Kosmo Online - Hiburan |
Keberanian Yuna, kecelaruan AIM 18 Posted: Keberanian Yuna, kecelaruan AIM 18INI memang senario paling lucu dalam industri hiburan tempatan sebelum tahun 2011 melabuhkan tirai. Bertambah lucu apabila ia datang daripada sebuah anugerah yang dianggap paling berprestij untuk mengiktiraf karyawan sebalik tabir dan pelaku muzik tanah air, Anugerah Idustri Muzik (AIM) - tersilap beri anugerah dan pengiktirafan! Jika ingin dilihat secara kasar, memang tidak masuk akal langsung apabila AIM yang tahun ini sudah masuk usia 18 tahun boleh melakukan kesilapan paling bodoh untuk jenama besar mereka. AIM 18 tersilap memberi pengiktirafan kepada kategori Lagu Terbaik yang dimenangi oleh karya penuh Yuna, Penakut. Anugerah itu kini telah bertukar tangan kepada komposer Edry Abdul Halim dan penyanyi Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih. Padahal, sewaktu majlis sidang akhbar berlangsung usai AIM 18 berakhir lebih seminggu lalu, memang sudah kecoh tentang kemenangan lagu Penakut. Bagaimana sebuah lagu yang tidak menang dalam salah satu subkategori boleh diangkat juara. Sedangkan mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh penganjur, pemenang Lagu Terbaik mestilah merupakan salah satu pemenang bagi empat anugerah subkategori sama ada Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik atau Lagu Nasyid Terbaik. Namun pihak penganjur menangkis dan menepis soalan media. Barangkali media cuba membunuh anugerah yang semakin mula nampak banyak kepincangannya ini, penganjur dengan yakin menjawab semua lagu berhak untuk menjadi juara dan seharusnya ia tidak boleh dipertikai kerana ia diadili oleh badan yang cukup profesional. Apabila pihak penganjur sudah berkata demikian, siapalah media untuk mempersoalkan lagi walau memang diakui, jawapan yang diberikan tidak logik. Malah siapa juga Yuna atau pelaku muzik lain untuk mempertikaikan penjurian profesional. Baru ingin melupakan kontroversi tersebut, AIM 18 membakar termometer mereka sendiri. Umpama sudah ludah dan menjilat semula, mereka menarik balik pengiktirafan terhadap Yuna. Kata mereka, terdapat kesilapan teknikal yang berlaku terhadap penjurian. Maka anugerah Lagu Terbaik yang dimenanginya pun dipulangkan. Sesudah dipulangkan, ia kemudian diberi kepada pemenang yang lebih layak mengikut penjurian profesional mereka, Sedetik Lebih. Yuna yang merupakan mangsa utama terhadap kecelaruan penjurian AIM 18 memberitahu, dia sendiri agak hairan apabila lagu Penakut diumumkan sebagai pemenang Lagu Terbaik ketika acara kemuncak yang berlangsung pada 12 November yang lalu. YUNA akan tetap menyokong AIM namun meminta agar kesilapan yang sama tidak berulang demi menjaga maruah dan kreadibiliti anugerah tersebut serta karyawan seni. "Walaupun saya masih baru dalam industri ini, tetapi saya sudah memahami tentang kriteria untuk acara anugerah seperti AIM. Setahu saya untuk merangkul anugerah Lagu Terbaik mestilah berdasarkan kepada pemenang salah satu kategori utama. "Namun bila memikirkan kembali tentang banyak pembaharuan yang dilakukan oleh penganjur, jadi saya merasakan keputusan yang dibuat itu adalah berdasarkan kepada salah satu pembaharuan tersebut," ujarnya yang hadir pada sidang akhbar tergempar yang diadakan di Hotel Maya, Kuala Lumpur kelmarin. Tambah Yuna, apabila dihubungi oleh pihak penganjur iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) beberapa hari lalu tentang kesilapan yang telah berlaku, dia mengakui agak terkejut dan tidak menyangka akan berlaku kesilapan dalam sebuah acara yang cukup berprestij. Ujarnya, kesilapan besar sebegitu dilihat boleh mencalarkan sedikit kredibilitinya, namun tetap menerima dengan hati yang terbuka apabila kemenangannya itu ditarik semula. "Apa yang saya tahu perkara ini sudah pun menjadi perbualan ramai sehingga menimbulkan pelbagai persepsi yang buruk tentang penganjuran AIM pada kali ini. "Meskipun saya adalah mangsa terhadap kesilapan yang berlaku, tetapi saya yakin ia tidak akan memberi impak yang lebih besar terhadap kerjaya dan maruah saya sebagai penyanyi pada masa akan datang," ujarnya. Pada masa yang sama, penyanyi yang mula popular menerusi lagu Dan Sebenarnya itu turut memuji tindakan pihak penganjur yang mengadakan sidang akhbar khas bagi merungkai permasalahan serta kontroversi yang timbul. Ujarnya, dengan langkah segera yang diambil oleh RIM ini, ia dilihat sebagai salah satu langkah yang berkesan untuk memperbetulkan segala kesilapan agar orang ramai tidak terus memandang serong terhadap kredibiliti pihak penganjur yang sudah tercalar. ANUAR ZAIN (kiri) bersama Edry Abdul Halim menerima trofi Lagu Terbaik daripada Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Rosmin Hashim "Selepas ini, mana-mana pihak yang terbabit dalam penganjuran anugerah sebegini haruslah memikul tanggungjawab yang diberikan dengan lebih baik supaya tiada lagi sebarang kontroversi yang timbul. "Saya sangat yakin segala masalah yang berlaku ini adalah di luar jangkaan. Cuma saya berharap masalah yang sama tidak akan terjadi lagi pada masa akan datang," tegasnya. Terus sokong Menjadi mangsa kepada kelemahan sistem penjurian dalam sebuah acara yang berprestij, tidak bermakna Yuna sudah merajuk dan tidak mahu menyertai AIM lagi selepas ini. Biarpun sedikit terasa dengan masalah yang timbul, penyanyi berkenaan menyatakan tidak ada sebab untuk dia memboikot acara anugerah tersebut selepas ini. "Sebagai seorang pemuzik di Malaysia, sudah tentu saya akan terus memberi sokongan dan terus menyertai AIM pada acara akan datang. "Lagipun industri muzik di negara ini bukanlah besar dan saya rasa tidak seronok pula kalau mahu merajuk atas apa yang terjadi kepada diri saya sekarang ini," jelasnya. Menurutnya lagi, pihak penganjur juga telah memberi satu pengiktirafan yang sangat besar iaitu menerusi Anugerah Kembara, meskipun pembabitannya dalam bidang nyanyian masih dikira agak baru lagi. "Menerusi Anugerah Kembara yang diterima ini juga saya anggap ia sebagai satu pencapaian tertinggi yang pernah diraih sepanjang bergelar seorang penyanyi," ujarnya. BERDAMAI. Dari kiri, wakil Ernst & Young, Ahmad Zahirudin, wakil RIM, Adrian Lim, Rosmin Hashim, Yuna, Anuar Zain dan Edry Abdul Halim. Silap juru audit Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Rosmin Hashim menjelaskan segala permasalahan yang timbul adalah disebabkan kesilapan yang telah dilakukan oleh juruaudit luar rasmi yang dilantik iaitu Ernst & Young. Jelas Rosmin, setelah pihak penganjur menyemak kembali kriteria untuk penganugerahan tersebut, mereka telah membuat keputusan untuk menobatkan Sedetik Lebih sebagai Lagu Terbaik. "Pihak Ernst & Young sendiri telah mengakui kesilapan yang dilakukan dan kami segera mengambil langkah untuk memperbetulkan keadaan supaya kredibiliti sebagai penganjur tidak terus tercalar. "Kami juga ingin menekankan bahawa pembetulan yang dilakukan ini bukanlah bermaksud untuk menafikan pencapaian Yuna, tetapi kesilapan yang berlaku tidak dapat dielakkan dan amat kami kesali," jelasnya. Menurutnya lagi, kekeliruan tentang penjurian sebenarnya bermula apabila penjurian untuk subkategori dan Lagu Terbaik telah dinilai menerusi dua penjurian yang berbeza. Sementara itu, wakil Ernst & Young, Ahmad Zahirudin Abdul Rahim menjelaskan pihaknya mengakui kesilapan yang telah dilakukan dan ia berlaku disebabkan petugas yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tugas tersebut kurang faham dengan kriteria penjurian. Ujarnya, ia berlaku kerana petugas yang mengendalikan audit tersebut baru kali pertama melakukannya dan pihaknya sendiri tidak sangka akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar atas kesilapan yang dilakukan. "Apa pun kami tetap mengaku telah melakukan kesilapan dan terserah kepada pihak penganjur sama ada mahu terus menggunakan khidmat kami atau tidak pada tahun hadapan," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. |
Ezlynn nikahi pengurus sendiri Posted: Ezlynn nikahi pengurus sendiriOleh HARYATI KARIM EZLYNN dan Adam tidak sedar bila cinta berputik antara mereka yang sebelum ini hanya berurusan sebagai pengurus dan artis. PERKENALAN selama enam tahun dan percintaan selama tiga tahun, diakhiri dengan noktah cinta secara rasmi sebagai suami isteri buat penyanyi Ezlynn atau nama sebenar Azline Ariffin, 30, dan pasangannya yang merupakan pengurus peribadinya sendiri iaitu Adam Fahmy Shamsudin, 35, pada petang tanggal 20 November lalu di Roof Garden, Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Tidak seperti majlis pertunangan dan pernikahan lain, suami Ezlynn, Adam dilihat cukup sibuk ke hulu-hilir memastikan semuanya sempurna sehingga ada yang terlupa bahawa dialah pengantin pada petang itu. Ezlynn yang ditemui pada majlis pernikahannya itu memandang suaminya dengan senyuman dan berkata: "Itu yang menyebabkan saya terpikat dengannya. Dia seorang yang mementingkan kesempurnaan. Macam hari ini, pada majlis bahagia kami tetapi dia tetap tidak mahu lepas tangan sebaliknya, ingin memastikan sendiri semua perkara agar majlis berjalan lancar." "Saya ikutkan sahaja sebab dia memang selalu kendalikan acara orang, bila majlis nikah sendiri pun dia masih mahu uruskan, walaupun tugas itu sudah diserahkan kepada orang lain." Disoal bagaimanakah cinta antara mereka boleh berputik sedangkan saban hari mereka bertemu kerana tugas. "Ada pepatah mengatakan lebih baik bercinta dengan teman baik sendiri sebab mereka lebih mengenali kita. Sebenarnya sebelum bercinta hubungan kami hanyalah sebagai penyanyi dan pengurus. Kemudian kami menjadi rapat sebagai teman baik dan akhirnya bercinta. "Adam bagi saya sangat istimewa. Saya suka melihat cara dia menguruskan kerjaya saya dan dirinya sendiri. Dia seorang lelaki yang sangat menghormati perempuan dan bertanggungjawab. Tambahan, dia juga rapat dengan keluarga saya," jawab penyanyi lagu Hai Hai Bye Bye itu lagi. Sambung Ezlynn, keluarganya tidak terkejut apabila dia menyuarakan hasrat untuk bernikah dengan Adam kerana mereka sudah lama sukakan Adam dan percaya dia akan bahagia di sisinya. "Keluarga saya memang suka dia. Mereka pernah cakap susah-susah kahwin sahaja dengan Adam apabila beberapa kali hubungan cinta saya tidak menjadi. Masin mulut mereka, akhirnya memang saya bergelar isteri kepadanya," kata Ezlynn sambil disulami tawa kecil. Adam yang setia di sisi Ezlynn memberitahu, apabila bersama Ezlynn mereka sebagai teman baik dan segalanya dikongsikan bersama. Hari-hari yang dilalui bersama Ezlynn demi tugas bertukar cinta, dan perasaannya diluahkan kepada Ezlynn. PASANGAN bahagia Ezlynn dan Adam akan mengadakan resepsi perkahwinan pada bulan Januari 2012. Tarikh 20 Januari tahun lalu menjadi tarikh keramat apabila Adam melamar Ezlynn ketika mereka berada di Pulau Phi Phi, Thailand. Tarikh itu juga sangat istimewa kerana ia merupakan hari lahir Adam dan pada 20 Januari 2011, mereka mendapat tarikh untuk melangsungkan pertunangan dan pernikahan mereka serentak. "Tarikh 20 Januari itu memang sungguh bermakna buat kami kerana itu kami bertunang dan bernikah pada 20 November dan simbolik kepada tarikh itu, saya memberi wang hantaran sebanyak RM20,020 kepadanya. "Hari ini merupakan hari paling bahagia buat saya, meskipun sudah bergelar suami tetapi saya tetap meneruskan kerjaya saya sebagai pengurusnya seperti biasa. Malah, saya mahu dia lebih berjaya sebagai pelakon dan penyanyi selepas ini," jawab Adam. Mahu anak Sebelum bernikah pada pukul 5 petang, Ezlynn terlebih dahulu bertunang dengan Adam di lokasi yang sama dengan majlis pernikahannya dan majlis tersebut hanya dihadiri oleh keluarga dan rakan rapat sahaja. Sungguh privasi, tetamu yang hadir juga tidak lebih daripada 70 orang, jawab Ezlynn dia sengaja mahu lari daripada tradisi kerana ingin meraikan hari bahagianya bersama orang yang benar-benar rapat dengan dirinya dan Adam sahaja. "Bukan tidak mahu panggil ramai orang tetapi saya mahu hari bersejarah saya berlangsung dengan orang-orang yang dekat dengan diri saya. Biarpun tidak ramai, kehadiran mereka cukup menggembirakan saya. "Soal bertunang pada hari pernikahan, adalah disebabkan kesibukan jadual kerja saya dan juga ahli keluarga yang lain. Bukan mudah untuk mengumpulkan keluarga saya yang tinggal jauh dari Kuala Lumpur, untuk tidak menyusahkan semua orang, saya langsungkan terus majlis pertunangan dan pernikahan pada hari yang sama," tuturnya. Meskipun begitu, tidak bermakna Ezlynn dan Adam mengenepikan teman-teman lain, sebaliknya mereka akan mengadakan sebuah majlis resepsi untuk kedua-dua belah pihak pada bulan Januari tahun hadapan dan akan terus berbulan madu di sekitar Eropah selepas majlis resepsi dilangsungkan. ADAM dinikahkan oleh bapa Ezlynn iaitu Ariffin Alang Ahmad. "Saya tidak sempat untuk merancang sebuah majlis yang besar kerana majlis tunang dan nikah dirancang dua bulan yang lalu. Jadi, saya perlukan masa untuk majlis resepsi, mungkin kami akan mengadakannya pada 20 Januari tetapi belum ada sebarang tarikh muktamat setakat ini. "Berbulan madu di Eropah pula adalah idea Ezlynn sebab dia memang suka sangat untuk melancong ke sana. Selepas kami langsaikan kerja yang ada dan majlis resepsi, kami akan pergi berbulan madu," balas Adam yang memberi lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang hantaran daripada pihak Ezlynn. Berbicara soal cahaya mata pula, baik Ezlynn dan Adam menyerahkannya pada takdir, bagaimanapun jika boleh mereka mahukan cahaya mata segera. "Saya tidak kisah kalau dapat anak cepat, lagi bagus sebab saya bukannya muda lagi, umur sudah masuk angka 30. Kalau, lambat-lambat sangat susah pula ingin dapat anak, jadi kalau boleh lagi cepat, lagi bagus. "Apabila saya berkahwin maknanya saya sedia dengan tanggungjawab seorang isteri, bukan sahaja menyediakan makan minum sebaliknya bersedia untuk menjadi seorang ibu juga," luah Ezlynn yang akan muncul dengan lagu single terbaru berjudul Dusta dan filem Husin Mon & Jin Pakai Toncit. Dalam majlis pertunangannya, ibu Adam, Juriah Abdul Hamid telah menyarungkan gelang di tangan Ezlynn, manakala pada majlis pernikahan pula, bapa Ezlynn, Ariffin Alang Ahmad menikahkan Ezlynn sendiri sambil disaksikan oleh jurunikah masjid Sg. Penchala, Muhammad Ridwan Mohd. Yunus dengan mas kahwin sebanyak RM80. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Do Re Mi taruhan BudiBUDI WALAUPUN masih hijau di dalam industri muzik di negaranya sendiri iaitu Indonesia, Syahbudin Syukur atau lebih mesra dengan panggilan Budi, berani mengatur langkah untuk masuk ke persada industri muzik Malaysia. Pemuda yang berumur 25 tahun ini lebih dikenali sebagai Budi Doremi bagi peminatnya di Indonesia telah hadir ke Malaysia untuk menghadiri majlis pelancaran single pertamanya yang berjudul Do Re Mi di Malaysia. Namun, apa yang membuatkan penyanyi muda ini berani untuk mencuba pasaran Malaysia walhal dirinya masih baru di negara sendiri? "Ini kerana saya yakin lagu yang saya bawakan itu ialah sebuah lagu yang senang dan boleh membuatkan orang gembira. Selain itu, saya percaya pada diri kerana saya membawa sesuatu yang cukup segar dengan genre muzik yang saya panggil pop raggaeneration (raggae generation). "Di dalam lagu ini, saya mewujudkan tema iaitu saya mengajak orang untuk sedar bahawa perpisahan atau perkara yang menyedihkan itu boleh disampaikan dengan cara yang gembira," jawab Budi pada majlis makan tengah hari bersamanya di Melting Pot Café, Hotel Concorde, Kuala Lumpur. Selain itu, Budi juga sedang sibuk menyiapkan single keduanya berjudul 1,2,3,4,5,6 yang bakal dilancarkan di Indonesia pada awal bulan Disember ini. Jika melihatkan judul lagunya, Budi hanya menggunakan judul yang sangat mudah dan diingati. Kata pemuda kelahiran, Banten, Jakarta, Indonesia ini, judul seperti itu dipilih kerana ia merupakan harapan peminat terhadap dirinya yang mana dia sememangnya inginkan kelainan supaya mudah diingati dan lebih catchy. Budi yang berada di bawah naungan Erama Records di Malaysia dan Wanna-B Music Production di Indonesia memanjat kesyukuran kerana single Do Re Mi ini sangat mendapat sambutan di corong-corong radio Indonesia malah turut tersenarai di dalam carta teratas. Ini merupakan kali kedua kehadiran Budi di bumi Malaysia dan pertama kalinya adalah untuk membuat rakaman lagu Gerimis Mengundang bersama artis baharu tempatan, Brenda. - NOOR ASHREEN ISMAIL Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |