Utusan Online - Hiburan |
Perkahwinan satu tanggungjawab - Ally Posted: Perkahwinan satu tanggungjawab - AllyOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL ALLY Iskandar menyerahkan mas kahwin kepada Nurfarahin Romli selepas upacara akad nikah yang berlangsung di Masjid Kristal, Kuala Terengganu, pagi Jumaat lalu. NADA suaranya cukup ceria tatkala Hits dapat berbicara dengan personaliti televisyen popular ini. Sementelah, segala debaran yang bersarang dalam dada sewaktu menunggu detik bersejarah untuk diijabkabul bersama suri hidupnya, terlerai sudah. Personaliti bernama penuh Ally Iskandar Mohd. Mardzi ini mengakui sudah lapang dada sebaik sahaja dia sah menjadi suami kepada Nurfarahin Romli, 23, atau lebih dikenali sebagai Farah Lee, pagi Jumaat lalu bersamaan 20 Januari. "Rasa seperti tidak percaya pula apabila sudah menjadi suami. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti mana yang kami rancang. "Cuaca juga cukup baik bagaikan mengiringi perkahwinan kami. Ditambah pula dengan kehadiran sanak-saudara menambahkan lagi seri hari bersejarah kami," beritahu Ally. Dengan dua kali lafaz, Ally dan Farah selamat dinikahkan oleh juru nikah Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu iaitu Mohd. Abu Bakar kira-kira pukul 10 pagi, di Masjid Kristal. Dalam majlis yang diadakan dalam suasana sederhana itu, Farah telah menerima mas kahwin sebanyak RM250 dan tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada al-Quran, sebentuk cincin, baju kurung, telekung dan sejadah. Sementara pengantin perempuan pula membalas dengan sembilan dulang termasuk telefon bimbit, baju Melayu, cincin, jubah dan manisan. Namun, kata Ally, kedua-dua belah keluarga sepakat untuk merahsiakan wang hantaran. Mendirikan rumah tangga dalam usia 36 tahun, sememangnya sesuatu yang tidak pernah dijangka oleh pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) ini. Kalau diikutkan perancangan sebelum ini, kata Ally, dia berhasrat menamatkan zaman bujang pada usia 25 tahun sama dengan usia Rasullullah SAW. Tetapi, sudah tertulis di loh mahfuz bahawa setiap perancangan yang dilakukan, akhirnya ditentukan oleh Yang Maha Esa. "Benar, sebelum ini puas saya mencari jodoh dan berkenalan dengan wanita yang saya fikir akan menjadi suri hidup. "Tetapi, saya percaya dengan Qada dan Qadar bahawa Allah SWT telah menetapkan pada usia saya 36 tahun adalah waktu terbaik untuk saya berkahwin. "Mungkin sebelum ini saya merasakan sudah bersedia untuk menjadi seorang suami. Tetapi Dia lebih tahu akan perjalanan hamba-Nya. "Dan, kerana itulah Allah SWT menetapkan hari ini (20 Januari) sebagai tarikh yang paling sesuai untuk saya menjalankan tanggungjawab baru dalam hidup," jelas anak kedua daripada tujuh beradik ini lagi. Sekadar berkongsi cerita, Ally dan Farah bertemu selepas diperkenalkan oleh adik Ally dalam bulan Ramadan tahun lalu. Walaupun ia berlaku dalam sekelip mata dan singkat, ternyata keterbukaan Farah untuk menerimanya sebagai suami menambahkan keyakinan Ally untuk menyuntingnya. Lalu, pada hari ketiga Syawal, Ally telah menghantar rombongan ke rumah Farah untuk menyerahkan cincin sebagai tanda. Apatah lagi, selepas ibu Ally, Nor Ainon Mohamed sendiri mengesyorkan Farah merupakan calon terbaik buat dirinya. "Saya percaya dalam setiap apa yang kita lakukan terutama perkahwinan amat penting untuk mendapatkan restu daripada ibu bapa. "Dalam masa yang sama saya mencari calon isteri, saya juga menyerahkan kepada keluarga untuk mengesyorkan pilihan yang mereka rasakan terbaik untuk diri ini. "Kini, dengan adanya Farah sebagai isteri, ia adalah pelengkap kepada kehidupan saya sekarang," terang anak kelahiran Kuala Lumpur ini lagi. Ally turut menambah sepanjang membujang, ibunya memang tidak pernah henti bertanyakan soal jodoh. Katanya, sebagai anak lelaki pertama dalam keluarga, sudah pasti perhatian itu lebih diberikan kepadanya sehingga Ally sering dibebel oleh si ibu yang menanti waktu untuk melihatnya di pelaminan. "Ditambah pula dengan kakak dan adik-adik saya yang lain juga ada yang sudah berkahwin. Jadi, atas alasan itu, saya memang menjadi mangsa bebel," ceritanya sambil ketawa kecil. Jika pasangan lain mahu menimang cahaya mata secepat mungkin, tetap tidak bagi Ally yang lebih selesa mengamalkan perancangan keluarga. Memang pada usianya kini, Ally sebenarnya sudah layak untuk bergelar bapa, tetapi Ally menjelaskan dia perlu menghormati situasi isterinya yang masih lagi menuntut dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Inha, Incheon, Korea Selatan. "Saya mahu Farah menghabiskan pengajiannya terlebih dahulu yang hanya tinggal setahun. Kemudian, barulah kami memikirkan tentang keluarga. "Dalam tempoh ini juga, saya akan berulang-alik ke Korea bergantung kepada kelapangan masa untuk bersama-sama Farah," kata Ally yang akan kembali mengacarakan Mentor musim keenam tidak lama lagi. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Hati Siti belum terbukaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SELAMA 17 tahun berkecimpung dalam dunia seni, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza hanya fokus kepada kerjaya sebagai seorang penyanyi. Bukan tidak pernah didatangi tawaran lumayan yang mahukan dirinya beraksi di layar perak tetapi Siti Nurhaliza tetap dengan pendirian. Bagi penyanyi yang mesra disapa Siti itu, dia mengakui bidang lakonan bukanlah kekuatannya. Malah, Siti cukup sedar untuk menjadi pelakon yang baik memerlukan disiplin dan komitmen yang sangat tinggi. Justeru, apabila namanya disebut bakal membintangi sebuah filem Indonesia berjudul Kekuatan Cinta, ramai yang mahu menyambut berita itu dengan senang sekali. Apatah lagi, ia bakal menampilkan beberapa pelakon Indonesia dan Malaysia antaranya Nicholas Saputra, Christine Hakim, Dian Sastrowardoyo, Melissa Saila, Fasha Sandha dan Raja Ema, pastinya ia bakal menjadi sebuah filem hebat. "Jujurnya, saya hanya mengetahui perihal itu apabila membacanya menerusi talian. Jika dilihat kepada senarai pelakonnya, memang cukup menarik dan bukan calang-calang. "Tetapi, di pihak saya, kami belum menerima sebarang tawaran apatah lagi perbincangan dengan pihak terbabit berhubung filem ini. "Barangkali, ia hanyalah niat dan impian pengarah serta penerbit filem itu yang mahukan saya muncul dalam filem mereka," jelas Siti penuh diplomasi ketika ditemui usai majlis sidang akhbar Konsert Sinar Maulidurrasul 1433 Hijrah Muhammad Al Ameen di Cyberjaya, Khamis lalu. Menyambung bicara, juara Bintang HMI 1995 itu memberitahu, sebelum dia membuat keputusan untuk membintangi mana-mana filem sekali pun, perkara pokok yang harus diutamakan adalah jalan cerita dan skripnya. Selain itu juga, kata Siti, dia juga perlu memikirkan tentang masa memandangkan jadual seninya yang sentiasa padat selain daripada komitmen terhadap keluarga. "Kalau ditanya kepada saya, sebenar-benarnya saya memang belum bersedia dan terbuka hati untuk berlakon filem atas faktor yang telah saya sebutkan tadi. "Bukan apa. Bimbang kalau tidak memberikan hasil yang memuaskan. Kesannya akan terpalit kepada kita juga. Malah, penerbit dan pengarah juga pasti akan terkena tempiasnya. "Untuk itu, biarlah masa yang akan menentukan bilakah masanya untuk saya berlakon filem," kata penyanyi berusia 33 tahun ini sambil mengukir senyuman. Kembali sebagai Azizah? Dalam pertemuan itu, anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu juga ditanya tentang kemungkinan untuknya kembali ke pentas teater memandangkan P. Ramlee the Musical bakal dipentaskan sekali lagi tahun ini. Mungkin ada yang terlupa, Siti pernah membintangi teater muzikal mega itu pada tahun 2007 dengan membawakan watak kekasih pertama seniman agung itu bernama Azizah. Biarpun kemunculannya hanya seketika, namun impak Siti menerusi teater itu bukan kecil-kecil anak sehingga mencatatkan rekod luar biasa apabila tiket dijual sebelum pementasan bermula. "Saya harus akui membintangi teater muzikal itu telah memberi satu pengalaman baru. Ditambah pula dengan mendapat tunjuk ajar mereka yang berpengalaman dalam dunia teater telah memberi perspektif baru dalam kerjaya saya. "Selama sebulan, hidup saya semuanya adalah untuk P. Ramlee the Musical. Saya juga perlu menolak banyak tawaran kerana komitmen saya dalam teater itu. "Seandainya tawaran diberikan kepada saya sekali lagi untuk membintangi teater itu, saya harus fikir semasak-masaknya. Sepanjang tahun ini, saya memang sibuk dengan pelbagai agenda yang sudah diaturkan. "Kalau perbincangan itu dapat membuka hati saya, siapa tahu, mungkin saya akan kembali sebagai Azizah," ujar Siti yang baru sahaja pulang dari Maghribi dan Dubai bagi menyambut ulang tahun kelahirannya ke-33 bersama suami tercinta. Sementara itu, Siti juga tidak menafikan bahawa dia kini dalam perancangan untuk mengadakan sebuah konsert seandainya mendapat penajaan bagi merealisasikan impian itu. Selain itu juga, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Seindah Biasa dan Ya Maulai ini juga melahirkan keinginannya untuk terus merakamkan lagu-lagu tradisional dan kerohanian. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |