Berita Harian: Hip |
Posted: 13 Feb 2012 01:10 PM PST Hip Pemergian Whitney Houston menyentap sedikit kemeriahan malam anugerahUMPAMA patah tumbuh hilang berganti, kehadiran dan populariti penyanyi soul British, Adele, yang kian melonjak, ibarat hadiah yang menjadi galang ganti kepada pemergian diva pop tersohor, mendiang Whitney Houston, 48, Ahad lalu. Biarpun kematian Houston masih diratapi, namun keunggulan Adele sedikit sebanyak mengubat kesedihan peminat. Genre lagu dibawakan mereka berbeza, namun dua ikon ini memiliki banyak persamaan. Masing-masing memiliki lontaran vokal yang baik dan kedua-duanya berkebolehan mencipta lagu. Malah, karya nukilan mereka berjaya muncul sebagai lagu popular. Walaupun berita kematian mengejut Houston umpama mencantas kisah kegemilangan yang bakal dikecapi penyanyi bertubuh montel pada malam berprestij itu, namun kemenangan besar yang diraih penyanyi berusia 24 tahun itu, mengembalikan semula tumpuan kepadanya.Pernah diminta menguruskan badan untuk berjaya dalam industri seni, tetapi nyata kata-kata sindiran seakan langsung tidak mendatangkan kudis kepada penyanyi ini untuk menghasilkan lagu berkualiti sekali gus menjadi kegilaan seluruh dunia. Buktinya, enam pencalonan disapu bersih Adele pada malam penuh emosi itu. Kemenangan pertama diraih penyanyi yang cukup popular dengan lagu rangkaian lagu hit seperti Rolling In The Deep, Someone Like You dan banyak lagi beberapa minit setelah tirai Grammy disingkap. "Ini sesuatu yang sangat mustahil. Walau apa pun, terima kasih kepada semua pengatur cara radio, dan pihak penyiaran kerana tidak jemu-jemu memutarkan Rolling In The Deep, walaupun lagu itu bukanlah dalam kategori pop," katanya tatkala menerima anugerah Rekod Terbaik. Sementara itu, pencabar terdekat penyanyi ini, kumpulan Foo Fighters yang turut dicalonkan dalam enam kategori, tidak mengecewakan apabila menang lima daripadanya termasuk Persembahan Rock Terbaik untuk lagu Walk. Vokalisnya, Dave Grohl, berkata mereka sangat terharu kerana biarpun tidak menggunakan studio yang hebat untuk rakaman, sebaliknya merakam lagu itu di garaj, namun lagu mereka tetap berjaya menarik perhatian juri. "Ini menunjukkan elemen kemanusiaan dalam menghasilkan lagu menjadi kunci utama kepada muzik berkualiti," katanya. Sementara itu senarai pencalonan paling banyak bukanlah jaminan untuk mengungguli anugerah. Penyanyi rap, Kanye West, yang dicalonkan dalam tujuh kategori, hanya membawa pulang empat trofi. Namun, penyanyi itu tidak hadir pada malam anugerah. Turut menerima trofi pada malam itu ialah Tony Bennett dan Amy Winehouse untuk Persembahan Duo/Berkumpulan Pop Terbaik (Body & Soul) dan Lady Antebellum untuk Album Country Terbaik (Own The Night). Anugerah yang sepatutnya berlangsung penuh gemilang bagaimanapun berubah suasana berikutan pemergian mengejut Houston. Hos majlis, LL Cool J memulakan malam berkenaan dengan meminta khalayak berdoa untuk mendiang. Sementara, Jennifer Hudson muncul mendendangkan lagu I Will Always Love You, sebagai memperingati penyanyi wanita itu. Buat kali pertama, Rihanna dan bekas teman lelakinya, Chris Brown, muncul pada acara sama. Bagaimanapun, mereka tampil menyanyi secara berasingan. Turut mengadakan persembahan ialah Coldplay, Alicia Keys, Taylor Swift dan ramai lagi. |
Pengarah India hasilkan filem Cina Posted: 13 Feb 2012 01:03 PM PST Hip SELEPAS menghasilkan beberapa judul Melayu dan Tamil seperti Pensil, Sumpahan Puaka dan Garuuda, kini pembikin filem daripada Genius Parade Sdn Bhd, M Subash, (gambar) tampil berbeza dengan mengarahkan filem Cina berunsurkan seram, sekali gus meletakkan dirinya sebagai sutradara bukan Cina tempatan pertama mengarahkan filem Cina tanah air.Pada mulanya, akui Subash, ramai yang kurang yakin dengan kebolehannya. Namun selepas mengetahui dirinya boleh bertutur dalam bahasa Cina dengan baik, kesangsian mula terhakis dan seluruh kru dan pelakon komited memberikan kerjasama, membolehkan penggambaran memakan masa seminggu saja. Subash pernah belajar di Sekolah Kebangsaan Yuk Chi di Batang Berjuntai. Dari situlah dia mampu untuk memahami bahasa berkenaan dan bertutur dengan fasih.Subash serta penerbitnya, M Suurya, yang ditemui di Balai Berita baru-baru ini nyata teruja dengan karya terbaru mereka, You Believe In Ghost? itu. Mereka mengharapkan sambutan memberangsangkan dan pungutan yang tinggi, supaya ia boleh dijadikan penggerak kepada filem seterusnya. Melihat kepada sambutan diterima untuk filem Ah Beng dan Nasi Lemak 2.0, Subash percaya, filem ini juga boleh menarik penonton. Menurutnya, genre seram dipilih disebabkan sifat sejagatnya. Sebagai contoh, filem Nang Nak dari Thailand yang masih mampu mendapat sambutan hangat penonton walaupun menggunakan bahasa Siam.
Tambah lagi, jalan cerita yang saya terapkan tidak memerlukan penonton berfikir kerana ia senang difahami serta menggunakan dialog yang mudah. "Tidak dinafikan mengarah filem berbahasa Cina ini ada cabarannya. Pada mulanya ada yang kurang percaya pada kebolehan saya, tapi selepas dua atau tiga babak pertama, kami semua mula rasa seronok untuk bekerjasama," kata Subash yang juga penulis filem itu. You Believe in Ghost? agak menarik apabila ia boleh dilihat sebagai projek harmoni berbilang kaum, yang mana pengarah dan penerbitnya berbangsa India, barisan kru terdiri daripada orang Melayu, dan pelakon pula dibarisi bakat berbangsa Cina. Filem yang bakal ditayangkan pada Mei ini antara lain memaparkan empat kisah yang bercerita mengenai kasih sayang, fobia, komedi dan kepercayaan karut. Kisah yang dipaparkan adalah hasil daripada kajian yang dilakukan selama empat bulan oleh Subash sendiri. dia dapat merumuskan 85 peratus rakyat di dunia percaya wujudnya hantu. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |