Harian Metro: Rap |
‘Zara rasa bersyukur sebenarnya’ Posted: 09 Nov 2011 06:08 AM PST SIAPA Fiona yang membuatkan ramai membenci Izara Aishah? Fiona juga membuatkan ramai ingin mengenali bintang baru ini. Siapa gerangan di sebalik watak Fiona yang membuatkan ramai yang tidak berganjak walau seinci pun dari televisyen untuk menyaksikan siri Soffiya yang bersiaran di TV3 sejak 21 September lalu? Malah atas desakan seorang rakan yang taksub dengan watak Fiona ini sebagaimana dipaparkan dalam Soffiya menarik minat Harian Metro untuk menjejaki gadis di sebalik watak itu. Usaha menjejakinya tidak sukar kerana dibantu pengurusnya, Ayu dan pada 1 November lalu, gerangan gadis cantik itu muncul memenuhi sesi fotografi khas untuk Rentak Artis Popular (Rap).
"Zara kena kutuk macam-macam dalam Twitter dan facebook. Iya, tidak dinafikan mulanya memang berasa agak bimbang dengan tindakan segelintir penonton drama Soffiya. Bayangkan ada satu kejadian di tempat makan, seorang lelaki menjeling kepada Zara, tapi bila Zara senyum kepadanya, dia nampak tidak keruan. "Apa pun, Zara memandang positif setiap kritikan dan kutukan. Apabila memikirkan semula tujuan mereka membenci Zara kerana tidak suka pada Fiona, Zara rasa bersyukur sebenarnya. "Itu menandakan watak Fiona yang dilakonkan Zara menjadi. Zara percaya apabila mereka yang menonton drama itu menemui Zara di luar, mereka akan dilihat perbezaan yang ketara antara Fiona dan Zara. "Hakikatnya, di alam realiti Zara bukan seorang yang kejam seperti Fiona. Zara sendiri benci kalau individu semacam Fiona itu wujud di muka bumi ini. "Namun, melihat watak itu sebagai satu cabaran berat buat pelakon baru seperti Zara, Zara menerimanya," katanya petah berkata-kata. Ada yang menyifatkan lakonan Izara dalam drama Soffiya terbitan Filmscape Sdn Bhd ini lebih menyerlah berbanding pelakon lama yang menjayakan drama itu seperti Fizo Omar (Ilyas), Azhar Sulaiman (Kamal) dan Syazwan Zulkifli. Malah, lakonannya dikatakan menenggelamkan pelakon popular, Tiz Zaqyah (Soffiya) selaku teraju utama. "Iya ke? Zara rasa drama itu tidak akan diminati ramai atau jadi bagus kalau ia hanya kerja seorang. Semua pelakon ada kekuatan dan tarikan masing-masing untuk membawa sesebuah drama itu ke satu level yang lain. "Zara juga tidak mungkin dapat memberi lakonan yang baik tanpa bantuan semua pelakon senior yang terbabit. Mereka banyak memberi bimbingan dan nasihat kepada Zara termasuk pengarah, Joeza Rasidi. "Mungkin ada yang beranggapan watak Zara menyerlah kerana rasanya semua watak jahat orang lebih mudah ingat. Perlu diberikan kredit jalan cerita dipaparkan Soffiya sememangnya sangat menarik," katanya. Kemuncak kebencian penonton terhadap Fiona bakal berakhir hari ini apabila Soffiya mengakhiri siaran menerusi slot Akasia selama 28 episod. Pemenang tempat kedua Dewi Remaja 2009/2010 itu mengakui Fiona adalah watak paling sukar pernah dilakonkan walaupun sembilan drama sudah dibintangi. Bukan saja diminta menjadi jahat, malah gadis kelahiran Bakar Batu, Johor Bahru, Johor itu perlu menghayati watak wanita hamil, sedangkan usianya baru menginjak 19 tahun pada 28 September lalu. Tentu saja semua itu belum pernah dilaluinya lebih-lebih lagi bagi bagi pelakon baru sepertinya. "Perlu Zara akui Fiona adalah watak paling mencabar setakat ini. Diminta memainkan karakter jahat namun, bukan secara terang-terangan kerana Fiona ini orangnya penuh muslihat. "Untuk benar-benar memahami dan menjiwai watak Fiona ini, Zara membuat kajian dengan memerhati cara pergerakan orang mengandung supaya di set Zara tak nampak kekok. Zara juga sering menonton watak antagonis lakonan pelakon tempatan dan barat di YouTube. "Pun begitu, pengalaman membintangi drama ini adalah yang terindah buat Zara. Zara sering dihambat perasaan rindu untuk kembali di set walaupun penggambaran sudah tamat. Kami bekerja bagaikan sebuah keluarga. Kami makan bersama dan ke mana-mana juga bersama. Zara bertuah kerana terpilih menjadi sebahagian daripada produksi Soffiya," katanya. Berstatus penuntut Seni Persembahan di Sunway College, sememangnya impian untuk menjadi pelakon terkenal sudah tertanam sejak kecil. Lihat saja jurusan pengajian pilihannya jelas membongkar kecenderungan minat Zara. Malah sewaktu berusia 12 tahun, anak sulung daripada tiga beradik itu pernah mendapat bimbingan Fauziah Nawi dalam pementasan teater Tok Rimau. Di situ jugalah, bercambah kecintaannya untuk terus menerokai dunia seni persembahan secara serius. "Ketika masih bersekolah, mama tak benarkan Zara berlakon kerana mahu Zara tumpukan pada pelajaran. Bagaimanapun, masa di tingkatan lima, pak cik Zara bagi dorongan untuk menyertai Dewi Remaja. "Memang tidak sangka selepas dua tahun terikat dalam pertandingan itu, Zara muncul naib juara manakala Neelofa pemenangnya. Selepas pertandingan itu, Zara masih tidak berkeyakinan untuk terbabit secara aktif dalam bidang lakonan kerana selalu gagal menghadiri uji bakat. "Bagaimanapun, Lofa (Neelofa) memperkenalkan Zara kepada Erma Fatima dan akhirnya Zara diterima membintangi drama Kasih Najiha. Memang seronok dapat bekerjasama dengan pengarah hebat seperti Kak Erma. "Nampak saja garang dan serius tapi kak Erma tidak lokek ilmu. Bertitik-tolak daripada Kasih Najiha, Zara ditawarkan membintangi Hantu Gigi, Keranamu Laila, Masih Membara Cintaku, Selumbar Kasih, Jejaka J, Cikaro, Pusing Beraya dan Soffiya," katanya. Lebih manis bagi Izara apabila diberi penghormatan oleh penganjur Anugerah Skrin 2011 sebagai penyampai trofi bersama Umie Aida pada 4 November lalu. Katanya, jadual seninya kembali rancak apabila dia kini dalam persediaan memasuki set penggambaran drama Vanila Coklat untuk siaran TV3. Menerusi drama ini, Zara akan memegang watak menggunakan namanya sendiri jika tidak berlaku sebarang pertukaran. Drama ini mengisahkan pelajar perempuan dan lelaki yang saling membenci antara satu sama lain tetapi dipaksa berkahwin. Atas permintaan keluarga, mereka akur, tetapi menetapkan perjanjian selepas enam bulan berkahwin mereka akan bercerai. "Apakah mereka akan jatuh cinta, terus membenci, memutuskan untuk bercerai atau bersama? Penonton perlu menyaksikan konflik yang akan dipaparkan menerusi drama ini," katanya. PROFIL Nama sebenar: Izara Aishah Hisham |
Posted: 09 Nov 2011 05:56 AM PST SAINGAN filem cereka pada Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) kali ini sengit apabila 41 filem menghantar penyertaan. Daripada jumlah itu, hanya 27 filem tercalon dalam senarai Top 5 setiap kategori ketika pengumuman dibuat kelmarin. Di sebalik kemeriahan jumlah filem bertanding, turut menarik perhatian adalah pengenalan kategori baru, Kesan Visual Terbaik.
Secara umum, penganjur, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berhasrat memberi penghargaan dan galakan kepada karyawan filem yang menggunakan teknologi imej janaan komputer (CGI) sebagai satu kelebihan. Namun, melihat pada pencalonan terbanyak filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) untuk 12 pencalonan membayangkan bukan mustahil anugerah ini menjadi milik KRU Studios selain berpeluang membolot anugerah lain termasuk Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik.
"Bagi penganjur, apabila kategori baru ini diperkenalkan ia akan diteruskan pada masa hadapan. Begitu juga, saya percaya jumlah filem kategori ini akan bertambah dari semasa ke semasa sesuai dengan tema FFM24, Gemilang Filem Malaysia," katanya pada sidang media Pengumuman Top 5 FFM24 di TGV, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), kelmarin. Bersama HMM, kategori Kesan Visual Terbaik juga menyaksikan pencalonan satu lagi filem terbitan KRU Studios, Karak serta filem lain, Khurafat terbitan Skop Production, Janin (Grand Brilliance) dan Libas (MDAG Marketing). Jurey berkata, pemilihan Top 5 dan penjurian dibuat 14 juri profesional yang dilantik untuk mengadili FFM24. Namun, penganjur tidak mahu mendedahkan senarai juri lebih awal sehingga Malam Kemuncak berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya pada 20 November ini. "Penjurian akhir akan dilakukan pada 11 November. Semua juri mempunyai latar belakang berbeza dan mereka bertanggungjawab dalam menilai segala kriteria. "Dalam pada itu 10 filem yang bertanding dipilih secara rambang untuk ditayangkan secara percuma pada 18 dan 19 November nanti," katanya. Bagi kategori Pengarah Terbaik, calon Top 5 disaingi Osman Ali mempertaruhkan Cun, Mamat Khalid (Hantu Kak Limah Balik Rumah - HKLBR), Yusry Abdul Halim (HMM), Syamsul Yusof (KL Gangster) dan Ahmad Idham (Senjakala). Turut menjadi tumpuan, kategori Pelakon Lelaki Terbaik terdiri daripada Awie membintangi HKLBR, Syamsul Yusof (KL Gangster), Shaheizy Sam (Kongsi), Remy Ishak (Nur Kasih The Movie) dan Zahiril Adzim (Senjakala). Pelakon Wanita Terbaik pula dicabar Maya Karin berlakon Cun, Eja (Janin), Tiz Zaqiyah (Nur Kasih The Movie), Lisa Surihani (Sekali Lagi) dan Liyana Jasmay (Senjakala). Kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik tidak kurang hebat menyaksikan muka baru seperti Sallehudin Abu Bakar untuk Hantu Bonceng, Syed Mohd Asri (HKLBR), Khir Rahman (HMM), Shoffi Jikan (KL Gangster) dan Hasnul Rahmat (Mantra) manakala wanita disaingi, Intan Ladyana (Bini-Biniku Gangster), Faezah Elai (Cun), Fauziah Ahmad Daud (... Dalam Botol), Sherry Merlis (Janin) dan Sabrina Ali (Khurafat). Sam berkata, dia menghormati apa jua keputusan juri dalam menentukan pemenang yang layak untuk setiap kategori yang dipertandingkan. "Saya berasakan belum ada kerja saya yang sampai ke tahap anugerah. Jika dianalisis, genre komedi sukar untuk menang, tetapi tercalon menerusi Kongsi mungkin kerana lakonan saya dalam membawakan watak komedi itu. "Apabila diumumkan tercalon Top 5 saya terkejut, tetapi tidak kisah filem mana yang terpilih," katanya. Pengarah Terbaik FFM23, Syamsul pula tidak menyangka dua filem arahannya, KL Gangster dan Khurafat meraih pencalonan yang banyak termasuk dirinya tercalon untuk kategori Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik menerusi KL Gangster. "Tercalon sebagai Pelakon Lelaki Terbaik membuatkan saya lebih terkejut kerana mengharapkan pelakon filem saya berpeluang masuk Top 5. Walaupun Aaron Aziz dan Ady Putra tidak dapat masuk, saya berbangga apabila Shoffi tersenarai. "Bagi saya, HMM dan Cun! memberikan saingan kuat. Untuk kategori Kesan Visual Terbaik, ia mewujudkan persaingan hebat dan sihat. Apapun, jika menang ia bergantung pada rezeki dan jika saya menang, seharusnya kejayaan itu dikongsi bersama semua pelakon dan kru yang terbabit," katanya. Pelakon Nadia Nisaa, menyatakan perasaan gembira tercalon kategori Pelakon Harapan Wanita bersama Shera Aiyob (Karak), Syamira Azmil (Karipap-Karipap Cinta), Shamimie Amalina Norhisham (Klipx 3GP) dan Sara Ali (Nur Kasih he Movie). "Cabaran melakonkan watak gadis kurang upaya, Manis dalam filem Cun! suatu yang sangat mencabar buat saya. Saya sebenarnya seorang yang serius, tetapi apabila apabila tercalon, ini membuktikan saya berupaya membawa karakter berbeza," katanya. Dalam kategori Pelakon Harapan Lelaki menyaksikan calon, Aeril Zafril menerusi Aku Tak Bodoh, Zalif Sidek (Bini-Biniku Gangster), Arja Lee (... Dalam Botol), Adey Syafrien (Flat 3A) dan Sallehudin Abu Bakar (Hantu Bonceng). Malam Kemuncak FFM24 akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima (saluran 105) bermula 8.30 malam untuk siaran karpet merah sebelum acara bermula jam 9 malam. FFM24 mencipta sejarah dari aspek penganjuran apabila ia turut mendapat bajet tertinggi sebanyak RM6.68 juta merangkumi penajaan siaran dan penaja lain seperti Asia Media untuk promosi FFM24 sebanyak RM1 juta, Maxx Rewards Global Sdn Bhd menaja 'booklet' bernilai RM2 juta dan barangan kemas tajaan Amee Philips. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |