Adsense

Selasa, 8 November 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Nadi sanggup tinggalkan balerina

Posted: 07 Nov 2011 06:40 AM PST

MELANGKAH saja ke dewan sidang media bagi filem terbarunya, Vikingdom yang dijolok sebagai filem termahal arahan pengarah Malaysia, Yusry Abdul Halim, kelihatan senyuman terpancar pada wajahnya.

Bintang Hollywood itu, Linn Natassia Malthe atau senang dengan panggilan Nadi, memang manis orangnya, bersahaja dan senang didekati. Dia hadir di situ bersama beberapa pelakon lain yang turut diundang bertemu media tempatan.

Nadi, 37, sebelum ini pernah mencipta nama di arena antarabangsa apabila membintangi filem seperti Disturbing Behavior, Lake Placid, Me, Myself & Irene, 40 Days and 40 Nights, Halloween, Elektra dan Dead or Alive.

Sewaktu diperkenalkan pihak produksi Vikingdom, ramai wakil media tempatan terkejut apabila diberitahu Nadi sebenarnya berdarah kacukan Sabah di sebelah ibu manakala ayahnya pula berasal dari Norway.


Sewaktu ditemu bual, Nadi bagaimanapun menjelaskan dia jarang dapat mengikut ibunya pulang ke Kota Kinabalu kerana kesibukan tugas.


"Sudah lama saya tidak ke Malaysia. Kali terakhir saya di sini, pada 2005. Waktu itu saya terikat dengan kontrak untuk menghasilkan iklan Pantene. Ibu saya pula, tahun lalu pulang ke Sabah. Kami ada ramai ahli keluarga di Malaysia," katanya.

Bercerita serba sedikit susur galur keluarganya, Nadi berkata ayahnya bertemu dengan ibunya di Sabah pada zaman muda mereka. Demi cinta, ibunya sanggup meninggalkan keluarga mereka di Sabah dengan mengahwini ayahnya dan seterusnya menetap di Norway.

Bagaimanapun, ibarat kata pepatah tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Sesekali jika ada peluang, keluarganya pasti akan pulang ke Sabah bertemu sanak saudara yang masih ada.

Walaupun berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa terutama menerusi filem box-office seperti aitu Elektra dan Dead Or Alive, Nadi tidak pernah meletakkan dirinya pada kelas yang tinggi.

Memulakan kerjaya seni sejak 1996, wanita setinggi 5 kaki 5 inci ini menjelaskan semuanya bermula selepas dia tidak sanggup lagi menjalani rutin hidup yang terlalu ketat sebagai penari balet atau balerina.

Nadi mula menari balet sejak usia lima tahun dan pernah menyertai beberapa kumpulan balet termasuk Royal Winnipeg Ballet, The Norwegian Opera House, Beijing Ballet selain di New York.

"Sewaktu menari di New York saya rasa tertekan untuk mengekalkan kemampuan sama dari dari sudut fizikal dan mental. Saya tak sanggup lagi memuntahkan makanan yang dimakan semata-mata bagi memastikan keadaan susuk tubuh saya sebanding dengan rakan penari lain. Bayangkan tubuh saya dulu pernah tinggal rangka dan nampak jelas urat pada kulit," katanya.

Walaupun tidak menggemarinya, perkara itu terpaksa juga dilakukan atas sokongan keluarga. Apatah lagi dalam produksi balet, semua penarinya mesti nampak cantik dan sempurna di pentas. Tiada seorang pun penari boleh nampak berbeza. Berat badan mesti dikekalkan seringan yang boleh supaya mudah diangkat apabila beraksi.

"Perkara itu bagi saya sebenarnya tidak sihat dan tidak bagus tapi sebagai penari balet, kami tidak ada pilihan lain dan perlu juga melakukan rutin terbabit. Disebabkan itu juga saya mengambil keputusan meninggalkan dunia tarian dan meneruskan niat asal menjadi seorang berlakon," katanya.

"Selepas meninggalkan dunia tarian barulah saya menyertai dunia lakonan secara aktif. Sejak dulu saya juga berminat terbabit dalam teater muzikal dan mendalami ilmu lakonan sewaktu di London," ujarnya.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam filem arahan Yusry itu, kata Nadi dia sangat tertarik dengan skrip yang juga dihasilkan Yusry menyebabkan dia terus menerima tawaran membintangi Vikingdom.

"Selain itu saya sangat teruja apabila digabungkan dengan pelakon hebat seperti Dominic Purcell dan Jon Foo. Dalam filem ini saya memegang watak Brynna, pahlawan wanita yang cuba menyelamatkan rakan yang diperangkap penjahat. Menariknya dalam filem ini saya satu-satunya pelakon wanita," katanya yang berambut cantik.

Dalam Vikingdom, Nadi akan banyak bergandingan dengan Jon. Katanya, dia bertuah kerana dapat bergandingan dengan pelakon berdarah campuran British dan Singapura itu. Sebelum ini dia pernah berlakon dengan beberapa aktor yang handal dalam seni mempertahankan diri seperti Jackie Chan dan Jet Li.

"Dalam filem ini kami memang perlu beraksi lasak dan setiap pertarungan kami lakukan sendiri dan tidak menggunakan pelakon lagak ngeri (stunts).

Jadi saya perlu bersedia secara mental dan fizikal," katanya.

Berkongsi pengalamannya bekerja dengan produksi tempatan Nadi berkata, selain cuaca, dia tidak nampak sebarang perbezaannya bekerja dengan KRU Studios kerana setiap orang sangat komited dan bekerja bersungguh-sungguh.

"Saya suka menjalani penggambaran di Malaysia kerana cuacanya sangat sesuai dengan penampilan watak kami. Bayangkan dulu saya terpaksa berlakon dengan memakai bengkung dalam cuaca musim sejuk. Sudah tentu kesannya sangat dirasai. Berbeza dengan di Malaysia, cuaca di sini sekadar hujan dan panas, jadi apabila memakai bengkung, ia tidak memberikan masalah," katanya.

Sinopsis Vikingdom

KISAH filem bermula dengan kemunculan kapal Viking di Lindisfarne yang diketuai Thor untuk menawan tentera purba sebagai hamba mereka. Thor mesti dihapuskan dan hanya seorang wira yang memiliki kuasa kebal yang boleh menentangnya iaitu Eirick dari Jomberg.

Eirick seorang pemburu yang biasa dengan hidupan lasak. Berita serangan Thor disampaikan Frey kepada Eirick untuk menghalang Thor daripada berjumpa
dengan Horns of Odin dari Gate of Souls.

Frey juga meminta Eirick mengetuai angkatan tentera Jomsberg Viking untuk menentang Thor yang bersekutu dengan Trondelag Kings.

Eirick kemudian diiringi sahabat baiknya, Sven dan Yang iaitu hamba Cina berikrar sanggup mati demi Eirick. Pengembaraan mereka bermula dengan pencarian Horn of Odin dan kemudian menentang angkatan tentera Thor.

Filem ini dibintangi Dominic Purcell (Prison Break), Natassia Malthe (Dead Or Alive), Jon Foo (Tekken), Craig Fairbrass (Cliffhanger) & Conan Stevens (Game of Thrones).

Filem ini sudah menjalani penggambaran sejak 15 Oktober lalu di sekitar Lembah Klang dan Perak.

Antara lokasi menarik itu adalah Puncak Alam, Serdang, Bukit Jalil, Studio Filem Negara Malaysia, Gua Tempurung, Kellie's Castle.

PROFIL

Nama penuh: Linn Natassia Malthe
Panggilan: Nadi
Tarikh lahir: 19 Januari 1974
Usia: 37 Tahun
Asal: Oslo, Norway
Keturunan: Sabah (sebelah ibu) dan Norway (sebelah ayah)
Drama: Viper Trixie, Millennium New Leslie, First Wave Maid, Dark Angel, Seven Days, Trapped Marisa, Wedding Dress, Chris Isaak Show, Dirty Dancer, Call Me: The Rise and Fall of Heidi Fleiss Charisse, Bound By Lies, Dead & Deader, Dr Boyce, BloodRayne II: Deliverance Rayne, Alone in the Dark II, Turner
Filem: Disturbing Behavior, Lake Placid, Me, Myself & Irene, 40 Days and 40 Nights, Stark Raving Mad Stacie, Halloween, Elektra, Wish You Were Here Awake, Dead or Alive, In the Name of the King 2, Avarice, Vikingdom (terbaru)

Full content generated by Get Full RSS.

Azri bantu isteri mengarah

Posted: 07 Nov 2011 06:23 AM PST

AGAK lama peminat tidak mendengar perkembangan terbaru Azri Iskandar. Selepas berlakon filem Jangan Tegur, suami kepada Ellie Suriaty Omar ini menyepikan diri. Terbaru, Azri baru selesai membintangi filem Lagenda Budak Setan 2 yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.

Ditemui pada majlis pelancaran drama Rania Zara terbitan Saga Lines (M) Sdn Bhd ini arahan Kyoll Hamzah baru-baru ini, Azri mengakui mengorbankan seketika kerjaya lakonannya untuk menjaga anak di rumah. Apatah lagi ketika itu mereka berdepan masalah pembantu rumah yang kritikal.

"Dua tahun juga saya berehat, 2009 saya ada juga tawaran berlakon. Manakala tahun lalu langsung tiada. Bermula dari April 2009 saya mula jaga anak di rumah. 14 September tahun sama, Ellie melahirkan anak kedua. Memandangkan karier dia semakin bagus, saya setuju jaga sendiri anak.

"Tak dinafikan perasaan rindu untuk berlakon kerana itu sudah jadi rutin hidup saya tapi terpaksalah sabar seketika kerana memang susah untuk mencari pembantu rumah waktu itu. Kebetulan pula kerajaan kita sedang berunding dengan kerajaan Indonesia mengenai penghantaran pembantu rumah dari sana.


"Bagaimanapun, itu tak bermakna saya memencilkan diri kerana tetap mengikuti perkembangan yang berlaku dalam dunia seni. Maklumlah ia masih lagi jadi kerjaya saya. Kalau tak nak pun, seni sudah menjadi sebahagian hidup saya.


"Sebenarnya tak dinafikan tawaran ada juga datang, tapi saya terpaksa tolak kerana wataknya sama dan stereotaip sangat. Sebagai pelakon sudah semestinya saya inginkan kelainan dalam setiap watak yang dibawakan agar peminat puas hati," katanya.

Mengakui kadangkala tercabar berada di rumah kerana sifat seorang ketua keluarga sepatutnya mencari rezeki, Azri mengakui tidak membuang masa begitu juga. Kebetulan Ellie sedang sibuk dengan projek filem pertamanya, Penanggal. Justeru dia banyak membantu mencari fakta yang diperlukan.

"Sambil jaga anak, saya bekerja keras cari fakta untuk watak Yusof dalam filem itu. Saya juga dapatkan info tahun 1930-an yang menjadi latar filem ini. Insya-Allah jika tiada halangan, penggambaran akan dimulakan pada pertengahan bulan ini kerana menunggu kepulangan Umi Nazeera yang berlakon sebagai pelakon utama.

"Sepatutnya penggambaran sudah lama berjalan tapi tertangguh kerana masalah teknikal. Sepatutnya filem ini menjadi kerjasama antara syarikat kami, Timang Tinggi Pictures tapi kami gagal mendapatkan dana dan terpaksa diserahkan kepada Tayangan Unggul yang bekerjasama dengan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB).

"Skripnya dah lama siap dan diajukan kepada Tayangan Unggul. Malangnya selama dua tahun kami tunggu kelulusan dana tapi tak berjaya. Akhirnya mereka nak terbitkan juga filem ini. Walaupun kecewa dengan apa yang berlaku, kami takkan mengalah dengan sabotaj pihak tertentu yang bertujuan menggagalkan usaha kami.

"Untuk filem ini, tumpuan saya hanya berlakon dan bukannya bekerja di sebalik tabir produksi kerana bimbang nanti tak boleh fokus. Lagipun Ellie minta saya tolong berlakon dalam filem ini. Lagipun kemampuan Ellie dah terbukti kerana dia pernah mengarahkan drama untuk VCD berjudul Seriau.

"Bagaimanapun, kami tetap berkongsi idea untuk filem ini agar ia menimbulkan kesan kepada peminat nanti. Apatah lagi ia menjadi pertaruhan besar Ellie untuk bergelar pengarah filem," katanya yang berharap masyarakat me–nyokong filem itu.

Menjelaskan perasaannya bekerja di bawah arahan isteri sendiri, Azri berkata ia bukanlah satu masalah besar. Baginya soal perasaan ditolak tepi seketika kerana yang penting ialah kerja mereka berjalan lancar.

"Ketika bekerja, kami ada peranan masing-masing yang perlu digalas. Itu yang saya pegang setiap kali berlakon tak kiralah dengan sesiapa pun. Saya pernah bekerja dengan ramai pengarah wanita seperti Erma Fatima dan Shuhaimi Baba dan tiada masalah langsung. Mereka serius dalam kerja. Begitu juga Ellie yang dikenali bersungguh-sungguh dalam kariernya," kata Azri.

Full content generated by Get Full RSS.