Utusan Online - Hiburan |
Posted: "Muzik saya untuk semua"Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL REAKSI David Foster terhadap salah satu pertanyaan yang diajukan kepadanya sambil disampuk Michael Bolton di sebelahnya. PERJALANAN seninya yang menjangkau empat dekad membuatkan dirinya berdiri teguh sebagai salah seorang karyawan seni yang cukup dikagumi. Dengan trek rekod cemerlang - 16 trofi Grammy dan tiga kali dicalonkan untuk Oscar sudah membuktikan David Foster memang bukan sembarangan pemuzik. Sentuhan magisnya yang berjaya melahirkan banyak lagu popular sekali gus meletakkan setiap penyanyi di puncak kemasyhuran membuatkan ramai yang menyimpan hasrat untuk bekerja sama dengannya. Nama-nama seperti Whitney Houston, Celine Dion, Madonna, Michael Jackson, Toni Braxton, Barbra Streisand, Michael Buble, Josh Groban, All-4-One, Natalie Cole dan Destiny's Child antara penghibur yang telah menggunakan khidmat Foster sebagai komposer, penerbit album mahupun penggubah lagu. Namun, kata Foster, bukan mudah untuk mencari seorang penyanyi yang mempunyai bakat semulajadi untuk dibentuk dan diketengahkan menjadi seorang artis ternama. "Semua orang mempunyai bakat waima dalam apa jua bidang sekalipun. Tetapi, untuk mencari yang benar-benar jujur dan ikhlas dalam bidang nyanyian terutamanya bukan mudah. "Kalau diperhatikan kepada bintang-bintang ternama seperti Whitney mahupun Celine, kejayaan mereka bukan hanya bersandarkan bakat semata-mata tetapi juga usaha dan kerja keras. "Benar, sebagai seorang karyawan, tugas saya adalah untuk menghasilkan karya yang bagus untuk diberikan kepada penyanyi yang bagus juga," kata Foster atau nama sebenarnya David Walter Foster ini dalam sidang akhbar singkat yang berlangsung di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur, hujung minggu lalu. Kehadiran Foster ke negara ini adalah untuk Konsert Hitman: David Foster & Friends Live In Asia Tour 2011 yang telah berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu. Konsert anjuran JAG Concerts & Events, dibawakan oleh Enrich Malaysian Airlines, juga membariskan lima artis popular iaitu Charice, Michael Bolton, Ashanti, Philip Bailey dan Russell Watson. Luar biasa Menyambung bicaranya, Foster memberikan contoh bagaimana dia mengesan bakat Charice menerusi YouTube yang disifatkan sebagai bakat luar biasa. "Saya percaya kita mampu mencari bakat dan penyanyi yang bagus di serata dunia. Charice misalnya, siapa sangka penyanyi dari Asia sepertinya mampu mencipta kejayaan luar biasa dalam masa yang singkat," ujarnya yang juga telah memberikan sentuhan magis untuk album penyanyi cilik, Jackie Evancho yang kini menempa nama di seluruh dunia. Dalam pertemuan itu juga, Foster yang berusia 61 tahun itu juga mempunyai justifikasi sendiri terhadap konsep David Foster & Friends hampir dua tahun lalu. Apatah lagi selepas mencipta kejayaan sebagai karyawan seni yang selama ini hanya duduk di belakang tabir sahaja, pastinya ramai yang mahu tahu apakah misi sebenar Foster menerusi siri konsert itu. "Selama ini, saya hanya duduk di studio dan melihat bagaimana bintang-bintang saya merakamkan lagu-lagu ciptaan saya. "Tetapi, saya tidak pernah merasai pengalaman berada di atas pentas dan untuk melihat sendiri bagaimana lagu-lagu saya dinikmati oleh masyarakat. "Lalu, apabila saya muncul dengan idea ini, saya tidak menyangka ia menjadi satu kejayaan dan diterima baik oleh peminat. Ternyata, lagu-lagu saya berjaya sampai ke lubuk hati pendengar dan barulah saya tahu bahawa karya saya diterima dengan baik selama ini. "Saya tidak mencipta lagu untuk seorang dua tetapi untuk semua lapisan masyarakat di seluruh dunia. Saya benar-benar bersyukur dengan kejayaan itu," katanya yang kini sedang sibuk menghasilkan lagu-lagu untuk pementasan muzikal terbaru di Broadway, New York berjudul Betty Boop. Dalam masa yang sama, Foster melahirkan rasa bertuah apabila kerjasama yang diberikan oleh setiap artis dalam siri konsertnya itu cukup memberangsangkan. "Saya juga gembira untuk kembali ke Malaysia selepas kali pertama ke sini 17 tahun lalu. Saya sukakan persekitaran di negara ini dan untuk itu, tiada alasan untuk saya tidak menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi konsert ini," ujar Foster lagi. Konsert paling hebat Bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam Sabtu lalu, Foster membuktikan bahawa gelaran Hitman yang diberikan kepadanya adalah milik mutlaknya. Dengan rangkaian lagu-lagu popular dan ber status malar segar, Konsert Hitman: David Foster & Friends Live In Asia Tour 2011 boleh dianggap sebagai antara konsert antarabangsa terbaik setakat ini. Membariskan lima artis popular, ternyata gabungan dalam konsert ini menepati cita rasa muzik dan sasaran penonton. Charice yang membuka tirai persembahan dengan lagu Louder merupakan antara bintang yang cukup dinanti-nantikan. Walaupun usianya baru 19 tahun, namun, bakat yang dimilikinya setanding dengan bintang ternama dunia yang lain. Buktinya, sewaktu dia menyampaikan lagu-lagu seperti Stand Up For Love yang pernah dipopularkan oleh Destiny's Child, Un-Break My Heart (Toni Braxton) dan The Power of Love (Laura Branigan, kemudiannya dipopularkan oleh Celine), stadium menjadi senyap seketika dengan lontaran vokalnya yang cukup bertenaga. "Saya pasti seluruh penduduk Asia berbangga dengan pencapaian dan kejayaan Charice. Anda di luar sana juga boleh jadi sepertinya kerana semua orang diberikan anugerah bakat semula jadi," kata Foster sebaik sahaja Charice selesai membuat persembahan. Dayang memukau Sempena dengan konsert itu juga, Foster telah menganjurkan pertandingan Born To Sing Asia yang memberi peluang kepada bakat di Asia untuk membuat persembahan bersama Foster. Kejutan pada malam itu datangnya daripada penyanyi popular negara, Dayang Nurfaizah yang merupakan salah seorang pemenang pertandingan itu. Sesungguhnya Dayang seorang yang cukup bertuah kerana bukan mudah untuk mendapat peluang menyanyi bersama maestro muzik tersohor dunia itu. Membawakan lagu Look What You've Done to Me yang pernah dipopularkan oleh Boz Scaggs, Dayang berjaya memukau hampir 5,000 penonton dan sekali gus mendapat tepukan gemuruh. Seorang lagi pemenang, Ann dari Klang, Selangor juga tidak kurang hebatnya apabila membawakan lagu popular Chaka Khan, Through The Fire. Meneruskan persembahan, penyanyi tenor kelahiran Lancashire, England, Russell Watson menyampaikan lagu-lagu seperti Because We Believe, Volare, You Raise Me Up dan Nessun Dorma. Memang tidak dinafikan lagi, kemunculan Ashanti juga antara yang dinanti-nantikan walaupun dia tidak pernah menggunakan khidmat Foster dalam mana-mana penerbitan album dan lagunya. Tetapi, Foster memberitahu dia dan Ashanti dengan pantas menjalin hubungan baik sewaktu dia menghubungi penyanyi itu untuk turut serta dalam konsert tersebut. Membuka tirai persembahannya, Ashanti menyampaikan medley Foolish, What's Luv? dan Always on Time yang masih lagi mendapat tempat di hati peminat. Keupayaan vokal Ashanti terus diuji menerusi dua buah lagu dari album runut bunyi, The Bodyguard iaitu I Have Nothing dan I Will Always Love You. Retro kembali Philip Bailey muncul dengan rangkaian lagu-lagu popular 1970-an, membuatkan penonton bangun dari tempat duduk masing-masing. Vokalis kumpulan Earth, Wind & Fire itu menggegarkan stadium dengan lontaran vokal mantapnya menerusi lagu-lagu seperti In the Stone, Fantasy, After The Love dan September. Kemunculan Michael Bolton boleh dianggap sebagai kemuncak konsert dengan lagu When A Man Loves A Woman. Dalam usia 58 tahun, vokal Bolton yang bersifat maskulin dan seksi, sungguh enak didengar tatkala dia menyampaikan lagu To Love Somebody dan Georgia On My Mind. Klimaks persembahan Bolton membawakan lagu yang dianggapnya sebagai karya agung Foster, The Prayer bersama Charice. Earth Song yang pernah dipopularkan oleh Michael Jackson di mana Foster merupakan penerbitnya menjadi lagu penutup konsert lebih dua jam itu. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Janji berikan yang terbaikOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL APABILA nama Khairunazwan Rodzi dipilih sebagai pengarah teater Badai Semalam, ada segelintir pihak bagaikan meragui pemilihan yang dilakukan oleh Istana Budaya (IB). Jika diselak lembaran diari seninya selama ini, harus diakui, Khairunazwan belum pernah mengarahkan sebuah pementasan berskala besar seperti Badai Semalam. Lagipun, namanya tidak begitu dikenali seperti pengarah teater lain yang mempunyai pengalaman luas dalam mengarahkan teater-teater hebat sebelum ini. Lalu, apakah Khairunazwan mampu memberikan impak yang luar biasa menerusi Badai Semalam yang sememangnya merupakan naskhah yang cukup ditunggu-tunggu ramai itu. Bertemu dengan graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di IB baru-baru ini, dia benar-benar terharu dan bersyukur dengan peluang yang diberikan kepadanya. Sesungguhnya kata Khairunazwan atau lebih mesra disapa sebagai Azwan ini, kepercayaan yang diberikan oleh IB membuatkannya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik bagi pementasan teater Badai Semalam. "Saya harus akui perasaan gementar dan gemuruh itu memang ada kerana ini merupakan kali pertama saya diberikan peluang mengarahkan teater di pentas yang besar. "Namun, berbekalkan pengalaman sebelum ini sebagai pembantu pengarah untuk teater Natrah, saya yakin mampu memberikan sentuhan tersendiri bagi Badai Semalam," ujar Azwan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Teater dan Diploma Seni Teater dari Aswara ini penuh optimis. Badai Semalam akan dipentaskan di Panggung Sari, IB, Kuala Lumpur bermula 11 hingga 20 November ini dan dibarisi pelakon popular negara yang bakal membawakan watak-watak ikonik dalam novel karya agung Khadijah Hashim itu. Mereka yang dimaksudkan itu ialah Erra Fazira yang membawakan watak Mazni, Aaron Aziz (Karim), Umie Aida (Rohana), Fizz Fairuz (Zaki), Ziela Jalil (Bibah), Emelda Rosmila (Mahani) dan Iqbal Taufik (Haris). Bagi memastikan skrip teater ini mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton, IB telah melantik tiga orang aktivis teater terkenal iaitu Aminah Raphor, Erma Fatima dan Rahim Bidin sebagai panel skrip Badai Semalam. Azwan boleh dikatakan sebagai seorang yang cukup bertuah kerana bukan calang-calang pengarah yang dapat peluang mengarahkan artis terkenal dalam satu pementasan hebat seperti Badai Semalam. Dalam konteks ini, Azwan menjelaskan, walaupun pelakon-pelakonnya terdiri daripada nama-nama besar dalam industri seni tempatan, dia tidak melihatnya sebagai satu halangan untuk berkomunikasi dengan mereka. Malah, katanya juga, menerusi beberapa perjumpaan dan latihan, kesemuanya memberikan kerjasama yang sangat baik selain melontarkan input dan idea masing-masing bagi memantapkan lagi naskhah Badai Semalam. "Saya tidak kisah sangat tentang pelakon kerana saya yakin dengan kemampuan mereka tetapi apa yang cukup saya titik beratkan adalah penyampaian emosi cerita ini. "Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Badai Semalam bukan sembarangan naskhah dan mereka yang sudah membacanya tahu akan intipati serta kekuatan emosi dalam cerita itu. "Apa yang saya harapkan agar peminat dan pembaca novel ini nanti akan dapat menerima Badai Semalam versi teater ini dengan penuh terbuka," ujar Azwan yang pernah dicalonkan untuk Pengarah dan Skrip Terbaik menerusi Pokok Kelapa Sayang pada Anugerah Seni Boh Cameronian beberapa tahun lalu. Katanya lagi, sudah menjadi satu kelaziman apabila sesebuah naskhah itu diadaptasi ke mana-mana medium, perbandingan pasti akan dilakukan. Atas alasan itu jugalah, beberapa rombakan kecil dalam 20 peratus telah dilakukan bagi menyesuaikan dengan senario dan keadaan pentas itu sendiri. Untuk versi teater ini, Azwan memberi jaminan bahawa dialog dan skrip yang dilontarkan oleh setiap pelakon akan menjadi visual serta bayangan seperti mana yang dialami oleh pembaca yang pernah membaca novelnya. "Namun, setiap orang ada gambarannya sendiri dan itu adalah sesuatu yang cukup subjektif. Apa yang kami lakukan untuk teater ini adalah mengikut perspektif kami tetapi tidak lari jauh daripada jalan cerita asalnya," kata bekas tenaga pengajar untuk program realiti televisyen Pilih Kasih musim pertama dan kedua. Teater yang diterbitkan IB dengan kerjasama Frensis Sdn. Bhd., ini juga telah memilih Kumpulan Utusan sebagai media rasmi serta stesen radio nombor satu negara, Sinar FM sebagai stesen rasmi dalam mempromosikan Badai Semalam. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |