Berita Harian: Hip |
Posted: 16 Dec 2011 12:35 PM PST Hip Dewi Sandra berdoa perkahwinan ketiga kekal ke akhir hayatDUA perkahwinan terdahulunya berakhir dengan kegagalan, namun sejarah hitam itu tidak pernah membuatkan penyanyi, Dewi Sandra serik dan mengalah kepada suratan yang tertulis untuknya. Perkahwinan pertama dengan aktor, Surya Saputra tidak menjanjikan kebahagiaan berpanjangan apabila mereka berpisah pada Januari 2005 selepas lima tahun hidup bersama. "Pertama kali bernikah, saya fikir ia untuk selama-lamanya namun ternyata sebaliknya berlaku," kata pemilik nama lengkap, Dewi Sandra Killick ketika ditemui wartawan di Jakarta, tidak lama dulu.Penyanyi yang cukup dikenali di Malaysia dengan lagu Ku Akui dan Tak Ingin Lagi ini, bagaimanapun bernikah buat kali kedua dengan penyanyi terkenal, Glenn Fredly pada 3 April 2006. "Saya mencuba lagi untuk kali kedua. Tidak pernah saya menyangka akan kembali bergelar isteri dalam tempoh sepantas itu. "Namun Tuhan mempunyai rencana lain untuk saya. Saya menerima ujian lagi. Tapi, saya terus berdoa agar dipertemukan dengan lelaki terbaik," katanya lagi. Disember 2008, teka-teki kehancuran rumah tangganya dan Glenn mula dihidu media, mencambahkan kekalutan dalam kehidupan artis yang memegang profesion sebagai pengacara, penyanyi dan bintang sinetron itu. Ketika media ligat memburu, Dewi bijak menyembunyikan status sebenar perkahwinan yang diadakan di Bali itu. Seakan tidak terganggu dengan permasalahan itu, Dewi sempat melahirkan album, Wanita ketika rumah tangganya diamuk badai. Bagaimanapun, Dewi terpaksa akur menerima kenyataan kebahagiaan yang cuba dipertahankan bukan miliknya. Buat kali kedua, pelakon filem XL dan Antara Aku, Kau Dan Makerot kembali memegang status janda apabila disahkan bercerai pada 27 Ogos 2009. "Pengalaman lalu buat saya adalah pengalaman berharga dan jadi pengajaran yang tidak terganti. Mereka yang pernah hadir dalam hidup saya adalah guru terbaik," katanya. Impak dua perpisahan itu membuatkan wanita berdarah kacukan Inggeris-Indonesia ini begitu berhati-hati apabila diajak berbicara mengenai hal peribadinya. Saat ditemui media pada 7 Disember lalu, empat hari sebelum Dewi diijabkabulkan dengan jejaka berusia 33 tahun, Agus Rahman, bibirnya seakan terkunci kemas apabila soalan berkaitan perkahwinan kembali diajukan. "Mohon maaf jika saya meletakkan batasan dalam soalan peribadi. Sudah terlalu banyak air mata saya yang mengalir sebelum ini. "Saya tidak boleh menyalahkan orang lain atas kemahuan sendiri. Saya tidak mahu apa yang pernah saya lalui berulang kembali. "Setiap sesuatu dalam hidup ini sudah diatur cuma saya mengharapkan doa daripada semua yang menyayangi," katanya memohon isu peribadinya tidak dibicarakan secara terbuka di media. Doanya diperkenankan Allah apabila pernikahan ketiga Dewi berlangsung tanpa kehadiran media pada pagi Ahad lalu di Plataran, Jagakarsa, Jakarta Selatan. Menolak pernikahan mereka diadakan secara tergesa-gesa, Dewi berharap kebahagiaan yang sedang berputik itu akan berpanjangan hingga ke akhir hayat. Jauh di sudut hati pembawa lagu Kapanlagi Kau Bilang I Love You itu berharap Agus Rahman menjadi lelaki terakhir menghuni sanubarinya hingga maut memisahkan mereka. "Saya tidak mahu mengungkit masa lalu dan ingin melangkah ke depan dalam kehidupan saya. Saya banyak belajar daripada pengalaman dan kegagalan lalu. Upacara ijab kabul disempurnakan pada jam 9 pagi di mana Dewi menerima sepersalinan kelengkapan solat dan wang emas seberat 25.5 gram. "Maaf kerana baru berkesempatan berterus terang selepas selesai pernikahan. Tiada tujuan lain kecuali memastikan acara pernikahan berjalan lancar," kata Agus yang mengangkat batik sebagai tema majlis resepsi mereka. Agus mengakui, mereka sudah lama berkenalan diawali dengan persahabatannya bersama pengurusan, Star Management yang menguruskan karier nyanyian Dewi. "Bohong jika saya cuma melihat hatinya. Namun secara fizikal dan keperibadiannya, Dewi memiliki ciri menarik malah berharap dia akan menjadi pasangan saya yang paling ideal," katanya. Agus serius ENGGAN tergopoh-gapah mencari pengganti, serta tidak mahu terus ditemani air mata apabila kebahagiaan diimpikan bertukar menjadi mimpi ngeri, Dewi mengambil masa yang panjang sebelum memberikan kata persetujuan untuk bergelar suri kepada Agus. Akui Dewi, dia membiarkan perkenalan mereka melalui satu demi satu fasa kerana ingin betul-betul mengenali peribadi suaminya yang sebenar. Hanya selepas melihat keserasian yang terjalin serta masing-masing mempamerkan keseriusan untuk melangkah ke satu fasa berbeza, Dewi yakin Agus ialah pilihan yang tepat. "Banyak fasa yang kami lewati dan dari situ, saya melihat Agus seorang yang serius dan bertanggungjawab. Lebih penting, kami mempunyai pegangan iman yang sama. "Saya berharap Agus akan menjadi imam yang saya perlukan dan bersedia membimbing ke arah kebaikan. Perkara ini terlebih dulu kami bincangkan dengan keluarga, lalu pernikahan ini terjadi," katanya. Kesilapan yang pernah dilaluinya kata Dewi, tidak seharusnya dijadikan sebagai suatu isu yang menyebabkan ia kembali diungkap dan diperdebatkan. "Saya selalu memberitahu, jejaka yang mampu menerima saya itu ialah lelaki yang luar biasa. Saya punya masa lalu dan pengalaman yang menjadi landasan untuk kami berdua belajar," kata Dewi. |
Mesti Tonton: Zoo pengikat kasih sayang Posted: 16 Dec 2011 12:23 PM PST Hip Filem: We Bought A ZooPengarah: Cameron Crowe Penulis: Cameron Crowe, Aline Brosh McKenna Pelakon: Matt Damon, Scarlett Johansson, Elle Fanning, Colin Ford, Maggie Elizabeth Jones, Thomas Haden Church, Carla Gallo Genre: Drama, Komedi, Keluarga Tarikh Tayangan: Mulai 22 Disember 2011 SIAPA sangka, 'keamanan' yang dicari seorang bapa tunggal untuk menyempurnakan kehidupan kekeluargaan yang sentiasa tegang akhirnya terjawab di sebuah zoo yang dipenuhi haiwan liar, malah keputusan berpindah ke ruang yang dihuni lebih 200 spesies haiwan liar mula diwarnai kegembiraan. Jika dilihat dari pandangan mata kasar, We Bought A Zoo hanyalah sebuah filem bergenre drama yang pernah ditonton sesiapa saja sebelum ini, tetapi menyingkap isu kekeluargaan yang cuba dibawa oleh pengarah, Cameron Crowe, ia sebuah naskhah layar yang bernilai dan berbeza. Hampir 70 peratus isi penceritaan filem ini membawa penonton menyusuri kasih sayang seorang bapa untuk mencari titik keserasian yang sudah lama hilang antara dirinya dan si anak, Dylan Mee lakonan Colin Ford.
Filem yang diangkat daripada kisah benar ini berkisar pada anak muda berusia 14 tahun yang suka memberontak. Sikap itu pula, yang disebabkan kehilangan kasih sayang seorang ibu, dipaparkan pengarah melalui hasil lukisan yang diconteng dengan gambaran yang cukup ganas. Malah perubahan sikap remaja itu kemudian diperlihatkan kembali dengan hasil lukisan Dylan yang mula melukis haiwan di kawasan penempatan baru mereka dan ia sebuah paparan yang sungguh mengagumkan. Setiap visual turut diisi dengan kesungguhan lelaki yang terpaksa membesarkan sepasang anak dan pada masa sama mengalami konflik diri akibat terlalu merindui isteri yang sudah pergi meninggalkan mereka. Walaupun pada 15 minit pertama, penceritaan filem ini agak lembap dan membosankan, keseronokan mula timbul sebaik saja penonton dibawa menonton keluarga Benjamin Mee (Matt Damon) berpindah ke zoo terbiar yang dihuni kira-kira 200 jenis haiwan termasuk singa, harimau dan beruang. Di sinilah segala konflik antara anak lelaki yang enggan berpindah dan kesungguhan Benjamin menunaikan impian anak perempuannya, Rosie, bermula. Kelakuan Dylan yang menjadi-jadi membuatkan hubungan mereka semakin tegang. Dylan langsung tidak menyukai keputusan bapanya berpindah ke situ dan membeli zoo untuk dibangunkan. Akhirnya, ketabahan Benjamin membuktikan kasih sayangnya kepada anak dan haiwan di zoo yang memerlukan pembiayaannya, cukup berbaloi apabila sebuah taman haiwan dapat dibuka semula dengan bantuan lima pekerja yang masih setia bersama membangunkan kemudahan serta penjagaan zoo berkenaan. Walaupun pada mulanya, Benjamin hampir putus asa dengan pembiayaan makanan, penjagaan kesihatan dan kemudahan zoo yang perlu diganti dengan spesifikasi yang tepat, akhirnya tuah menyebelahinya apabila duit peninggalan isteri tercinta mula menyelamatkan keadaan. Indahnya cerita ini bukan terletak kepada keseluruhan penceritaan, tetapi dari sudut pandang berbeza seorang pengarah yang membawa penonton merasai pengorbanan dan usaha keras, yang akhirnya memberi pulangan lumayan kepada seseorang. Benjamin bukan saja berjaya mencuri hati seorang anak lelaki yang keras kepala, tetapi pada masa sama menyelamatkan haiwan terbiar menjadi koleksi yang diminati masyarakat setempat. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |