Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Definisi 'Terbaik' AIM 18INI cerita tentang senario dan keputusan Anugerah Industri Muzik 18 (AIM 18) yang berlangsung pada malam Sabtu lalu. Sila lupakan tentang kontroversi nominasi yang tidak layak sebelum ini kerana anugerah tersebut telah pun berlangsung dengan jayanya. Justeru, yang harus diberi fokus hanya tentang keseluruhan anugerah yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu. Mengambil kesimpulan penuh terhadap AIM 18, ucapan syabas harus diberikan kepada produksi dan juri yang memilih pemenang. Hampir semua pemenang layak untuk dipilih sebagai juara. Dalam pada segelintir anak seni sudah mula pudar sokongan terhadap anugerah yang dianggap paling berprestij oleh golongan karyawan seni, AIM 18 seperti menebus kembali kekecewaan tersebut dengan senarai pemenang yang memang layak menerima pengiktirafan. AIM 18 juga telah menunjukkan aprisiasi mereka terhadap generasi baharu yang tidak dipandang enteng apabila nama-nama seperti Aizat, Yuna dan Najwa, misalnya, berjaya merangkul lebih daripada satu anugerah. Lebih bagus, kemenangan mereka adalah hasil persaingan dengan barisan artis senior. Ia sekurang-kurangnya membuktikan bahawa muda atau tua, baharu atau lama, jika hasil karya berkualiti, maka itu yang diambil kira. Penyanyi berusia 25 tahun, Yunalis Zarai adalah penyanyi yang menang besar pada anugerah tersebut. Selain memenangi Vokal Terbaik Wanita dan Lagu Terbaik (kedua-duanya menerusi lagu Penakut) dia diiktiraf sebagai 'duta kecil Malaysia' menerusi anugerah khas, Anugerah Kembara, kerana kelana dan dagangan muziknya jauh sehingga ke Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, pertikaian timbul apabila lagu Penakut yang diiktiraf sebagai Lagu Terbaik tidak dipilih menjadi pemenang kategori Lagu Pop Terbaik. Ini kerana, kelaziman sesuatu anugerah, lagu dalam kategori kecil yang menang biasanya akan menjadi juara untuk kategori utama iaitu Lagu Terbaik. Menjawab persoalan itu, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola AIM 18, Rosmin Hashim berkata, kesemua lagu yang bertanding layak memenangi anugerah tersebut dan kemenangan Yuna itu merupakan satu kelainan untuk AIM 18. "Semua lagu layak menang Lagu Terbaik, itulah kelainan yang dibikin dalam AIM 18 apabila lagu terbaik tidak dipilih daripada juara kategori setiap genre lagu. Pemilihan Lagu Terbaik ini dibuat oleh juri profesional yang dilantik oleh pihak AIM 18 dan pastinya mereka mempunyai alasan tersendiri mengapa lagu Yuna, Penakut dipilih sebagai pemenang," jawabnya. Meskipun lagu Penakut memang berada dalam kelasnya yang tersendiri, namun hakikatnya lagu itu kalah kepada lagu Sedetik Lebih dendangan Anuar Zain dalam kategori Lagu Pop Terbaik memang tidak boleh diterima dek akal. Bagaimana sebuah lagu yang kalah dalam kategorinya boleh memenangi kategori Lagu Terbaik. Walaupun ramai yang tidak puas hati dan bising-bising kenapa tidak lagu tema filem Merong Mahawangsa itu menang atau juara-juara lagu kategori yang lain menang, kata pihak penganjur, juri yang menilai dipilih daripada golongan profesional yang sudah tentu sangat arif mengenai muzik dan siapalah kita untuk mempersoalkannya. Yuna pula sangat tidak menyangka dia akan membawa pulang tiga trofi AIM 18 kerana menganggap dirinya masih terlalu mentah dalam industri muzik tempatan berbanding dengan penyanyi yang lain. "Saya memang sangat gembira dengan kemenangan ini kerana perjalanan saya dalam industri muzik bukan mudah. Saya bekerja keras untuk memberi yang terbaik kepada diri dan peminat. KOLABORASI Malaysia dan Indonesia. Fadly (bertopi) dari grup Padi mendendangkan lagu tema animasi Upin & Ipin, Sahabat Selamanya bersama pemilik suara latar karakter kartun itu, Nur Fathiah. "Alhamdulilah, rezeki berpihak kepada saya. Apa yang saya boleh katakan adalah terima kasih kerana sudi mendengar dan memberi pengiktirafan terhadap nukilan isi hati saya," katanya tentang lagu yang mempunyai unsur eksperimental itu. Najwa yang pertama kali memasuki anugerah ternyata pulang dengan kenangan manis. Menggondol dua anugerah iaitu Artis Baru Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi lagu You Got To Go, gadis yang sentiasa tersenyum itu melahirkan keterujaannya. "Saya bersyukur dengan kemenangan yang diterima dan saya berharap dengan penglibatan saya dalam AIM 18 ini, orang akan lebih mengenali muzik saya dan siapa Najwa. Kemenangan ini adalah bukti yang saya menang kerana bakat serta minat mendalam terhadap muzik, bukannya kerana saya ini merupakan anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin." Tambahnya lagi, dia sedar akan ada pihak yang bercakap bahawa kemenangan dia kerana kedudukan bapanya. Namun realitinya, dia berusaha keras dan kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa kerja keras walau apa pun status seseorang itu. "Ibu bapa saya memang memberi sokongan tetapi hanya kepada sokongan moral. Saya harap persembahan yang saya berikan dalam AIM 18 akan membuka mata orang ramai terhadap bakat saya," kata Najwa yang pulang ke Kuala Lumpur khusus untuk AIM 18 sebelum pulang semula ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajiannya. Bagi pemenang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dan Lagu Pop Terbaik menerusi lagu Sedetik Lebih, Anuar Zain, kemenangan yang diraih memberi dia kejutan terutamanya dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki). "Saya cukup terkejut dengan kemenangan dalam kategori tersebut kerana menganggap ia adalah satu persaingan sengit. Bagaimanapun, saya amat bersyukur dengan kemenangan ini," katanya penuh teruja. WAKIL grup API, Loque dan Din mengambil trofi Lagu Rock Terbaik menerusi lagu Pelita. Sementara itu, ketika diminta pandangan artis generasi muda terhadap AIM yang dianggap hampir memusnahkan kepercayaan segelintir karyawan muzik kerana terlalu bersifat politik dan hampir tidak masuk akal dengan pemilihan pencalonan, Aizat mempunyai suara tersendiri. "Saya sentiasa menyokong AIM kerana ini adalah satu-satunya anugerah yang mengiktiraf dan menyokong pekerja di sebalik tabir. Melihat barisan pemenang pada malam ini, semua keputusan yang diberi adalah adil. Bagi saya sendiri, tercalon dalam anugerah ini sudah cukup bagus, dan apabila menang dalam dua kategori (Kulit Album Terbaik dan Video Muzik Terbaik), ia sudah memadai," ujar Aizat yang tewas kepada Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih untuk kategori Lagu Pop Terbaik. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Vikingdom epik ciptaan YusryOleh RONI HIDAYAT RIDWAN FILEM Vikingdom terbitan KRU Studios menampilkan barisan pelakon antarabangsa dan muka-muka baharu. SETELAH tampil dengan filem epik Hikayat Merong Mahawangsa (The Malay Chronicles) pada bulan Mac lalu, kali ini KRU Studios bakal tampil dengan sebuah lagi filem epik berjudul Vikingdom. Merupakan filem epik kedua yang diarahkan oleh Yusry Abdul Halim, Vikingdom adalah sebuah filem yang sepenuhnya menggunakan bahasa Inggeris dan 100 peratus lokasi penggambarannya dilakukan di Malaysia. Pada satu sidang akhbar yang berlangsung baru-baru ini, Yusry selaku pengarah memberitahu projek untuk menghasilkan filem berkenaan sudah bermula sejak tahun 2008 dan sekarang baru ia dapat direalisasikan. "Vikingdom adalah filem epik yang terinspirasi daripada kisah mitos tentang masyarakat Viking yang cukup terkenal pada suatu masa dahulu dan kami ketengahkan ia untuk menjadi sebuah filem dengan jalan cerita yang menarik. "Berbanding Hikayat Merong Mahawangsa yang berdasarkan kepada kisah sejarah Melayu, boleh dikatakan konsep filem Vikingdom ini agak berbeza dan saya anggap ia lebih sukar dan mencabar," jelasnya. Sudah mula menjalani penggambaran pada 15 Oktober lalu, Vikingdom mengisahkan seorang pahlawan Viking bernama Eirick yang terpaksa berhadapan dengan masa lampau yang kelam dan mengatasi kuasa jahat yang bermaharajalela. Yusry berharap agar penonton tidak terlalu membandingkan Vikingdom dengan filem-filem epik hebat yang telah dihasilkan di Hollywood seperti filem 300 atau The Lord of the Rings. "Bagi saya, untuk menghasilkan Vikingdom adalah satu cabaran yang cukup besar, namun saya yakin kekuatan filem ini adalah terletak pada jalan ceritanya selain kesan-kesan khas yang akan dipaparkan," jelasnya. Apa yang lebih menarik tentang filem berkenaan ialah pihak KRU Studios telah menggunakan khidmat pelakon-pelakon popular yang sememangnya agak terkenal di peringkat antarabangsa. Antara pelakon-pelakon utama yang membintangi filem arahan Yusry itu ialah Dominic Purcell yang memegang watak sebagai Eirick serta Jon Foo (Yang), Natassia Malthe (Brynna), Conan Stevens (Thor) dan Craig Fairbrass (Sven). Mengenai pemilihan pelakon, Yusry menjelaskan, tiada pembabitan pelakon-pelakon popular tempatan dalam memegang watak utama filem berkenaan. "Bukan saya tidak mahu mengambil pelakon tempatan, tetapi rasanya untuk filem ini lebih sesuai rasanya kalau kami mengambil pelakon dari luar negara memandangkan ia adalah sebuah kisah tentang masyarakat Viking," jelasnya. Dengan penerbitan sebuah lagi filem bajet besar selepas Hikayat Merong Mahawangsa, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim melihat ia adalah sebagai langkah permulaan untuk syarikat tempatan melangkah lebih jauh lagi. Jelas Norman, pihaknya memang menyasarkan filem terbaharu yang dihasilkan itu memasuki pasaran antarabangsa dengan merancang untuk mengeksportnya ke beberapa buah negara seperti Perancis, Jerman, China dan Amerika Syarikat serta beberapa buah negara Timur Tengah. "Sebelum ini, apabila kami mula-mula menghasilkan filem Cicakman, ramai yang tidak yakin dengan kemampuan kami. Namun, akhirnya ia tetap berjaya mencapai kejayaan yang baik dan diterima oleh peminat. "Pada masa yang sama, kami tidak melupakan jasa pihak-pihak seperti Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang telah menyokong usaha kami selama ini," jelasnya.
Pelakon popular Memandangkan pihak KRU Studios memang serius untuk memasarkan Vikingdom ke peringkat antarabangsa, maka pelakon yang dipilih beraksi dalam filem berkenaan merupakan pelakon yang cukup popular dan dikenali ramai. Misalnya, Dominic Purcell cukup terkenal dengan drama bersiri Prison Break, manakala Jon Foo pula pernah memegang watak utama sebagai Jin Kazama dalam filem Tekken pada tahun lalu. Begitu juga dengan Conan Stevens yang turut terbabit dalam filem The Hobbit arahan Peter Jackson, serta Natassia Malthe dan Craig Fairbrass yang sudah berlakon banyak filem di Hollywood. Dominic yang memegang watak utama sebagai Eirick berkata, dia bersetuju untuk bekerjasama dengan Yusry untuk filem berkenaan disebabkan tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan. "Apabila saya membaca skrip filem ini, ia mengingatkan saya kepada filem epik terkenal seperti Highlander dan Conan yang mengangkat sebuah kisah seorang individu yang diangkat untuk menjadi hero dalam sebuah masyarakat. "Lebih menarik lagi, saya juga sangat kagum dengan paparan set penggambaran yang seolah-olah tidak jauh bezanya dengan filem epik Hollywood dan saya melihat Yusry sebagai seorang pengarah muda yang cukup berbakat," jelasnya. Sudah pun memulakan penggambaran pada 15 Oktober lalu, Vikingdom dijangka siap sepenuhnya pada 1 Disember ini dengan penggambaran diadakan di beberapa buah lokasi seperti Gua Tempurung dan Kellie Castle di Perak serta Puncak Alam, Selangor. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Katy Perry mahu banyak anakKATY PERRY PENYANYI Katy Perry baharu sahaja menyambut ulang tahun pertama perkahwinannya dengan pelawak British, Russell Brand. Dia kini juga memikirkan untuk membesarkan keluarganya. "Adakah anda mahu sebuah keluarga yang besar? Adakah itu sesuatu yang akan anda fikirkan iaitu mempunyai anak-anak yang ramai?" tanya Ellen DeGeneres kepada Katy ketika menemubual penyanyi itu untuk rancangan The Ellen DeGeneres Show. Kata Katy: "Ya, saya ingin mempunyai anak. Saya rasa itu adalah salah satu alasan mengapa kita berkahwin. Lebih-lebih lagi jika mendapat pasangan yang anda fikirkan dia boleh menjadi pasangan dan bapa yang baik kepada anak-anak." Begitupun, Katy memberitahu, dia belum lagi bersedia untuk menjadi seorang ibu. "Saya tidak pasti lagi. Kita tunggu dan lihat ya," katanya. Apabila Ellen bertanya adakah dia ingin mempunyai anak yang ramai, kata penyanyi idola remaja itu, kebarangkalian dia mahu anak yang ramai tidak mustahil. "Jika kali pertama beranak tidak menyakitkan, saya akan melakukannya banyak kali," katanya dalam ketawa. Dalam perkembangan lain, penyanyi itu juga mengumumkan pada 23 November ini, dia akan mengadakan konsert percumanya, California Dreams, di Pusat Staples, Los Angeles. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |