Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Rezeki semakin melimpahOleh BASIR ABU BAKAR KEHEBATAN kumpulan Sepah sebagai sebuah kumpulan pelawak yang disegani sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Buktinya, apabila mereka muncul sebagai juara dalam rancangan Maharaja Lawak dengan menewaskan beberapa peserta yang dianggap pilihan seperti Jozan. Bagaimanapun, semuanya sudah tinggal sejarah apabila Sepah tidak lagi wujud. Siapa sangka selepas menjadi juara, mereka bertiga mengambil keputusan untuk berpecah ketika nama berada di puncak populariti. Memberikan alasan tidak dapat memberikan komitmen kepada kumpulan sehingga mengambil tindakan drastik untuk berpecah sebagai langkah terakhir, ternyata keputusan yang dibuat itu tetap mengejutkan ramai pihak terutamanya peminat. Tidak lama selepas itu, Shuib dan Jep membentuk pula sebuah kumpulan iaitu Sepahtu tanpa disertai Mamat. Namun, kini ramai yang mula tertanya-tanya tentang perjalanan seni Sepahtu setelah beberapa bulan diwujudkan. "Kami tidak nafikan kebanyakan tawaran yang diperoleh sekarang ini lebih banyak kepada individu, tetapi tidak bermakna kami meminggirkan kumpulan yang kami sendiri tubuhkan. Kalau ada tawaran untuk Sepahtu, kami akan terima sekiranya masing-masing tidak terikat dengan sebarang kerja lain. "Lagipun kami rasa tidak adil untuk menyekat rezeki sesama sendiri masing-masing bebas untuk terima apa sahaja tawaran yang diberikan, manakala untuk Sepahtu pula sudah ada beberapa projek yang sedang dan bakal kami jalankan," ujar Jep ketika ditemui baru-baru ini. Jelas Jep, salah satu projek yang kini sedang dilakukan oleh Sepahtu ialah menghasilkan album sulung yang diterbitkan oleh syarikat milik Mawi iaitu MW Entertainment dan Sheikh Qalam Records. Ujarnya, album berkenaan bakal mengandungi tujuh buah lagu dan sekarang ini mereka baru sahaja selesai merakamkan dua buah lagu yang berjudul Siapa Dapat Lisa ciptaan Datuk M. Nasir dan Tidur Mati yang dihasilkan oleh Azmeer. "Kalau kami jarang mengadakan persembahan atau berlakon bersama-sama, tidak bermakna Sepahtu semakin tenggelam atau bakal berkubur. Malah, kami sangat bersyukur kerana rezeki yang diperoleh juga semakin melimpah sejak bergabung berdua. "Selain sedang dalam proses menghasilkan album sulung, kami turut ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah filem dengan menjadikan Sepahtu sebagai watak utama. Namun, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan dan sekiranya tiada masalah, penggambaran akan bermula pada Mac ini," jelasnya. Mengenai hubungan mereka dengan Mamat selepas berpecah dan kemudiannya mewujudkan Sepahtu, Shuib secara terus terang menyatakan sehingga kini hubungan mereka dan Mamat masih lagi baik seperti biasa. BAWA haluan sendiri. Dari kiri, Jep, Shuib dan Mamat kini dengan hala tuju seni masing-masing. Akui Shuib, adakalanya dia dan Jep pernah berasa rindu untuk membuat persembahan dengan Mamat memandangkan mereka bertiga sudah lama berkawan serta berjuang bersama-sama ketika berada di rancangan Raja Lawak dan Maharaja Lawak suatu ketika dahulu. "Secara jujurnya memang ramai peminat yang mahukan kami bertiga kembali bergabung bersama dan melahirkan semula Sepah. Namun, buat masa ini kami sudah pun ada jalan sendiri untuk meneruskan kerjaya masing-masing. "Mengenai permintaan yang dibuat oleh peminat, kami memang sukar memberikan jawapan. Kalau kami berkata ya, itu bermakna kami memberikan harapan yang tinggi kepada peminat, sedangkan hakikatnya tidak pernah terlintas langsung untuk bergabung semula," tegas Shuib. Walaupun sudah tidak lagi berada dalam satu kumpulan yang sama, tetapi mereka bertiga masih terus bekerjasama dan baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Sepah The Movie beberapa bulan lalu. Utamakan keluarga Tanggal 4 Disember 2011 pasti memberi erti yang cukup bermakna dalam kehidupan Shuib apabila isterinya, Siti Sarah yang juga seorang penyanyi telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki bernama Uwais Alqarni. Ditanya tentang perjalanan kehidupan sehariannya setelah lebih sebulan bergelar seorang ayah, pelawak yang sudah berusia 27 tahun itu merasakan kehidupannya lebih sempurna dengan kehadiran cahaya mata. "Selain berusaha keras untuk berjaya dalam kerjaya yang saya ceburi, fokus utama saya adalah keluarga. Bagi saya keluarga adalah segala-galanya, apatah lagi setelah bergelar seorang ayah. "Sekiranya tidak terlibat dalam membuat persembahan atau menjalani penggambaran, saya lebih suka menghabiskan masa di rumah dan membantu isteri menjaga anak serta melakukan kerja-kerja rumah," jelasnya. Menurutnya lagi, disebabkan kesibukannya dalam menguruskan rumah tangga memandangkan isterinya masih lagi dalam pantang telah menyebabkan ada beberapa tawaran yang diperoleh terpaksa ditolak. "Memandangkan ini merupakan cahaya mata pertama, sudah tentu saya sangat teruja untuk melihat dia membesar. Adakalanya saya sendiri seperti tidak percaya sudah memiliki anak dan semakin seronok menjadi seorang ayah," ujarnya. Putus cinta
Jika Shuib melalui fasa kehidupan yang lebih sempurna setelah mendirikan rumah tangga dengan Siti Sarah dan kini memperoleh cahaya mata, ternyata lain pula yang terpaksa dilalui oleh seorang lagi anggota Sepahtu iaitu Jep. Menurut pelawak berkenaan, hasrat untuk bercinta dan menjalinkan hubungan yang serius dengan seorang gadis ternyata tidak kesampaian apabila hubungan mereka berdua telah putus baru-baru ini. "Sebenarnya saya tidak mahu mengulas lebih panjang tentang perkara itu kerana sudah ditakdirkan memang tiada jodoh kami. Apa yang boleh saya katakan dia adalah gadis biasa dan hubungan kami putus ketika saya sedang sibuk menjalani penggambaran filem Sepah The Movie. "Saya sendiri tidak tahu apa yang menyebabkan hubungan kami putus, namun kami tetap berpisah dengan cara baik. Jadi, sekarang ini saya memang sudah solo dan tidak mahu memikirkan sangat tentang cinta," jelasnya yang terus merahsiakan tentang identiti gadis yang pernah bertakhta di hatinya dahulu. Ujarnya, buat masa ini dia belum merancang untuk mencari pengganti kerana kekecewaan terhadap kegagalan dalam percintaan yang lalu masih lagi dirasai. Buat masa ini hanya kerjaya yang menjadi keutamaan dan dia lebih seronok dengan Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Posted: Aaron cedera angkara Syamsul?Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
AKTOR paling dikehendaki dalam industri perfileman Malaysia saat ini, Aaron Aziz, 36, yang menjalani penggambaran filem terbaharunya, KL Gangster 2 di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dikatakan telah mengalami kecederaan sehingga dimasukkan ke hospital baru-baru ini. Gosip segera bertiupan membawa perkhabaran kurang enak kononnya berlaku kesilapan teknikal ketika penggambaran babak lagak ngeri yang membabitkan Aaron. Pengarah filem itu, Syamsul Yusuf pula dipersalahkan dan anak teruna Datuk Yusuf Haslam itu ditohmah sebagai terlalu ghairah mahu menyiapkan filem itu sehingga menyebabkan berlaku kemalangan menyebabkan Aaron tercedera. Syamsul dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar semalam telah menafikan bahawa dia adalah dalang di sebalik kecederaan yang dialami Syamsul itu, namun apa pula cerita di pihak Aaron? Kosmo! berpeluang bersua dengan Aaron di set penggambaran KL Gangster 2 di Kampung Abdullah Hukum, Kuala Lumpur, kelmarin bagi merungkai segala persoalan yang tercetus daripada kejadian yang tidak sangka-sangka menimpa dirinya itu. Kosmo!: Dengar cerita Aaron cedera dan dimasukkan ke hospital selepas terbabit dengan penggambaran babak lagak ngeri filem KL Gangster 2 tetapi kenapa anda masih datang ke set penggambaran filem ini? AARON AZIZ: Boleh dikatakan saya terpaksa datang penggambaran (filem ini) juga. Doktor suruh berehat empat hingga lima hari tetapi saya nak buat juga penggambaran. Cuma buat masa sekarang, saya tak boleh buat lagak ngeri atau aksi terlampau lasak. Apa yang berlaku sebenarnya sehingga menyebabkan Aaron tercedera? Selepas penggambaran pada Sabtu 7 Januari lalu, badan saya sakit-sakit. Ingatkan sakit biasa sahaja. Namun, saya tetap teruskan penggambaran. Biasanya selepas itu akan sembuh terus. Tapi kali ini lain pula. Pada pagi Ahad 8 Januari, disebabkan sudah tidak tahan sakit belakang, saya terus pergi ke hospital dan seterusnya tidak dibenarkan pulang, kena tahan di hospital, tetapi sehari sahaja kemudian terus dibenarkan pulang.
Sebenarnya apa yang menyebabkan kesakitan yang dialami Aaron itu? Doktor beritahu sebab saya terlalu penat. Tapi pada hari penggambaran itu, saya sendiri yang minta kebenaran Syamsul (Yusuf) untuk buat aksi yang lebih lasak. Kalau ikut skrip asal, saya jatuh dan hampir kena langgar kereta, tetapi saya minta ubah iaitu selepas jatuh kereta, saya jatuh lagi di atas sebuah kereta lain, kemudian barulah saya nak kena langgar. Di hospital manakah Aaron kena tahan dan boleh ceritakan pengalaman ketika itu? Saya mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Tropicana, Damansara, Petaling Jaya. Mula-mula saya kena sekali suntikan ubat penahan sakit di bahagian punggung tapi kesakitan yang saya alami masih belum hilang, lalu doktor pun memberikan dua lagi suntikan - satu di bahagian bahu dan satu di bahagian tangan saya. Selepas itu, barulah saya berasa sedikit lega. Selain itu, doktor juga ada buat X-ray bagi memeriksa sama ada ada berlaku keretakan tulang dan pastikan tiada masalah serius berkaitan. Doktor kata, jika masalah kesakitan yang saya alami masih berlarutan kena buat ujian scan MRI, tetapi syukur Alhamdulillah semua sudah okey. Betul ke gosip yang mendakwa kesakitan yang dialami Aaron itu adalah disebabkan berlaku kesilapan teknikal ketika berlakon babak lagak ngeri KL Gangster 2 angkara Syamsul yang terlalu ghairah mahu menyiapkan filem ini? Bukan pasal kemalangan semasa babak lagak ngeri filem ini. Saya kepenatan sebenarnya selepas berulang-alik dari lokasi penggambaran KL Gangster 2 di Kuala Lumpur dan lokasi penggambaran lain di Negeri Sembilan, dan macam-macam lagi faktor berkaitan. Adakah Aaron akan ikut nasihat doktor untuk berehat seketika sebelum kembali ke set penggambaran KL Gangster 2? Kebetulan saya akan ke Tokyo, Jepun selama seminggu mulai Rabu ini (semalam, 11 Januari 2012) untuk promosi produk minuman tenaga jenama Drive 7 yang telah melantik saya sebagai dutanya. Jadi dalam masa yang sama, saya akan gunakan untuk berehat. Selepas itu barulah saya akan sambung penggambaran KL Gangster 2 sebelum ke set sebuah lagi filem baharu lakonan saya yang berjudul, Kerat 14. Full content generated by Get Full RSS. | ||||
Posted: Lapan tahun 8TV kekal urbanELECOLDXHOT memberi sebuah persembahan mengujakan dengan skil tarian yang kemas. TANGGAL 8 Januari 2012, menjadi begitu bermakna buat seluruh warga saluran 8TV apabila mereka sekali lagi menyambut ulang tahun penubuhan stesen tersebut buat kali kelapan. Sesuatu yang mengujakan saluran ini juga apabila mereka kekal menjadi saluran televisyen tidak berbayar yang masih berada di landasan awal mereka sebagai saluran yang sentiasa menyajikan program-program urban dan hip biar sudah lapan tahun masa berjalan. Justeru untuk meraikan ulang tahun kelapan sekali gus menghargai sokongan penonton 8TV, sebuah konsert percuma yang menampilkan artis-artis terkini diadakan di tempat letak kereta terbuka pusat beli-belah One Utama (Old Wing), Petaling Jaya, Selangor. Digelar sebagai Big 8 Bash, pesta bermula seawal pukul 4 petang itu padat dengan aktiviti dan program menarik yang telah disediakan antaranya stilt walker', puppets shows dan pertandingan shuffle. Pesta sebenar hanya bermula pada sebelah malam apabila barisan artis mula menguasai pentas dengan persembahan-persembahan mereka. Ia dimulakan dengan slot konsert dari barisan artis Cina yang cukup terkenal selama dua jam pertama termasuk persembahan dari artis Malaysia yang mencipta nama di Taiwan, Nicholas Teo. Kemeriahan konsert kemudian disambung dengan persembahan dari artis-artis urban yang memang mempunyai kelas tersendiri. Juara Showdown 2011, Elecoldxhot membuka slot konsert dengan gerak tari dan persembahan yang cukup impresif. Ia kemudian diikuti dengan persembahan penuh sensual dan berani namun terlihat cukup internasional dari Arabyrd. Turut tidak mengecewakan adalah persembahan dari nama-nama yang tidak terkenal dalam dunia mainstream tetapi mempunyai potensi yang cukup luar biasa. KOLABORASI Reza Salleh dan Liyana Fizi begitu serasi. Mereka termasuklah The Enterprise dan Kyoto Protocol yang mempunyai untaian muzik dan permainan yang mengujakan, Reza Salleh dengan untaian lagu indah dibantu kolaborasi bersama si manis Liyana Fizi, The Azenders dengan muzik mereka sebelum ia ditutup oleh Joe Flizzow, satu sama yang sudah cukup gah dalam dunia hiburan. Menurut pihak 8TV, mereka sengaja memilih nama-nama tidak terkenal tetapi bertepatan dengan konsep mereka yang selalu menjadi pelopor sesuatu yang baharu dan hip. Kemuncak acara kemudiannya, disudahi dengan countdown untuk ulang tahun kelapan 8TV yang jatuh pada 8 Januari 2012. Dianggap sukses dan mencapai matlamat meraikan ulang tahun mereka dengan berkongsi kegembiraan bersama penonton, Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul membuat rumusan bahawa cita-cita yang dibawa 8TV lapan tahun lalu kini telah dilestari dengan baik. "Lapan tahun yang lalu, kami menyimpan satu cita-cita besar. Kami juga menyimpan satu idea dan berkat segala usaha kami sepanjang 8 tahun ini, 8TV telah melebarkan sayapnya dan mendapat tempat di hati penonton tempatan. Ini adalah berkat kerja keras dan dedikasi keluarga 8TV. "8TV telah mengharungi banyak dugaan dan cabaran sepanjang saluran ini bersiaran namun kami berbangga kerana 8TV telah banyak belajar melalui segala cabaran tersebut." - MALIAH SURIP Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |