Adsense

Isnin, 9 Januari 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Awie, Ella bikin gegar

Posted: 08 Jan 2012 02:51 PM PST

Hip

Menjanjikan aksi bertenaga apabila digandingkan di atas pentas IB

PERSIAPAN konsert yang menggabungkan dua lagenda rock, Awie dan Ella yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 15 Januari ini di Istana Budaya (IB) berjalan lancar.

Tinjauan Hip di Studio Neo Gendang Record, Damansara menyaksikan Awie dan Ella begitu bersungguh-sungguh latihan bersama pemuzik yang bermula dari jam 3 petang hingga 11 malam setiap hari sejak seminggu lalu. Menariknya konsert yang dibawakan Tall Order Productions milik Hans Isaac turut memperkenalkan persembahan berkonsep penceritaan menerusi lagu yang akan didendangkan.

Ibarat kisah Uda dan Dara yang bercinta turut mengangkat tema persembahan yang jarang berlaku pada sesuatu konsert berskala besar.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 44 gabungan bersama Ella pada konsert itu akan mengimbas kembali perjalanan seni sepanjang lebih 25 tahun mereka di dalam industri. Di konsert itu nanti mereka menyanyikan 20 lagu.

"Saya dan Ella nyanyikan bersama secara medley tanpa henti dalam tiga segmen. Kerjasama dengan Ella sebenarnya tidak banyak menghadapi masalah kerana kami memang mempunyai keserasian.
"Sejak zaman dulu lagi memang kami ada menyanyi bersama tetapi tidak banyak. Apabila hari ini saya dapat bersama Ella, peluang ini tidak akan kami tolak sama sekali," kata Awie.

Dalam kesungguhannya menghadiri latihan setiap hari, vokalis kumpulan Wings ini mengakui debaran tetap dirasai untuk menantikan hari persembahan yang bakal tiba.

Awie yang juga terkenal dengan watak Husin dalam filem komedi popular Hantu Kak Limah Balik Rumah, berkata dia sentiasa melakukan persiapan terbaik dari segi vokal mahupun fizikal sepanjang dua jam persembahan itu nanti.

"Saya pernah menyanyi lebih tiga jam tanpa henti, alhamdulillah tidak ada apa-apa masalah. Namun untuk konsert ini apa yang saya risau adalah kesihatan saja kerana sudah sebulan batuk tidak berhenti.

"Sudah beberapa doktor saya jumpa untuk memastikan vokal di tahap maksimum," katanya yang kini sentiasa menitik-beratkan bersenam, tidur yang cukup dan sentiasa meminum air suam.

Pengalaman demam yang teruk pernah dilalui sebelum menjayakan sesuatu persembahan besar, sudah tentu merisaukan perkara yang sama bakal berulang lebih lagi untuk menjayakan konsert eksklusif dalam skala yang sama.

"Sebenarnya bila kita demam, vokal cord kita membengkak. Saya takut kotak suara luka dan susah hendak baik, sudah dua kali buat pembedahan," katanya.

Dia yang pernah membintangi filem seperti Sembilu, Maria Mariana dan Zombie Kampung Pisang, mengakui mengagumi pengalaman dan keunikan Ella sehingga berasa selesa apabila digandingkan di atas pentas.

"Ella mempunyai suara sedap, dia komited dalam latihan dan profesional terhadap kerjayanya. Dia juga ada satu kelunakan suara yang saya sendiri meminatinya setiap kali dia membuka mulut.

"Kami saling hormati satu sama lain, dan peluang yang ada ini kita mahu memenuhi kehendak peminat kami, kerana mereka hanya pernah melihat kami menyanyi satu atau dua lagu saja bersama sebelum ini," katanya.

Konsert yang akan menggunakan khidmat sistem pencahayaan dan jurutera bunyi profesional bersama pereka pentas terbaik di negara ini, Raja Malik turut menjadi keterujaan buat ratu rock Ella.

Kata Ella, konsert itu mengingatkan kembali kenangan di awal pembabitannya dalam dunia hiburan.

"Konsert ini menceritakan banyak mengenai cinta yang indah. Cinta bukan saja sesama manusia tetapi kepada Allah, kawan dan keluarga.

"Permulaan percintaan, kesetiaan, kegembiraan, kesedihan, pencapaian dan sebagainya akan disampaikan menerusi susunan lagu yang terbaik dari saya dan Awie, " katanya yang seronok membayangkan perjalanan konsert itu nanti.

Lebih membuatkan Ella teruja menjayakan konsert itu apabila dia akan menyanyikan beberapa lagu popular Wings.

"Saya menyanyikan lagu Bernafas Dalam Lumpur. Ini adalah cabaran saya tetapi memang sejak dulu lagi teringin untuk mencuba. Saya akan membuat cara saya sendiri dan ia direstui Awie. Malahan Awie juga akan menyanyikan lagu saya itu Permata Biru," jelas Ella.

Pada masa sama, Ella turut mengagumi Awie dan bangga apabila diberikan peluang bergandingan di pentas utama IB.

"Awie memiliki suara yang sedap dan matang, keperibadiannya yang romantik, gentlmen, kelakar dan tahu apa yang dia nak buat. Sudah tentu konsert ini menjadi yang paling terbaik kerana dia ada banyak perbezaan seperti penceritaan, bertukar-tukar lagu, pemilihan lagu menarik, penonton akan dibuai dengan pencahayaan yang sangat cantik, itu saya sudah dapat bayangkan," katanya.

INFO Konsert Awie dan Ella

  • Konsert Awie dan Ella diadakan di Panggung Sari, IB bermula 12 hingga 15 Januari ini.
  • Barisan pemuzik yang mengiringi konsert mereka ialah Edrie Hashim sebagai Pengarah Muzik selain Ujang Exist (dram), Ujang (gitar), Fly (bass), Amir Feerza (perkusi), Kudin (keyboard) dan Jason Voo (keyboard).
  • Konsert ini dianjurkan Tall Order Productions milik Hans Isaac, mensasar 8,000 tiket.
  • Tiket ini dijual pada harga RM40 hingga RM450 yang boleh didapati dengan melayari laman web www.ticket2u.biz atau segala pertanyaan mengenai tiket boleh dibuat di talian 03-41478600.
  • Full content generated by Get Full RSS.

    Fragmen: Penganjur konsert tak ikhlas

    Posted: 08 Jan 2012 02:46 PM PST

    Hip

    BARU-BARU ini, ketika diundang untuk menjadi tetamu program bual bicara yang terbaru, PING!, saya sempat berbual sedikit dan secara spontan saja dengan Aliff Satar dan Atilia mengenai pengalamannya sebagai penyanyi undangan untuk penyanyi atau kumpulan muzik dari luar negara.

    Dari tutur kata mereka, kita dapat rasakan penganjur yang membawa penyanyi luar negara sekadar mempergunakan penyanyi tempatan bagi memenuhi syarat membawa masuk artis import itu mengadakan konsert di negara ini.

    Misalnya, Aliff ketika diundang membuat persembahan pembukaan untuk seorang penyanyi antarabangsa, mendedahkan betapa kru konsert masih kelam-kabut dengan soal pentas yang tak sedia, sistem suara masih diuji begitu juga dengan sistem cahaya. Sedangkan pada waktu itu, dia sedang menyanyi di atas pentas. Penganjur pilih kasih dan tidak bersungguh-sungguh untuk meletakkan penyanyi di tempat sewajarnya. Persiapan untuk penyanyi tempatan yang dipilih dan diundang ini sekadar melepaskan batuk di tangga. Mereka lebih menumpukan kepada persiapan dan persembahan penyanyi luar.

    Bahkan, kemunculan awal penyanyi tempatan pada pembukaan persembahan sesuatu konsert dilihat sebagai 'alat' untuk menguji sistem suara, cahaya dan teknikal lain, sebelum penyanyi sebenar iaitu orang luar ini muncul di pentas.

    Sebab itu, ada penyanyi tempatan mula mengeluh kerana sistem suara yang tidak bermutu. Akibatnya, penyanyi kita kena 'boo' oleh penonton. Ini memberikan persepsi tidak bagus kepada penyanyi kita di kaca mata penyanyi luar. Bagi penyanyi antarabangsa, mereka memandang rendah kebanyakan penyanyi kita kononnya persembahan penyanyi tempatan tidak bagus.

    Permit untuk membawa masuk penyanyi atau kumpulan muzik luar tertakluk kepada sebuah jawatankuasa di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
    Antara syarat itu ialah mewajibkan ada penyanyi tempatan diambil untuk menjadi artis undangan. Matlamat kerajaan dan jawatankuasa ini sudah tentu untuk memberi peluang kepada penyanyi atau artis tempatan mempelajari pengalaman serta kelebihan penyanyi antarabangsa itu daripada segala aspek.

    Justeru untuk memenuhi syarat ini, penganjur konsert antarabangsa ini kadang-kadang melakukannya sekadar 'tangkap muat' saja, apabila memanggil artis tempatan. Mereka tidak memberikan perhatian bersungguh-sungguh dalam aspek itu.

    Jarang sekali kita melihat penyanyi tempatan yang diundang ini, diberi peluang bergandingan sekurang-kurangnya menyanyi satu atau dua lagu dengan penyanyi import yang dibawa masuk. Kalau ini tidak dibuat, apa erti atau fungsi mengambil penyanyi tempatan?

    Kalau tidak, lebih baik tak perlu panggil penyanyi tempatan. Ini kerana dengan persiapan dan persediaan yang sempurna, penyanyi kita kita mampu memberikan persembahan terbaik, malahan boleh menjadi lebih bagus serta hebat lagi daripada penyanyi antarabangsa.

    Ada penyanyi dan kumpulan muzik yang sememangnya cukup dikenali pada peringkat antarabangsa. Namun, tidak dinafikan juga ada penyanyi antarabangsa ini ada kalanya lebih gah pada nama dan status mereka, hakikatnya daripada aspek persembahan, tidaklah sehebat mana.

    Oleh itu, Jawatankuasa Penyenaraian Persembahan Artis Luar di bawah KPKK ini harus juga sesekali memantau sikap penganjur konsert artis luar dalam memberi layanan terhadap artis tempatan. Adakah mereka jujur atau sekadar nak dapatkan permit keizinan menganjurkan persembahan penyanyi luar.

    Apa salahnya memberi layanan yang terbaik kepada penyanyi kita. Memanglah kelebihan tetap kepada penyanyi yang diimport. Bukanlah itu juga yang diharapkan oleh penyanyi tempatan? Tapi berilah kita dengan persiapan konsert yang terbaik juga daripada semua aspek di atas pentas, daripada sistem suara sehinggalah kepada perkara teknikal lain.

    Sungguh tidak beretika dan kurang bertanggungjawab apabila segelintir penganjur pentas mempergunakan penyanyi tempatan sebagai 'bahan ujian' untuk memastikan segala-galanya sempurna bagi persembahan penyanyi luar negara yang dibawa mereka. - zainurimisfar@gmail.com

    Full content generated by Get Full RSS.