Adsense

Selasa, 28 Februari 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Arah tuju seni Kamal, Mikha

Posted:

Arah tuju seni Kamal, Mikha

Arah tuju seni Kamal, Mikha

IMPAK daripada drama sinetron Nada Cinta di Malaysia, nama Mikha Tambayong mula dikenali peminat-peminat di Malaysia.

Malah, gadis berusia 18 tahun yang kini digosip bercinta dengan pasangannya dalam Nada Cinta iaitu Randy Pangalila terkejut apabila dirinya menjadi kegilaan di kalangan peminat Malaysia sehingga saban hari ada sahaja peminat Malaysia yang menghantar tweet kepadanya.

Bagi pelakon Malaysia, Kamal Adli, 26, pula, dia mengakui berasa bertuah kerana dikenali di Indonesia selepas be berapa kali berulang alik dari Jakarta ke Malaysia untuk mempromosikan filem lakonannya bersama pelakon popular Indonesia, Olivia Jensen, 19, iaitu Gerimis Mengundang.

Malah, hasil daripada propaganda yang dicipta media di Indonesia mengatakan kedua-dua mereka bercinta selepas berlakon bersama-sama dalam filem arahan Ahmad Idham itu menyebabkan ada beberapa penerbit Indonesia berminat mengambil Kamal berlakon dalam drama sinetron mereka.

Kedua-dua pelakon itu kini digandingkan bersama dalam teater Gerimis Mengundang. Teater yang merupakan prekuel daripada filem Gerimis Mengundang itu bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 27 Mac ini.

Ada sebab mengapa Mikha dipilih untuk menjayakan pementasan Gerimis Mengundang.

Mikha penat berlakon

Perasaan sedikit teruja mengiringi pertemuan Kosmo! dengan Mikha Tambayong. Pertama, sebab dia begitu cantik dan kedua, sikap dia begitu sopan dan baik.

Ke mana sahaja jurufoto Kosmo!, Djohan Shahrin Shah memintanya bergambar, dia tidak menolak malah terjadi satu insiden kakinya dinaiki beberapa ekor kerengga.

Selesai sahaja sesi fotografi dilakukan, lantas pemilik sebenar nama Moudy Mikha Maria Tambayong itu diajukan soalan tentang populariti yang diraih di Malaysia menerusi sinetron Nada Cinta.

Akui Mikha, dia hanya mengetahui dirinya popular di Malaysia apabila mendapati pengikut di laman sosial Twitter miliknya bertambah dan kebanyakannya daripada negara ini.

"Setiap hari pengikut di Twitter saya akan bertambah dan kebanyakannya dari Malaysia. Mereka tweet mengatakan sangat sukakan lakonan saya dalam Nada Cinta selain sering bertanya bila ingin bertandang ke Malaysia.

"Saya terkejut dan tidak tahu sama sekali Nada Cinta kini ditayangkan di Malaysia memandangkan sinetron itu sudah ditayangkan di negara saya dua tahun lalu. Saya ketahui juga selepas beberapa peminat di Malaysia memberitahu perkara itu kepada saya," ungkapnya mengenai sinetron Nada Cinta sebanyak 244 episod yang mula ditayangkan di Malaysia pada 27 September di Astro Ria.

Mengenali sisi hidup Mikha, gadis kelahiran Jakarta, Indonesia itu memulakan kariernya sebagai model dan kemudiannya terjun ke bidang lakonan. Sinetron pertamanya, Kepompong berjaya melonjakkan nama Mikha di persada seni Indonesia.

Anak saudara kepada penyanyi terkenal Harvey Malaiholo ini juga kemudiannya mengikut jejak bapa saudaranya dan merakamkan single, Cinta Pertama untuk runut bunyi sinetron Kepompong pada tahun 2009.

Mikha kemudiannya merakamkan album penuh pada tahun 2010 lantas sukses di lapangan nyanyian.

Tidak hanya fokus pada bidang nyanyian semata-mata, Mikha juga terus terusan membintangi drama sinetron walaupun mengakui penat menjadi seorang pelakon.

"Memang sangat capek (penat) berlakon untuk sinetron. Sebabnya, untuk satu sinetron sahaja saya perlu mengorbankan waktu selama setahun. Bayangkan sahaja setiap sinetron mempunyai beratus-ratus episod. Saya tidak punya masa untuk diri sendiri malah sambutan hari krismas dan sambutan tahun baru saya juga berlangsung di lokasi. Tetapi ia sudah jadi tabiat saya berlakon. Saya akan rasa janggal berada di rumah dalam tempoh masa yang lama," ujarnya yang menganut agama katolik.

Ditebak dengan soalan cinta dan hubungannya bersama Randy Pangalila, Mikha mengakui Randy hanya merupakan rakan baiknya kerana mereka sudah mengenali antara satu sama lain sejak kecil lagi. Mikha juga tanpa berselindung memberitahu, dirinya sendirian tanpa sebarang teman lelaki.

"Saya dan Randy hanya teman baik walaupun ramai yang mengatakan kami bercinta. Saya tidak akan bercinta dengan pasangan lakonan saya. Dan saya akui saya tidak punya pacar (teman lelaki) buat masa ini," ungkapnya yang tidak sabar untuk menjayakan pementasan teater buat pertama kalinya di Malaysia bergandingan dengan Kamal Adli.

Berjanji memberikan persembahan yang terbaik, Mikha tanpa berselindung juga mengakui gemantar untuk beraksi di pentas teater yang berjudul Gerimis Mengundang.

"Perasaan gementar itu mesti ada tetapi lebih mendebarkan apabila ini adalah kali pertama saya beraksi di pentas teater di negara orang.

"Bagaimanapun saya yakin dapat melakukannya dengan tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon lain yang terlibat," ujarnya yang bakal menjalani latihan untuk teater muzikal itu pada Sabtu depan dan sepanjang tempoh itu dia akan menetap di Malaysia.

Kamal kecil hati


KAMAL dan Mikha dipertemukan khusus untuk pementasan Gerimis Mengundang.


Sudah lama tidak melihat wajah Kamal di bawah filem-filem Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd. (MMP) sedangkan pelakon itu masih lagi mempunyai kontrak selama tiga tahun bersama syarikat David Teo itu.

Adakah Kamal dianak tiri oleh David Teo? Diajukan soalan kepada kekasih Intan Ladyana itu, Kamal tanpa berselindung mengakui berasa kecil hati dengan pihak pengurusan yang seakan-akan mengabaikannya tanpa sebarang projek baru. Bagaimanapun, ujar Kamal, dia tidak menyesal mengikat kontrak dengan syarikat itu kerana ia adalah kehendaknya sendiri dan bukan dipaksa oleh sesiapa.

Atas dasar itu juga dia tidak mahu duduk diam tanpa berbuat apa-apa sebaliknya turut mencari peluang lain tanpa terlalu mengharapkan syarikat pengurusannya.

"Saya tidak pernah menyesal bersama MMP tetapi ada berasa kecil hati dengan pihak pengurusan yang seakan-akan mengabaikan saya tanpa sebarang projek baharu.

"Disebabkan itu, saya banyak ambil projek luar kerana pihak lain melihat bakat saya. Tetapi, saya juga tidak salahkan mereka kerana mereka bukan menguruskan saya seorang tetapi hampir 100 artis lain yang bernaung di bawah MMP," ujarnya yang bagaimanapun tetap memberi keutamaan kepada MMP berbanding projek luar.

Mengulas mengenai namanya yang semakin melonjak naik di Indonesia pula, Kamal mengakui berasa bertuah kerana semakin diterima oleh peminat di sana selepas berulang alik mempromosikan filem Gerimis Mengundang yang mengandingkannya dengan pelakon Olivia Jensen.

"Filem Gerimis Mengundang juga akan ditayangkan di Indonesia jadi saya kerap ke sana untuk mempromosikan filem tersebut. Media di sana pula membuat gosip yang saya dan Olivia sedang bercinta. Saya cuma menganggap ia sebagai satu promosi untuk saya dan filem itu nanti," ujarnya.

Mengaku menerima tawaran melebarkan sayap ke Indonesia, dia bagaimanapun belum bersedia untuk ke sana selain belum puas berlakon dengan produksi tempatan.

"Memang saya ada menerima tawaran berlakon di sana tetapi saya masih tidak memberi jawapan. Bukan kerana sombong tetapi banyak perkara yang perlu saya korbankan. Pertama, saya perlu menguasai bahasa Indonesia dengan baik sedangkan saya tidak ada masa untuk belajar.

"Selain itu, saya masih belum bersedia dalam pelbagai aspek. Daripada menimbulkan masalah kepada mereka lebih saya baik tolak secara baik. Namun, jika ada rezeki lagi dan sudah bersedia saya mungkin akan beralih arah ke Indonesia," tuturnya.

Sekitar Konsert Sudirman... Abadi Di Hati

Posted:

Sekitar Konsert Sudirman... Abadi Di Hati

Sekitar Konsert Sudirman... Abadi Di Hati

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


ALYAH merupakan penyanyi generasi baharu yang rasa teruja kerana dapat menjayakan konsert khas mengenang 20 tahun pemergian Sudirman.


TANGGAL 22 Februari 1992 sememangnya sangat dirasai oleh seluruh warga Malaysia apabila kehilangan seorang insan seni yang paling berbakat iaitu Datuk Sudirman Haji Arshad.

Kini setelah 20 tahun Allahyarham meninggal dunia, kehilangannya terus dirasai oleh para peminat. Malah, lagu-lagu malar segarnya masih kerap berkumandang di stesen-stesen radio dan menjadi siulan ramai.

Sebagai mengenang jasa Allahyarham sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi sejak tahun 1976, Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menganjurkan Konsert Sudirman... Abadi Di Hati pada 24 Februari lalu dan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM 1 bermula pada pukul 9 malam.

Penerbitnya, Ain Sabrina Onn berkata, konsert tersebut dianjurkan bertujuan untuk mengimbas semula perjalanan karier seni Sudirman sepanjang 16 tahun menjadi seorang penghibur.

"Konsert ini merupakan kali kedua dianjurkan oleh RTM setelah pertama kali ia diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada tahun 2007. Ketika itu konsert yang diberi nama Suara Hati Sudirman telah dihadiri seramai 15,000 orang.

"Pada kali ini kami memilih Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri sebagai lokasi konsert yang bertujuan mengenang kembali perjalanan karier seninya yang bermula di RTM selepas menjuarai Bintang RTM 1976," ujarnya ketika ditemui sejurus konsert berakhir.

Menurut Ain, sepanjang konsert tersebut berlangsung, sebanyak 24 buah lagu Sudirman telah dinyanyikan semula oleh beberapa orang penyanyi terkenal tanah air selama dua jam.

Persembahan pada konsert tersebut membabitkan penyanyi seperti Shila Amzah, Bob Yusof, Tomok, Aril, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Alyah, Black, Adibah Noor, Datuk Sharifah Aini dan Rey, manakala ia dihoskan oleh Saiful Apek dan Didie Alias.

Lagu-lagu yang dipersembahkan pula antaranya seperti Gerimis Di Lautan, Jali Jali, Bila Hati Terpikat, Aku Anak Gembala, Nilai Cintamu dan Pelangi Petang dengan mengikut turutan album yang telah dihasilkan serta diiringi oleh 40 orang pemuzik Orkestra RTM.

Mengenai persiapan pula, Ain menjelaskan pihaknya mengambil tempoh selama sebulan untuk memastikan segala perjalanan konsert berjalan dengan lancar, manakala penyanyi yang terbabit pula berlatih selama dua minggu bagi menyesuaikan lagu-lagu dengan susunan muzik baharu.

"Saya bersyukur kerana konsert malam ini telah berjaya diadakan dan mendapat sambutan hangat daripada penonton yang telah memenuhi ruang auditorium 45 minit sebelum konsert berlangsung. Begitu juga dengan persembahan yang ditampilkan oleh barisan penyanyi sangat menghiburkan dan berhasil mengimbau kembali nostalgia terhadap Sudirman," ujarnya.

Sementara itu, Penerbit Perkhidmatan Muzik RTM, Ali Shaaib menyatakan konsert berkenaan merupakan yang pertama daripada sembilan konsert orkestra yang dirancang bagi mengisi kalendar Siri Orkestra 2012 RTM pada tahun ini.

Jelas Ali, bagi menampilkan sedikit kelainan berbanding dengan konsert Sudirman yang pernah dianjurkan sebelum ini, pihaknya telah memilih gabungan lagu-lagu malar segar dan lagu-lagu Sudirman yang jarang diputarkan stesen radio.

"Sebenarnya banyak lagu-lagu Allahyarham yang menarik dan sedap untuk didengar. Jadi, pada konsert kali ini para penonton akan dapat mendengar lagu-lagu yang jarang diputarkan seperti Di Dalam Sepi Itu, Bila Hati Terpikat dan Hilang Berganti," ujarnya.

Menurut Ali, pihaknya juga telah menetapkan idea untuk konsert berkenaan lebih menjurus kepada konsep yang menghiburkan dan kurang menerapkan elemen-elemen sedih.

"Tidak dinafikan kehilangan Sudirman masih lagi dirasai sehingga sekarang, tetapi pada masa yang sama adalah lebih baik sekiranya kita terus mengangkat karya-karyanya menerusi konsert-konsert sebegini.

"Selain dapat mengimbau semula nostalgia kariernya sepanjang bergelar penyanyi menerusi 24 buah lagu yang telah dinyanyikan, kami juga mahu para penonton terhibur dengan lawak dan celoteh yang ditampilkan oleh kedua-dua pengacara," ujarnya.

Selepas berakhirnya Konsert Sudirman... Abadi Di Hati, kalendar Siri Orkestra 2012 RTM diteruskan dengan sebuah persembahan Istimewa Orkestra RTM... Datuk Sharifah Aini yang akan berlangsung pada

1 April ini.