. AHAD lalu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) telah mengemukakan tiga usul kepada pihak kerajaan dalam memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz. Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi memberitahu, tiga usul yang dikemukakan kepada pihak kerajaan itu ialah meminta kuota khas di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), perkhidmatan insurans perlindungan diri dan juga kebenaran menggunakan cermin gelap kereta untuk semua ahli Seniman. Cadangan yang dikemukakan sewaktu Festival Barisan Nasional Youth Music 2011 di The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya itu dirasakan bertepatan demi menjaga kebajikan individu yang tidak kurang hebat menyumbangkan bakti kepada negara. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Zed Zaidi dan Maglin sewaktu ditemui di majlis berkenaan. Kosmo!: Boleh terangkan kenapa tiga usul ini dikemukakan pihak Seniman kepada kerajaan? ZED ZAIDI: Usul pertama dikemukakan untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Bagi usul pertama ini, Seniman memperjuangkan permohonan rumah PPRT untuk kesemua 5,000 ahli Seniman yang terdiri daripada artis veteran, peringkat pertengahan umur dan golongan muda. Bagi usul kedua pula dikemukakan buat tindakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di bawah Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim iaitu perkhidmatan insurans perlindungan kemalangan diri artis. Sementara usul ketiga pula, Seniman memohon pihak Kementerian Dalam Negeri di bawah Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya membenarkan ahli Seniman memasang cermin gelap pada kenderaan masing-masing. Apa relevannya usul-usul ini dikemukakan kepada pihak kerajaan? Memorandum ini kami serahkan kerana ingin pihak kerajaan prihatin dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan artis. Permohonan ini bertujuan untuk membela nasib ahli-ahli Seniman yang masih menyewa rumah dan tidak mempunyai rumah sendiri sehingga kini. Kalau boleh tentang rumah PPRT itu, kami mahu kerajaan bagi kuota khas kepada golongan artis supaya mudah memiliki rumah PPRT. Memang mereka boleh memohon ikut saluran biasa, tetapi prosesnya rumit. ZED ZAIDI (tengah) bangkit membawa perjuangan Seniman bagi memastikan kebajikan dan masa depan 5,000 ahlinya terbela. Kalau hendak buat pinjaman bank lagi susah, sebab tiada slip bayaran gaji. Mungkin ramai yang menganggap golongan artis mewah dan tidak ada masalah untuk beli rumah sendiri. Namun hakikatnya, 80 peratus artis Seniman masih tidak mempunyai rumah sendiri. Bagi insurans pula, jika anggota Rela (Ikatan Relawan Rakyat Malaysia) seramai tiga juta orang boleh mendapat insurans sebanyak RM20,000, mungkin Seniman yang memiliki ahli seramai 5,000 orang boleh mendapat RM100,000 premium insurans kesihatan dengan khairat kematian sebanyak RM5,000 setiap seorang daripada kerajaan. Relevannya usul ketiga dikemukakan pula, adalah atas faktor keselamatan golongan artis itu sendiri khususnya artis-artis wanita yang balik lewat malam daripada tugasan. Bagaimana progres buat masa sekarang dan adakah perkara ini mendapat persetujuan semua ahli Seniman? Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam lagi dan saya rasa tidak salah untuk kami menjaga kebajikan dan kepentingan rakan-rakan dalam industri ini. Syukur Alhamdulillah memorandum ini disokong oleh semua 5,000 ahli Seniman. Adakah syarat-syarat tertentu untuk seseorang artis itu mendapat keistimewaan yang dikemukakan ini? Jika tiga usul ini berjaya, artis tidak akan sewenang-wenangnya memperolehnya. Seniman yang akan mengawalnya. Cuma mereka perlu berdaftar di bawah Seniman dan secara automatik mereka boleh menerimanya. Seniman juga akan memilih artis yang benar-benar layak menerimanya. Perlindungan insurans ini meliputi apa? Kemalangan yang melibatkan kecacatan kekal mahupun sementara, khairat kematian dan bayaran yang sepatutnya diperoleh seseorang artis apabila membuat persembahan. Apakah harapan anda berhubung permohonan ini? Saya harap sangat pihak kerajaan dapat meluluskan ketiga-tiga permintaan ini. Artis merupakan tanggungjawab sosial yang banyak memberi sumbangan kepada kerajaan. | ||
Posted: Mania medan artis bersaingOleh NOOR ASHREEN ISMAIL SERAMAI 12 orang penyanyi terkenal bakal berentap dalam Mania musim pertama yang menawarkan ganjaran wang tunai berjumlah RM500,000 untuk penyanyi yang berjaya menjadi juara. MENOBATKAN yang terbaik daripada yang terbaik! Itu matlamat program terbaharu Astro berjudul Mania yang dijangka memanaskan industri hiburan seni tanah air. Program ini bakal menyaksikan pertembungan hebat penyanyi-penyanyi tempatan berbakat besar yang akan bekerjasama dengan tiga orang komposer tersohor iaitu Datuk M. Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito. Program berkonsepkan pertandingan nyanyian ini bakal digamatkan lagi oleh Aznil Nawawi selaku hos. Bakal berlangsung selama 10 minggu, Mania menampilkan 12 penyanyi tempatan yang sudah ada nama untuk bersaing sesama sendiri. Mereka terdiri daripada Stacy AF6, Jaclyn Victor, Hafiz AF7, Shila Amzah, Hazama AF9, Atilia, Akim AF7, Alyah, Estranged, Adira AF8, Kristal dan Awi Rafael. Kesemua mereka mempunyai satu matlamat iaitu untuk merebut gelaran juara Mania musim pertama ini. "Berdasarkan pencapaian sebelum ini, kami melihat Astro telah berjaya melahirkan ramai pelapis yang berpotensi untuk bidang nyanyian, lawak jenaka dan lakonan. "Kehadiran mereka ternyata bukan sekadar tempelan namun memberi impak besar kepada industri hiburan tempatan. "Kami berharap program Mania ini bakal mencipta fenomena baharu dalam industri muzik kelak," ujar Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani. Kesemua 12 peserta ini juga akan dibimbing oleh M. Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito yang bukan sahaja bertindak selaku penerbit muzik tetapi mereka masing-masing turut diberi kuasa untuk memilih sendiri empat orang artis di bawah bimbingan mereka kelak. "Pihak penerbitan Mania sangat berbesar hati apabila berjaya mendapat kerjasama daripada ketiga-tiga ikon terkenal ini untuk musim pertama. NIZAM (kanan) melancarkan program Mania bersama tiga penerbit ternama (dari kiri), M. Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini. "Saya yakin ia mampu memberi impak paling maksimum buat para penyanyi yang bakal bertanding dalam program ini. "Dengan pengalaman dan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing, kami percaya ia akan dapat memberi manfaat kepada para peserta. Persetujuan dan komitmen mereka sangat kami hargai," kata Nizam Sani lagi. Selain 12 artis tersebut, Mania juga akan menyerap tiga orang penyanyi lain menerusi pilihan melalui undian Hot Seat secara talian menjadikan jumlah keseluruhan peserta adalah sebanyak 15 orang. Talian undian Hot Seat secara talian tersebut telah dibuka bermula 20 Februari lalu hingga 16 Mac ini. Orang ramai yang ingin mengundi boleh layari laman web www.mania.com.my. Apa yang menariknya Mania akan menggunakan format pemarkahan 100 peratus undian penonton melalui sistem pesanan ringkas. Peserta dengan undian terendah akan tersingkir. Bagi juara Mania kali ini bakal membawa pulang hadiah lumayan iaitu wang tunai RM500,000 manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing akan menerima habuan wang tunai RM200,000 dan RM100,000. Hadiah wang tunai sebanyak RM300,000 itu juga bakal dimenangi oleh penerbit muzik yang berjaya membimbing artis di bawahnya sehingga dinobatkan sebagai juara. Mania musim pertama dijadual ditayangkan menerusi Astro Ria (saluran 104) pada setiap hari Sabtu, pukul 9 malam bermula 17 Mac ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |