Adsense

Khamis, 22 Disember 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Hubungan jarak jauh

Posted:

Hubungan jarak jauh

Hubungan jarak jauh

PELAKON Pembantu Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2011, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, semakin berkilau kerdipan bintangnya.

Mungkin terang yang menyuluh langit seni bercahaya dek bakatnya menerusi drama, telefilem mahupun pentas teater yang diceburinya.

Baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), rezaeki Elfira, 17, makin lebat. Dihujani pelbagai tawaran berlakon, salah satu daripadanya dapat bergandingan dengan aktor tanah seberang, Randy Pangalila.

Mengandaikan Randy sekadar sahabat yang selesa untuk berbicara atau mengandam jenaka, menurut Elfira dia seorang yang peramah dan sering merendah diri.

"Pertama kali dipertemukan dengan Randy, saya gugup, maklum saja dia sudah terkenal di Indonesia dan saya masih menapak lagi dalam dunia lakonan.

"Tapi dia mudah mesra dengan orang dan hubungan kami sama seperti kawan-kawan lelaki saya yang lain," sekeras-keras Elfira menafikan dakwaan bahawa kedua-duanya kini berpacaran.

Tambah Elfira, Randy merupakan seorang yang gemar bercerita serta selalu melontarkan pandangan yang bernas mengenai sesuatu isu.

Ditanya juga apa tujuan Elfira sering berhubung dengan Randy melalui Black Berry Messenger (BBM) walaupun jarak yang memisahkan kedua-dua anak muda itu makin jauh? Adakah ia suatu hubungan jarak jauh?

Jawab Elfira: "Kami selalu BBM tapi hanya borak-borak kosong. Tambahan kami merupakan penyokong kuat pasukan bola sepak masing-masing, dia Arsenal dan saya Manchester United."

Itulah butir bicara yang disusun Elfira. Bagaimanapun, ketika Kosmo! dipertemukan dengan barisan pelakon Biar Mimpi Sampai Ke Bintang di Alexis, The Garden Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini, Randy tidak dapat menghadirkan diri berikutan jadual lakonannya yang terbatas di Indonesia.

Kurang ilmu

Sementara itu, Elfira yang membintangi drama Qalesya turut diminta mengulas mengenai kata-kata nakal orang sekeliling yang menyifatkan dia kurang berilmu sewaktu mengacarakan sebuah rancangan TV berbentuk pelancongan baru-baru ini.

Sedikit terkejut dan terkilan dengan dakwaan itu, katanya, dia hanya mengikut perancangan awal menerusi perbincangan bersama tenaga produksi rancangan itu.

"Rancangan itu tiada skrip dan semua yang dirakam berlaku secara spontan, setiap yang keluar dari mulut saya mengikut setiap perbincangan dengan pihak produksi yang sememangnya mahu saya 'berlakon' dalam rancangan itu," tuturnya menjawab dakwaan yang dilemparkan itu.

Tambah Elfira, dia bukan seorang selebriti yang langsung tidak tahu menahu mengenai tempat-tempat bersejarah di sesuatu kawasan biarpun baru menghabiskan zaman persekolahan.

"Saya tidak kisah dengan apa yang orang ingin cakap, kalau orang yang selalu mengacarakan pelbagai rancangan mereka akan faham kenapa saya berbuat begitu," kata anak kedua daripada empat beradik itu lagi.

Bagi Elfira, ilmu itu luas untuk diterokai. Prinsipnya belajar selagi terdaya kerana sampai ke mati pun ilmu itu tidak akan habis.


ELFIRA bakal ke Paris bersama Randy (kiri) menjelang awal Mac tahun depan.


Bercerita mengenai watak yang digalasnya dalam telefilem arahan Michael Ang, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang iaitu Alya, tawaran watak yang lebih matang selari dengan usianya itu merupakan kali pertama diberikan kepadanya.

"Saya tidak terlalu memikirkan mengenai watak yang dibawa dan memang saya akui watak yang diberikan kali ini lebih berat daripada karakter yang sering saya mainkan," katanya yang juga selesa berlakon di bawah arahan Michael.

Anak penjual ayam

Biar Mimpi Sampai Ke Bintang mengisahkan Alya, seorang gadis yang menghabiskan masanya membantu ibunya, Peah (lakonan Sharifah Shahora) menjual ayam di pasar borong.

Sementara itu, Andy (Randy) pula adalah seorang remaja yang berasal dari Indonesia, anak

jutawan Hardiyanto Sasputra. Kehidupan Andy dirasakan terlalu bosan dengan kehadiran ibu tirinya bernama Jenny, dan dikelilingi rakan-rakan yang hanya berkawan

dengannya kerana dia anak jutawan.

Andy sering menghilangkan kebosanannya dengan melawat Mak Yam (Didie Alias), bekas orang gajinya yang telah berhenti kerja.

Kehidupan Alya dan Andy mula berwarna apabila masing-masing menyorok identiti mereka dalam laman sosial Facebook di mana Alya menyamar sebagai orang kaya, manakala Andy menyamar sebagai orang miskin.

Pertemuan kali pertama mereka benar-benar menjadikan pertemuan itu sebagai jatuh cinta pandangan pertama. Bermula saat itu, berbagai-bagai perkara suka duka berlaku dalam hidup mereka. Mereka semakin rapat dan akhirnya tidak mampu menafikan yang masing-masing benar-benar serasi antara satu sama lain.

Turut menjayakan Mimpi Sampai Ke Bintang ialah adik lelaki Elfira iaitu Ezzrin Loy.

Full content generated by Get Full RSS.

Pada Zaman Dahulu di Indonesia

Posted:

Pada Zaman Dahulu di Indonesia

Pada Zaman Dahulu di Indonesia


SIRI Pada Zaman Dahulu merupakan produksi animasi kedua terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. yang sebelum ini menampilkan siri animasi popular, Upin & Ipin.


GAGAL diterbitkan dalam bentuk dua dimensi (2D), tetapi akhirnya kini ia berjaya direalisasikan dalam bentuk tiga dimensi (3D).

Itu takdir perjalanan sebelum kelahiran Pada Zaman Dahulu, siri animasi kedua keluaran Les' Copaque Production Sdn. Bhd. selepas kemunculan produk sulungnya Upin & Ipin yang meraih kejayaan mega.

Mmenurut Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn. Bhd., Burhanuddin Md. Radzi, Pada Zaman Dahulu pernah mengalami kegagalan ketika percubaan pertama menjadikan siri itu dalam bentuk 2D tahun lalu.

"Kos mengeluarkan produk animasi sangat tinggi. Pada Zaman Dahulu sudah disiapkan setahun lalu, tapi oleh kerana episod pertamanya menerusi teknik 2D sangat menghampakan, seluruh krew terpaksa dibubarkan," jelasnya.

Namun, berbekalkan kepakaran 3D tempatan, Pada Zaman Dahulu kembali dihidupkan dengan mengutamakan variasi warna yang menarik dengan teknik lukisan warna air.

Kelainan siri animasi ini lebih kepada kisah-kisah haiwan yang pernah diceritakan oleh nenek moyang pada zaman dahulu yang memberikan pengajaran yang bermanfaat.

"Memandangkan ibu bapa sekarang jarang mempunyai masa untuk bercerita mengenai kisah dongeng haiwan kepada anak-anak dan golongan cilik sekarang lebih gemar menghabiskan masa bermain permainan video, maka siri animasi ini adalah langkah penyelesaian terbaik," ujarnya lagi.

Siri animasi Pada Zaman Dahulu telah memulakan tayangan di saluran TV AlHijrah selain memasuki pasaran Indonesia iaitu disiarkan di stesen MNCTV.

Bersiaran sebanyak 12 episod, Pada Zaman Dahulu kini menemui penonton cilik di Zon Aulad saluran TV AlHijrah setiap hari Sabtu pukul 8.30 malam.

Siaran ulangan pula akan disiarkan setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pada pukul 5.50 petang.

Pada Zaman Dahulu mengisahkan gelagat Aris dan adiknya Ara yang cuba menyesuaikan diri di kampung berikutan kedua-dua orang tua mereka bertugas di luar negara. Aris dan Ara tinggal bersama datuk mereka, Aki.

Sebagai seorang datuk yang mengasihi cucu-cucunya, Aki sedaya upaya cuba menghiburkan dan mendekati mereka dengan teknik penceritaan yang menarik serta lucu.

Di sinilah pelbagai kisah Sang Kancil dan rakan-rakannya seperti Sang Harimau, Sang Tupai, Sang Kerbau, Sang Gajah dan Sang Monyet dipersembahkan.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda, siri animasi Pada Zaman Dahulu berpotensi untuk mencipta nama sebagaimana animasi tempatan popular, Upin & Ipin.

"Kita sudah membuat penilaian, siri animasi yang mengguna pakai teknik HD (High Digital) ini mempunyai kualiti yang baik sesuai dengan platform penyiaran TV AlHijrah," katanya pada sidang akhbar pelancaran siri animasi Pada Zaman Dahulu di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, siri animasi yang ditayangkan dalam slot baharu stesen televisyen AlHijrah, iaitu Zon Aulad, sesuai dengan sasaran golongan kanak-kanak.

"Zon Aulad antara lainnya mempunyai tarikan warna-warni dan ada mesej yang membina sahsiah anak-anak daripada prapersekolahan hingga peringkat remaja," ujarnya yang turut memberitahu TV AlHijrah kini sedang dalam proses menambah kandungan siaran untuk golongan kanak-kanak menjelang tahun depan.

Full content generated by Get Full RSS.

Alexander tanpa U-Kiss

Posted:

Alexander tanpa U-Kiss

Alexander tanpa U-Kiss

Oleh HARYATI KARIM


ALEXANDER (kiri) ketika masih bersama kumpulan U-Kiss.


ALEXANDER LEE EUSIBIO yang memulakan kerjaya seninya bersama band asal Korea Selatan U-Kiss bermula Ogos 2008 kini telah bergerak solo sejak awal tahun ini.

Dia yang ditemui baru-baru ini di pejabat ntv7, Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya memberitahu keputusan untuk keluar daripada band U-Kiss bukannya kerana mereka bergaduh sebaliknya kerana dia ingin mendapat lebih kebebasan dalam berkarya.

"Saya keluar daripada U-Kiss secara baik, saya tidak bergaduh dengan mana-mana pihak. Saya ingin menentukan sendiri hala tuju saya sebagai anak seni.

"Jika bersama U-Kiss, saya terikat dengan konsep dan imej yang ditentukan oleh agensi. Sekarang saya lebih bebas untuk menentukan kerjaya saya dalam segala segi. Saya bebas memilih imej dan muzik yang saya suka," katanya yang berdarah kacukan Portugis dan Cina di sebelah ayah, manakala Korea di sebelah ibunya.

Meskipun telah memulakan kerjaya solo sejak awal Disember lalu, akui Alexander, dia masih berasa kekok ketika di atas pentas dan merindui momen bersama anggota U-Kiss.

"Kami sudah lama melakukan persembahan bersama, jadi bila berada di atas pentas dan melakukan persembahan solo kadangkala saya rasa sedikit kekok tetapi lama-kelamaan masalah itu dapat diatasi.

"Hubungan saya dan anggota U-Kiss masih baik dan kami sangat rapat. Memang rindu bila terkenang balik momen saya bersama U-Kiss. Jadi, kami saling berhubung menerusi telefon untuk bertanya khabar, sekarang mereka sibuk dengan promosi album di Jepun," ujarnya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa.

Apabila berbicara mengenai band U-Kiss, Alexander menyimpan harapan agar suatu hari nanti band U-Kiss dapat bersatu kembali untuk mengadakan sebuah persembahan.

"Itu harapan saya agar kami dapat buat reunion bersama anggota asal U-Kiss dan buat persembahan bersama. Tetapi saya tidak tahu bila perkara itu akan berlaku," balasnya.

Album solo

Apabila ditanya tentang kekasih, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu kini lebih selesa tidak terikat dalam hubungan cinta kerana memberi fokus kepada kerjayanya solo yang baru hendak bermula.

"Saya belum ada kekasih tetapi suatu hari nanti saya pasti akan mempunyai seorang kekasih seperti orang lain juga.

"Gadis yang menjadi pilihan saya adalah seorang yang berdikari kerana dalam kesibukan kerja, saya tidak akan sentiasa bersamanya. Dia juga harus memahami kerjaya saya sebagai artis," terangnya.

Bercakap mengenai perjalanan solonya, Alexander terlebih dahulu mengadakan persembahan solo pertamanya pada 9 Disember lalu menerusi showcase yang dilabelkan sebagai Alexander Live 2011 di Akasaka Blitz, Tokyo, Jepun.

Selepas Jepun, Malaysia menjadi lokasi keduanya untuk promosi album solo pertamanya yang berjudul I Just.

"Selepas bergerak solo, impian saya untuk menghasilkan sebuah album solo tercapai. Terima kasih kepada peminat yang selama ini menyokong saya," ujarnya yang akan terlibat dalam sebuah drama pada tahun hadapan.

Album I Just yang telah berada di pasaran bermula 19 Disember lalu mengandungi tiga buah lagu iaitu Oh Baby, I Just dan Bad Girl yang dirakamkan dalam tiga buah bahasa iaitu Korea, English dan Jepun.

Kehadiran Alexander di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana dia turut terlibat dalam Konsert Star Live 2011 anjuran stesen televisyen ntv7 pada 17 Disember lalu di Stadium Bukit Jalil.

Bukan itu sahaja, Alexander juga bertemu peminatnya dengan mengadakan showcase solo pertamanya di Cheras Leisure Mall, Kuala Lumpur pada 18 Disember lalu.

Full content generated by Get Full RSS.