Adsense

Isnin, 20 Februari 2012

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Umpatan orang, pahala bagi Norish

Posted:

Umpatan orang, pahala bagi Norish

Umpatan orang, pahala bagi Norish

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

PELBAGAI tohmahan dilontarkan kepada pelakon Norish Karman selepas dia melalui kehidupan sebagai ibu tunggal. Ada yang mendakwa pelakon asal Singapura itu membawa diri ke Bali, Indonesia akhir 2011, gara-gara mahu menyembunyikan diri lantaran berbadan dua.

Sedang dibebani dengan masalah tidak berkesudahan akibat perceraian bersama bekas suami, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir yang belum selesai, cerita-cerita terbaru ini menghangatkan lagi namanya yang sedikit suram kebelakangan ini.

Jika sebarang perempuan, sudah pasti tewas dengan keadaan apabila satu demi satu dugaan besar melanda.

Namun Norish atau nama sebenarnya Nor'Asikin Karman, 37, bukan sebarang wanita. Malah, dia berjaya bangkit dari kemurungan dan mampu menjalani kehidupan seperti biasa.

Menurut Norish yang kini mahu dikenali sebagai NK, kekuatannya terletak kepada enam pasang mata yang ditatap setiap hari.

Sebagai ibu, NK berkata, biar seteruk mana permasalahan yang melanda diri, dia perlu tampil sebagai wanita perkasa di hadapan anak-anak, iaitu Muhammad Haqiem Amany, 13, Muhammad Hady Amieran, 9, dan Nur Hanyz Amanda, 8.

"Bohonglah kalau saya kata sepanjang berhadapan dengan masalah, air mata ini tidak pernah keluar. Saya bukan robot yang tidak punya perasaan.

"Saya sering menangis tapi tidak di hadapan anak-anak atau orang lain. Kalau anak-anak melihat ibu mereka lemah, sudah pasti mereka juga turut terkesan.

"Setakat ini, alhamdulillah, saya dapat mengharungi segala keperitan. Saya perlu kuat untuk orang tersayang," katanya panjang lebar.

Sedikit pun tidak tergugat dengan permasalahan, NK yang baru-baru ini hadir di Utusan Malaysia untuk segmen Chat Bersama di Utusan Online, sambil ditemu bual sempat membuat lawak jenaka.

Dari raut wajahnya tidak terlihat langsung yang dirinya sedang berhadapan dengan masalah dalaman.

Katanya, hidup mesti diteruskan biar apa yang berlaku kerana di hadapan sana sentiasa ada sinar yang menerangi kehidupan setiap insan.

"Biarlah orang hendak kata apa tentang diri saya, kerana saya lebih senang mengambil sikap berdiam diri. Segala umpatan itu adalah pahala untuk saya.

"Orang hanya boleh menulis, menyebar gosip dan membuat spekulasi.

"Sedangkan yang tahu kedudukan cerita sebenar adalah saya. Bagi saya, bila orang sudah bosan mengata tentang saya, pasti mereka akan berhenti dengan sendirinya.

"Maka itulah, saya lebih senang berdiam diri dan bersuara hanya bila perlu sahaja," katanya.

Bersuara menerusi lagu

Jangan pandang remeh atau sebelah mata bakat nyanyian NK.

Mendengar single Rahsia Hati, ciptaan dan lirik oleh Julfekar yang merupakan single pertama NK, ada sesuatu yang boleh dijadikan sebagai asas untuk dia muncul sebagai penyanyi. Malah, jika hanya mendengar suara, pasti kita tidak menduga bahawa suara itu milik NK.

Menurut NK, sebelum menjalani rakaman di studio, ketika masih bergelar isteri, dia pernah naik turun ke Indonesia untuk belajar vokal.

"Saya belajar vokal bukan secara intensif tapi sesekali apabila ada urusan di Indonesia dan waktu itulah baru saya belajar. Ada jugalah dua tiga kali saya belajar.

"Semuanya bermula apabila ada seorang teman di sana tanya kenapa saya tidak buat album sebaik sahaja dia mendengar saya mendendangkan lagu dalam satu majlis.

"Katanya, suara saya persis penyanyi profesional. Apalagi bila ada orang yang beri semangat macam itu, saya pun ambil keputusan untuk belajar vokal," imbasnya.

Kata NK, cintanya yang sebenar adalah pada nyanyian namun kesempatan untuk menjadi penyanyi tidak datang awal seperti mana dunia modeling dan lakonan.

Dia yang sudah 18 tahun dalam bidang seni berkata, kerjaya awalnya adalah sebagai model di Singapura dan kemudian dipilih menjadi heroin filem Sayang Salmah arahan Dr. Mahadi J. Murat.

"Semuanya bermula pada tahun 1994. Kehadiran saya dalam bidang ini dicari dan bukan mencari. Ada wakil agensi tawar saya menjadi model sewaktu saya berjalan-jalan di Singapura.

"Kemudian pengarah Mahadi J. Murat berminat untuk ambil saya berlakon setelah melihat cover saya di majalah Jelita. Dari situlah bermula kehidupan saya sebagai anak seni," ceritanya.

Biarpun begitu minat untuk menjadi penyanyi tidak pernah padam dan NK yakin tidak terlewat.

Sebelum muncul dengan single Rahsia Hati, NK pernah menyertai World Championship of Performing Arts di Los Angeles pada 2006 dan berjaya merangkul pingat emas dalam kategori Vokal (R&B).

"Saya adalah insan yang suka mencabar diri, berkeyakinan dan bersemangat. Saya tidak takut untuk dinilai kerana setiap orang ada pandangan berbeza.

"Diterima atau tidak sebagai penyanyi, saya tidak kisah kerana sekurang-kurangnya saya berjaya melakukannya dengan penuh keyakinan," katanya yang sering berfikiran positif.

Selain Rahsia Hati, NK turut merakam lagu Terus Melangkah, ciptaan Damien yang turut menampilkan Filsuf.

Kereta untuk pendengar Hitz.fm

Posted:

Kereta untuk pendengar Hitz.fm

Kereta untuk pendengar Hitz.fm

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my


PARA penyampai Hitz.fm, tenaga kerja di belakang tabir dan artis yang akan menjayakan Birthday Invasion 2012 pada sidang akhbar konsert itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SALURAN radio Hitz.fm merupakan saluran radio berbahasa Inggeris tempatan nombor satu dengan jumlah pendengar 1.9 juta orang. Sejak bersiaran pada tahun 1997, stesen radio itu semakin berkembang hasil sokongan para pendengar.

Justeru baru menghargai sokongan tersebut, stesen radio di bawah naungan Astro itu akan menganjurkan konsert Birthday Invasion 2012 di Stadium Puta, Bukit Jalil, Kuala Lumpur mulai pukul 6 petang secara percuma, dengan menampilkan ramai artis popular tanah air.

Pengurus Rangkaian Kandungan Airtime Management & Programming Sdn. Bhd., Mohamed Raqeem Brian berkata, bagi menghargai sokongan para pendengar, pihaknya juga akan menyediakan sebuah kereta Myvi sebagai hadiah utama dalam suatu peraduan buat para pengunjung di konsert tersebut.

"Birthday Invasion ini bukan sahaja bagi meraikan kejayaan Hitz.fm muncul sebagai stesen radio berbahasa Inggeris tempatan nombor satu dengan lebih 1.9 juta pendengar, tetapi juga sebagai tanda terima kasih kami kepada para pendengar yang menyokong selama ini.

"Apatah lagi, ini adalah konsert ulang tahun terbesar kami selepas lima tahun tidak meraikannya dalam acara yang sebegini. Malah, pendengar yang bertuah akan membawa pulang sebuah kereta Myvi," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Konsert percuma itu akan dijayakan oleh ramai artis solo dan berkumpulan seperti K-Town Clan, Kartel - Altimet & Sona One, Salam, One Buck Shot, Oh Chentaku, Pop Shuvit, Hujan, Jakeman and Skeletor, The Azzenders dan Dragon Red.

Tiket-tiket percuma untuk menyaksikan konsert itu akan diedarkan sewaktu Hitz.fm bersiaran, melalui laman sosial Twitter dan juga melalui pasukan Hitz.fm Cruisers sewaktu mereka mengadakan lintasan-lintasan langsung harian mereka.

Mengenai barisan artis-artis yang dipilih menjayakan konsert itu, Mohamed Raqeem berkata, mereka bukan sahaja sesuai kerana kebanyakannya menyanyikan lagu-lagu Inggeris selari dengan medium pengantar Hitz tetapi juga atas permintaan pendengar.

"Walaupun kebanyakan artis yang akan terbabit itu menyanyikan lagu Inggeris tetapi kami turut menjemput kumpulan Hujan yang lebih banyak menyanyikan lagu-lagu Inggeris. Semua itu atas permintaan para pendengar kami.

"Malah, biarpun Hitz.fm dalam medium bahasa Inggeris tetapi 60 peratus pendengar kami adalah orang Melayu. Sekali-sekali kami juga menyiarkan lagu bahasa lain termasuklah Melayu. Kami mahu sentiasa mengikut keperluan semasa," jelasnya.

Bukan setakat pemilihan lagu, malah Hitz.fm yang turut bersiaran di Sabah dan Sarawak sejak kira-kira dua tahun lalu juga amat mengambil kira perkembangan semasa dalam era teknologi moden bagi mengembangkan lagi siaran saluran itu.

Antaranya dengan menggunakan laman sosial popular di Internet seperti Facebook dan Twitter bagi mempromosikan lagi aktiviti serta siaran Hitz.fm di kalangan pendengar saluran radio yang kebanyakkannya berusia antara 10 hingga 29 tahun.

"Sejak lebih setahun yang lalu contohnya, siaran Hitz.fm boleh diikuti melalui iPhone jenama Apple. Selain itu kami juga akan menggunakan apa juga teknologi terkini seperti Android bagi tujuan yang sama. Hitz.fm adalah stesen radio pertama di Asia Tenggara yang berbuat demikian.

"Kami memang akan terus meneroka cabang-cabang teknologi yang lain dan berubah dari semasa ke semasa mengikut perkembangan teknologi. Ini kerana, dunia penyiaran, teknologi dan muzik sentiasa berubah-ubah dan berkembang dengan cepat dan kami tidak mahu ketinggalan," ujarnya.

Hitz.fm yang bernaung di bawah stesen penyiaran berbayar Astro turut menyediakan pelbagai lagi hadiah menarik kepada para pengunjung konsert itu untuk dimenangi. Sebarang maklumat sila layari laman sesawang www.hitz.fm.