Adsense

Isnin, 26 Mac 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Paling hangat

Posted: 25 Mar 2012 03:18 PM PDT

Hip

Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang gamat diserbu 10,000 peminat, finalis ABPBH

KOMPLEKS Pasir Gudang, Johor Bahru, yang menjadi lokasi terakhir siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 muncul destinasi paling hangat dengan kehadiran jumlah penonton yang luar biasa.

Lokasi wajib dalam siri jelajah ABPBH itu memperlihatkan sokongan utuh peminat industri hiburan di selatan tanah air, yang sentiasa menanti peluang berharga untuk bertemu artis diminati mereka.

Hampir 10,000 peminat memanfaatkan peluang yang dibawakan Berita Harian itu untuk bersua wajah dengan finalis pilihan di samping menyatakan sokongan tidak berbelah bagi atas usaha akhbar ini. Sedikit berbeza daripada destinasi sebelum ini, kompleks berkenaan berubah wajah seolah-olah menjadi 'medan pertempuran' peminat untuk membuktikan kesetiaan mereka apabila masing-masing hadir memakai baju T finalis pilihan mereka. Sebahagiannya pula siap berbekal sepanduk artis.

Lebih bermakna apabila sokongan itu turut diterjemahkan menerusi borang undian apabila mereka berlumba-lumba menyerahkan borang undian terakhir kepada penganjur, meskipun tarikh acara kemuncak semakin mendekati, iaitu 8 April ini.

Kelab peminat yang dilihat bersungguh-sungguh menghantar borang pada siri jelajah terakhir ini ialah Hot Lovers selaku penyokong Adi Putra, Yana SuperFriends (Yana Samsudin), Shilalas (Shila Amzah) selain peminat tegar Shaheizy Sam.

Malah aura Bintang Paling Popular ABPBH2010, Sam, ternyata masih menyengat apabila peminat sanggup mengejarnya hingga ke tandas dan terperangkap hampir setengah jam semata-mata ingin bergambar dengannya.
Kemunculan finalis iaitu Aaron Aziz, Adi Putra, Najwa Latif, Neelofa, Didie Alias, Mawi, Alyah, Forteen, Stacy, Lisa Surihani, Fizz Fairuz, Along Cham, Aeril Zafrel, Nabil dan Johan As'ari mendapat sorakan gemuruh peminat, sejak mereka melintasi permaidani merah sehinggalah acara berakhir, kira-kira jam 7 malam.

Terdahulu, buat julung kali, jentera promosi anugerah yang memasuki usia jubli perak melancarkan skuad ABPBH X-Trail tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd. Kelmarin, skuad ini berlegar di sekitar Johor Bahru untuk bertemu peminat sambil mengagihkan hadiah istimewa.

Aktiviti berkenaan turut mendapat kerjasama Hot FM Zoomers, yang singgah ke Restoran Singgah Selalu dan Plaza Angsana, dengan disertai Fizz serta Johan As'ari.

Komitmen dua finalis ini sewajarnya diberikan pujian. Fizz tetap menggagahkan diri menjayakan aktiviti terbabit walaupun demam, manakala Johan pula terus menyertai mereka biarpun baru saja tiba dari Kuala Lumpur.

Kehangatan malam kemuncak ABPBH 2011 terus membara pada saat akhir kiraan undian hingga berlangsungnya majlis pengiktirafan yang dinanti-nantikan di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 8 April ini.