Adsense

Sabtu, 26 November 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Pitbull mula kuasai Internet

Posted: 25 Nov 2011 01:41 PM PST

KEHADIRAN semula 'rapper' paling seksi ketika ini, Pitbull bagi menjayakan konsert pertamanya di Malaysia pada 1 Disember ini pasti melakar fenomena baru kepada senario hiburan tempatan.

Kehebatan penyanyi rap kacukan Cuba-Amerika ini akan dapat disaksikan peminat apabila dia muncul dalam Pitbull Live In Concert di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya.

Bukan itu saja, artis Malaysia terkenal dengan lagu What You Waiting For, Mizz Nina akan muncul selaku artis 'opening act' bersama Joe Maz dan Big Syphe.
Pastinya ia akan menjadi sebuah persembahan yang bertenaga.

Kehadiran Pitbull atau nama sebenarnya, Armando Christian Perez boleh dianggap evolusi terbaru dalam genre 'lagu bercakap' atau rap selepas era Vanilla Ice, sebelum kesinambungan diteruskan Eminem yang masih bertahan sebagai antara 'rapper' paling berjaya.

Populariti Pitbull, baru-baru ini tambah menyerlah apabila menjayakan persembahan hebat bersama Jennifer Lopez (J.Lo), Mary J Blige, Lil John dan Drake pada American Music Awards (AMA) ke-39 di Los Angeles.

Malah Pitbull turut dicalonkan dalam dua kategori, Favorite Male Artist kategori Pop atau Rock Music bersaing bersama Justin Bieber dan Bruno Mars.

Dia berada dalam pencalonan Favorite Artist in Latin Music dengan dicabar Enrique Iglesias dan J.Lo.

Apapun, statistik populariti untuk album terbarunya bertajuk Planet Pit tidak pernah menipu.

Tidak kira apa genre seseorang artis, laman YouTube membuktikan hakikat ini.

Jika kekerapan hit menyaksikan YouTube diambil kira, muzik video lagu Pitbull bertajuk Give Me Everything menampilkan Ne-Yo, Afrojack dan Nayer mencecah 177 juta hit.

Lagu Rain Over Me menerusi kolaborasi bersama Marc Anthony mencatat lebih 200 juta hit! Dua lagu terbabit mencipta sensasi tersendiri antara paling tinggi dalam laman sosial visual itu.

Album Planet Pit meletakkan Pitbull dalam kedudukan pertama dalam carta Billboard Hot 100 menerusi lagu Give Me Everything. Namun penyanyi berusia 23 tahun ini sukakan lirik lagu agak keras.

Apapun, kejayaan Pitbull hari ini sesuatu yang berbaloi kerana dia berusaha keras untuk membina nama dan menonjolkan rap dan muziknya.

Pitbull kini bintang latin paling menyinar dalam industri muzik Amerika Syarikat selain Marc Anthony, Enrique Iglesias dan J Lo. Tidak hairan jika mendapat gelaran 'Mr Worldwide'.

Selain itu, Pitbull bergabung dalam album Planet Pit bersama J Lo menerusi lagu On the Floor, Enrique Iglesias (I Like It) dan Usher (DJ Got Us Fallin' in Love). Dia juga mampu mengimbangi bakat hip hop dan kejayaan dalam pop.

Ini adalah kunjungan kedua Pitbull selepas dijemput pada satu persembahan khas di Malaysia, Mei tahun lalu.

Dulu, ibu bapanya yang berketurunan Cuba pernah memberi pendedahan kepada Pitbull dengan mendeklamasi sajak seorang profesor dan ahli intelektual Cuba, Jose Marti.
Sebelum menjadi 'rapper' berjaya, Pitbull pernah berdepan masalah. Satu daripadanya, rap sering dikuasai penyanyi kulit hitam seperti Puff Diddy atau Ne-yo sedangkan dia bermata biru berketurunan Cuba-Amerika.

Pengaruhnya banyak datang daripada genre hip-hop Miami bass dengan menjadikan Celia Cruz dan Willy Chirino sebagai sumber inspirasi terhadap muziknya selama ini.

Bagi persembahan di Sunway Lagoon, tiket kini boleh dibeli melalui Rock Corner KLCC, Subang Parade, The Gardens, Midvalley Megamall, The Curve, Victoria Music Centre dan The Guitar Store.

Tiket itu berharga RM398 bagi VIP termasuk koktel, RM298 (Mosh Pit), RM198 (Party Zone) dan tiket biasa berharga RM138.

Untuk sebarang pertanyaan, peminat boleh menghubungi ticketpro Hotline di talian 03-7880 7999.

Full content generated by Get Full RSS.

Tingkat kualiti skrip

Posted: 25 Nov 2011 01:29 PM PST

ACARA julung kali, Malaysia Creative Pitch atau singkatan, MC Pitch berjaya mencapai matlamat penganjur dalam menarik perhatian pelbagai pihak terbabit dalam industri hiburan termasuk orang ramai turut serta.

Penganjuran acara itu sempena Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) pada 20 November lalu memberi satu pencapaian baru pada karyawan seni dalam mencari idea atau skrip berkualiti.

Menariknya, acara selama sehari diadakan di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, Selangor pada 17 November lalu disertai orang ramai yang hadir menjual idea mereka menerusi proses 'pitching'.

Pengarah Acara MC Pitch merangkap Penolong Pengarah FFM24, Martias Mohd Ali berkata, sambutan yang diterima di kalangan peserta dan pengunjung cukup menggalakkan sejak jam 9 pagi hingga berakhir 6 petang.


Sebanyak 50 meja disediakan pihak penganjur kepada produksi penerbitan TV dan filem termasuk stesen TV untuk mengambil bahagian bertemu peserta lebih dekat.

Acara berkonsep santai itu hanya mengenakan bayaran RM2 pada peserta yang ingin menjual idea.

Melalui proses 'pitching' secara terus pada wakil produksi, produser juga berpeluang menjual idea peserta itu kepada stesen TV yang turut hadir memberi sokongan.

Antara stesen terbabit terdiri, TV3, TV9, ntv7, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro.

"Sambutan yang diterima di luar jangkaan. Pada mula, kami menjangkakan 80 meja dapat disediakan tetapi hanya 50 meja saja yang ada.

"Ini kerana, kawasan di situ tidak muat dan kami terpaksa menolak permintaan lima produksi lain untuk turut serta kerana sudah penuh.

"Sama ada produser, wakil produksi, stesen TV mahupun orang ramai yang hadir sebagai peserta, masing-masing memberi komen yang bagus pada acara ini.

"Mengikut jualan tiket, sebanyak 400 peserta mengambil bahagian dan kehadiran mereka bukan hanya dari Lembah Klang tetapi dari Perlis, Pahang, Sabah dan Sarawak.

"Ini satu kejayaan pada penganjur apatah lagi jumlah keseluruhan mereka yang terbabit mencecah 800 orang," katanya ketika dihubungi.

Martias berkata, maklum balas produser yang diterima menyatakan kualiti pada idea yang dijual meningkat dan menarik untuk dijadikan drama, telefilem, dokumentari atau filem.

"Pada acara itu, saya melihat ada peserta yang diambil terus bekerja sebagai penulis skrip dan ada produksi bersetuju untuk bekerjasama dengan peserta menghasilkan projek idea yang dijual.

"Mengikut genre penerbitan, telefilem paling banyak termasuk filem dan drama.
Menariknya, stesen TV turut memanggil produser agar menghantar kertas cadangan lengkap mengenai idea baru.

"Bagi penganjur, acara ini lebih sekadar proses 'pitching' tetapi platform antara produser, stesen TV dan peserta bertemu. Ada peserta yang pertama kali bertemu produser atau wakil produksi, begitu juga ada produser yang berpeluang berjumpa terus dengan pihak stesen TV.

"Atas sambutan positif ini, Finas bercadang mahu menganjurkan acara ini sekali lagi pada masa hadapan. Kemungkinan ia akan diadakan secara besar dikenali Mega Pitching dan saya menyokong acara ini diteruskan dalam usaha karyawan seni mempertingkat kualiti skrip tempatan," katanya.

Pada acara itu, pelbagai produksi mengambil bahagian antaranya Global Network Entertainment Sdn Bhd, Skop Production, Line Clear Motion Pictures dan Metrowealth (MIG) termasuk agensi kerajaan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Filem Negara Malaysia, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Full content generated by Get Full RSS.