Adsense

Sabtu, 24 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Simbolik pemberian hadiah

Posted: 23 Dec 2011 04:50 AM PST

BUKAN sekadar bertukar hadiah dan cenderahati, makan malam sekeluarga dan sambutan untuk menjengah tahun baru, Krismas juga diraikan bagi mengangkat simbolik menghargai kasih sayang serta persahabatan dalam konteks yang lebih luas.

Hakikatnya, ia diraikan sebagai satu upacara perayaan namun jika diukur dan diteliti dari perspektif lain khususnya di Malaysia, Krismas adalah satu tarikh untuk berkumpul bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan selain mengundang rasa sayang antara sahabat.

Petang minggu lalu, empat anak muda juga selebriti televisyen 8TV dan ntv7 datang berkumpul di studio bagi berkongsi cerita mereka menyambut kedatangan Krismas baik dari sudut selebriti mahupun insan serumpun yang turut menyambutnya.

Pengacara program bual bicara santai, 8TV Quickie, Ryan Matjeraie dan Megan Tan umpamanya lebih menyifatkan Krismas sebagai satu hari yang memberikan mereka berdua peluang terbaik bertemu semua rakan dan duduk berkumpul bersama keluarga di rumah.


Dua lagi penyampai program The Breakfast Show dan Bella di ntv7, Hansen Lee dan Lisa Wong melihat sambutan Krismas satu ruang istimewa untuk menghargai kasih sayang sesama keluarga.


Jelas wajah jelita penyampai Bella sejak setahun lalu itu, Lisa yang berkahwin dengan jejaka Inggeris, Neil Ford sejak enam tahun lalu, Krismas adalah satu perayaan yang wajib diraikan dengan penuh kemeriahan.

"Krismas memang satu sambutan wajib dalam kalendar perkahwinan saya kerana ini saja peluang yang ada buat saya dan suami untuk berhimpun bersama sanak-saudara dan teman rapat. Kebiasaannya kami menyambutnya di England bersama keluarga mentua kerana suasananya lebih meriah. Mana tidaknya, ibu mentua saya akan memasak dan semua sanak-saudara berkumpul.

"Namun tahun ini nampaknya saya dan suami menyambut Krismas di sini saja memandangkan komitmen kerja dan tanggungjawab yang terlalu banyak membuatkan masing-masing tidak sempat bercuti panjang. Bagaimanapun, kami berdua akan tetap menyambutnya secara sederhana dan menjemput keluarga terdekat untuk makan malam bersama," katanya yang sudah empat kali menyambut Krismas di England sebelum ini.

Tambah Lisa lagi yang sebelum ini pernah menjadi pengantara di saluran antarabangsa ESPN, Krismas juga adalah hari yang penuh dengan cetusan muzik dan rasa ikhlas.

"Budaya bertukar-tukar hadiah dan memasang pokok Krismas bagai satu tradisi. Namun yang lebih penting rasa ikhlas di sebalik pemberian itu yang menjadi keistimewaan sebenar Krismas.

"Jujurnya ketika ini, saya sendiri berdebar-debar dan tidak sabar untuk membuka hadiah Krismas saya esok. Jika saya menerima banyak hadiah daripada teman dan suami, itu mungkin membuktikan saya disayangi ramai," katanya lagi.

Penyampai The Breakfast Show yang juga seorang peragawan popular, Hansen Lee menyifatkan tradisi bertukar hadiah adalah kayu ukur untuk menilai kepekaan seseorang terhadap insan yang disayangi selain menilai sejauh mana keikhlasannya.

"Jika saya ingin memberi seseorang itu hadiah sempena Krismas, pastinya saya perlu melihat keperluan atau apa yang ingin sekali dimilikinya. Itu adalah kayu ukur agar apa yang dibeli itu berguna dan bukan sekadar ingin memberi. Umpamanya saya sendiri, saya sudah menyiapkan beberapa hadiah istimewa untuk diberikan kepada keluarga dan teman yang rapat dengan saya.

"Semua hadiah itu saya beli mengikut keperluan mereka dan apa yang mereka inginkan. Begitu juga dengan saya, apa yang akan saya terima nanti pastinya sesuatu yang pernah saya cakap ingin miliki. Lantas saya boleh melihat sejauh mana kepekaan mereka," katanya berjenaka.

Bagaimanapun, tambah Hansen, dia sudah merancang untuk menjamu keluarga dan teman rapatnya pada malam Krismas nanti memandangkan keesokan harinya anak kacukan Cina dan Indonesia ini diberi cuti.

Bagi dua anak muda yang mengendalikan program bual bicara 8TV Quickie, Ryan dan Megan, Krismas adalah sesuatu yang diraikan setiap hari sepanjang tahun kerana program kendalian mereka bagaikan sambutan Hari Natal dengan pelbagai hadiah diberikan kepada penonton setiap kali mereka bersiaran.

"Memberi pelbagai hadiah dan peluang menarik kepada penonton memang tugas kami di konti. Konsep 8TV Quickie sudah menjadikan kami berdua seperti Santa Claus kerana tidak henti-henti menghadiahkan penonton dengan 1,001 hadiah menarik. Lantas kami berdua merancang untuk membuat sesuatu yang berbeza buat penonton sempena Krismas kali ini," kata Ryan, kacukan Irish, Cina dan Iban yang hampir setahun mengendalikan 8TV Quickie.

Selain itu, Ryan yang juga graduan Industri Kreatif dari Universiti Edith Cowan di Australia tidak sabar untuk bertemu sanak-saudara dan teman lama kerana jika tiada cuti pada hari Krismas, semuanya terikat dengan jadual harian yang padat.

"Esok saya akan pastikan duduk lepak lama bersama keluarga dan teman. Ini saja peluang yang ada untuk kami bertukar cerita dan berkongsi pengalaman bersama kerana masing-masing begitu sibuk hingga sukar bertemu.

"Bagaimanapun, agenda utama adalah makan malam bersama keluarga serta membuat kejutan kepada mereka dengan memberi hadiah istimewa," katanya tersenyum.

Megan Tan yang kini berusia 23 tahun melihat perayaan ini dari perspektif berlainan. Meskipun tidak menganut agama Kristian dan meraikan Krismas secara amnya, namun perayaan itu akan disambut juga kerana ramai kenalan dan ahli keluarganya yang menyambutnya, esok.

Menurutnya, tidak sekadar meletak fokus pada hadiah, hiasan pokok Krismas, Santa Claus dan warna-warni lampu, Krismas juga adalah masa terbaik untuk seseorang itu membuat kebajikan dan kerja amal.

"Saya memang bergerak aktif dalam kerja amal dan kebajikan. Justeru, saya rasa Krismas masa terbaik buat saya melakukan kerja amal dengan membantu golongan yang memerlukan. Itu sudah memberikan saya kepuasan selain meraikan bersama keluarga dan teman," katanya.



Full content generated by Get Full RSS.

Abby janjikan terbaik

Posted: 23 Dec 2011 04:42 AM PST

BARANGKALI nama pelakon dan pengacara Abby Nadzri tidak sepopular Jue Aziz di persada hiburan tanah air. Justeru, apabila Abby terpilih memegang watak utama sebagai Dara dalam pementasan teater Semerah Padi terbitan Keno Productions, ramai yang tertanya-tanya siapakah Abby Nadzri?

Adakah lakonannya lebih hebat daripada Jue di pentas teater? Apakah kelebihan yang ada pada pelakon jelita itu untuk menggalas tugas berat sebagai Dara yang pernah dilakonkan Seniwati Saadiah dalam filem klasik karya Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee itu?.

Malah timbul tanda tanya mengapa perlu ada dua pelakon yang memegang watak Dara? Itulah antara persoalan yang bermain di fikiran media menjelang pementasannya malam ini.

Secara peribadi,pemegang Ijazah Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini berharap peminat tidak membandingkan lakonannya dengan Jue kerana setiap pelakon ada kekuatan masing-masing.


"Apabila ditawarkan watak Dara oleh pengarah teater ini, Rosdeen Suboh, saya terus menyahut cabarannya untuk beraksi dalam teater ini kerana saya sendiri menyukai naskhah Semerah Padi dan mengagumi filem P Ramlee.


"Pada masa sama, saya melihat watak Dara itu berat dan ingin mencabar diri sendiri, sekali gus mengubat kerinduan dalam bidang teater. Ditambah pula saya dan Rosdeen sudah kenal lama kerana kami sama-sama menuntut di Aswara dulu dan pernah berlakon dalam teater arahannya ketika menuntut di Aswara," katanya.

Ditanya sama ada dia tahu pelbagai masalah dihadapi produksi termasuk aspek penajaan dan pertukaran pelakon pada saat akhir, kata Abby, dia hanya ingin fokus pada aspek lakonan saja.

"Saya hanya diberitahu pihak produksi yang saya ditawarkan watak Dara kerana Jue sakit dan ada masalah kesihatan. Pada mulanya, saya hanya ditawarkan watak 'understudy' Dara tapi sebaliknya apabila Jue dilaporkan jatuh sakit, Rosdeen terus tawarkan saya bawa watak Dara.

"Saya juga terima tawaran bawa watak Dara kerana ingin membantu Jue yang tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya pada teater itu. Saya faham dengan keadaannya itu. Pada masa sama, saya menganggap tawaran yang datang itu sebagai rezeki daripada Allah.

"Saya harap peminat Jue dapat beri sokongan padu pada saya dan nilailah lakonan saya sebagai Dara. Apapun, saya simpati dengan keadaan Jue dan berharap semoga dia cepat sembuh dan kami sama-sama dapat beraksi di pentas nanti," katanya, berkongsi persiapannya sebagai Dara, pengacara Salam Bollywood dan pelakon teater Dejavu ini mengakui sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal.

"Cabaran paling besar kerana saya menggalas tugas membawa watak Dara pada saat akhir tetapi saya tetap berusaha berikan yang terbaik mengikut kemampuan.

"Cabaran lain saya perlu menyanyi dan menari untuk menjiwai watak Dara itu. Saya juga hanya fokus pada aspek lakonan dengan menggunakan asas dalam teater sebelum ini serta latihan secara bersungguh-sungguh.

"Selain bimbingan daripada Rosdeen, dua hero teater ini, Khir Rahman (Aduka) dan Fauzi Nawawi (Taruna) banyak membantu saya menjiwai watak diserahkan dengan baik.

"Sudah pasti, saya menjanjikan yang terbaik dan hanya serahkan penonton untuk menilai lakonan di pentas malam ini. Berilah kritikan yang membina untuk saya terus memperbaiki prestasi lakonan sedia ada," katanya.

Ketika ini, Abby juga baru selesai penggambaran drama bersiri terbaru lakonannya, Bicara Hati arahan Osman Ali. Dia pegang watak pembantu di samping Kris Suzanne dalam cerita itu. Antara drama lakonannya ialah Wasiat dan Bila Shuib Speaking London.

Berkongsi cerita peribadinya pula, ibu kepada dua anak ini juga mengakui dirinya menyepi seketika dari bidang seni kerana memberi tumpuan pada rumah tangga. Hasil perkongsian hidup selama empat tahun dengan pen–syarah Aswara dan pemuzik profesional, Rozario Gulam Rasul, Abby dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan, Aryan Danish, 3, dan Samara, 1.

"Bagaimanapun, apabila anak besar sikit, saya ingin kembali menyemarakkan
persada seni tanah air. Suami juga menyokong minat saya yang cukup mendalam pada bidang lakonan. Apa yang penting, saya tidak mengabaikan tanggungjawab pada rumah tangga," katanya.

Pementasan teater Semerah Padi mula diper–sembahkan di Istana Budaya bermula malam ini hingga 31 Disember nanti.



Full content generated by Get Full RSS.