Berita Harian: Hip |
Posted: 18 Jan 2012 03:29 PM PST Hip Shiera terkejut dicalonkan dalam kategori penyampai radio ABPBH2011PERCUBAANNYA menjadi penyampai radio ternyata membuahkan hasil apabila namanya turut tersenarai sebagai finalis kategori Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011. Siapa sangka dalam tempoh hampir setahun berada di konti Suria FM, nama Sharifah Shahira berada sebaris dengan penyampai 'otai' lain seperti Abby Fana, Linda Onn, Raja Azura dan Fara Fauzana. Malahan, si empunya diri juga hairan dengan pencalonan itu kerana berasakan pengalamannya dalam bidang itu sangat cetek berbanding kerjaya seni lain seperti lakonan dan pengacaraan. Namun takdir Tuhan tak siapa yang dapat menduga. Biarpun terkejut, namun Shahira atau lebih mesra disapa Shiera ini tetap teruja dengan kepercayaan diberikan peminat. Bukan saja tersenarai sebagai calon Top 5, malah isteri pelakon Ijoy Azahari ini turut mendahului calon lain apabila mendominasi tiga kategori termasuk Pelakon Komedi Wanita Popular dan Pengacara Wanita Popular. Satu pencapaian terbaik buat Shiera dalam sejarah penganjuran ABPBH."Saya sendiri memang tidak menyangka mendapat tiga pencalonan dan lebih-lebih lagi tersenarai sebagai finalis kategori Penyampai Radio Wanita Popular kerana jika diikutkan dari segi pengalaman, memang takkan sama dengan penyampai radio lain yang sama-sama berada dalam kategori itu. "Andai ditanya sama ada saya teruja atau tidak dengan pencalonan itu, sudah semestinya saya kata ya kerana sekurang-kurangnya saya tahu hasil kerja saya selama ini begitu dihargai peminat. Sebagai orang yang menjadikan bidang seni sebagai periuk nasi, saya hanya membuat kerja seperti yang diminta dan bukannya kerana mengharapkan anugerah," katanya yang tidak kelihatan pada majlis pengumuman senarai Top 5 baru-baru ini, gara-gara masalah komunikasi. Apabila dicalonkan dalam kategori penyampai radio bersama-sama empat calon lain yang memang boleh dianggap gergasi dalam dunia penyiaran, ia sudah membuktikan Shiera mempunyai potensi untuk menjadi seperti mereka. Malangnya, kerjaya wanita ini sebagai deejay radio sudah berakhir sebelum dia meneruskan langkah ke peringkat lebih tinggi lagi. "Apa yang boleh saya katakan, kontrak saya dengan pihak Suria FM sudah pun tamat dan ia tidak diperbaharui," katanya ringkas sambil mengharap perkara itu tidak disensasikan oleh mana-mana pihak. Tempat Shiera kini diambil alih pelakon Kenchana Dewi yang bergandingan dengan Halim Othman dan Nabil untuk memeriahkan segmen pagi. Ditanya apakah dia masih berminat untuk menjadi penyampai radio andai peluang itu terbentang di depan mata, Shiera berkata jika bersesuaian, tiada sebab untuk dia menolaknya. "Adakah orang nak panggil saya? Jika ada tawaran yang datang dan kena pada masanya, saya akan terima. Minat saya dalam bidang penyampaian radio masih ada," ujarnya sekali gus menamatkan spekulasi kononnya dia mengundurkan diri daripada Suria FM kerana tidak sanggup untuk bangun awal setiap pagi, seperti digembar-gemburkan di internet. Dalam perkembangan lain, Shiera berkata, selain masih aktif dalam bidang seni lain, dia juga kini banyak menghabiskan masa dengan menjadi suri rumah. "Biasalah tugas seorang ibu, sibuk dengan urusan rumah tangga seperti melayan anak dan suami, serta menghantar anak pergi sekolah. Ketika yang sama sama saya juga pergi shooting. Itu sajalah tugas saya sehari-hari. Walaupun penat tapi seronok," kata ibu kepada empat cahaya mata ini. Sebelum ini, pernah juga terdengar Shiera melahirkan hasrat untuk berehat daripada mengacarakan ABPBH atas alasan mahu berehat dan memberi peluang kepada pengacara lain. Mengulas perkara itu Shiera berkata, ia bukanlah keputusan yang tetap, sebaliknya masih boleh dipertimbangkan. "Memang saya ada menyatakan begitu kerana tak mahulah orang asyik cakap, balik-balik wajah saya saja. Tapi jika pihak penganjur mahukan saya, itu hak mereka dan jika penganjur masih mahukan saya, mengapa saya perlu menolak rezeki yang Tuhan bagi?" tegas Shiera. |
Posted: 18 Jan 2012 03:25 PM PST Hip Bujang Terlajak Belum Terlanjur cipta kelainan dengan dua penamatFILEM terbaru arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen, Bujang Terlajak Belum Terlanjur, bagai sudah boleh dijangkakan jalan ceritanya. Dihasilkan agak ringkas, ia muncul sebuah judul untuk hiburan seisi keluarga semata-mata. Gandingan tiga pelawak, Saiful Apek, Johan dan Nabil, dianggap pencetus huru-hara dalam filem ini. Begitupun, telatah dan gelagat mereka belum cukup kuat untuk meyakinkan penonton. Bahkan, jika dilihat dari segi lawak jenaka ketiga-tiga pelakon komedi ini, ia dirasakan tidak mencapai tahap maksimum.Nasib baik gandingan mereka bersama Nur Fazura bertindak sebagai penyelamat, apabila plot penceritaannya agak hambar serta terlalu ringkas untuk dihayati. Filem dalam genre komedi yang menyuntik elemen kekeluargaan dan percintaan ini juga tidak meninggalkan sebarang impak kepada penonton, apatah lagi dengan mesejnya yang kurang jelas. Walaupun skripnya dilihat agak kosong, tetapi kemunculan empat pelakon terbabit sedikit sebanyak mampu menjadi tarikan dan menyelamatkan garapan Razak kali ini. Setidak-tidaknya mereka mampu juga untuk menghiburkan audien. Ketika menjalani rakaman penggambaran sebuah iklan, mereka yang juga ahli silap mata profesional, tertarik dengan Puteri yang menjadi model untuk komersial terbabit. Bagi mengenali Puteri dengan lebih rapat, Saiful mencungkil rahsia wanita itu daripada bapanya yang cacat penglihatan, Haji Hashim (Mustapha Kamal). Mengetahui Puteri ingin bersuamikan lelaki kurang upaya seperti bapanya, ketiga-tiga mereka menyamar menjadi lelaki pekak, bisu dan buta. Pelbagai helah digunakan mereka untuk menambat hati wanita cantik ini, termasuk menggagalkan rancangan antara satu sama lain sehinggalah helah mereka terbongkar. Walaupun jalan ceritanya ringkas dan ringan, namun Bujang Terlajak Belum Terlanjur tetap mempunyai kelainan apabila ceritanya diakhiri dengan dua penamat. Fazura sesuai watak Puteri MENURUT Razak, penamat filem itu sengaja direka sedemikian bagi mencetuskan kelainan berbanding filemnya sebelum ini, di samping memberi kesan kepada penonton. "Jika kita lihat filem Melayu sebelum ini, penamatnya setakat apa yang ditayangkan. Bagi filem ini, kita inginkan kelainan yang akan membuatkan penonton menunggu sehingga ke akhir cerita. "Pada mulanya kita akan lihat ketiga-tiga mereka tidak dipilih Puteri, tetapi sebaliknya penamat yang sebenar akan menentukan siapa pilihan wanita terbabit," katanya. Mengenai pemilihan empat pelakon berkenaan pula, kata pengarah ini, ia dibuat kerana dia berasakan mereka mempunyai keserasian yang akan mencetuskan hilai tawa penonton. Fazura sendiri dirasakan pilihan yang amat tepat untuk digandingkan dengan Nabil, Johan dan Apek kerana pelakon berbakat itu mempunyai karakter tersendiri dalam membawakan watak Puteri. "Dia (Puteri) seorang yang lemah lembut dan sopan, jadi peranan terbabit cukup sesuai dengan Fazura," katanya sambil memberitahu, dia sengaja memaparkan watak yang ringkas kerana filem terbabit dihasilkan untuk semua lapisan penonton. Walaupun filem yang akan mula ditayangkan di 75 pawagam bermula hari ini belum ditentukan nasibnya oleh penonton, penerbitnya, Latiff Mohaideen, sudah membayangkan untuk menghasilkan filem susulannya pula selepas ini. "Apabila dilihat pada keserasian ketiga-tiganya, kami berasakan mereka sesuai untuk digandingkan semula, mungkin untuk sekuel filem ini ataupun dalam filem lain," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |