Harian Metro: Rap |
Posted: 22 Jan 2012 08:29 AM PST MENGIKUT khabar angin yang tersebar, lembaran 2012 dianggap petanda berakhirnya kehidupan manusia di muka bumi. Namun, lain pula perkiraan mengikut kalendar Cina apabila tahun ini dikatakan membawa banyak kebaikan dan keuntungan kerana di bawah pengaruh naga. Umum mengetahui, naga bagaikan simbolik agung kepada masyarakat Cina yang melihatnya sebagai haiwan hebat dan mempunyai banyak pengaruh positif. Jadi, kedatangannya amat ditunggu, apatah lagi, sesiapa yang lahir pada tahun naga dikatakan bertuah. Justeru, bagaimana pula harapan bekas ratu cantik Malaysia 2008, Soo Wincci dan aktor kacak, Steve Yap yang semakin menempa nama dan mengorak langkah lebih luas dalam bidang seni tanah air? Pastinya, mereka juga memiliki impian. Bertemu kedua-duanya, baru-baru ini pada sesi fotografi khas sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina (TBC), Wincci dan Steve yang pernah beraksi bersama dalam drama Cina tempatan berjaya menonjolkan keserasian. Mereka saling memberi antara satu sama lain.
"Namun, saya baru merakamkan satu lagu, Jangan Risau yang sepenuhnya hasil ciptaan Ajai, Rabu lalu. Menjalin kerjasama dengan Ajai sangat membuatkan saya selesa kerana dia (Ajai) seorang yang cukup teliti. Bahkan, Ajai juga mementingkan perasaan. "Dalam menyiapkan proses rakaman lagu, Ajai juga tidak terburu-buru. Dia memberi ruang kepada saya untuk ambil masa menjiwai lirik lagu itu. Baginya, apabila ada perasaan dalam lagu, ia akan menjadi lebih sedap dan puas didengar. "Saya sangat menghormati Ajai dan kami banyak berbincang dalam mendapatkan sesuatu keputusan. Apapun, keinginan muncul dengan album ini disebabkan saya memang minat dan suka menyanyi lagu Melayu. Bahkan, idola yang menjadi inspirasi kepada saya sudah tentu Datuk Siti Nurhaliza. "Tak dinafikan, menyanyikan lagu Melayu satu cabaran buat saya. Ini kerana, sudah pasti lenggok lagu Melayu itu saya tiada kerana bukan orang Melayu. Apapun, saya berusaha melakukan yang terbaik dengan merakamkannya secara kontemporari," kata Wincci. Menurut Wincci lagi, harapannya pada album itu sangat besar dan semoga semuanya sempurna dan mencapai tahap piawaian terbaik. Kata jurucakap produk kecantikan Avon ini, ia disebabkan perasaan dan vokal dimuatkan seiring menjadikan hasilnya cukup ikhlas. Berbicara mengenai tahun naga, Wincci berkata, dia menjangkakan albumnya dapat disiapkan sepenuhnya selepas TBC kerana dia juga akan muncul pada konsert mini yang berlangsung pada 31 Mac nanti di Actors Studio di Lot 10. Katanya, sempena tahun naga ini, dia mengharapkan karier seni yang diceburi berjaya membawanya mengorak langkah hingga ke pasaran antarabangsa seperti Hong Kong dan Taiwan. "Saya seorang yang sangat suka mencuba perkara baru dan cabaran. Jadi, tujuan saya mengembangkan karier di luar negara untuk menimba pengalaman. Semoga saya mampu bertapak di arena antarabangsa," katanya. Pernah merakamkan dua album Cina sebelum ini dan aktif dalam peragaan serta lakonan, Wincci tetap mengutamakan pelajaran demi jaminan masa depan. Untuk itu, dia kini melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang perniagaan di Universiti Terbuka Kuala Lumpur. Menyentuh soal kemeriahan sambutan TBC, Wincci berkata, selain keseronokan dapat mengeratkan silaturahim keluarga dan hubungan persahabatan, dia juga ada perkara yang ditakutkan. Ujarnya, dia sukar menjaga diet pemakanan hingga menyebabkan berat badannya naik selepas perayaan TBC. Jiwa antagonis Steve Bagi Steve, 40, pula, perayaan TBC kali ini nyata amat menggembirakannya kerana bukan saja meraikan tahun naga tetapi disambut dengan keluarga tersayang. Ujarnya, tahun lalu, TBC dirai tidak begitu meriah kerana pasangan isteri yang mendapat anak disarankan supaya lebih berdiam diri mengikut amalan masyarakat Cina. Jadi, kini selepas anak semakin membesar, pastinya persiapan lebih menjurus untuk si kecil. "Sempena tahun naga ini, saya cuma mengharapkan kehidupan lebih gembira. Malah, karier pun semakin bertambah baik dengan mendapat tawaran skrip yang bagus. Selepas 10 tahun terbabit dalam bidang lakonan, Ombak Rindu adalah filem Melayu pertama saya. "Biarpun hanya watak sebagai bapa ayam, ia pengalaman baru buat saya. Bahkan, paling membanggakan filem itu mendapat sambutan penonton. Sebenarnya, tidak mudah untuk pelakon Cina seperti saya memasuki pasaran industri perfileman Melayu. "Saya pun sepanjang sedekad dalam lakonan, hanya berpeluang berlakon dalam beberapa drama Melayu. Selain itu, dari dulu hingga sekarang, saya lebih cenderung melakonkan watak antagonis. Barangkali muka saya ini memang sesuai dengan watak jahat saja. "Cuma, saya sangat terharu apabila penerbitan drama Descendant yang akan disiarkan di ntv7 bermula 7 Februari ini memberi peluang melakonkan watak baik. Amat jarang sekali saya menerimanya, tetapi jujur dikatakan berlakon watak baik sangat memberi cabaran besar," katanya. Menurut Steve atau nama sebenarnya Yap Leong Chai, lebih mencabar dirinya apabila dia melakonkan watak guru bahasa Mandarin. Ujar lelaki berbangsa Hokkien ini, dia pernah belajar bahasa Mandarin hingga darjah enam saja. Jadi, sedikit kesukaran dihadapinya. Apapun, sebagai pelakon perkara seperti itu tidak harus dianggap penghalang. Katanya, dia berusaha menjiwai wataknya sebaik mungkin dan begitu juga dengan penguasaan bahasa Mandarin. Jelas Steve, dia gembira semuanya mampu diatasi. Berbicara mengenai impiannya, Steve yang turut aktif dalam bidang peragaan memaklumkan, dia mengharapkan supaya suatu hari nanti akan ada filem Malaysia berjaya di peringkat antarabangsa. Katanya, negara ini sangat unik kerana dihuni pelbagai kaum yang berlainan agama dan budaya. Jadi, katanya, jika elemen budaya tiga kaum ini digabungkan dalam satu filem, ia bukan saja menyumbang pada pengukuhan perpaduan tetapi jelas menunjukkan inilah keaslian Malaysia. Tiada negara di dunia ini sehebat Malaysia yang mempunyai berbilang kaum. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: 22 Jan 2012 08:13 AM PST BERTEMAN linangan air mata saat mengatur kata kisah ini. Ia juga satu-satunya coretan paling sukar sepanjang tempoh 12 tahun penulis berkhidmat di Harian Metro. Kehilangan seorang sahabat dan menjadi saksi saat-saat beliau berdepan dengan ajal dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir, Jumaat lalu tepat jam 6.15 petang di Hospital Ampang, Pandan Mewah.
Syukur ke hadrat Ilahi, apabila penulis bersama seorang lagi teman, Huzairi Hassan, 37, diberi seketika kesempatan oleh Khairil Izwan Pilus, 33 atau lebih mesra dengan panggilan Izwan untuk menjaganya. Biar cuma seminggu sempat membantu dan sebulan buat Hairi, ia adalah detik paling bermakna dan terindah.
Perginya beliau pada usia muda, tambahan pula hari Jumaat, penghulu segala hari menjelaskan betapa Allah SWT menyayanginya. Insan seni berbakat, pelajar pintar di sekolah, anak yang taat, adik, abang dan 'pak ngah' yang penyayang, pemilik hati mulia itu juga seorang pendengar masalah yang baik. Sekadar mengimbas, sekitar pertengahan November 2011 Izwan dimasukkan ke Hospital Pusrawi Jalan Tun Razak selama seminggu selepas mengalami demam berulang dan doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman dalam darahnya. Beliau bagaimanapun didapati sihat selepas dibenarkan keluar hospital sebelum keadaan kesihatannya kembali terjejas sejak dua minggu lalu angkara virus kencing tikus dan sepsis (serangan bakteria dalam darah) hingga membawa kepada kematian. Kes sepsis sangat kecil dan jarang berlaku namun ia adalah satu penyakit yang merbahaya kerana boleh maut. Menyedari bahaya penyakitnya itu, arwah yang dilahirkan pada tanggal 24 November 1979, mengambil keputusan merahsiakan hal berkenaan daripada rakan-rakan serta peminat. Bahkan, arwah mengambil masa untuk memaklumkan kepada keluarganya sendiri kerana tidak mahu mereka susah hati. Justeru, Hairi adalah tempat arwah mencurah rasa sepanjang beliau tidak sihat selain penulis. Empat hari sebelum pemergian beliau Izwan akur untuk memaklumkan kepada adiknya, Khairil Azam Pilus (Aril), 27, apabila tidak mampu lagi berselindung memandangkan keadaan beliau semakin lemah. Memang mereka tinggal serumah. Khamis yang lalu adalah hari paling mencemaskan apabila Izwan dengan tidak semena-mena diserang demam kuning dan sesak nafas lalu kami membawanya ke Hospital Ampang lebih kurang jam 12.30 tengah malam. Selepas doktor melakukan imbasan, organ dalamannya seperti buah pinggang, hati dan paru-paru sudah dijangkiti kuman. Kemudian kira-kira jam 4.20 pagi dia dipindahkan pula ke Unit Kecemasan sekitar 12.30 tengahari. Dalam tempoh melawan serangan penyakit di hospital arwah yang mempunyai personaliti disenangi ramai tidak pernah putus berzikir. Menjelang jam 5.30 petang, keadaan beliau bertambah kritikal sehingga terpaksa diberi ubat pelali untuk dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Ketika itu arwah mula menggunakan bantuan alat pernafasan. Bagaimanapun sebelum sempat pertukaran wad dilakukan usaha menyelamatkan Izwan gagal apabila jantungnya tidak lagi berfungsi sekali gus disahkan meninggal dunia tepat jam 6.15 petang di sisi ibu bapanya, Normah Abdullah (ibu), Pilus Mohd Jani (ayah), Aril, Khirul Aida (kakak), Nurul Nabilah (adik bongsu) serta beberapa rakan karib. Saat tersebar berita pemergiannya, ramai kenalan artis terus datang menziarahi jenazah beliau di bilik forensik. Antara mereka, Amy Search, Farawahida, Farhan AF, Azza Elite, Fizo, Amar Anak Wayang, Akim, Hafiz, Nurul, Kencana Dewi, Roslan Shah, Azizul Khamis, Wani, Cikgu Siti Hajar dan Reza Mohamad. Jenazah beliau kemudian dibawa pulang ke Taman Nyalas Permai, Asahan, Jasin, kira-kira jam 9.30 malam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelembang, Gubah, Jasin Melaka, jam 10.30 pagi, Sabtu lalu. Kata ibu Izwan: "Kali terakhir dia menghubungi mak cik adalah Ahad lalu untuk bertanya khabar anak-anak buahnya. Dari segi fizikal dia nampak biasa tidak banyak perubahan tapi dari segi perbuatan dia berubah menjadi pendiam. Ketika seminggu di rumahnya, naluri seorang ibu dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. "Judul buku yang dibelinya, Bila Allah Menduga Kita cukup untuk menjelaskan ada sesuatu yang sedang dialaminya. Dia juga selalu mengelak setiap kali mak cik tenung wajahnya dan bila kita bertanya 'kenapa Wan? Dia jawab tak ada apa-apa mak," kata Normah. Normah menambah, ketika menunaikan haji bermula penghujung September lalu, wajah Izwan paling yang kerap muncul sewaktu dia bermunajat. Izwan dulu mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Simpang Bekoh sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam jurusan Pelancongan di Universiti Utara Malaysia (UUM). Cita-cita asalnya ingin menjadi seorang doktor atau arkitek. Selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia pernah ditawarkan melanjutkan pengajian ke Australia untuk jurusan Seni Bina tetapi tidak kesampaian. Sangat rapat dengan kakaknya, segala aktiviti masa kecil dilakukan bersama Aida. "Dia anak harapan kami kerana yang pertama melanjutkan pengajian ke universiti dan diharapkan menjadi contoh kepada adik-adik lain. Dia tak pandai nak marah dan tak pernah kasar dengan adik-adiknya. Saat paling mengharukan mak cik adalah pada Mei 2008 kerana selama dua minggu dia menjaga mak cik yang baru menjalani pembedahan kanser payudara. "Sebenarnya mak cik tidak terkilan dengan pemergian arwah kerana impian mak cik untuk membawanya menunaikan umrah tercapai pada Mac 2010. Arwah gembira dapat bermunajat dari malam hingga ke Subuh di Raudah selain dapat mencium Hajarul Aswad," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |