Utusan Online - Hiburan |
Posted: Cabaran baru Maya, AaronOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL BAGI Aaron Aziz, Ombak Rindu memerlukannya bermain dengan emosi. TIADA siapa pernah menyangka filem Ombak Rindu yang menjadi bualan ramai ketika ini akan menjadi fenomena luar biasa. Apatah lagi untuk sebuah filem bercorak melodrama seperti ini, ia sesuatu yang di luar jangkaan lantaran genre aksi, komedi dan seram masih lagi mendominasi pasaran. Bayangkan, Ombak Rindu berjaya mengalahkan filem blockbuster, The Twilight Saga: Breaking Dawn - Part 1 pada hari pembukaan dengan mencatatkan kutipan sebanyak RM750,000. Tidak sampai tiga hari tayangannya, ia telah mencatatkan kutipan sebanyak RM4 juta dan kutipan dijangka mampu mencecah RM5 juta menjelang hujung minggu ini. Memang tidak dinafikan, kejayaan filem Ombak Rindu terletak kepada garapan lakon layar yang cukup kemas selain populariti para pelakonnya yang telah memberikan impak tersendiri menerusi lakonan mereka. Teraju utama Ombak Rindu, Maya Karin merupakan antara yang mendapat perhatian apabila watak Izzah cukup cemerlang dibawakannya. Bagi Maya, dia sendiri tidak pernah menyangka Ombak Rindu akan memberikan impak seperti mana yang dapat dilihatnya ketika ini. "Apabila menerima tawaran untuk Ombak Rindu, saya tidak pernah memikirkan tentang kutipan tiket atau membayangkan sejauh manakah filem ini dapat diterima dengan baik. "Apa yang penting bagi saya adalah untuk memberikan yang terbaik. Saya juga percaya semua pelakon dan seluruh krew produksi juga telah memberikan kerjasama yang cukup baik untuk menjadikan Ombak Rindu sebagai sebuah karya yang baik. Impak "Lalu, apabila Ombak Rindu mendapat sambutan luar biasa seperti sekarang, ternyata ia sesuatu yang mengejutkan. Tiada kata yang saya dapat ucapkan melainkan terima kasih kepada semua yang menyokong Ombak Rindu," jelas Maya dalam nada yang cukup optimis. Menyambung bicara, aktres jelita ini melahirkan kekagumannya apabila ada di antara penonton bukan Melayu yang turut ke pawagam untuk menonton Ombak Rindu. Bukan itu sahaja, menerusi maklum balas yang diterimanya juga, ada segelintir penonton Melayu yang sebelum ini jarang menonton filem Melayu turut terkena tempias fenomena Ombak Rindu. "Ombak Rindu telah membuka mata dan minda mereka terhadap filem Melayu. Jadi, saya melihat itu sebagai sesuatu yang sangat positif," jelas Maya yang mula dikenali menerusi filem Seri Dewi Malam arahan Aziz M. Osman pada tahun 2001 ini lagi. Dalam masa yang sama, wanita kacukan Jerman-Melayu ini juga memasang impian untuk melihat kegemilangan filem bercorak drama dan cinta kembali mendapat tempat di hati peminat. Apatah lagi, sudah lama penonton tidak disajikan dengan cerita cinta yang dapat memberikan impak seperti mana filem Azura (1984), Sembilu (1994) dan Sembilu II (1995). Keserasian Sementara itu, Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke sememangnya tidak mempunyai masalah untuk mencipta keserasian dengan mana-mana pelakon yang digandingkan bersamanya. Menerusi Ombak Rindu yang ditayangkan mulai 1 Disember lalu, Maya dilihat mempunyai keserasian yang sangat baik dengan hero pujaan wanita masa kini, Aaron Aziz. Kata Maya, dia tidak berdepan dengan masalah untuk berlakon dengan Aaron yang disifatkannya sebagai aktor yang berjaya membawakan watak Hariz dengan baik sekali. "Ini merupakan gandingan pertama saya dengan Aaron walaupun pernah berlakon dalam filem Pisau Cukur sebelum ini. Tetapi ketika itu, saya tidak banyak adegan bersamanya. "Apabila diberi peluang bergandingan dalam Ombak Rindu, saya dan Aaron dapat menghayati watak masing-masing dengan baik sekali meskipun ada babak yang kelihatan begitu intim sekali. "Mujurlah isteri Aaron, Diyana Halik seorang yang memahami tugas suaminya sebagai seorang aktor lalu ia memudahkan kerja kami untuk menghabiskan babak kami," jelas Maya yang pernah diiktiraf Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 (2004) menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam di Fukuoka, Jepun ini lagi. Bercerita lanjut tentang watak Izzah yang dilakonkannya dalam filem arahan Osman Ali itu, Maya tidak menafikan ia merupakan watak yang paling mencabar dan banyak menuntut emosinya sebagai seorang pelakon. Sambil menyatakan rasa puasnya dapat memegang watak tersebut, Maya memberitahu dia perlu memastikan Izzah tidak lari dari dalam dirinya dan mengekalkan emosi tersebut sepanjang lima minggu menjalani penggambaran. Kekal Sehinggakan, kata wanita kelahiran Bayreuth, Jerman itu, guru lakonannya dalam filem itu, Ellie Suriaty Omar menyuruhnya untuk terus berada di dalam watak Izzah biarpun di luar lokasi. "Disebabkan itu saya katakan Izzah memang cukup mencabar diri saya. Berbeza dengan filem-filem lain sebelum ini, Ombak Rindu lebih banyak bermain dengan emosi dan lontaran vokal sesuai dengan perwatakan Izzah, seorang gadis kampung yang bertudung. "Untuk mencari jati diri Melayu itu, saya sendiri mengambil inisiatif untuk mendengar lagu asli Melayu selain mencari seorang ustazah bagi membantu saya melancarkan lagi bacaan al-Quran saya. "Keseluruhannya, saya amat menyukai watak Izzah ini dan saya harus berterima kasih kepada Osman yang mempercayai kebolehan saya dalam membawakannya," kata pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 (2008) menerusi filem Anak Halal juga arahan Osman Ali. Dalam pada itu, Maya juga membuka cerita bahawa novel Ombak Rindu merupakan antara novel Melayu pertama yang menjadi bahan bacaannya sekitar sedekad lalu. Tidak menafikan ia salah sebuah novel kegemarannya, Maya memberitahu apabila Osman mahu mengarahkan versi filemnya, ia telah membuatkan Maya begitu teruja sekali. Full content generated by Get Full RSS. |
Penutup rasmi Akademi Fantasia Posted: Penutup rasmi Akademi FantasiaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL KONSERT Akhir Reunion Akademi Fantasia(AF) yang berlangsung di AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini berjaya menggamit nostalgia buat peminat tegar rancangan itu. Lebih daripada 60 orang bekas pelajar program itu dari musim pertama hingga kesembilan telah dihimpunkan di satu pentas dan menghiburkan peminat yang hadir pada malam itu. Walaupun pada sebelah petangnya hujan turun dengan lebat dan ditambah dengan kesesakan akibat pasar malam di kawasan tersebut, ia langsung tidak menghalang hampir 1,000 orang peminat membanjiri perkarangan pusat membeli-belah itu. Dihoskan oleh pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi yang turut membuat persembahan istimewa pada malam itu, konsert reunion itu juga sebenarnya merupakan pentas untuk peminat melihat perubahan bintang-bintang pujaan mereka selepas tamatnya AF. Biarpun sebahagian besar daripada mereka sudah meninggalkan dunia seni dan menumpukan perhatian kepada keluarga, ada juga peminat yang masih lagi mengingati mereka dan kenangan yang pernah terlakar sewaktu AF. Tidak mahu menjadikan konsert reunion terakhir itu seperti konsert yang klise, Astro menampilkan kelainan dengan menampilkan persembahan peserta seperti sebuah pertandingan lalu menobatkan mereka dengan pelbagai gelaran. Anugerah Irama Malaysia misalnya memperlihatkan kehebatan empat peserta iaitu Bob dari AF2, Raqib (AF9), Farhan dan Haziq masing-masing dari AF4 mempersembahkan lagu-lagu tradisional dan etnik. Bob, Farhan dan Haziq berjaya membuktikan walaupun gelaran juara bukan milik mereka sewaktu di AF, tetapi bakat besar yang dimiliki berjaya membuatkan mereka terus bertahan. Sudah pasti gelaran Anugerah Irama Malaysia menjadi milik Bob yang diakui kebolehannya menyampaikan lagu-lagu tradisional dengan baik sekali. Begitu juga dengan Anugerah Balada Lelaki yang menyaksikan pertembungan empat penyanyi lelaki yang mempunyai pengikut tersendiri sewaktu mereka bertanding di AF. Mereka yang dimaksudkan ialah Mawi, Shahir, Khai dan Akim yang masing-masing berduet menyanyikan lagu-lagu popular Jamal Abdillah. Lagu Derita Cinta disampaikan oleh Khai dan Akim manakala Mawi dan Shahir pula menyanyikan lagu Kekasih Awal dan Akhir yang ternyata mendapat tepukan gemuruh dan sorakan peminat. Walaupun ada yang berpendapat populariti Mawi dan Shahir terutamanya sudah merudum, ternyata sambutan peminat pada malam itu membuktikan kedua-dua jejaka pujaan wanita itu masih mendapat tempat di hati peminat mereka. Seperti yang dijangka, kemenangan menjadi milik Mawi dan bukan hanya untuk kategori itu sahaja tetapi anak kelahiran Kulai, Johor itu turut memenangi satu lagi kategori iaitu Anugerah Duet menerusi Lagu Jiwa Lagu Cinta yang disampaikan bersama bekas pengetua AF3, Datuk M. Nasir. Ternyata, kemunculan M. Nasir pada malam itu mengejutkan ramai pihak dan sikap sporting komposer ternama itu untuk muncul di atas pentas menyanyi bersama Mawi wajar dipuji. Kemenangan Mawi dan M. Nasir sekali gus menghampakan tiga calon lain iaitu Azri dan Nera menerusi lagu Hanya Memuji selain Hafiz dan Adira (Ada Apa Dengan Cinta). Malam terus hangat apabila Anugerah Komedi diperkenalkan dengan menampilkan empat calon iaitu Syawal, Zahid, Daus dan Faizal. Juara AF2, Zahid misalnya, membuktikan gelekannya masih lagi berbisa dan memukau audiens sewaktu menyampaikan lagu Cik Mek Molek yang pernah menggamatkan konsert mingguan AF2. Begitu juga dengan juara AF4, Faizal yang cukup sinonim dengan lagu-lagu rakyat apabila dia memilih untuk menyampaikan lagu Wa Timang Landak. Persembahan yang penuh bersahaja dan menghiburkan oleh anak jati Terengganu itu melayakkan dirinya memenangi kategori tersebut di mana ia diadili oleh bekas tenaga pengajar yang dijemput pada malam itu. Anugerah Dangdut Terbaik juga tidak kurang menariknya apabila nama-nama seperti Akma, Aswad, Luftya dan Zarina dipilih untuk menyampaikan lagu-lagu dangdut seperti Selamat Jalan Romeo, Yang Sedang-Sedang Saja, Kopi Dangdut dan Goyang Inul. Namun, apa yang kurang manisnya apabila Akma yang kini sudah berimej baru dengan bertudung dilihat kurang sesuai untuk bertanding dalam kategori itu. Begitu juga dengan Luftya yang jelas terbukti tidak membuat persiapan rapi apabila dia dilihat beberapa kali terlupa lirik. Walaupun konsert reunion ini dianggap sebagai persembahan sekadar untuk suka-suka sahaja, setidak-tidaknya tunjukkan sedikit usaha untuk memberi persembahan terbaik buat peminat. Kategori Anugerah Balada Wanita juga di antara persembahan yang menarik pada malam itu apabila mempertaruhkan empat penyanyi wanita dalam melagukan lagu-lagu popular Datuk Siti Nurhaliza. Mereka yang dimaksudkan ialah Rosma yang menyampaikan lagu Seindah Biasa, Mila (Biarlah Rahsia), Isma (Bukan Cinta Biasa), Adira (Jerat Percintaan) dan Fina (Purnama Merindu). Mereka sebenarnya pelapis penyanyi wanita negara tetapi tidak mendapat peluang sewajarnya untuk menonjolkan lagi bakat mereka. Transisi juara AF5, Mila cukup ketara sewaktu dia menyampaikan lagu Biarlah Rahsia sekali gus membuktikan pengalaman banyak merubah dirinya sebagai penyanyi. Mila menerima trofi Anugerah Balada Wanita pada malam itu. Kemuncak konsert tersebut boleh dikatakan sewaktu Anugerah Tari diperkenalkan dengan menampilkan tiga calon iaitu juara AF6, Stacy selain Erul dan Eka. Erul memilih lagu popularnya, Legasi Cleopatra sementara Eka pula dengan lagu yang pernah dipopularkan Beyonce, Run the World (Girls) dan Stacy dengan lagu Kasanova. Masing-masing memperlihatkan kehebatan gerak tari dan kelincahan di atas pentas yang telah membuatkan penonton bersorak kegembiraan. Seperti mana namanya dijerit dan disorak dari awal lagi, bagaikan sudah dijangka kemenangan berpihak kepada Stacy yang memang tidak dapat dinafikan lagi kehebatan tariannya. Sebagai penutup, kesemua yang terlibat menyampaikan lagu Menuju Puncak lalu menjadikan Konsert Akhir Reunion Akademi Fantasia sebagai mimpi indah buat peminat tegarnya. Konsert Akhir Reunion Akademi Fantasia akan disiarkan pada 31 Disember ini pukul 10 malam di saluran Astro Ria. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |