Adsense

Sabtu, 12 November 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Kuasa wanita bernama Kimora

Posted:

Kuasa wanita bernama Kimora

Kuasa wanita bernama Kimora

KIMORA LEE SIMMONS, 36, memang cukup terkenal dengan drama realiti terbitannya, Kimora: Life in the Fab Lane.

Menerusi program realiti tersebut, Kimora memaparkan kisah kehidupan hariannya sebagai seorang ahli perniagaan, model dan ibu. Sejak dimulakan pada tahun 2007, program tersebut kini masih menjadi kegilaan ramai, terutama di Malaysia. Intinya adalah kerana setiap babak yang dipaparkan begitu realistik dan ia menjadi lebih menarik dengan karakter tegas namun penuh humor dan bersahaja yang ada dalam diri Kimora sendiri.

"Sewaktu saya menerbitkan program tersebut, saya tidak melihat ia sebagai program realiti, sebaliknya ia sebagai satu dokumentari kehidupan harian saya. Namun apabila format program realiti meletup, program saya juga terus sukses.

"Kuncinya mudah, jangan memaparkan isu bercakaran sesama wanita, berebut teman lelaki dan berbogel!," ujar wanita dengan ketinggian 183 sentimeter ini sewaktu majlis sidang akhbar yang dibikin khusus oleh saluran E! News di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Berlangsung dalam suasana yang cukup santai, apatah lagi Kimora sendiri cukup ramah dan memanjangkan sesi temu bual yang sepatutnya hanya berdurasi 30 minit kepada sejam, banyak yang dikongsi wanita ini selain mengenai programnya yang kini sedang hangat ditayangkan di E! News.

Bagaimanapun program yang ditayangkan di E! News itu bukan musim terkini dan saat ditanya tentang perkembangan programnya, dia menjawab: "Saya tidak melakukan sebarang penggambaran sekarang. Namun saya mempunyai dua lagi musim untuk dihabiskan."


KIMORA LEE SIMMONS adalah seorang wanita moden dengan pemikiran tradisional. Dia menentang wanita berbogel hanya untuk meraih publisiti. Wanita bagi Kimora harus ada maruah diri.


Hadir dibawa khas oleh E! News sempena dengan pelancaran High Heeled Warrios yang merupakan satu kajian terhadap kehidupan wanita, Kimora berkongsi banyak hal tentang dirinya dan pemikiran tentang bisnes, kecantikan, fesyen serta wanita. Dia juga menghabiskan masa selama tiga hari di ibu kota dengan memenuhi undangan dan bertemu peminatnya dengan lebih dekat lagi.

Mengajak dia bercerita lebih lanjut tentang kejayaannya kini, nyata Kimora adalah seorang wanita yang cukup mempunyai aspirasi hidup yang tinggi. Bermula daripada bukan sesiapa sebelum tuah datang membawa dia terjun ke dunia fesyen, kini dengan karismanya dia telah menakluk dunia bisnes sekali gus dunia hiburan.

Diberi jolokan sebagai mogul fesyen, dia banyak memberi inspirasi kepada wanita-wanita di seluruh dunia termasuk wanita Asia. Kehidupan penuh glamor wanita Amerika yang berdarah campuran Afrika-Korea ini bermula seawal umur 13 tahun apabila dirinya dipilih untuk menghiasi iklan-iklan produk antarabangsa Chanel oleh Karl Lagerfeld ketika itu.

Selepas berkahwin dengan suami pertama, Russel Simmons pada tahun 1999, sejak itulah kerjaya fesyen Kimora bermula. Dia dan suaminya ketika itu membuka rangkaian fesyen yang diberi nama Baby Phat. Namun setelah 14 tahun bersama jenama tersebut, Kimora mengambil keputusan untuk 'berpisah' dari jawatan Pengarah Kreatif yang dipegangnya itu dan menguruskan perniagaan baharunya.


AMAT mementingkan keluarga. Dia kini bahagia bersama suaminya baharunya, Djimon Hounsou, dua anak perempuan Ming (kiri) dan Aoki serta seorang anak lelaki, Kenzo.


Kini, Kimora sedang sibuk menguruskan empayar fesyennya serta keluarga yang sentiasa memberi inspirasi kepadanya. Merupakan ibu kepada tiga orang anak, Ming Lee, 11 dan Aoki Lee Simmons, 9 (daripada hasil perkahwinan pertama) dan seorang anak lelaki bersama suami baharunya, Djimon Hounsou yang diberi nama Kenzo Lee Hounsou, 2, Kimora tahu bagaimana untuk 'menguruskan dunia' dengan bijak. Dia kemudian memberi rahsia sukses dirinya.

"Kita hanya perlu yakin dan berkorban banyak benda untuk sukses. Pertama sekali, anda perlu korbankan masa anda dan untuk saya, masa tidur adalah pengorbanan terbesar kerana itu saya jarang tidur. Saya kini mempunyai banyak perkara yang ingin dilakukan untuk bisnes saya yang semakin berkembang selain perlu menguruskan keluarga, anak-anak dan suami.

"Jadi, apa yang perlu dilakukan ialah anda perlu merendah diri untuk mencapai impian anda. Kebanyakan daripada mereka ada yang melakukan dua kerja dalam sehari dengan bekerja pada sebelah siang yang dianggap satu kerja untuk menyara keluarga manakala sebelah malam pula adalah karier impian masing-masing. Jadi, banyak perlu berkorban namun anda tidak boleh memiliki segalanya," tuturnya yang sentiasa memandang positif terhadap apa yang berlaku terhadap dirinya sehingga mencapai kejayaan sebesar ini.


KIMORA percaya kediaman adalah tempat terbaik untuk berehat. Justeru konsep kediamannya harus memberi keselesaan kepada dirinya.


Sementara ditanya tentang berapa dekat dirinya dengan Malaysia kerana kekerapannya menulis Twitter terhadap negara ini termasuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, bicara ikon antarabangsa ini, Malaysia memang dekat di hatinya kerana dia begitu menghargai semua negara Asia.

Malah akuinya, dia sangat gembira berada di sini dan telah berlatih beberapa perkataan bahasa Malaysia melalui pengikutnya di dalam laman sosial Twitter miliknya, @OfficialKimora.

"Saya sangat teruja berada di Malaysia dan saya telah mempelajari beberapa perkataan hasil daripada pengajaran peminat saya di dalam laman Twitter selama seminggu sebelum kehadiran saya di sini.

"Antara perkataan yang saya pelajari merupakan selamat pagi, cantik, terima kasih, sama-sama dan aku cinta kamu. Adakah saya menyebutnya dengan betul?", ujarnya penuh teruja.

Full content generated by Get Full RSS.

Hari penentuan AIM 18

Posted:

Hari penentuan AIM 18

Hari penentuan AIM 18


ROSSA dan Aizat masing-masing tercalon dalam AIM 18.


ANUGERAH Industri Muzik ke-18 (AIM 18) akan berlangsung pada malam ini. AIM adalah sebuah 'medan pertempuran' serius. AIM bukan gelanggang sarkas.

Sejak ia ditubuhkan 18 tahun lalu, AIM selalu diangkat ke darjat tertinggi dalam hirarki anugerah tempatan, terutama bagi para penggiat seni hiburan.

Malangnya, semakin ia 'tua' AIM dilihat semakin rapuh, merapu dan tidak relevan, terutama bagi anak seni yang telah lelah membuat kerja seni mereka dan akhirnya bukan tidak diiktiraf, malah tidak tercalon langsung.

Itu senario yang terjadi pada AIM 18. Nama-nama anak seni yang sepatutnya tercalon dalam beberapa kategori yang dianggap relevan seperti Hujan misalnya yang sepatutnya layak dicalonkan untuk kategori Album Rock Terbaik tetapi tercicir atas alasan seorang anggota mereka, Hang Dimas merupakan rakyat Indonesia dan sebaliknya yang berlaku. Sehingga timbul ura-ura barisan penyanyi dan karyawan belakang tabir yang bertungkus-lumus menghasilkan sesuatu produk mahu memboikot anugerah yang diadakan di Stadium Bukit Jalil pada malam ini.

Justeru apapun keputusan yang diperoleh pada malam ini, ia tetap telah jauh menjatuhkan martabat anugerah berprestij ini sendiri walau orang kuat AIM bermati-matian mengatakan setiap sesuatu hal waima sebesar zarah sekali pun mereka ambil kira atas dasar realistik. Ini kerana tanpa pihak penganjur sedari, perasaan banyak anak seni terguris, kepercayaan sudah lama terbang dan apabila sesuatu yang selama ini menjadi harapan mereka bergantung untuk mengukur kredibiliti sudah tidak membuka ruang, semua yang berlaku tidak lagi membawa erti buat mereka.


WALAU tercicir daripada pencalonan Album Rock Terbaik, Hujan menerima banyak pencalonan belakang tabir yang dijangka akan membawa 'keuntungan' kepada mereka menerusi album Lonely Soldier Boy.


Bukan menidakkan kredibiliti calon-calon yang bertanding dan barangkali siapalah kita untuk menilai karya seni yang ada berbanding barisan profesional yang telah memilih mereka.

Bagaimanapun AIM 18 bukanlah satu medan yang terlalu busuk sehingga tidak ada satu pun kebaikan yang akan disumbang kepada anak seni serta industri. Percayalah, walau AIM 18 dikritik pedas, anugerah ini akan tetap wujud pada tahun mendatang dan terus mendapat kepercayaan bagi pengkarya muzik kerana inilah satu-satunya medan yang terbaik untuk menjadi kayu ukur produk pembikinan mereka.

Malah melihat kepada pencalonan yang ada, ia sedikit melegakan hati kerana nama-nama yang layak bertanding ada juga tersangkut dalam kategori yang dibuka. Misalnya penyanyi seperti Anuar Zain, Najwa, Aizat, Yuna dan Datuk Sheila Majid tercalon melalui karya-karya mereka dalam kategori yang selayaknya.

Jika mahu membuat prediksi tentang siapa yang bakal dinobat sebagai terbaik, barangkali semua yang tercalon mempunyai kriteria untuk menang. Namun sudah adat pertandingan, dalam satu kelompok, hanya satu sahaja yang akan dipilih sebagai paling baik. Mengikut data senarai pencalonan, Kosmo! memberi prediksi siapa yang mungkin akan dinilai sebagai terbaik pada malam ini. Semoga selepas AIM 18 berakhir pada malam ini, tiada lagi kontroversi tercetus seperti pada saat mereka mengumumkan calon yang layak bertanding. Terlebih dahulu ucapan tahniah untuk pemenang dan bagi yang tewas, teruslah memburu trofi AIM untuk tahun akan datang. - MALIAH SURIP

Full content generated by Get Full RSS.

Kecoh Al anak Dhani, Maia merokok, minum

Posted:

Kecoh Al anak Dhani, Maia merokok, minum

Kecoh Al anak Dhani, Maia merokok, minum


MAIA mengaku terkejut dengan perbuatan Al meminum arak dan merokok di kediamannya tanpa pengetahuan dirinya.


PESTA Halloween yang dirayakan Ahmad Ghazali atau Al, putera sulung Ahmad Dhani dan Maia Estianty nampaknya telah mengundang banyak persepsi bukan sahaja kepada keluarganya malah masyarakat umum.

Ini kerana telah tersebar beberapa keping gambar Al yang sedang memegang botol arak serta merokok, sedang usianya masih terlalu mentah iaitu 14 tahun!

Parti tersebut telah diadakan di kediaman Maia, mantan isteri Dhani. Lantas Dhani menyalahkan Maia atas perbuatan anaknya itu.

Maia bagaimanapun menafikan dia yang menyediakan minuman dan rokok untuk Al dan kawan-kawannya berpesta.

"Memang saya ada menyediakan makanan, minuman dan kerusi untuk parti itu. Tidak ada minuman beralkohol atau rokok. Saya kemudian keluar dari rumah sejak pukul 7 malam dan pulang pukul 11 malam," kata Maia membela diri.

Jelas Maia lagi selepas dia pulang, dia tidak melihat sebarang tanpa yang mencurigakan terhadap Al atau lokasi parti.

"Saya tidak menyangka Al sanggup berbuat demikian. Dia mengaku minum sedikit dan telah meminta maaf kepada saya," ujarnya lagi.

Sementara itu, Dhani yang ternyata cukup marah dengan tindakan Al telah menghukum anak sulungnya itu.

"Saya beri dia hukuman, tapi sejak dulu saya memang tidak pernah menggenakan hukuman yang keras terhadap anak-anak.

"Untuk Al, saya hanya menghukum dengan mengurangkan segala keperluan dan kesenangan yang dia peroleh sebelum ini," tegas Dhani.

Sebelumnya, foto-foto Al sedang merokok dan minum minuman beralkohol beredar luas di internet.

Dhani kembali menuding mantan isterinya, Maia yang mengajar anak-anaknya merokok. Apalagi, Dhani pernah melihat Maia merokok di depan anak-anaknya.

Tambahnya lagi: "Apa yang paling saya kesalkan, dia baru berusia 14 tahun dan tak patut minum atau merokok! Itu perbuatan orang dewasa."

Full content generated by Get Full RSS.