Adsense

Selasa, 14 Februari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Terpaksa jalani pembedahan

Posted: 13 Feb 2012 05:05 AM PST

RAMALAN kemenangan penyanyi popular Britain, Adele pada acara anugerah muzik berprestij antarabangsa, Anugerah Grammy ke-54 berlangsung di Staples Center, Los Angeles pagi semalam tepat apabila penyanyi itu sapu bersih enam anugerah yang tercalon untuk dirinya kali ini.

Ini adalah Grammy kedua diterima penyanyi berusia 23 tahun itu selepas menang Artis Baru Terbaik pada 2009.

Kejutan yang diduga itu bukan saja menyaksikan Adele berbangga menerusi album judul 21 menang anugerah utama, Album Terbaik manakala lagu Rolling in the Deep meraih anugerah Rakaman Terbaik dan Lagu Terbaik termasuk Persembahan Solo Pop Terbaik (Someone Like You), Album Vokal Pop Terbaik dan Muzik Video Terbaik.

Ketika naik ke pentas menerima anugerah bersama produser, Paul Epworth, penyanyi 'Tottenham Diva' ini tidak lupa memberikan ucapan penghargaan pada produsernya yang bertanggungjawab mencipta lagu itu.


"Dia seorang yang hebat. Terima kasih banyak Paul," katanya ringkas.


Meraikan kegembiraannya, Adele diberi peluang mengadakan persembahan selepas itu. Menariknya, ia adalah persembahan pertamanya selepas menjalani pembedahan tekak pada Oktober lalu, tetapi dia berjaya memukau tetamu dengan persembahan vokalnya yang masih mantap.

Aktres Gwyneth Paltrow yang diberi tugasan menjemput Adele ke pentas membuat persembahan bersama penyanyi koir pada rangkap korus turut meraih 'standing ovation' dan ucapan terima kasih.

Adele atau nama penuhnya, Adele Laurie Blue Adkins berasal dari Tottenham, London berjaya mencatat jualan album 21 sebanyak 12 juta unit seluruh dunia sejak awal tahun lalu.

Mencipta sejarah Grammy termasuk dirinya sendiri, Adele menjadi penyanyi kedua meraih pencalonan terbanyak pada acara ini selepas penyanyi rap, Kanye West dengan tujuh pencalonan. Kemunculan semula Adele digelar diva soul Britain di pentas Grammy kali ini selepas berehat panjang membuktikan dia masih hebat dengan kelebihan vokal yang dimiliki berbanding paras rupa.

Sebelum acara berlangsung, Adele menyatakan dia menganggap pencalonannya untuk Grammy sebagai penghargaan sambil berkongsi perasaan seronok dan gementar.

"Bidang nyanyian sebati dalam hidup saya. Ia adalah hobi, cinta, kebebasan dan kini menjadi karier saya. Saya tidak mempunyai pilihan berdepan pembedahan ini sama ada mahu terus menyanyi atau berdepan risiko kehilangan suara sampai bila-bila," katanya dalam blognya.

Pencapaian Adele di pentas antarabangsa suatu yang membanggakan buat negara kelahirannya selepas band Brit Pop popular, The Beatles mempunyai dua lagu 'Top 5' pada 1964 untuk single dan album serentak.

Merujuk pada kemenangan lain pada acara Grammy kali ini turut menyaksikan band rock alternatif popular, Foo Fighters membawa pulang tiga anugerah - Lagu Rock Terbaik menerusi Walk, Persembahan Hard Rock/Metal Terbaik (White Limo) dan Album Rock Terbaik (Wasting Light) buat kali keempat berturut-turut.

Jangkaan peminat genre rap terhadap kemenangan Kanye West juga menepati ramalan apabila penyanyi ini merangkul tiga anugerah untuk Album Rap Terbaik menerusi My Beautiful Dark Twisted Fantasy bersama Lagu Rap Terbaik (All of the Lights) dikongsi bersama komposer Jeff Bhasker, Stacy Ferguson, Malik Jones dan Warren Trotter manakala lagu sama menang anugerah Kolaborasi Rap Terbaik berkongsi kemenangan bersama Rihanna, Kid Cudi dan Fergie.

Bekas pemenang Album Terbaik Grammy ke-52, dua tahun lalu, Taylor Swift meneruskan kecemerlangannya dengan dua anugerah diterima, Persembahan Solo Country Terbaik menerusi lagu Mean dan Lagu Country Terbaik. Dia juga mengadakan persembahan untuk lagu kemenangannya itu.

Gandingan mantap penyanyi Cee Lo Green bersama Melanie Hallim mempertaruhkan lagu Fool For You berjaya menang dua anugerah, Persembahan Vokal Tradisional R&B Terbaik manakala Lagu R&B Terbaik dikongsi bersama Jack Splash.
Mendiang Amy Winehouse turut menerima anugerah Persembahan Pop Duo atau Kumpulan Terbaik menerusi lagu Body and Soul dikongsi bersama Tony Bennett.

Pada acara yang menghargai sumbangan warga seni yang terbabit dalam bidang muzik, hadirin turut memberikan penghormatan pada mendiang Whitney Houston yang meninggal dunia mengejut sehari sebelum acara ini berlangsung.

Pembukaan acara bersama LL Cool J bertindak sebagai pengacara memberi peluang pada tetamu memperingati diva pop popular ini menerusi persembahan 'tribute' disampaikan Jennifer Hudson.

"Kejadian ini suatu yang tidak disangka. Kita semua kehilangan anggota keluarga sendiri. Perkara sepatutnya yang kita lakukan ialah berdoa pada wanita yang kita cintai. Whitney, kami sentiasa menyayangimu," kata penyanyi rap terbabit.

Berkongsi perasaan sedih pada pemergian itu, tetamu bersama penyanyi terkenal Paul McCartney yang duduk di barisan depan kembali menyaksikan klip video lagu popular Whitney, I Will Always Love You dan kemudian tetamu berdiri memberi tepukan 'standing ovation'.

Di sebalik suasana sedih, perjalanan acara ini dimeriahkan dengan persembahan ramai artis popular antaranya, Sir Paul McCartney, Katy Perry, Bruce Springsteen, Foo Fighters, Kelly Clarkson, Dave Koz, Bruno Mars, David Guetta, Chris Brown, Nicki Minaj, Deadmau5 dan The Band Perry.

Senarai pemenang

  • Persembahan Pop Duo atau Kumpulan Terbaik
    Body and Soul (Tony Bennett & Amy Winehouse)
  • Album Alternatif Terbaik
    Bon Iver (Bon Iver)
  • Persembahan R&B Terbaik
    Is This Love (Corrine Bailey Rae)
  • Rakaman Dance Terbaik
    Scary Monsters bersama Nice Sprites (Skrillex)
  • Album Dance/Electronica Terbaik
    Scary Monsters bersama Nice Sprites (Skrillex)
  • Album Muzikal Teater Terbaik
    The Book of Mormon (Robert Lopez, Trey Parker & Matt Stone)
  • Album World Music Terbaik
    Tassili (Tinariwen)
  • Album Latin Pop Rock, Rock atau Urban Terbaik
    Drama y Luz (Mana)
  • Album Tropical Latin Terbaik
    Last Mambo (Cachao)
  • Album Skor Soundtrack Visual Media Terbaik
    The King's Speech (Alexandre Desplat)
  • Album Historical Terbaik
    Band on the Run (Paul McCartney Archive Collection - Deluxe Edition)
  • Persembahan Country Duo atau Kumpulan Terbaik
    Barton Hollow (The Civil Wars)
  • Album Vokal Jazz Terbaik
    The Mosaic Project (Terri Lyne Carrington & various artist)
  • Album Jazz Instrumental Terbaik
    Forever (Corea, Clark & White)
  • Improvised Jazz Solo Terbaik
    500 Miles High (Chick Corea)
  • Album Blues Terbaik
    Revelator (Tedeschi Trucks Band)
  • Album Folk Terbaik
    Barton Hollow (The Civil Wars)
  • Album Reggae Terbaik
    Revelation Pt 1: The Root of Life (Stephen Marley)
  • Produser Sepanjang Tahun, Bukan Klasikal
    Paul Epworth
  • Produser Sepanjang Tahun, Klasikal
    Judith Sherman


  • Gaya Hujan tampil akustik

    Posted: 13 Feb 2012 04:50 AM PST

    MEMBAWAKAN jenis muzik rock alternatif, Hujan bakal mengadakan persembahan akustik mereka pada 24 Februari ini bertempat di KL Pac, Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.

    Istimewanya konsert pada kali ini kerana ia menampilkan seratus peratus persembahan daripada Hujan tanpa ada pembabitan daripada kumpulan muzik lain.

    Bagi pemain keyboard Hujan, Hang Dimas Santoso, konsert ini boleh dianggap istimewa kerana jika sebelum ini peminat akan meloncat agresif semasa menonton Hujan membuat persembahan tetapi pada kali ini mereka membawakan situasi berbeza apabila mahukan peminat lebih santai dan rileks.

    "Ini adalah konsert penutup bagi album ketiga Hujan sebelum kami memperkenalkan album baru yang dijangka berada dalam masa terdekat.


    "Terdapat beberapa kejutan pada konsert akustik ini apabila kami melakukan beberapa perubahan pada susunan muzik supaya peminat dapat menghayati alunan yang dipersembahkan," katanya.


    Hujan turut dianggotai oleh Noh Salleh selaku vokalis, Izzat Uzaini (bes), AG Coco (gitar) dan Ambobzeela (dram).

    Mengimbas detik awal pembabitan Hujan di dalam dunia muzik, mereka mula dikenali ramai selepas single pertama, Pagi Yang Gelap mendapat tempat di hati peminat apabila siaran radio tempatan sering memutarkan lagu berkenaan.

    Ditubuhkan pada 2006, Hujan terus mengorak langkah sehingga merentasi luar negara apabila melancarkan misi mengembara Jelajah Hujan ke United Kingdom dengan membuat persembahan di Oxford Bar (Manchester), Zanzibar (Liverpool), Sheffield dan Cardiff.

    Menjadikan kumpulan The Strokes dan Butterfingers sebagai pencetus ilham, sekali lagi mereka ke Eropah apabila diundang untuk membuat persembahan dengan kumpulan rock legenda Malaysia, Search di Dublin dan London.

    Susulan muzik mereka dianggap istimewa kerana sering tampil dengan idea dan pendekatan baru selain mempunyai 'attitude' sendiri yang membuatkan mereka lain daripada kumpulan band indie yang sudah sedia ada.

    Antara lagu popular mereka adalah Kotak Hati, Jiwa Kelajuan, Dugaannya, Obsesi, Empayarmu, Mencari Konklusi, Bila Aku Sudah Tiada dan Kau Selalu Ada.

    Sehingga kini peminat tegar mereka yang dikenali sebagai Raingers tidak putus-putus menyokong dengan mengikuti setiap persembahan yang diadakan kumpulan itu.

    Telah menghasilkan tiga album bermula dengan nama Hujan, Mencari Konklusi dan Lonely Soldier Boy, mereka memperkasakan setiap kelemahan dengan mengambil contoh pemain muzik yang lain bagi meningkatkan lagi 'skil' muzik mereka itu.

    Peminat Hujan boleh mendapatkan tiket bermula dari RM48, RM63 dan RM78.

    "Tidak ada sebarang had umur yang ditetapkan jadi semua peminat kami yang datang dari golongan kanak-kanak, remaja mahu pun orang dewasa boleh sama-sama menyaksikan konsert ini.

    "Hanya 100 tiket dikeluarkan untuk harga RM48 manakala 150 keping untuk RM63 dan selebihnya pada harga RM78. Semua itu berdasarkan siapa cepat dia dapat," katanya.

    Tiket boleh didapati di kedai Morning Rocket yang terletak di Bandar Sri Permaisuri atau dengan melayari laman sesawang www.klpac.org atau www.ilassotickets.com