Adsense

Khamis, 10 November 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Sedang bahagia

Posted: 09 Nov 2011 02:38 PM PST

Hip

TIDAK keterlaluan jika dikatakan belum ada pelakon yang mampu merampas gelaran Ratu Drama daripada Fasha Sandha. Biar aneka genre produk dihidangkan kepada khalayak dengan diwarnai 1001 wajah, bingkisan yang menonjolkan aksi pelakon jelita ini tetap memancing tumpuan. Tidak hairan apabila drama rantaian terbarunya, Cinta Elysa, turut meraih tempias bersama catatan 2.8 juta penonton, walaupun baru beberapa episod disiarkan.

Fenomena yang dicipta pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan, 27, bukan terhasil sekelip mata. Disiplin, kerja keras dan mengkaji watak sedalam-dalamnya sebelum menjejakkan kaki ke lokasi ialah kunci yang meletakkannya ke tahap sekarang. Walau perlu bertatih dari bawah, dia mengakui kesenangan tidak mungkin datang bergolek.

Berkat kesungguhan diiringi doa restu keluarga serta peminat setia, gadis yang tidak lekang diulit kontroversi itu semakin ampuh berdiri di persada seni, malah kini boleh berbangga dengan pencapaiannya. Tidak hanya berada dicemburui sebagai pelakon versatile, sebaliknya tegar membina rangkaian salun sendiri, Chinta, yang bakal melebarkan sayap ke Johor dan Perlis sedikit masa lagi. "Ya... Saya bertuah menjadi Fasha Sandha. Jika masa boleh ditukar semula pun, rasanya tidak ada apa yang perlu saya pinta atau ubah lagi. Hidup dilingkari kasih sayang keluarga yang tidak bersempadan, doa peminat, kerjaya seni serta bisnes yang semakin berkembang membuatkan saya menghargai setiap detik. Cukuplah apa yang saya kecapi kini, segala-galanya tidak berlebih atau terkurang," ucapnya ringkas namun penuh bermakna.

Mencuri waktu demi memenuhi sesi fotografi bersama Hip, masa yang diperoleh itu turut digunakan untuk melepaskan lelah seketika sambil bersembang dengan teman media. Banyak yang dikongsi, dari soal kerjaya hingga sisi peribadi. Dalam gelak tawa diusik soalan nakal, dia bijak menangkis sekali gus menonjolkan kematangan diri.

Sudah pasti umum mahu berkongsi rahsia hatinya. Siapa insan bertuah yang mampu menakluk hati Fasha selepas kisah cintanya yang tidak kesampaian bersama duda terhangat, Jejai, hebat dibicarakan ramai. Enggan menyelak diari lalu, Fasha menyimpan kemas gelodak jiwa biar dijolok bermacam persoalan. Begitupun, seri pada wajah tidak mampu menutup aura bahagia yang sedang dikecapi kini.

"Tiada apa yang mahu saya sembunyikan. Saya bahagia begini. Sebagai wanita, sudah pasti saya mahu ditemani insan istimewa hingga ke akhir hayat saya. Kalau ikut perancangan diri, saya mahu bergelar isteri pada usia 30 tahun dan tidak mahu menunggu lama untuk bergelar ibu. Saya sangat sukakan kanak-kanak. Rasa sungguh bahagia dikelilingi mereka.
"Namun ia sekadar perancangan. Soal jodoh itu semua kerja Allah, kita cuma merancang. Cuma jika ditakdirkan jodoh saya sampai, dunia lakonan akan saya tinggalkan bagi memberikan tumpuan penuh terhadap suami dan anak. Saya tidak ralat mengorbankan minat saya demi keluarga kerana mereka yang lebih utama. Kerana itu saya menubuhkan Chinta sebagai persediaan masa depan," katanya lagi.

Menjadikan Datin Sofia Jane sebagai idola, baginya aktres terbabit punya aura tersendiri yang belum mampu ditandingi pelakon lain, malah pengorbanan mengundurkan diri sebaik berumahtangga semata-mata untuk keluarga dan hanya tampil sesekali dalam projek khas cukup dikaguminya. Tidak hairan dia ingin mengikuti jejak langkah ibu kepada empat cahaya mata itu.

Sambil membelek telefon bimbitnya yang sentiasa berada di sisi, katanya mungkin agak pelik jika dikatakan dia jarang menggunakan kemudahan itu untuk menghubungi si dia, sebaliknya hanya akan berbuat demikian selepas dihubungi atau sekadar membalas pesanan khidmat ringkas (SMS). Bukan sombong, cuma dedahnya sebagai gadis, jangan terlampau menunjukkan kasih sayang.

"Saya bukan jenis yang suka menghubungi kekasih sekadar untuk bertanya dia di mana atau mahu menyatakan saya cintakan si dia. Bagi saya, apabila berkasih secara peribadi kita sendiri dapat sama-sama merasai perasaan halus itu. Cinta tidak perlu dipaksa. Jika setiap hari meluahkan cinta sayang pun tak bererti jika ia bukan secara ikhlas.

"Prinsip saya mudah, jangan mengongkong. 'Lepaskan' mereka (lelaki) atas dasar percaya. Selebihnya kita serahkan kepada Yang Berkuasa. Jika ditakdirkan kasih mereka beralih kepada wanita lain, reda saja. Letakkan di dalam hati, sudah tertulis di Luh Mahfuz bahawa Allah punya perancangan lebih baik untuk kita. Fikirkan perkara positif, itu yang mampu membuatkan kita terus jalan ke hadapan," katanya panjang lebar seakan memberi petanda rasa hatinya tika ini.

Ditanya lagi siapa yang sedang bertakhta di sanubari, dengan pantas dia memintas, malah meletakkan persoalan kembali ke landasan asal iaitu berkisar perjalanan kerjayanya bersama rentetan satu persatu tawaran telefilem dan drama berantai yang masih diteliti. Bukan cerewet sebaliknya Fasha mahu lakonannya meninggalkan impak terhadap penonton.

Enggan ulas fasal Johan

SEKEKALI matanya terarah ke telefon bimbit model terbaru yang diakui hadiah seseorang, seakan menanti panggilan penting. Bagai mengetahui apa yang bersarang di fikiran, pantas katanya selain menghubungi terus pengurus peribadinya, Kak Min, untuk berbincang mengenai tawaran lakonan, kadangkala dia sendiri turun padang bertemu produksi jika diperlukan.

Mengenai Cinta Elysa yang kini disiarkan di slot Lestary terbitan Suhan Movies bermula 13 September lalu, galak dia berkongsi cerita mengenai hasil kerjanya di bawah garapan Along Kamaludin yang disifatkan sangat teliti hingga membangkitkan perasaan ingin tahu khalayak terhadap episod seterusnya, begitu juga dengan mainan emosi bakat pelakon muda, Johan As'ari yang dikatakan bersungguh-sungguh mendalami watak.

Memahami dari drama itu juga tercetus kontroversi membabitkan bintang Juvana itu yang sedikit sebanyak mengheret dirinya, dengan pantas Fasha menegaskan tidak akan menjawab sebarang pertanyaan berhubung perkara terbabit kerana enggan membiarkan ia terus meleret sekali gus meletakkan dirinya ke kancah yang lebih merumitkan.

"Saya enggan mengulas. Cukuplah, itu masalah antara dirinya dan pihak satu lagi. Saya tiada kaitan dan tidak perlu dikaitkan dengan kisah mereka," tegasnya. Tambah Fasha, sepanjang melewati kerjaya seni yang sudah memasuki tahun ketujuh, aneka liku sudah dilalui malah ini bukan satu-satunya cerita sensasi yang mengaitkan dirinya cuma kali ini dia tidak mahu namanya dijaja sama.

Bukan melatah sebaliknya mahu menjaga hati insan tersayang terutama ibunya, Hatijah Tehman, 48, bagi anak kedua daripada lima bersaudara itu, mereka antara penyokong terkuat yang membuatnya terus ampuh melayari perjuangan dan ketika bergelut mendepani isu sensasi yang muncul tiba-tiba, mereka juga yang menyemarakkan semangatnya.

Full content generated by Get Full RSS.