Adsense

Jumaat, 4 November 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Adi Putra bukan kejar anugerah

Posted: 03 Nov 2011 06:51 AM PDT

RAMAI pengarah filem, drama dan teater handalan memuji aura dan bakatnya. Antara mereka, U-Wei Shaari, Osman Ali dan Syamsul Yusof. Perkara ini tidak menghairankan kerana Adi Putra sememangnya dilahirkan dengan bakat dan rupa.

Seperkara yang nyata, walaupun Adi semakin banyak berlakon, dia sendiri bukanlah seorang pengejar anugerah, sebaliknya sentiasa memburu kualiti dalam tugasannya.

Lantas formula yang Adi pegang sepanjang menggenggam status seorang pelakon adalah dia mestilah bekerja dengan sepenuh ikhlas kerana ia berkaitan soal rezeki dan imej lakonan anak seni tempatan.

Pertemuan dengan Adi di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur, petang Rabu lalu berlangsung dalam suasana penuh gelak ketawa. Rap juga ingin berkongsi perasaannya selepas disebut-sebut bakal tersenarai sebagai finalis dalam Anugerah Skrin 2011 (ASK2011) malam ini.


Dalam memperkatakan mengenai peluang itu, Adi tetap 'cool' seperti seadanya.


Ramai menganggap, melihat kepada lakonannya dalam telemovie Air Mata Nur Salina dan filem KL Gangster, tidak mustahil dia boleh menggugat calon pelakon lelaki lain.

Kata Adi, kalau dicalonkan nanti, ia menjadi satu bonus kerana dia enggan meletakkan sebarang harapan.

"Susah untuk saya fikir apabila ada pihak bercerita nama saya mungkin tersangkut dalam sampul surat pada malam ini. Ia kerana semua itu hanya satu spekulasi. Ia lagi masih samar dan bukannya satu pengesahan.

"Bagaimanapun, saya hanya mampu berterima kasih kepada mereka yang berkata begitu (ramalan) kerana ia saya anggap satu pencapaian.

"Soal tersenarai atau tidak, menang atau kalah bukanlah menjadi isu buat diri saya kerana semua itu bergantung kepada rezeki. Lagipun selepas hampir 10 tahun menjadi pelakon, saya masih tetap yang sama, bekerja untuk kepuasan diri dan juga setiap produksi yang menawarkan peluang kepada saya.

"Insya-Allah kalau benar saya tersenarai atau menang malam nanti, ia satu hadiah yang indah. Bagaimanapun, saya percaya ramai lagi pelakon lelaki lain di Malaysia yang hebat-hebat daripada segi mutu lakonan," katanya.

ASK2011 buat kesekian kalinya akan berlangsung dengan tema Kilauan Emas atau Golden Glamour di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ia juga akan dipancarkan secara langsung menerusi TV3 malam ini dengan hos, Ally Iskandar dan Rozita Che Wan.

Acara itu antara lain bertujuan memartabatkan penerbitan drama, filem dan produksi.

Selain penyampaian trofi kepada pemenang, peminat juga akan dihiburkan dengan pelbagai segmen nyanyian serta acara laluan karpet merah.

Antara artis yang bakal membuat persembahan malam ini termasuk Tomok, Aizat, Awi Rafael, Ella, Dayang Nurfaizah, Alyah, Meet Uncle Husain dan ramai lagi.

Kata Adi yang menonjolkan lakonan cemerlang dalam teater muzikal Sri Mersing
di Istana Budaya (IB) tidak lama dulu dengan watak Damak, ASK adalah pentas terbaik bagi stesen TV menghargai anak seni dan karyawan kreatif tempatan.

Bagi Adi, perjalanan seninya masih jauh dan dia akan tetap memberikan sokongan kepada setiap anugerah hiburan yang dianjurkan di negara ini termasuk juga ASK.

"Sejak dulu saya hanya menonton acara anugerah di kaca TV saja. Namun, apabila diundang ke setiap majlis anugerah, saya rasa sungguh berbesar hati serta gembira kerana di situlah saya dapat berjumpa rakan artis.

"Selalunya kita semua sibuk dengan tugas di lokasi dan agak jarang dapat bertemu dalam sebuah majlis yang besar. Saya juga akan cuba bergaya mengikut tema yang ditetapkan penganjur ASK2011 sebagai tanda menghormati majlis," ujarnya sambil tersenyum.

Lakonan Adi dalam Air Mata Nur Salina dikatakan berupaya membuka mata juri ASK2011 meskipun dia hanya muncul dalam beberapa babak.

Kemunculan Adi sebagai antara teraju utama filem drama aksi KL Gangster juga berjaya membuka ruang yang lebih kepadanya untuk menembusi senarai Top 5 ASK2011 malam ini khususnya bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem.

Ramai berasakan kemunculannya bersama Aaron Aziz, Syamsul Yusof dan Zizan Razak menghidupkan KL Gangster sehingga mampu meraihkan kutipan RM12 juta.

"Saya gembira melihat perkembangan industri filem Malaysia yang semakin maju.
Banyak filem box-office tempatan dihasilkan dalam setahun dan ia satu peningkatan yang sangat positif. Selain itu drama di pelbagai slot terutama Cerekarama juga semakin berkualiti dalam memikat penonton untuk terus setia di kaca TV.

"Saya harap akan dapat berlakon di bawah arahan lebih ramai pengarah yang hebat di negara ini. Bagi saya ilmu filem tidak pernah habis," katanya.

Terbaru Adi sedang terbabit dengan pembikinan drama rantaian bersama Nora Danish berjudul Tentang Dhia.

Jelas Adi yang menyifatkan lakonan sebagai nyawa dan jiwa buatnya, Tentang Dhia sebuah karya yang bakal memberikan sebuah kelainan pada warna lakonannya.

"Jujurnya watak dan pembangunan emosi yang saya tampilkan dalam drama ini cukup berbeza kerana ia banyak bermain dnegan air mata dan ekspresi wajah.

"Bagaimanapun, saya yakin dan percaya peminat akan berpuas hati melihat perbezaan itu nanti.

"Alhamdulillah saya sentiasa diberi kepercayaan untuk membawakan watak yang berat dan penuh jiwa seperti ini kerana sebagai seorang pelakon, saya puas menghidupkannya," katanya.

Tentang Dhia akan mula ditayangkan pada 9 November menerusi slot Akasia, mulai minggu depan, Isnin hingga Khamis jam 7 malam di TV3.

Ramai peminat menunggu kemunculan Adi dalam filem Hanyut arahan U-Wei Shaari yang turut dibintangi Datin Sofia Jane, Khalid Salleh, El Manik dan Diana Danielle.

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan acara anugerah gilang-gemilang, Anugerah Skrin 2011 malam ini jam 9 malam hanya di TV3.

Full content generated by Get Full RSS.

Filem Eropah temui penonton di utara

Posted: 03 Nov 2011 06:34 AM PDT

PENGANJURAN Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) mendapat sambutan daripada penonton tempatan kerana memberi peluang menyaksikan filem hebat terbitan negara Eropah yang jarang dapat ditonton di panggung biasa.

Justeru, diam tak diam sudah masuk edisi ke-12 penganjurannya menerusi skrin antarabangsa di rangkaian pawagam Golden Screen Cinema (GSC).

Jika sebelum ini, hanya rangkaian pawagam GSC sekitar Lembah Klang saja yang menawarkan tayangan eksklusif pelbagai filem menarik, kini peluang sama turut diperoleh penonton di utara tanah air melalui tayangan di GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang.

Edisi EUFF 2011 akan berlangsung dalam dua penganjuran iaitu di GSC Mid Valley, GSC One Utama dan GSC Pavillion Kuala Lumpur pada 10 hingga 20 November ini, diikuti GSC Gurney Plaza pula dari 24 hingga 30 November nanti.


Kelmarin, bertempat di GSC Signature The Gardens Mid Valley diadakan majlis sidang media sempena EUFF ke-12. Ia dihadiri Ketua Misi dari Kedutaan Poland, Katarzyna Wilkowiecka dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah, H E Vincent Piket.


Katarzyna berkata, 23 filem daripada 17 negara Eropah akan ditayangkan sepanjang EUFF 2011. Katanya, ia satu peningkatan baik menunjukkan penonton tempatan bersikap terbuka dan memberi sambutan menggalakkan pada EUFF.

"Boleh dikatakan, ini satu pencapaian hebat untuk EUFF 2011. Oleh itu, sekali lagi EUFF kembali ke Malaysia untuk memaparkan kekayaan budaya negara yang bernaung dalam kesatuan ini menerusi kepelbagaian persembahan di dalam genre filemnya.

"Filem yang ditayangkan juga meliputi pemahaman lebih mendalam pada perspektif berbeza, dimuatkan elemen romantik serta panorama menarik terhadap landskap, kehidupan dan budaya di benua Eropah. Ia pastinya satu pengalaman hebat.

"Seperti tahun sebelumnya, saya juga mengharapkan EUFF 2011 tetap mendapat perhatian serta sambutan menggalakkan penonton. Ini kerana, semua filem ditayangkan adalah terbaik dan pernah memenangi pelbagai anugerah di negara masing-masing," katanya.

Menurut Katarzyna lagi, selain filem untuk tontonan dewasa, EUFF 2011 juga tidak melupakan tatapan sesuai buat kanak-kanak serta seisi keluarga dengan dua karya iaitu Kooky dari Republik Czech dan Niko & the Way To The Star (Finland).

Sehubungan itu bagi menyemarakkan sambutan EUFF 2011, tiket untuk menyaksikan semua filem ditayangkan cuma berharga RM5. Bagaimanapun, tiket percuma disediakan untuk menonton filem Sepanyol, Cell 211 yang hanya akan diedarkan pada hari tayangan.

Justeru, bagi mendapatkan segala maklumat lanjut berhubungan tayangan filem menarik sepanjang EUFF 2011 boleh diperoleh dengan melayari laman web www.euff.com.my dan www.gsc.com.my. Urusan promosi EUFF 2011 juga turut dimuatkan di facebook (www.facebook.com/GSCinemas) dan twitter.

Antara tumpuan pada festival kali ini ialah filem dari Jerman, Sophie Scholl - The Last Days arahan Marc Rothemund pada 2004 yang mengisahkan perjuangan seorang gadis yang juga pelajar universiti dalam menentang kekejaman pihak tentera Nazi pada 1943.

Ditayangkan selama dua jam, filem lakonan Julia Jentsch itu pernah memenangi anugerah Aktres Terbaik dan Arahan Terbaik di Festival Filem Jerman pada 2005, Audience Award, German Guild Award 2005, European Film Award, Bavarian Film Award 2005 dan German Film Critics Award 2005.

Filem lain yang tidak harus dilepaskan penonton tentunya dua karya dari Britain iaitu Oliver Twist, 1922 dan Great Expectations, 1946 yang diterbitkan secara hitam putih. Malah. Filem Oliver Twist, 1922 tidak mempunyai dialog.

Diadaptasi daripada novel kedua paling popular di dunia, Charles Dickens, ia mengisahkan kehidupan seorang budak lelaki yang tinggal di rumah anak yatim.
Filem lakonan bintang cilik, Jackie Coogan ini dapat ditafsirkan menerusi aksi lakonannya.

Begitu juga penerbitan filem Great Expectations, 1946 yang turut diadaptasi daripada novel nukilan Dickens. Filem klasik lakonan John Mills, Bernard Miles dan Valerie Hobson yang diarahkan David Lean ini pernah memenangi Anugerah Academy untuk kategori Pengarahan Seni Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Filem lain yang turut mengisi EUFF 2011 ialah Buddy dari Norway, Pure (Sweden), A Breath Of Heaven (Austria), Europolis (Romania), Venice (Poland), If I Have To Be Honest (Itali), A Perfect Match (Belgium), Winter in Wartime (Belanda), The Escape (Denmark) dan Tandoori Love (Switzerland).

Full content generated by Get Full RSS.