Adsense

Ahad, 5 Februari 2012

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Azura ikon wanita Melayu

Posted:

Azura ikon wanita Melayu

Azura ikon wanita Melayu

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. NAJIB MOHD. NOR
dan ihsan ACE MOTION PICTURES


TERAJU utama filem Azura, Shahrizal Jaszle dan Neelofa sebagai Zek dan Azura.


PENGARAH terkenal ini mempunyai alasan tersendiri mengapakah filem Azura terbitan Sabah Film Production pada tahun 1984 yang dipilih untuk dijadikan versi baru.

Kata Aziz M. Osman, dia cukup tertarik dengan ketabahan dan kecekalan watak Azura itu sehingga layak diangkat sebagai ikon.

Semuanya itu timbul sewaktu Aziz yang sering menonton siri televisyen dan filem Barat bersama anak-anaknya seperti That's So Raven sehingga mereka begitu tertarik dengan watak utamanya dan menjadikan karakter itu sebagai idola.

"Lantas ia membuatkan saya terfikir mengapa tidak saya membikin sebuah filem yang memaparkan watak wanita yang melambangkan kekuatan semangat serta jati dirinya.

"Lalu, idea itu timbul untuk mengadaptasi filem Azura dan dijadikan versi baru dalam acuan saya sendiri. Lebih wajar rasanya untuk saya menghasilkan sebuah filem baru daripada mengulang cerita asalnya.

"Ingin juga saya tegaskan di sini bahawa filem Azura arahan saya ini bukanlah sebuah filem remake (pembikinan semula).

"Sebaliknya, saya mengambil inspirasi filem itu lalu dijadikan versi saya. Saya sangat berharap peminat tegar filem Azura dan pencinta filem sekalian tidak akan membuat perbandingan secara menyeluruh," kata Aziz sewaktu ditemui pada sidang akhbar usai malam gala filem Azura di GSC One Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir ke majlis itu adalah barisan pelakon filem tersebut iaitu Neelofa sebagai Azura, Shahrizal Jaszle (Zek), Afdlin Shauki (Tan Sri Putih), Nini Marlini (Wanda) dan Afida Es (Nek Wan).

Mungkin kedengaran agak tinggi cita-cita Aziz untuk menjadikan karakter Azura versi baru ini sebagai ikon wanita Melayu.

Namun, sebagai karyawan seni yang sudah lebih empat dekad berkecimpung dalam dunia perfileman, sudah pasti Aziz mempunyai rasionalnya sendiri.

Jelasnya, watak Azura ciptaan baru ini memiliki kekuatan dalam diri untuk meneruskan kehidupan meskipun berhadapan dengan pelbagai rintangan dalam cita-citanya.

Malah, kejujuran dan kesetiaan dalam perhubungan selain menjaga batas-batas agama membuktikan bahawa Azura masih mampu menjadi seorang gadis konvensional, biarpun hidup dalam dunia moden.

"Saya mahu memberi definisi baru terhadap wanita moden hari ini dan semuanya itu dapat ditonton menerusi karakter Azura dalam filem ini.

"Begitu juga sewaktu Azura sudah berkahwin dengan Zek, dia tetap meletakkan suaminya di hadapan dan berharap serta yakin Zek mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik walaupun Azura mampu berdikari.

"Sehinggakan karakter Azura sewaktu menangis juga saya tidak tonjolkan ketika dia berhadapan dengan konflik bersama Tan Sri Putih mahupun Wanda. Sebaliknya, Azura menangis untuk melepaskan tekanan hanya ketika dia keseorangan.

"Semuanya adalah kerana mahu membuktikan bahawa Azura sebenarnya seorang yang kuat dan tabah tanpa perlu meminta simpati daripada sesiapa. Dalam erti kata lain, Azura versi baru ini mempunyai prinsip dan ketegasan dalam setiap keputusannya," jelas pemilik trofi Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-15 (2001) menerusi filem Leftenan Adnan ini.

Menyedari akan permasalahan yang dihadapi oleh generasi muda hari ini dalam institusi perkahwinan, soal itu turut menjadi salah satu sub plot filem ini yang tidak mustahil mampu memberi kesedaran kepada penonton.

Jika Azura versi asal kisah utamanya memaparkan tentang hubungan cinta sepasang kekasih yang dihalang kerana perbezaan darjat, untuk versi baru ini, paparannya sedikit berbeza.

Dari kaca mata Aziz dan barangkali untuk sesetengah penonton, dalam dunia serba moden ini, tunjang utama kepada kemajuan hidup seseorang itu adalah dengan pelajaran, selain usaha dan kerja keras.

Apatah lagi, isu perkahwinan adalah perkara yang cukup serius dan menjadi satu cabaran buat generasi muda hari ini seandainya mereka belum benar-benar bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

Semua itu merupakan sebahagian daripada mesej yang ditonjolkan secara terus dalam filem Azura yang menelan belanja RM1.8 juta ini.

Bagaimanapun, sesuatu yang dilihat 'kurang menarik' dalam filem ini apabila emosi dan percintaan antara Zek dan Azura bagaikan tidak kesampaian ke jiwa penonton.

Sedang enak penonton dibuai dengan emosi, perasaan itu bagaikan direntap sebelum dihidangkan dengan adegan seterusnya.

Menjawab persoalan itu, Aziz memberitahu perkara itu adalah subjektif dan penilaian serta cita rasa penonton sangat berbeza.

"Saya tidak mahu memaparkan adegan yang meleret-leret sehingga menjadikan jalan cerita menjadi perlahan dan membosankan.

"Menerusi filem ini, saya selesa menonjolkan kisah kehidupan seharian mereka dan tidak mahu menampakkan setiap situasi itu dibuat-buat.

"Jadi, kalau ada yang suka dengan cara saya itu, saya menerimanya dengan senang hati. Begitu juga sebaliknya kerana memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak," jelas Aziz yang kembali mengarahkan filem selepas lebih lima tahun tidak berbuat demikian.

Aziz yang juga terkenal dengan filem-filem hebat seperti Femina, Fenomena dan XX Ray turut ditanya tentang pemilihan Neelofa yang membawa watak Azura.

Sambil tersenyum, Aziz dengan penuh jujur menjawab Neelofa mempunyai pesona tersendiri dan kelihatan sungguh cantik di dalam seluloid.

"Ketika dia menerima tawaran saya itu, dia belum menang lagi pertandingan Dewi Remaja. Bagi saya, Neelofa mempunyai faktor-x yang membuatkan saya yakin dengannya untuk menjadi Azura.

"Benar, dia masih baru ketika itu dan apa yang membanggakan saya dia mampu membawakan karakter Azura ini dengan gayanya tersendiri.

"Malah, dia sendiri tidak pernah tonton filem Azura yang asal dan kalau boleh, saya sendiri tidak mahu dia menontonnya kerana enggan membiarkannya terikut-ikut dengan gaya lakonan Fauziah Ahmad Daud.

"Bahkan, Afdlin yang ketika itu berlakon dengannya juga mengakui akan keberkesanan lakonan Neelofa, walhal Afdlin tidak mengenalinya ketika itu," jelas Aziz yang disapa sebagai Abang Long oleh penggiat industri seni tempatan.

Full content generated by Get Full RSS.

Misi merubah remaja bermasalah

Posted:

Misi merubah remaja bermasalah

Misi merubah remaja bermasalah

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar AZWAN ZAHAR (Pelatih Cybernetics)

ASTRO Ria banyak menerbitkan program realiti televisyen (TV) yang bukan sahaja berteraskan dunia hiburan semata-mata, sebaliknya turut membabitkan khidmat sosial bagi membantu meningkatkan lagi nilai-nilai positif dalam masyarakat.

Terbaru saluran TV berbayar itu misalnya, akan menyiarkan rancangan berjudul Misi 12 iaitu sebuah rancangan realiti yang bertujuan merubah masa depan dan sikap 12 remaja bermasalah yang menjadi peserta dalam rancangan yang bakal disiarkan mulai 7 Februari ini.

Menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, antara peserta yang ditonjolkan dalam Misi 12 merupakan minah rempit yang akan dibentuk oleh sembilan pembimbing daripada pelbagai bidang kerjaya untuk dikongsi bersama-sama para penonton.

"Misi 12 menampilkan 12 peserta yang telah kami pilih daripada sesi ujibakat pada tahun lalu. Mereka ini terdiri daripada mereka mempunyai masalah sosial dan kurang berjaya dalam kehidupan masing-masing. Contohnya, ada di antara mereka yang gagal dalam pelajaran.

"Tidak kurang juga yang pernah menjadi minah rempit. Jadi, melalui rancangan ini, kami akan membimbing mereka supaya berubah sikap dan menjadi lebih cemerlang dalam bidang yang akan mereka ceburi selepas itu nanti," katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.

Pada pertemuan selepas pelancaran Misi 12 di Eco-Resort, Hulu Yam, Selangor itu, Nizam berharap agar rancangan seumpama itu boleh memberi iktibar kepada para penonton agar berusaha menjadi manusia yang lebih baik dan mencari kejayaan dalam hidup dalam apa juga kerjaya.

Justeru, kata Nizam, pihaknya telah memilih tiga ikon yang berjaya dalam kerjaya masing-masing untuk 12 peserta Misi 12 sepanjang tujuh minggu mereka terbabit dalam rancangan yang disiarkan di Astro Ria setiap Selasa mulai 7 Februari ini pukul 9 malam.

Tiga ikon yang akan berkongsi kejayaan mereka itu kepada 12 peserta terbabit ialah Pengurus Besar Mercedez Benz Malaysia, Datuk Soke Clement Soo, Pengurus Tayangan Unggul Sdn. Bhd., Gayatri Su-Lin Pillai,Pengarah Coffe Scene Sdn. Bhd. (Bangi Kopitiam), Ooi Kim Chong dan Kid Search.

"Rancangan seperti ini bukan sahaja memberi motivasi kepada para peserta tetapi secara tidak langsung ia juga mampu memberi perangsang kepada para penonton bagi berkongsi tips serta kejayaan tiga ikon terbabit dalam membentuk sikap mereka agar lebih positif," ujarnya.

Selain tiga ikon itu, Misi 12 turut menyediakan enam pembimbing yang terdiri daripada Dr. Deleila Hatun (kelas ekonomi), Dr. Tengku Ismadi (motivasi), Nur Syuhada Ridzuan (kelas bahasa Inggeris), Muhammad Faisal Ahmad (pengucapan awam) dan Imam Muda Aran (kelas agama).

Penerbit Eksekutif Misi 12, Ismadi Ismail berkata, pemilihan para peserta itu yang diadakan pada satu sesi ujibakat pada 31 Disember lalu mengambil kira latarbelakang mereka serta matlamat mereka dalam usaha untuk mengubah sikap dan nasib mereka agar lebih baik.

"12 peserta itu akan dibahagikan kepada tiga kumpulan di mana semua ikon dan tenaga pengajar akan membimbing mereka dalam pelbagai aspek seperti motivasi, kerohanian dan pengurusan kewangan. Kami akan lihat kecenderungan dan perubahan sikap mereka.

"Tiada peserta yang akan disingkirkan dan mereka akan menyertainya selama tujuh minggu. Selepas itu, kami akan mengumumkan hadiah yang akan mereka terima berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan selepas berakhirnya tempoh tersebut," jelasnya.

Sementara itu, Ooi Kim Chong yang mewakili ikon dalam Misi 12 berkata, dia akan mencurahkan pengalamannya dalam bidang pengurusan kepada para peserta terbabit agar sedikit sebanyak memberi motivasi untuk lebih berjaya dalam kerjaya yang mereka ceburi pada masa depan.

"Saya akan berkongsi pengalaman dan penat lelah dalam bidang yang saya ceburi ini. Walaupun cuma tujuh minggu sahaja, tetapi kalau para peserta memberi tumpuan dan bersungguh-sungguh menimba pengetahuan mereka boleh berubah secara konsisten.

"Selain mencipta kerjaya dalam bidang pengurusan, saya juga mempunyai kepakaran dalam seni mempertahankan diri tae-kwon do di mana jika para peserta terbabit berminat, saya juga akan berkongsi kebolehan dalam bidang ini," katanya bersungguh-sungguh.

12 peserta yang ditampilkan dalam Misi 12 ialah Mohamad Shafwan Abdul Saleem, 19, Muhammad Subky Halib, 23, Nur Syukree Arrif Sazali, 19, Muhammad Indera Mulia Muhammad, 24, Mohammad Anaz Mat Lasim, 22, Mohd. Hazmin Zamri, 19, Raja Mohd Azlan Raja Jafar, 23, Nor Ain Amin Nudin, 19, Fatin Azira Rohaizad, 21, Nur Atiqah Sarimbi, 23, Syahirah Saad, 22 dan Nadia Rahmat, 23.

Full content generated by Get Full RSS.